Esok saya akan berangkat ke Jakarta. Kehidupannya penuh dramatik. Penduduknya sebelah malam 10 juta, esok siangnya 12 juta. Zaman Presiden Soeharto Jakarta membangun pesat dengan kemodenan, tetapi kemiskinan semacam degil untuk pergi. Bukan mudah menyenangkan kehidupan ratusan juta manusia. Jakarta saja menampung separuh daripada jumlah penduduk Malaysia. Bayangkan masalah ekonomi, politik dan kemasyarakatan 230 juta umat sedangkan kita hanya ada sekitar 10% sahaja daripadanya. Tidakkah ini menuntut seorang tokoh pemimpin , seorang Presiden yang bukan calang-calang peribadinya?
Saya teringat ke waktu 38 tahun dahulu semasa tinggal selama dua tahun di Jakarta atau " big village". Jakarta yang sesak, menampung kemelaratan hidup massa yang berhijrah dari desa, bermimpi untuk maju dan moden, berusaha untuk sejahtera, berletusan dengan kesenian, eksperimen dan kreativiti yang luar biasa. Apakah kemiskinan dan kesusahan membuat manusia berfikir kreatif untuk berdialog dengan persekitaran yang tajam? Saya terbayangkan kalau tidak ada pembantu-pembantu wanita dari Indonesia menjaga anak-anak middle class di Kuala Lumpur bagaimana ibu-ibu kita boleh pergi bertugas ke pejabat; dan kalau tidak ada tangan-tangan kasar dan kuat daripada pekerja-pekerja Indonesia terbangunkah rumah-rumah serta prasarana megah negara kita?
Sewaktu di kota Jakarta dahulu setiap hujung minggu saya berkunjung ke Taman Ismail Marzuki menyaksikan pameran seni moden atau tradisional, pementasan teater di teater tertutup atau Arena terbuka , cermah dan forum, deklamasi puisi, tarian Huriah Adam, dan teater Rendra atau Ariffin C.Noer, lukisan Zaini dan lagi, dan lagi. Di situ saya mengenal Omar Khayam, Goenawan, Sutardji, Ikranegara dan seniman serta pemikir lainnya.
Taman Ismail Marzuki seolah-olah anakronistis dan ganjil di tengah-tengah keringat dan simpang siur pengayuh becak, suara penjual skuteng dan bakso, sate Madura, dan entah apa lagi. Bagaimana ada sebuah gedung kesenian di tengah-tengah kemalaratan yang melebar di ruang kota itu? Jakarta juga aneh dengan ketajaman perbezaan antara yang sangat kaya dengan yang sangat susah. Semua ini menjadikan pemandangan hidup yang tidak setereotaip, sendat padat dengan 1001 cerita yang membijaksanakan kefahaman tentang makna kehidupan.
Kehidupan yang yang aneka warna , berbeza dan berlainan, sama tetapi tak serupa, merenggut
keinsafan, menantang fikiran, dan menghidangkan panorama kemanusiaan yang kaya dan dramatik. Ada kemiskinan yang ketara; ada kesenian yang hebat; dan wujud pergelutan untuk hidup atau mati yang tertanggung kepada keberanian diri sendiri. Orang tak boleh manja untuk hidup sehingga orang harus berani dan gigih untuk terus hidup.
Saya masih juga teringat kepada allahyarham Pak HB Jassin, pemelihara dan pengkritik sastera moden Indonesia; allahyarham Dr Harsja Bachtiar ahli sosiologis dan intelektual; allahyarham Kolonel Nugroho Notosusanto, sejarawan dan cerpenis, bekas Menteri Pendidikan; dan Dr Fuad Hassan, psikolgis dan juga bekas Menteri Pendidikan yang kesemuanya pernah mengajar saya. Mereka merupakan ilmuwan dan cendekiawan yang sangat perseptif dan sangat berdedikasi kepada ilmu pengetahuan, tetapi tidak menjauhkan fikirannya daripada mengupas masalah-masalah masyarakat di sekelilingnya. Kadang-kadang saya terasa merindukan tunjuk ajar dan kupasan fikiran bernas mereka.
Teringat saya pada suatu hari Pak HB Jassin tiba-tiba muncul di depan rumah sewa saya dengan menaiki jip yang dipandu orang, semata-mata untuk mengambil kertas kerja saya untuk ditelitinya kerana beliau akan berangkat ke Australia pada sore itu. Saya berasa sangat kerdil di depan keperibadiannya yang jujur, merendah diri, dan penuh dengan tanggungjawab ilmu. Semoga Allah meletakkan rohnya di sisi orang-orang yang dirahmati-Nya. Kali terakhir saya melawatnya, beliau terlantar tak boleh bercakap sepatah pun, tetapi wajahnya tenang seperti tidak pernah sakit; dan beliau telah selesai menterjemah serta menerbitkan al-Quran ke dalam bahasa Indonesia.
Apakah saya akan menemui lagi sisa-sisa atau bekas-bekas kerinduan saya di Jakarta esok? Tiga dekad adalah waktu yang lama dalam zaman global yang pantas tak bertepi ini, tetapi zaman dan tempat hanya ruang belaka; pengalaman yang manis adalah nikmat yang tak terbatas oleh ruang dan waktu. Maka itu kita harus selalu baik, dan berniat untuk berbuat baik dari waktu ke waktu .
Barangkali kesenian dan kesusasteraan yang lebih bersedia untuk kita sampai ke situ ; bukan politik yang akhir-akhir ini semakin mengusutkan hati. SAMPAI KITA BERTEMU LAGI, SALAM.
5 comments:
Assalamualaikum, Dato.
Semoga sisa-sisa atau bekas-bekas kerinduan itu berjaya ditemui.
Sesekali menjauh daripada kekusutan, mungkin bisa membantu kita bertemu jalan peleraiannya.
:)
Semoga selamat pergi dan kembali diberi Allah.............
Salam Dato,
Semoga perjalanan diberkati.
Sdr aranam, D'Rimba, dan sdr lutfi
Terima kasih kerana mengucapkan kebahgiaan,selamat dan keberkatan
bagi perjalanan saya ke Indonesia.Memang ada waktu-waktunya perlu kita menjauhkan diri daripada proses hidup yg kita lalui, dan berhadapan dengan suatu kehidupan lain yang seperti siap terbina di depan mata. Menginsaf dan mengarifkan tentang ada hal-hal yg seperti ajaib dan sihir, tetapi real.
Salam Dato,
Saya sangat merindui tulisan yang diambil dari lenggok Indon yang halus dan berseni itu. Ianya lebih menguggah dan dalam rasanya di hati. Berbeza dengan Dato Johan Jaafar, dulu tulisannya dalam UM begitu sedap dan menyelinap tetapi kini hilang begituan entah apa dan kenapa?
Tabik...
Post a Comment