Monday, 15 June 2009

DIARI PERJALANAN GOMBAK-JEJU (111)

(Sambungan )

Petang Ahad , 31 Mei 2009

Setiap orang menempuh jumlah waktu yang sama; 24 jam sehari semalam. Nilai waktu sehari semalam itu tergantung kepada apa yang kita isi atau gunakan bagi memenuhi waktu. Kalau badan kita sihat, jiwa kita segar, dan fikiran kita aktif serta kreatif, memang pengalaman sehari boleh menjadi lebih berharga daripada pengalaman sebulan. Ada kalanya seseorang bernasib baik kerana kebetulan tanpa dirancang dia disuguhkan dengan peristiwa-peristiwa baru yang memperkaya perasaan dan mengusik hati. Demikianlah antara pengalaman pada hari ketibaan di Pulau Jeju .

Begitu selesai makan petang, kami dinasihati membawa paspot antarabangsa. Jam 6.00 masuk perut bas sekali lagi. Bas akan memindahkan kami ke International Convention Center (ICC) . Kami akan diberi pas khas untuk menonton "Persembahan Perdana Orkestra Muzik Tradisional ASEAN-Korea".

Bas tidak berhenti terus di depan ICC, tetapi di tempat parking kira-kira 200 meter
jauhnya. Kami berjalan kaki ke suatu khemah khas untuk menunjukkan paspot , diberi tanda khas pada baju, dan suatu pas masuk. Selepas itu melalui dua tiga pemeriksaan keselamatan seperti di lapangan terbang . Saya berasa pelik kenapa
susah sangat hendak menonton persembahan kebudayaan? Dalam hati saya berfikir, rakyat Korea Selatan barangkali sedikit fobia akan ancaman roket Korea utara atau peletup bom berani mati dari luar. Tak mungkin mencurigai penyair dari Malaysia atau Indonesia walaupun mereka yang bertanggungjawab meletupkan pusat hiburan di Bali dan Hotel Marriot, Jakarta, adalah otak-otak dari Malaysia dan aktivis Indonesia. Rupa-rupanya malam itu ramai diplomat dan menteri asing datang, termasuk Presiden Filipina, Aroyo, dan Perdana Menteri Cambodia, Hun Sen, dan Presiden Korea Lee Myung-Bak. Jadi sudah wajarlah tuan rumah sangat menjaga keselamatan hadirin.

Sewaktu berjalan ke ICC ada tempat-tempatnya berkerikil dengan jenis batu gunung berapi pulau , dan kasut boleh luka tapak dan tumitnya. Saya bernasib baik kerana tiga hari sebelum berangkat saya pergi ke kedai bundle, tempat menjual kasut lama, mencari mana yang boleh dipakai baik pada majlis-majlis rasmi dalam bangunan, mahupun yang boleh tahan lasak di tengah lapangan. Cari punya cari saya dapat sepasang kasut kulit bertapak getah yang berjenama, Florsheim. Kulitnya, berwarna hitam, masih bagus dan mempunyai reka bentuk yang formal . Tumit kasut sebelah kiri haus sedikit. Saya kira kasut ini sudah dipakai oleh tuannya cukup lama juga atau dia banyak berjalan kaki. Kalau saya tak silap kasut ini buatan Jerman, dan di Eropah orang banyak berjalan kaki dari rumah ke setesen bas atau kereta api , dan tidak membawa kereta sendiri. Pengangkutan awam sangat baik perkhidmatannya.

Pada mulanya harga kasut itu tertulis RM 85, tetapi isteri saya menawar sampai turun RM 40, sehingga akhirnya kasut untuk isteri saya sendiri menjadi lebih mahal walaupun kasut saya lebih bagus.

Saya cukup gembira mendapat kasut itu kerana saya tak suka hendak membawa dua pasang, satu untuk pakaian rasmi, dan yang satu lagi untuk bersiar-siar di mana-mana sahaja . Saya kira kalau baru, kasut second hand ini mungkin berharga tidak kurang daripada Rm 500. Jadi saya berasa puas, dan hati berasa terubat juga kerana enam pasang kasut kulit saya pernah kena kebas oleh budak dadah. Sebulan sebelum berangkat sepasang kasut suede saya kena kebas lagi sewaktu saya solat maghrib di Taman Tun Dr. Ismail.

Bercerita tentang kasut ini kerana saya pernah menulis sajak tentang tumit sepatu yang haus dalam perjalanan, tetapi tidak menambah apa-apa kebijaksanaan kepada pemakainya, kecuali mengutip abuk dan debu jalanan sahaja. Saya masih menyimpan empat pasang kasut lama yang sudah berusia 20 ke 30 tahun ( bukan disimpan untuk melempar muka mana-mana pemimpin kerana semuanya terpelihara dengan bersih. Hanya kasut kotor yang sesuai untuk melempar muka orang yang tidak disukai).



