Wednesday, 9 December 2009

1 MALAYSIA DAN PINTU TERBUKA

Idea dan laungan 1 Malaysia yang disebarkan oleh kerajaan nampaknya semakin membuka pintu yang luas untuk kaum bukan Melayu mendesak kerajaan memberi peluang sama rata
kepada orang bukan Melayu dalam segala bidang kehidupan di Malaysia. Berdasarkan pandangan: peluang sama untuk semua,hak sama rata untuk Melayu, Cina dan India, maka telah timbul tindakan menghujah hak-hak keistemewaan orang Melayu sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh seorang pemimpin politik bukan Melayu ( M. Kulasegaran, DAP) sehingga menimbulkan protes serta demonstrasi segolongan orang Melayu di Shah Alam.

Soalnya tidakkah perbuatan pemimpin bukan Melayu itu satu lanjutan yang logikal daripada konsep 1 Malaysia? Kalau sudah dibuka peluang untuk semua tentulah tak ada hak-hak keistemewaan lagi bagi orang Melayu. Kita tak boleh salahkan mereka kalau beranggapan demikian walaupun jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang hak-hak keistemewaan orang Melayu.

Kalau orang Melayu sudah yakin bahawa kedudukan dan kekuatan ekonominya sudah sama kuat; pemilikan harta(tanah, rumah, gedung, kedai, kilang, pejabat,apartment, kondomonium)sama banyak kalau pun tidak lebih; pemilikan syarikat perniagaan (runcit dan borong, eksport dan import, pengangkutan dan pembuatan, pemasaran dan pengedaran)sudah setara ; dan kedudukan di bidang profersional ( doktor, jerutera, arkitek, peguam, akauntan, doktor gigi etc)sudah sama hebat dengan bukan Melayu apa hendak dibimbangkan. Tapi kalau masih ada bumiputera yang minum air telaga, jalan kaki berbatu-batu ke sekolah atau naik perahu, bila banjir dinding rumahnya basah, siapa yang hendak kita salahkan.Hampir 90% jabatan kerajaan, polis dan tentera itu penuh padat dengan pekerja serta pegawai Melayu, tetapi kenapa Melayu masih macam merempat minta sedekah setelah 50 tahun merdeka. Lihat berapa ramai yang berpangkat jusa dan yang menjadi pengarah dalam badan-badan berkanun atau agensi kerajaan, apa yang mereka rancangkan secara strategik untuk memebela Melayu? Nah' beberapa tahun ini Bahasa Melayu pun dihumban dalam longkang pendidikan Matematik dan Sains.Kenapa orang Melayu tak bersuara lantang, berani dan bersedia mati untuk mempertahankkannya. Malah yang menghina bahasa Melayu itu pemimpin politik Melayu dalam kerajaan.

Jadi siapakah yang bersalah dan patut menderita kehinaan?

Pemimpin kerajaan Melayu kena berterus terang dan jelas memberitahu di mana letaknya kedudukan masyarakat Melayu di sisi masyarakat Cina dan India dalam 1 Malaysia ini; bukannya bercakap banyak tentang peluang dan kedudukan orang Cina dan India sahaja. Di mana letaknya kedudukan bahasa dalam amalan rasmi di semua tempat,jati diri dan tradisi seni budaya dalam upacara-upacara budaya nasional; dan
Islam sebagai agama Persekutuan dalam urusan kehidupan bernegara. Apa pun 1 Malaysia tak boleh mengkromikan asas-asas sejarah,prinsip-prinsip perlembagaan, dan tasawur Islam sebagai identiti atau jati diri 1 Malaysia itu.

4 comments:

ZULKIFLI said...

Salam, Dato';
Saya sangat setuju, bahawa orang Melayu tidak "keras" dan tidak cukup "berani". Saya sudah lama tertanya-tanya, bagaimanakah agaknya kalau orang yang masih "mempertikaikan" ketuanan (maksudnya bukan menjadi tuan kepada mereka tetapi orang asal negara ini) berkata tetang hal seperti itu di Indonesia?

