(Sambungan yang lalu )
Ahad, 31-5-09 :
Dalam perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, pandangan mata saya menembusi kaca jendela bas ke tepi-tepi jalan, di kiri kanan, dan ke landskap yang lebih jauh. Sewaktu berada di rantau orang, pada bumi yang asing, kita mudah teruja dengan pemandangan alam yang lain daripada yang biasa kita lihat . Semua pohon, batu batan dan padang rumput nampak menarik dan memikat minat kerana kelainannya. Kelainan atau keanehan sering membangkitkan perasaan yang lebih segar dan merangsang kreativiti. Saya menjadi lebih terpukau apabila melihat di pinggir-pingir jalan tersusun kelompok-kelompok bunga ; ada yang merah, ada yang ungu, merah jambu , putih dan kuning. Pada pembahagi jalan antara dua laluan juga terhias dengan jambangan bunga. Mata saya tidak percaya segalanya itu tumbuh asli beratus-ratus meter panjangnya. Rupa-rupanya memang disusun oleh tangan manusia untuk menambah pohon bunga yang tumbuh asli bagi menghiasi jalan-jalan dari lapangan terbang ke hotel-hotel kerana pada 1 dan 2 Jun akan berlangsung pelbagai acara kebudayaan , dan yang penting ialah Persidangan Kemuncak Ketua-ketua Negara Republik Korea- dan ASEAN.
Semua peristiwa budaya, politik, ekonomi, dan diplomasi tersebut diadakan sempena 20 tahun dialog antara kerajaan Republik Korea dengan kerajaan-kerajaan ASEAN. Saya kira acara besar-besaran yang meriah ini bukan sahaja bagi kepentingan kerjasama ekonomi serta perniagaan Korea-Asean, tetapi strategi diplomasi kerajaan Republik Korea dalam kaitan pertikaiannya dengan Korea Utara, serta perhubungannya dengan negara-negara besar Asia lain seperti Jepun dan China.
Sepuluh kepala negara ASEAN( Presiden dan Perdana Menteri) terbang ke Jeju pada waktu itu bersama Menteri Luar masing-masing. Jadi sudah tentulah setiap sudut penting pulau di bersih dan didandan rapi supaya segera menawan mata serta hati pelawatnya. Saya berasa segar menjamu mata, dan menginsafi betapa kayanya wajah dan isi alam ciptaan al-Khaliq.
Sejam perjalanan dengan bas kami tiba pada jam 1.00 di tempat menginap bernama Shineville Luxury Resort yang berada di tepi pantai. Ini bukanlah hotel biasa tempat penginapan pedagang bermalam, tetapi lebih merupakan tempat beristirihat dan bersantai bersama keluarga atau untuk berbulan madu. Di lobi kami berkenalan sesama peserta dan penganjur; bertegur sapa dan bertukar kad nama. Saya bersalaman dengan peserta dari Brunei, Kambodia, Laos, Myanmar, Vietnam dan Filipina. Saya belum bersedia mengingati nama-nama mereka yang berbunyi pelik -pelik di telinga kita. Saya memang sudah mengenali Thumboo (Singapura), dan Rio Alma (Filipina) sejak beberapa tahun dahulu.
Pada tahun 1994 sewaktu berkunjung ke Manila,Rio menghadiahkan kumpulan puisinya , Selected Poems 1968-1985. Rio sudah bertambah berat badannya, dan rambutnya digunting pendek seperti seorang pengurus atau birokrat. Kalau dahulu Rio adalah penyair muda yang lantang dengan suara puisi Tagalognya, kini dia terus menulis begitu, tetapi dalam kedudukan sosial yang lebih atas sebagai Dekan, College of Arts and Letters, di universiti terkenal, University of the Phillipines. Lebih daripada itu dia sudah diisytiharkan sebagai National Artist for Literature oleh negaranya.
Rendra malangnya tidak dapat hadir kerana kabarnya uzur. Saya tidak perasan penyair Thailand juga tidak ada di lobi pada waktu itu. Penyair Brunei, Jawawi Hj. Ahmad , penerima S.E.A. Write Award 2004, memang saya maklumi, cuma tidak kenal rapat dengannya sebelum ini.Saudara Jawawi datang bersama isteri dan anak perempuannya yang menjadi pensyarah di Universiti Brunei.
