Thursday, 18 June 2009

DIARI PERJALANAN GOMBAK-JEJU ( IV )

ISNIN, 1 JUN ,2009



1 Jun bererti hari pertama pada bulan keenam 2009 . Kita begitu cepat menjadi enam bulan lebih tua. Pada pagi ini saya terbangun daripada tidur apabila matahari sudah memanjat langit. Tidur begitu pulas, tanpa mimpi, tanpa sedar-sedar entah berapa jam.

Saya tergesa-gesa ke bilik air kerana sudah diperingatkan supaya datang sarapan sebelum jam 9.00 di restoran .Saya mencapai kupon sarapan dan bergegas keluar kamar. Lagi 15 minit jam 9.00. Semua meja ada tamu. Saya disuruh menunggu. Tiba-tiba penyair dari Myanmar muncul terhinggut-hinggut. Dia terus mencapai pinggan dan mengisinya dengan telur, roti dan entah apa lagi. Dia menyapa saya dan ajak ke meja yang ada dua kerusi kosong, dan ada dua tamu sedang makan di meja itu. Dia dihalang oleh pengurus restoran. Dia berasa pelik dan mengomel kenapa tak boleh, tetapi si pengurus tak faham bahasa Inggeris, atau pura-pura tak faham. Dia terdiri-diri di sisi saya dengan menatang pinggan dan telurnya.



Untuk meredakan perasaannya, saya beritahu ada tamu lain datang lebih awal dan sedang menunggu. Selain itu di meja yang ada kerusi kosong itu masih belum disediakan napkin, sudu dan garpu. Saya percaya juga setiap meja digunakan oleh pasangan atau kumpulan yang saling kenal mengenal, dan tamu lain tak dibenarkan mengganggu walaupun ada kerusi kosong melopong. Apakah ini adat resam di restoran hotel-hotel besar atau etiket Barat yang individualistik.

Saya rasa susah hati dan kasihan melihat dia menatang pinggan lalu saya suruh dia letak dulu pinggan itu atas meja pengurus restoran dekat kami berdiri menunggu.

Kemudian baru ada meja yang dikosongkan, tetapi tetamu yang datang lebih awal diiring ke situ. Mujur tak lama lepas itu kami baru mendapat tempat. Saya berasa lega bukan kerana saya sudah boleh menjamah sarapan, tetapi kawan saya itu lepas dari seksa menatang pinggan makan pada pagi pertama di bumi Korea.



________________

Hari ini kami cukup relaks. Tak ada acara apa-apa kecuali makan tengah hari bersama Menteri Kebudayaan sebagai tamu kehormat. Saya duduk bersenang-senang di kamar, membaca dan membuat sedikit catatan atas buku " Moleskine" yang dihadiahkan oleh Peter Repkin, kenalan dari Frankfurt yang datang sewaktu Pameran Buku Antarabangsa di PWTC, April lalu. Repkin adalah salah seorang pengarah di Frankfurt International Book Fair, dan saya berkesempatan diundang ke Frankfurt pada Oktober 2005 bersama-sama petugas dan aktivis budaya dari Mexico, Afrika Selatan, Nigeria, Mesir, Iraq dan beberapa negara Eropah.

[Antara hal yang teringat sewaktu lawatan ke Jerman ini , ialah apabila wartawan wanita kulit hitam dari Afrika Selatan bertanya apakah saya dari Vietnam atau Thailand. Saya beritahu dia saya dari Malaysia. Dia melongo sebentar, dan kemudian bertanya lagi tentang Malaysia yang membuat saya perasan bahawa dia tidak tahu malah ada negara bernama Malaysia. Aneh seorang wartawan tidak tahu geografi dunia. Walau apapun saya menjadi insaf bahawa sangkaan saya selama ini negara kita hebat dan diketahui oleh semua dunia adalah salah. Kita sahaja yang kadang-kadang tenggelam dalam bayangan kepercayaan besar itu.]

