Saturday 31 October 2009

SINGAPURA: DALAM SUKA & BENCI (1)

Pulau kota yang kecil itu hanya di seberang selat sahaja; masih kelihatan jelas tebingnya dari Johor. Sudah hampir 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki di buminya. Tak ada apa-apa yang menarik untuk ke sana, kecuali kenangan terhadap sejumlah kawan akrab, dan rasa terhutang budi atas pengaruh persuratan yang berpangkal di kota itu. Majalah Hiburan, Mastika, Mutiara, dan Filem Raya yang terbit sekitar tahun-tahun 50-an di Singapura tiba ke kampung halaman
saya dan menjadi bahan bacaan kegemaran yang barangkali telah menyemaikan benih cinta terhadap persuratan dan penulisan dalam bahasa Melayu.

Dari pulau inilah juga terbitnya filem-filem Melayu yang menayangkan lakonan dan lawak jenaka P.Ramlee, Aziz Sattar, Ibrahim Pendek, Shamsuddin dan beberapa yang lain, serentak dengan lakonan bintang-bintang utama seniman P. Ramlee, Romai Noor,M. Amin, Omar Rojik, Aziz Jaafar, Jins Shamsuddin, Ahmad Mahmud dan Nordin Ahmad di samping seniwati Kasma Booty, Maria Minado, Saadiah, Latifah Omar, Normadiah, Rosnani etc. Mereka semua telah menghiburkan hati jutaan penonton di ceruk rantau semenanjung. Pakaian dan sikat rambut mereka menjadi model membentuk fesyen muda mudi dari Johor Bharu hingga ke Pulau Pinang. Malahan cara mereka berdialog pun menjadi ajukan.

Di atas sempadan dua negara (Singapura dan Malaysia) terentang suatu tradisi dan warisan bersama yang sangat lama , hanya diputuskan ikatannya oleh seorang Perdana Menteri Melayu yang diamanahkan memelihara tradisi, budaya dan kepentingan Melayu , tetapi gagal memenuhi tanggungjawabnya apabila berhadapan dengan cabaran dan penentangan politik. Ada yang berpendapat Kuala Lumpur patut mengerahkan seribu atau dua ribu anggota tentera daripada Rejimen Askar Melayu pada tahun 1965, dan mengenakan perintah berkurung 24 jam terhadap Singapura serta menahan Lee Kuan Yew yang menjadi masalah kepada Tunku Abdul Rahman, PM pada waktu itu. Tetapi Tunku telah mencari jalan ringkas untuk mengelak pergaduhan iaitu dengan menyingkirkan Singapura daripada Malaysia, dan membiarkan Lee Kuan Yew bebas memimpin pulau itu.


Perihal warisan dan kepentingan Melayu dilalaikan malah cuba dikompromikan bukan sahaja berlaku sekali. Kejadian seperti ini bukan sahaja berlaku 40 tahun dahulu pada 1965, tetapi berulang beberapa kali pada zaman semasa., khususnya apabila bahasa Melayu dipinggirkan dalam sistem pendidikan kebangsaan negara. Sejarah itu mengajar kita berwaspada; andainya kita melupai sejarah, sejarah akan berulang dan menistai muka dan maruah kehidupan kita.

II
Meskipun citra negara Singapura itu tidak indah dan manis untuk dihormati oleh pencinta hak-hak asasi manusia, dan pejuang-pejuang civil rights, kerana dihubungkait dengan pemerintahan yang autoritarian, tidak toleran terhadap pembangkang demokratik, sistem kehakimannya memihak dan tidak bebas sehingga dikritik oleh banyak pihak termasuk Laporan Hak -hak Asasi Manusia 2008 oleh US State Department , medianya dicengkam dan dikembiri kebebasannya, penduduk asal Melayunya yang hanya 14% itu diselerakkan dan dipinggir daripada perkhidmatan kerajaan yang penting (seperti angkatan tentera, perkhidmatan awam, angkatan keselamatan, dan politik ), namun banyak yang dapat dipelajari daripada sebuah negara yang senantiasa berwaspada terhadap kemungkinan ancaman jiran-jirannya yang lebih ramai penduduknya dan kaya dengan hasil buminya, khususnya Malaysia dan Indonesia.