Cerita kasut ini sebenarnya bermula apabila saya teringat salah seorang peserta ke Jeju memakai kasut kulit yang berkilat seperti cermin, dan bertapak kulit keras . Kawan-kawan lain nampaknya bila bersiar-siar memakai kasut lasak seperti Adidas. Berjalan atas kerikil dan melalui tempat-tempat basah tentu tak selesa dengan kasut yang sesuai untuk menari ballroom. Saya lihat kawan peserta tersebut sangat rapi dan kemas berpakaian. Malah sewaktu saya makan di sebelahnya , kain napkin saya terkena kuah , dia suruh pelayan ganti segera. Dia memang peramah, teratur, senantiasa tersenyum, dan suka bergambar pula. Itulah seronoknya bertemu macam-macam penulis, dan bukan semua penulis atau penyair itu selekeh dan bergaya Bohemian.

Saya teringat Allahyarham penyair T. Alias Taib yang juga sangat kemas berpakaian. Setiap kali dia melawat saya ke pejabat , dan apabila hendak pulang saya temankan ke pintu, dia akan mengikat tali kasutnya kemas-kemas, dan selepas itu baru mengorak langkah pergi. Semoga Allah menempatkan rohnya di sisi orang yang dirahmati-Nya. Amin.

_______________________


Nampaknya saya sudah melalut jauh. Hanya kerana kasut. Kembali ke " Persembahan Perdana Orkestra Muzik Tradisonal ASEAN-Korea " di CCC , memang ini suatu persembahan seni yang memukau emosi. Bayangkan orkestra ini menggunakan 80 alat muzik tradisional daripada 11 negara (Korea, Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Laos, Kambodia, Filipina, Myanmar, Vietnam), dan dimainkan oleh 79 pemuzik di atas pentas yang luas dan besar. Pertemuan melodi daripada muzik bertali, pukulan gendang, serunai, dan lain-lainnya merayakan suatu hasrat besar tuan rumah untuk mewujudkan suatu komuniti seni Asia yang lain daripada Barat.



Bergilir-gilir komposer setiap negara memimpin muzik masing-masing dengan diikut serta pemain muzik dari pelbagai negara. Indonesia membawakan lagu "Bengawan Solo" melalui suara merdu biduanita dalam rentak Keroncong. Brunei membawakan lagu Japin dan Joget. Malaysia pula membawa muzik irama Zapin, Inang dan Joget. Singapura membawa lagu "Singapura"yang menggambarkan pelbagai keturunan rakyatnya. Negara-negara ASEAN lain turut dengan alat tradisonalnya serta nyanyian dalam bahasa ibunda masing-masing. Apa yang saya perhatikan daripada 10 negara ASEAN ini 4 negara menggunakan bahasa Melayu dalam lirik nyanyiannya. Ini bererti 40 peratus daripada 10 negara ASEAN menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaannya. Bahasa Thai hanya di gunakan di sebuah negara sahaja. Demikian juga bahasa Vietnam, Laos, Kambodia, Myanmar, dan Filipina. Juga Korea Selatan dengan bahasanya sendiri. Jadi hanya bahasa Melayu yang merentas sempadan beberapa negara ASEAN.



Dari segi jumlah pengguna bahasa pula, negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaannya merupakan jumlah penduduk majoriti di wilayah ASEAN, iaitu seramai 267,776,022 : Indonesia ( 237,512, 352);Malaysia (25,274,132), Singapura ( 4,608,167), dan Brunei (381,371). Kalau kita ambil kira pengguna bahasa Melayu di selatan Thailand, maka angka pengguna bahasa Melayu ini memang sangat besar di Asia selain daripada bahasa Cina dan Hindi di India.

Kepentingan dan makna budaya pada malam ini memberi pujian kepada Korea Selatan kerana mengambil inisiatif menemukan pelbagai negara yang wujud di seberang laut, di sebelah selatannya, untuk berkunjung ke Pulau Jeju, dengan alat muzik bangsanya lalu memadukan irama ,melodi dan dendangan suara yang asing untuk berjalin dalam suatu bahasa muzik yang universal.

