Wednesday, 8 July 2009

BAHASA MELAYU MELAWAN BALIK; HARI INI HARI KEMENANGAN ?

8 jULAI 2009 (RABU) ADALAH HARI BERUNTUNG BAGI BAHASA MELAYU KERANA KEDAULATNNYA DALAM MATA PELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN DIPULIHKAN SELEPAS DIJERUT NAFASNYA SELAMA LEBIH ENAM TAHUN.

BERSYUKUR KITA KE HADHARAT ALLAH SUBHANAHUWATAALA KERANA DENGAN KEHENDAK DAN IZINNYA APA-APA SAHAJA BOLEH TERJADI. YAKINLAH. BERIKHTIAR DAN TAWAKAL
.


Tahniah kepada Yang Berkhidmat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran baru , merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dan terima kasih juga kepada Timbalan Menteri Pelajaran , Datuk Mohd Puad Zarkashi kerana sejak dahulu lagi menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap PPSMI- satu hal yang agak luar biasa.

Ini semua adalah kemenangan bagi semua pejuang, baik orang perseorangan atau organisasi.
Tanpa sekalian suara dan sumbangan barangkali sampai hari ini BM itu terus terhina di atas bumi tanah airnya sendiri. Alhamdulillah . Berwaspadalah terus, dan jangan lalai dan berasa selesa seperti pada masa lalu.

***

Menonton berita di TV pada malam ini, nampaknya masih ramai yang dibayangi kerinduan dan kekhuatiran terhadap bahasa Inggeris . Kita tidak berbalah dengan bahasa Inggeris. Kalau lebih ramai yang bagus berbahasa Inggeris negara kita juga akan untung. Malahan elok kita galakkan rakyat kita bukan sahaja mahir dalam BI, tetapi juga dalam bahasa-bahasa lain. Cuma yang menjadi pemikiran ialah bagaimana hendak memperhebat pengembangan BM .

Hampir tak ada sesiapa yang bersuara dengan gagasan bernas untuk memperkuat penguasaan bahasa Melayu seolah-olah dengan mengajar kembali Sains dan Matematik semua masalah dan urusan bahasa Melayu selesai. Masihlah sangat banyak yang harus disempurnakan bagi menjadikan bahasa Melayu itu sebagai wadah dan wahana ilmu pengetahuan. Inilah langkah perjuangan seterusnya.

Sangatlah menyedihkan melihat betapa terjajahnya jiwa raga masyarakat Melayu kita, dan terlupa akan nasib masa depan kebudayaan kerana berasa terpukau dengan berita pembatalan PPSMI. Diharap pencinta bahasa Melayu selepas ini akan insaf dan terus menaksir kedudukan serta pengaruh bahasa Melayu dalam senario politik, ekonomi dan pendidikan masa depan . Dengan perasaan yang bersyukur dan ceria , mari kita rebut kembali rasa keperihatinan yang segar untuk membina bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu, dan menjadi wahana pembangunan tamadun yang besar.

***
Saya telah diminta menulis untuk mengisi kolum Berita Minggu, Ahad ini, dan semoga sdr akan
membacanya dan memberikan pandangan/kritikan terhadap buah fikiran yang diturunkan.

Saya ingin tidur nyenyak malam ini . Aduh! bertahun-tahun sudah perasaan saya luka terhiris oleh PPSMI.

15 comments:

juilis69 said...

tahniah, akhirnya perjuangan Dato dan semua pihak telah terbukti. Mudah-mudahan Bahasa Melayu terus diperkasa, dan rakyat juga dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Najmuddin Yusoff said...

Salam Dato, jangan tidur terlalu nyenyak. Simpan sedikit waspada sehingga 2012.

:)

http://mudin001.com

lutfi said...

Salam Dato.
Tetapi mengapa tunggu sehingga 2012? Saya mengharapkan bermula tahun hadapan. Malah, sekarang pun di sekolah, guru berselang seli mengajarnya dalam bahasa Inggeris, kemudian diterjemah dan diterangkan dalam bahasa Melayu.

Farmilla Hamdi said...

