Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, mahu PPSMI diteruskan bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 dalam aliran sains. Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas memberi jawapan bahawa yang boleh dibincangkan adalah strategi dan pendekatan, bukan merubah dasar lagi sehingga menjadi tidak konsisten. Ini jawapan yang tegas, dan Menteri Pelajaran diminta terus tegas. Jangan mempermainkan soal bahasa Melayu, pendidikan dan kebudayaan ini. Dia jangan menjadi seperti , harapkan pagar, pagar makan padi. Berkhianat kepada bangsanya walau atas alasan apa sekalipun.
Kenapa Ong Tee Keat tidak faham-faham lagi isu PPSMI yang hodoh itu? Apakah dia tak tahu sekurang-kurangnya ada empat kajian ilmiah yang bebas yang memberi laporan negatif terhadap pembelajaran sains, matematik, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apakah dia tidak sensitif terhadap perasaan terluka orang Melayu apabila selepas 30 tahun BM dimartabatkan, ia dipinggirkan sebagai bahasa pengantar?
Masyarakat Cina tak perlulah bimbang sangat kerana di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina masih terus dibolehkan mengajar sains dan matematik dlm Mandarin. Bahasa Cina pun tak perlu dibina di Malaysia kerana tapak pembinaannya berpangkal di Beijing, Hongkong, Taipei dan Singapura; ribuan judul buku boleh diimpot bila-bila masa sahaja dari luar untuk keperluan penggunannya di negara ini.
Apa rationale dan hujjah-hujjah besar Ong Tee Keat untuk mengungkit perkara ini lagi setelah direstui oleh Kabinet di mana dia tentu duduk di dalamnya sekali? Kalau tak ada hujjah yang lebih hebat dan besar daripada sekalian hujjah penolakan PPSMI yang telah dihantar oleh kumpulan NGO , tindakan Ong Tee Keat ini boleh saja ditafsirkan sebagai picik dan sempit walaupun tidak berbau perkauman.
Tahukah beliau bahawa antara penentangan pokok terhadap PPSMI oleh orang Melayu ialah ia akan membantut kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dasar PPSMI ini diistilahkan oleh orang Melayu sebagai pengkhianatan terhadap bahasa dan kebudayaannya. Apakah Datuk Seri Ong Tee Keat buat-buat tak tahu faktor ini?
Pperistiwa PPSMI ini adalah suatu pengajaran dan contoh besar sejarah, iaitu apabila ada pemimpin Melayu sendiri yang memperlekeh bahasa dan kebudayaan bangsanya, orang lain pun tidak akan hormat kepada orang Melayu.
Memang dalam beberapa hal orang Melayu , terutama yang sudah senang lenang dan menjadi kelas menengah, berkat Dasar Ekonomi Baru, tak ambil pusing lagi maruah bahasa dan bangsanya. Mereka tidak cepat berasa terhina kalau diperlekehkan . Sampai beribu-ribu orang turun ke jalan raya menunjuk perasaan baru mereka buka mata, seolah-olah terkejut terpinga-pinga daripada mimpinya yang nikmat.
Betulkah bangsa Melayu ini sudah tak ada harga diri lagi, dan buta terhadap apa ertinya kemajuan ?
3 comments:
Saya percaya kepada "bahasa budaya bangsa". Kebelakangan ini ramai orang Melayu yang sudah tidak serupa Melayu. Mungkinkah kerana dibesarkan dalam suasana bertutur dalam bahasa asing sebagai bahasa pertama di rumah sehingga pembawaan budaya dan lagak mereka pun berubah?
Fikir-fikirkanlah... benarkah Melayu takkan hilang di dunia, sekiranya kita bangsa melayu di rumah bersama keluarga pun tidak bertutur dalam bahasa kita?
Salam, Datuk Baha.
Kita tidak perlu terkejut dengan suara-suara sebegini. Inilah penangan 1Malaysia.
Salam Datuk,
Saya melihat ini sebagai gambaran bahawa ada sesetengah pihak masih tidak senang dengan bahasa Melayu. Cadangan mengekalkan PPSMI bagi tingkatan 4 dan 5, juga dua bahasa bagi tingkatan 1 hingga 3 sebenarnya seolah-olah lebih kepada menolak penggunaan bahasa Melayu.
Sudah tentu di sekolah vernakular, bahasa ibunda masih digunakan. Setelah masuk ke sekolah menengah, bahasa Melayu tidak mahu digunakan.
Sungguh, penghargaan dan keyakinan terhadap bahasa Melayu cuma dijiwai oleh sesetengah pihak sahaja walaupun setelah 50 tahun merdeka. Saya rasa ini menyedihkan.
Post a Comment