Kenapa negara-negara ASEAN sendiri tidak mengambil inisiatif yang konkrit seperti itu? Barangkali pemimpinnya terlalu mengutamakan ekonomi, teknologi, politik dan keselamatan sehingga terlupa akan kepentingan seni dan budaya yang boleh mengimbangi emosi kasar dan rakus masyarakat. Malahan imaginasi seni dan budaya adalah bahagian yang penting bagi membina kreativiti dan inovasi dalam kemajuan industri penerbitan, perfileman, seni visual, seni nyanyi, tarian, teater, fesyen, seni bina, landskap , muzik, seni foto. pelancongan dan pengiklanan yang sekaliannya memberikan pendapatan sangat besar kepada negara seperti Amerika , Eropah, Korea dan Jepun. Terutama dalam perkembangan seni moden, garis-garis pemisah antara pelbagai genre seni semakin kabur dan menipis, dan saling memperkuat pengucapan; juga antara seni tradisional dan moden pun sudah saling bersentuhan untuk menawan audien global.

Tamat persembahan, jam 11.00 kami berjalan kembali ke bas yang sedang setia menunggu dalam kedinginan malam yang diusap angin dari lautan. Antara kami tak memerlukan waktu yang lama untuk bersahabat, bermesra, bergurau senda dan malah menyindir.

Pada jam 11.30 malam itu, maka lengkaplah dua pusingan jarum jam, selama 24 jam, sejak saya meninggalkan KLIA tanpa tidur yang biasa, kecuali tidur-tidur ayam. Sekali lagi saya berangan-angan akan tidur yang lena walaupun saya bukan kaki tidur seperti pada saat bercerita ini , waktu di komputer riba menunjukkan 12.58 tengah malam.

Selamat malam! Semoga menjelma mimpi-mimpi yang baik dan indah untuk saudara sekalian.

Sampai kita berjumpa lagi .

(Bersambung)















5 comments:

Atan said...

Salam, Dato';

Walaupun sudah lama mengikuti perihal diri Dato', tidaklah pula saya ketahui betapa begitu rendah dirinya Dato' sehingga pernah mengunjungi kedai bundle untuk membeli beberapa keperluan. Pada fikiran saya, tentulah tempat-tempat seperti Pavillion itu destinasi beli-belah Dato'. Ya, tidak mati harga diri sekadar berbelanja ke situ. Satu iktibar berguna buat saya.

Saya suka ungkapan Dato' yang ini:

... (bukan disimpan untuk melempar muka mana-mana pemimpin kerana semuanya terpelihara dengan bersih. Hanya kasut kotor yang sesuai untuk melempar muka orang yang tidak disukai).

Puh, logiknya, bersih atau kotor sebelah atau kedua-dua belah kasut tidak wajar sampai memijak muka mana-mana manusia! Tapi, Dato' meletakkan kasut juga ada "harga diri"nya. Dan yang lebih penting, manusia yang tidak disukai itu kasut yang bersih pun tidak layak untuk mereka. Puh, sekali lagi!

Cuma, dengan gelagat, aksi, ragam dan kerenah pemimpin kita, banyak juga antara mereka yang tidak kita sukai. Ya, tokoh yang memberikan penyapu itu dahulu wajar dihadiahi sepasang kasut kotor!

D'Rimba said...

Bahasaku berkumandang penuh berseni. Ayahandaku berdendang dengan rendah diri.........

D'Rimba said...

Salam ayahandaku yang diingati selalu....

Majlis Baca Puisi di Rumah Pena berjalan dengan lancar sekali menyemai nilai dalam diri.

Majlis Baca Puisi Utusan cukup meriah sekali dengan kehadiran artis yang turut membaca puisi. Paling bermakna penyair handalan tanah air berjaya meninggalkan amanat bermakna ke lubuk jiwa anak bangsa yang hadir pada malam itu. Anakanda makin menghormati Pak Samad dengan perjuangan kentalnya makin lantang pertahankan bahasa Melayu.

Alangkah bahagianya jika ayahandapun dapat hadir sama ketika itu. Bolehlah anakanda bertemu menuntut ilmu ayahanda yang melaut itu......

D'Rimba said...

Salam ayahanda. Anakanda amat bahagia malam ini lepas balik dari Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di Istana Budaya....Malam ini jemputannya amat terhormat orangnya Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir. Saya cadangkan beliau juga perlu dijemput ke majlis Baca Puisi Rumah Pena bulan Julai nanti bersama Pak Samad.

Manakala bila tiba masanya, Pak Samad bacalah puisi beliau malam ini bertajuk PELUDAH BAHASA...Nah kebahagiaan anakanda tidak tertahan hingga anakanda beranikan diri pergi berjumpa terus Pak Samad mengucapkan tahniah dan suka amat akan sajaknya malam ini selepas selesai majlis...

Bolehkah ayahanda bayangkan kebahagiaan anakanda yang bukan kepalang malam ini? Apakah gerangan kebahagiaan ini muncul tiba-tiba malam ini ayahanda?

rozana said...

Kita di negara Asean sering ghairah mengejar impian yang bukan milik kita, mendalami adat yang bukan warisan kita sehingga terlupa asal-usul sendiri.