"Moleskine" ini mengikut ceritanya adalah buku catatan yang digunakan oleh pelukis, penulis dan pemikir seperti Van Gogh, Picasso, dan Ernest Hemingway sejak dua abad dahulu . Pada mulanya buku kosong ini dibekalkan ke kedai-kedai buku di Paris di mana seniman-seniman avant-garde atau tersohor dunia sering singgah. Saya pun cuba-cuba juga mencatat-catat apa-apa yang terlintas di kepala pada halaman "Moleskine" konon seperti Hemingway , tetapi tak tekal, tak berterusan. Barangkali kerana saya bukan pengarang avant-gardis , atau yang ada disiplin kuat untuk menurunkan apa saja yang penting bagi menjadi asas karya yang utuh. Tak apalah, masing-masing orang mempunyai gaya dan kelemahannya .

Pada jam 12.00 kami beredar ke dewan makan di hotel kerana Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan telah sampai. Kami penyair ASEAN duduk semeja agak jauh daripada meja menteri, kecuali penyair dari Brunei, Thailand dan Vietnam di meja lain kerana tidak cukup kerusi di meja kami. Rio (Filipina), Thumboo (Singapura), Kim (Cambodia), Luangrath (Laos),Maung (Myanmar), dan Ms. Kim, Shin Young , penyelaras kami dari Korea duduk pada satu meja. Di atas meja sudah tersedia sebotol air anggur atau wine. Belum apa-apa Rio sudah minta botol anggur dibuka dan setiap gelas di depan dituang. Saya segera minta air putih. Mereka faham bahawa saya tak minum air merah itu. Tetamu di meja lain lain belum minum kerana menunggu acara ucapan alu-aluan selesai, tetapi teman-teman di meja sudah mula toast, melagakan bibir gelas dan minum. Saya perhatikan orang di meja lain, terutama orang Korea, memandang ke arah kami. Kurang sopan , tetapi barangkali mereka juga tahu di meja ini duduk penyair-penyair yang biasanya tidak ikut peraturan. Barangkali mereka juga hairan kenapa gelas saya berisi air putih dan tidak merah. Hal-hal yang semacam ini menjadikan kita orang Melayu selalu mengalami masalah dalam acara-acara di luar negara. Walau bagaimana pun saya sudah banyak kali mengalaminya , dan tak berasa kekok lagi untuk berbeza tentang makan dan minum dalam pergaulan dengan penulis-penulis asing. Cuma saya terpaksa bersikap toleran terhadap makanan dan minuman mereka walaupun duduk semeja.

Tidak lama kemudian botol di meja kami itu kosong dan minta dibawa yang baru. Selesai makan, tiga empat botol sejat kering, dan muka teman-teman semeja nampak merah. Rio dari Filipina memang suka minum dan dia akan menjadi lebih petah dan kelakar . Dia mengingatkan saya kepada Nick Joaquin, seorang lagi Seniman Kebangsaan Filipina yang bersama dengan saya sewaktu kami menerima S.E.A. Write Award pada tahun 1980. Nick minum dari pagi sampai malam. Saya kira pagi -pagi lepas bangun tidur dia basuh muka dengan wiski atau brandi.
Mendiang Nick adalah pengarang Filipina yang tersohor, dan seorang novelis yang bagus, witty dan tak ikut peraturan orang langsung.

Pada malam penyampaian hadiah yang penuh istiadat, dan dihadiri oleh Raja Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit , Nick boleh meninggalkan meja yang didudukinya bersama-sama perwakilan serta diplomat Filipina, dan datang ke meja kami dari Malaysia. Saya lihat perwakilan dan dipolmat Filipina merah padam mukanya kerana berang dengan tingkah laku penulis mereka pada majlis yang rasmi demikian . Tetapi itulah cara Nick memperlekeh birokrat dan diplomatnya, terutama apabila dia sedang berdengung dengan minuman keras.
________________

Pada malam nanti akan berlangsung Malam Puisi Korea-ASEAN yang bertemakan," Keindahan adalah benih Perdamaian". InsyaAllah saya akan menulis lagi......
_______________________________________________________
(Bersambung)

2 comments:

Marniyati said...

Salam.

Catatan Dato' sangat menarik. Ya, di mana-mana tempat di dunia ini, adab sopan mendasari prinsip hidup setiap anggota masyarakat. Namun sememangnya agak aneh membaca cara masyarakat di sana 'mengurus' tetamu yang ingin duduk di meja makan.

Atan said...

Salam, Dato';

Catatan perjalanan Dato' semakin menarik.

Semoga Allah memperkuat iman sasterawan kita supaya tidak berkelakuan seperti Rio dan Nick Joaquin itu. Jika ada, semoga mereka segera bertaubat.