Masing-masing kami diberi kunci kad elektronik dan dibawa ke kamar. Mula-mula masuk pintu utama menggunakan kad, dan kemudian baru menekankan kad elektronik yang sama ke tombol pemegang pintu kamar masing-masing . Begitu masuk saya tertanya sendiri,kenapa begitu luas bilik untuk saya seorang. Ada dua katil twin atau kembar dengan bilik air yang menarik reka dalamannya. Ah, saya malas ambil pusing sangat dan membenamkan diri saja di tilam empuk kerana tiba-tiba berasa lesu dan ingin melelapkan mata, tetapi sudah diberitahu supaya datang makan pada pukul 5.00. Saya berasa janggal makan petang sesiang itu. Alasannya selesai makan berangkat menonton konsert muzik tradisi kombinasi Korea-Asean. Naik pengangkutan lagi! Aneh juga mengalami nasib diangkut banyak kali dalam satu hari semalam.
Saya cuba memujuk mata untuk pejam , tetapi hampa kerana ke mana saja saya pergi untuk hari pertama di hotel saya tak mungkin tidur. Saya buka langsir jendela seluas-luasnya. Rupa-rupanya kamar saya berhadapan dengan padang rumput yang lebar , ditumbuhi rumput yang rata seperti permaidani, dan jauh di depan berdiri pohon-pohon pinus tua tegak tersusun sehingga di sela-sela terbuka antaranya ternampak air laut yang sedang bergelora. Lagi sekali saya terkesima di depan alam semula jadi. Tiba-tiba saya berasa sangat sepi di depan panorama yang luas itu, tanpa ada manusia, hanya pohon yang bergoyang-goyang diterpa angin lautan. Saya berjanji dalam hati akan menulis sebuah puisi. Belum pasti hasilnya apa: bentuk perasaan atau kerinduan yang bagaimana?
Setengah jam sebelum pukul 5.00 saya bergegas mandi dan berpakaian . Hanya mengenakan seluar Jean hitam dan baju linen lepas keluar. Tiba di lobi kawan-kawan semua berpakaian lengkap, lounge suit dan ada juga lengkap bertali leher. Saya bertanya apakah mesti berpakaian rasmi ke konsert selepas makan nanti. Bukankah itu acara kebudayaan?
Sebelum sesiapa menjawab saya cepat sedar bahawa ini Korea yang seperti Jepun
selalu bersikap formal pada majlis-majlis yang besar. Saya minta tunggu sebentar dan pulang ke kamar mengenakan kemeja putih , seluar hitam berjalur kecil-kecil, dan kot berwarna hitam, tanpa tali leher. Memang saya tak suka memakai tali leher. Edwin Thumboo memuji gaya pakaian saya. Dia memang sangat diplomatik dan pandai berbudi bahasa sopan untuk menyukakan hati orang. Thumboo sudah cukup matang, sangat berpengalaman dalam dunia kreatif serta akademik, dan kini menjadi
Profesor Pelawat di Department of Chinese Translations and Lingusitics, City University of Hong Kong.
Saya sedikit terkemudian ke meja makan. Kawan-kawan lain sudah duduk. Saya mengisi kerusi yang kosong tanpa menoleh kiri kanan. Tiba-tiba saya mendengar suara wanita menegur dari hujung meja, "I know you." Saya menoleh dan agak terpinga siapa dia. Dia lalu memperkenalkan dirinya , Cheeranan dari Thailand. Dia senyum dan baru saya teringat pernah melihat senyuman dan mata yang seperti itu dalam kotak ingatan saya.Pernah beramah tamah dengannya beberapa tahun dahulu. Pada ingatan saya dulu dia lebih cerah dan agak langsing. Perjalanan waktu telah mengubah keadaan, dan manusia juga sering melakukan perubahan pada dirinya. Daya ingatan saya pun sudah berubah; tidak setajam dahulu lagi. Saya segera bertanya bila dia sampai , sekadar untuk mengatasi rasa bersalah saya kerana tidak lebih awal menyapanya.
Cheranan Pitpreecha cukup terkenal di Thailand, dan sekarang menjadi anggota
Jawatankuasa SEA Write Award yang memberi hadiah setiap tahun kepada pengarang-pengarang ASEAN. Cheeranan pernah masuk hutan menentang kerajaan pimpinan tentera di Thailand pada dekad 70-an bersama lapan mahasiswa lain. Dari Thailand dia lari ke Paris, dan kemudian diberi latihan tentera di Cina, sebelum dihantar ke Vietnam untuk diseludup ke hutan Thailand. Sesudah kerajaan tentera turun, dan demokrasi puleh dia diberi keampunan . Kumpulan puisinya yang mengkisahkan pengalaman penentangannya sudah diulang cetak beberapa kali
sehingga mencapai hampir dua ratus ribu naskhah jumlahnya yang terjual.