Singapura telah menjadi negara maju yang kuat ekonomi serta kewangannya. Harga barangnya yang murah bermula dengan $2 Singapura (bersamaan Rm 4.60), dan tak ada wang kertas
bernilai seringgit. Lalu lintasnya teratur, tandas, tempat membeli belah dan taman-tamannya bersih , penembusan komunikasi internet lebih meluas, pengangkutan awamnya tepat dan rapi,
dan landskapnya terjaga dengan baik. Jangan lupa juga institusi pengajian tingginya dihitung lebih tinggi taraf dan mutunya daripada mana-mana universiti di Malaysia.Semuanya ini adalah hasil dan kesan daripada kepemimpinan politik yang tidak korup,pengurusan yang terancang, sistematik, dan disiplin kerja yang ketat.

Apakah ini hasil daripada majoriti penduduk Cina yang kuat bekerja, gigih mengejar kekayaan dan sangat materialistik atau Singapura tidak mempunyai pilihan lain untuk survive selain daripada budaya yang gigih berkhidmat, berniaga, berdisiplin dan menambah nilai dalam segala kegiatannya. Singapura terpaksa bergantung kepada perkhidmatan, profesionalisme, pembuatan, inovasi, dan penciptaan idea bagi terus maju kerana pulau ini miskin hasil bumi, pertanian, malah tanah dan air minum pun. Ia sangat bergantung kepada bahan mentah makanan dan air dari tanah daratan (hinterland) Malaysia dan Indonesia dan negara-negara lain. Ini adalah suatu cerita pergelutan hidup: mesti cerdik, pintar dan kalau perlu kejam.

(Bersambung...)

4 comments:

yus_anakmelayu said...

Assalamualaikum ayahanda Baha Zain.
Menyingkap kembali ketika saya masih menuntut di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, terdapat sebilangan pelajar Singapura yang turut menuntut di situ. Mereka terdiri dari kalangan guru bahasa Melayu di Singapura.
Anehnya, walaupun mereka Melayu, sikap dan budaya kerja mereka sangat mengagumkan(berbeza dengan pelajar Melayu Malaysia). Persekitaran hidup di sana menjadikan mereka begitu.
Malangnya, pembawaan Melayu itu sendiri telah jauh dari hidup mereka. Saya memang tidak mampu menerima wanita Melayu yang sanggup merendahkan maruah memakai 'skirt' singkat untuk ke kuliah.

bahazain said...

Assalamualikum Sdr Yus.
Saya setuju dengan pemerhatian sdr. Dalam keadaan minoriti yang berasa tidak selesa Melayu Singapura tak banyak pilihan selain daripada bertindak gigih dan rajin untuk survive. Dalam waktu yang sama asakan terhadap budaya dan agama mengakibatkan timbulnya azam untuk bertahan, tetapi di sana sini asakan dan pengaruh kota kosmopolitan akan mengendurkan nilai-nilai dan norma Melayu-Islam. Kegoncangan budaya berlaku lebih hebat di Singapura daripada apa yang berlaku di KL; dan ini menjadi masalah bangsa kita sekarang di Asia Tenggara.

ZULKIFLI said...

Salam, Dato';
Di Singapura, dalam satu sesi pemurnian buku bahasa Melayu untuk sekolah rendah Brunei (diterbitkan oleh sebuah penerbitan Singapura [parent co. untuk syarikat penerbitan di Malaysia bekas tempat saya bekerja. Aneh, Brunei lebih meyakini penerbit Singapura untuk menerbitkan buku BMnya, sedang di syarikat itu tiada Editor BM pun!], saya sempat menelaah buku Sejarah (Singapura) untuk pelajar Tingkatan 2nya. Tiada disentuhnya kaitan Singapura dengan Malaysia. Ada ditonjolkannya seorang watak yang bersatus pejuang, yang tetap merahsiakan pejuang seangkatannya walaupun diseksa Jepun. Agak rinci juga huraiannya. Itulah lebih kurang agaknya cara mereka hendak memadamkan kaitan sejarah Singapura yang sangat kuat simpulnya dengan Malaysia ini.

bahazain said...

Assalamualaikum Sdr Zul,
Pulau ini terlalu baru sejarah kemerdekaannya, dan tak boleh menafikan akar sejarah serta warisan bersamanya dengan Malaysia, malah Indonesia pun.Dalam kemerdekaannya juga tak boleh terasing daripada konteks sekitar Nusanmtaranya walaupun mengizinkan Yahudi Israel memijak buminya.Brunei yang memperjuangkan Melayu-Islam-Raja harus lebih banyak berurusan dengan kita demi kekuatannya walaupun mungkin lebih banyak melabur di kota itu. Juga penting orang kita harus merapati mereka juga secara positif dan aktif, terutama majoriti Melayu di Brunei supaya menjadi bangsa yang dinamik.