Salam Dato,

Semacam ada satu lagi permainan yang terlalu sukar kita nilaikan. Walau apa pun, benar, kita perlu berwaspada dalam tempoh untuk ke 2012, apa-apa sahaja mampu merubah segalanya...
Tahniah atas kembalinya BM ke tempat sewajarnya

HBM Consultant said...

Salam, Datuk Baha.

(Mesej berikut telah saya hantar ke blog Prof. Abdullah Hassan) :

Hari ini, kebanyakan media arus perdana melaporkan bahawa “PPSMI DIMANSUHKAN MULAI 2012″.

Apa pun, berita sebenarnya adalah “PPSMI DITERUSKAN UNTUK 3 TAHUN LAGI”

Bolehkah kita menggadaikan kepercayaan terhadap janji politik sebegini? Mungkinkah pemansuhan ini boleh ditarik balik kemudian nanti oleh Menteri Pelajaran yang baru selepas PRU13 yang dijangka pada 2011? Soalnya, mengapa tahun 2012 yang dipilih?

Apa sahaja boleh terjadi dalam masa 3 tahun akan datang. GMP harus terus mendesak agar tempoh sehingga 2012 itu dipercepatkan. Saya yakin, GMP akan terus mendapat sokongan. KPM sendiri mengakui kelemahan PPSMI. Justeru, tidak ada sebab KPM melengah-lengah pemansuhan ini.

Sekian, sekadar pandangan. Wasalam.

Sham al-Johori said...

Dato yang dikasih,
Syukur ke hadrat Allah SWT atas doa dan air mata pejuang ini. Mudah-mudahan waktu akan terus mendampingi kita untuk tempoh waktu yang bersisa 3/4 tahun lagi itu.
Tanpa memusuhi sesiapa, mari kita tingkatkan perjuangan kita.
Amin.

Atan said...

Salam, Dato';

Tidak serta-merta pemansuhan PPSMI itu. Pada masa yang sama, Matematik dan Sains boleh pula diajarkan dalam BM dan BI (dwibahasa).

Tak apalah, memang ada rasionalnya begitu tetapi seperti dalam post Dato' yang lalu, kata-kata politikus ini ada batasnya untuk dipercayai.

Nur Fatiha Fadila said...

Assalamu'alaikum Dato'
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato'. Saya yakin pemnsuhan PPSMI bukan untuk menyatakan kemenangan kepada mana-mana pihak tetapi kerana rintihan dan perjuangan pejuang bahasa yang berani menggegarkan '1Malaysia' untuk mendaulatkan semula bahasa Melayu itulah yang membukan ruang fikir mereka yang berkenaan untuk mengiktiraf semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang tidak boleh disangkal sejak zaman berzaman.

Waallahu'alam.

yana said...

Salam Dato'
Saya juga ada merasakan begitu, apabila PPSMI ditarik balik,saya sangkakan Bm akan lebih tinggi martabatnya,tetapi tidak rupanya. Anak-anak disekolah bakal dibebani dengan pertambahan jam untuk menelaah BI.Kita akan melihat lagi situasi dimana 'Kera dihutan disusukan,anak dirumah mati kelaparan'.

Makmal bahasa Inggeris tidak lama lagi bakal dibina disekolah2,alangkah baiknya jika ada juga makmal untuk bahasa ibunda kita. Gabungan pembacaan 'Hamlet' dan juga 'Sulalatus Salatin' pasti mampu membuka minda pelajar agar lebih kreatif didalam berbahasa.

Pemerhatian saya terhadap anak-anak dikampung ini,dek kerana kegilaan untuk mengecap kemasyuran berbahasa Inggeris,kebanyakan daripada mereka memperoleh gred yang rendah untuk BM.Gaya bahasa mereka begitu lemah,dan sekiranya tiada yang ambil peduli,saya bimbang BM akan semakin hilang dan hilang(ini sedang berlaku sekarang,dimana perkataan2 BM baru jarang dikeluarkan,kerana masing2 sudah selesa berbahasa gaya 'SMS')

Harapan saya,biarlah jalan penyelesaian yang diambil kali ini akan berlandaskan kepada kepentingan masa depan anak bangsa,bukan lagi 'kepeningan' para kontraktor.