Sampai hari ini pun Cheeranan sangat baik dan murah hati kepada orang. Sehari sebelum kami pulang, selepas selesai lawatan dengan bas mengelilingi Jeju , dia mengajak saya berkongsi wang untuk memberi tip kepada pemandu bas yang telah berkhidmat sehari suntuk. Dalam bas pula dia mengagihkan kudapan yang dibelinya untuk dikongsi dengan teman-teman lain. Begitulah sikap kepenyairannya yang pemurah dan tulen: pro-masyarakat , dan bertimbang rasa terhadap persekitarannya . Bukankah puisi juga bertujuan untuk berkongsi pengalaman sanubari dengan khalayak di sekitar ?
(Bersambung)
7 comments:
Pak Baha: Saya sudah sejak lama melawan. Walau zahirnya tidak mendapat, namun lawan tetap lawan.
Satira + Kacau
salam Dato' BAHA.
sememangnya catatan ini unik.
saya tunggu sambungan berikutnya...
Waaahh..sambungan semakin menarik. Kisah ini jika diolah semula, mungkin boleh dimuatkan dalam Dewan Sastera-Monolog Kecil.
Salam, Dato';
Terkejut saya apabila membaca sambungan pengalaman perjalanan Dato'. Tarikhnya sudah ke depan (31-6-2009. Saya kira, yang Dato' maksudkan ialah tarikh 31-5-2009).
Pengalaman cendekiawan seperti Dato' tidak akan sama kepada orang-orang seperti kami, saya khususnya. Jadi, penceritaan tentang alam di Korea tentunya berguna kepada saya sebagai mengenali dunia negara itu sebelum saya (jika diizinkan Allah kelak) ke sana. (Seperti Dato', saya akan melihat perkara yang sama - keindahan walaupun persepsi mungkin berbeda). Tetapi, seperti saya katakan, pengalaman bergaul dengan cendekiawan (dari pelbagai pelosok) itu tidak mungkin dapat saya lalui. Maka, penceritaan tentang pergaulan Dato' itu sangat berguna untuk diketahui.
Teruskan. Saya akan terus mengikutinya.
Penuh nilai dalam perjalanan di negara orang.....Bangga amat dengan ayahanda yang jelas perjuangannya. Doakan anakanda juga mengikut jejak ayahanda ya..........
Salam Dato'
Selamat kembali ke tanah air. Perjalanan itu sering memberi kita ilham, memberikan kita inspirasi untuk kita lebih mengenali diri ini.
Sdr Satira.
Melawan untuk keadilan belum tentu selamat, tetapi lebih baik daripada mati dalam kealpaan.
Sdr Naim,
Terima kasih sangat kalau sdr berasa ada manfaatnya mengikuti catatan saya. InsyaAllah akan saya teruskan walaupun terhenti-henti kerana masalah waktu.
Sdr Zura halid,
Tak tahulah kalau Dewan Sastera mahu terima. Apa pun saya berhajat untuk merakamkan kenangan kembara yang padat peristiwa ini.
Sdr Atan,
Memang saya tersilap kerana pengaruh menulis pada bulan Jun, tetapi itulah tangan kita tak berdaya mengawal fikiran yang lalai. Usia dan peristiwa memupuk pengalaman seseorang; berlainan daripada orang lain, tetapi masing-masing kita mempunyai tanggapan tersendiri yang tidak mestinya kurang bermakna, kerana erti kembara dan pengalaman bergantung kepada kepekaan si pengembara melihat alam dan orang. Bertemu seorang buruh atau cendekiawan ada maknanya yang khas, iaitu segi-segi kemanusiaannya. Semoga sdr sampai juga ke destinasi yang diidami.
Sdr Naim,
Saya akan cubalah meneruskan catatan ini dan berusaha mengutip kembali butir-butir pengalaman itu .
Sdr D'Rimba
Kalau sdr terus tabah dan sabar mencintai kemanusiaan dan keindahan melalui penulisan (kerja yang sepi dan sering pedih) Tuhan akan merestui sdr yang masih sihat dan bertenaga. Ada jalan yang panjang dan luas di depan, tujulah destinasi yang sdr pilih.
Sdr Rozana,
Benar kata sdr, perjalanan kadang-kadang menguji sikap dan watak kita apabila berada dalam situasi yang di luar jangka dan di depan manusia yang asing.
Post a Comment