Semoga Dato' akan membuka mata pelbagai pihak untuk kembali memartabatkan BM dengan peluang menulis didalam s/khabar arus perdana kelak.Selamat maju jaya.

Alizul said...

Tidak ada masalah nak memperkasakan BM (bahasa) tetapi yang lebih penting ialah memperkasakan BANGSA Melayu, iaitu suatu bangsa yang mampu menguasai berbagai bahasa dan berbagai bidang ilmu. Jika BI adalah jauh lebih baik dan berkesan untuk mempelajari sesuatu ilmu dan untuk meluaskan pemikiran atau pandangan kita, apa salahnya kita gunakan bahasa itu? Bangsa seseorang itu tidak akan tergugat atau hilang semata-mata dengan hanya mempelajari dan menguasai bahasa asing. Sampai bila kita nak terus "duduk di bawah tempurung"???

Yang menjadi masalah, bukanlah bahasa apa yang digunakan tetapi sikap dan tahap motivasi pelajar-pelajar Melayu terhadap pembelajaran. Bak kata pepatah Melayu, "di mana ada kemahuan, di situlah ada jalan." Kemahuan untuk belajar inilah yang patut diberi tumpuan. Jika kemahuan ini dapat ditanam, segala halangan bahasa dan ilmu boleh diatasi.

Kita boleh bertepuk tangan dan gembira dengan pemansuhan PPMSI, tetapi adakah ia akan memberi jaminan bahawa dasar pendidikan negara tidak akan berubah lagi? Bukankah dasar tersebut telah diubah beberapa kali, kebanyakannya oleh sebab tekanan/pengaruh politik? Jika pun politik dipentingkan, adakah pemansuhan PPMSI akan memberi jaminan 100% bahawa pengundi-pengundi anti-kerajaan dan atas pagar akan kembali mengundi BN? Bagaimana jika pengundi-pengundi pro-PPMSI pula mengalih undi kepada pembangkang atau tidak mengundi langsung? Akhirnya, di mana letaknya rakyat - kita dan anak cucu kita? Bukankah 1Malaysia = Rakyat Diutamakan?

sahrunizam abdul talib said...

2012. Tiga tahun lagi.Apa-apa boleh terjadi. Terus-terang saya khuatir Dato'.

SATIRA + KACAU said...

Salam Pak. Pak boleh percayakah terhadap cakap dan janji retorik politik? Ah, kita sebenarnya tetap diperbodoh dan dipermainkan. Kenapa perlu tiga tahun? Tidakkah sebenarnya dilanjutkan 3 tahun lagi? Ah. Kita semakin diperbodohkan, Pak.

Satira+Kacau

Uwan Molek said...

Salam Dato

Benar...perkasa kan Bangsa Melayu dengan Bahasa Melayu supaya tidak mudah layu

Tamaddun Melayu penuh sopan lagi berdaulat bila berdebat biar tepat padat dan pekat dengan ilmu

Mertabatkan Bangsa dengan Bahasa juga Budaya...

Al-Yasar said...

Salam,

Syukurlah Bahasa Melayu akan digunakan semula untuk mengajar sains dan matematik pada peringkat sekolah rendah (di sekolah kebangsaan).

Tapi bagaimana pada peringkat sekolah menengah dan universiti? Ini nampaknya masih kabur.

Adakah bahasa Inggeris akan digunakan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik pada peringkat univerti?

Jika demikian, bahasa Melayu tidaklah akan jadi bahasa ilmu.

- said...

Saya masih menuntut dan bergelar pelajar di sebuah sekolah di bandaraya Alor Star. Saya sendiri dapat merasai pengalaman belajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Sepanjang tempoh pembelajaran dalam Bahasa Inggeris ini dijalankan, saya dapati terdapat 2 golongan yang wujud ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Satu golongan yang dapat memahami apa-apa yang diajar, manakala satu golongan lagi masih tercari-cari dalam kesamaran maksud. Jika pelajar-pelajar bandar masih terpinga-pinga untuk memahami istilah-istilah Sains dalam Bahasa Inggeris, bagaimana pula dengan pelajar-pelajar di pedalaman? Memang wajar PPSMI dimansuhkan kerana telah banyak merugikan masa para pelajar.