Ironinya, apabila orang seperti Datuk Ahmad Ismail berkata bahawa orang Cina (orang bukan Melayu) ialah pendatang, banyak pihak (orang Melayu juga) yang menyuruh beliau meminta maaf.

Pada peringkat awal konsep 1Malaysia diperkenalkan, banyak orang yang kabur tentang isi dan matlamatnya. Setelah terang seperti sekarang, konsep ini dimanipulasi sebaik-baiknya oleh pihak-pihak bukan Melayu.

Nasib kita tampaknya selalu ditentukan sang politikus Melayu seperti ini.

SITI ZAINON ISMAIL said...

Tambah menambah luka kita Dato' sehingga seni persembahan semakin galau. Tarian 1 malaysia mahu dijadikan contoh seni dunia...dicipta sekelip mata dan konon sudah bermartabat seni. Di Selangor, kita menyusun Perbadanan Adat Warisan Melayu, mereka juga menuntut nak mencelah dalam program konon mereka juga kaya adat dan adab. Si tuan poltik juga tidak berani menjelaskan ini...persembahan adab seni warisan Melayu, nak masukkan juga gendang cina dan gedang keling tu (di Kedah sudah diganti menjadi gendang peribumi)...untuk melunak teling saya cadangkan agar si Thambi bermain sitar dan si Ah yong bermain i hu yang lebih sopan beradab daripada gendang naga itu...adakah hati yang terbuka atau memang sengaja melukakan hati warisan bangsa?

yus_anakmelayu said...

Assalamualaikum
Orang Melayu kini semakin kurang berminat untuk aktviti yang bersifat keMelayuan. Kalaupun ada, hanyalah mereka yang sudah berusia. Tradisi Melayu secara wenang diubah kononnya mengikut perkembangan semasa. Hakikatnya, perubahan itu telah mencelarukan budaya. Contoh mudah, baju kurung, sesuai dengan namanya adalah untuk menutup mana yang perlu berlandaskan agama, kini telah diubah sehingga jelik kita untuk melihatnya. Hal yang sama terjadi pada perkara lain; lagu, tarian, makanan, dan sebagainya. Saya percaya masih ada dua tradis Melayu yang tidak terusik keasliannya iaitu bahasa dan seni silat. Malangnya kedua-dua perkara ini sering ditnggalkan. Muda mudi lebih suka menganggotai seni beladiri negara lain; taekwondo, karate, tinju siam, dan lain-lain. Golongan korporat lebih petah berbahasa Inggeris walaupun dalam perbualan sosial sesama masyarakat Melayu. Ayahanda, bagaimanalah agaknya kita ingin mewujudkan situasi dimana bahasa dan tradisi Melayu dipandang menarik dan sesuai mengikut peredaran zaman(tidak sehingga mengubah keasliannya)?

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Zul,
Dr Siti,
Sdr Yus,

Perubahan masyarakat Melayu dari kampung, pertanian dan tradisi kepada bandar, industri dan modern menimbulkan banyak perubahan dalam diri dan fikiran masyarakat, terutama generasi muda. Perubahan yang lebih hebat berlaku di kalangan generasi muda yang berpendidikan tinggi dan telah menjadi profesional dalam lapisan kelas menengah. Mereka bukan lagi tradisional Melayu, dan tidak pula terlalu bandar dan modern atau barat dalam serba serbinya. Dalam keadaan inilah adat resam dan kesetiaan kepada kemelayuannya mencair . Asakan daripada media modern yang membawa nilai-nilai kebendaan dan sains serta teknologi menjadikan mereka harus bergelut mencari kejayaan harta , pangkat serta wang ringgit.Ini adalah perkembangan yang logikal dalam banyak negara yang baru membangun. Selain itu politik yang didominasi oleh Melayu , BN khususnya, dicabar kuat sekarang kerana orang Melyu sudah berpecah dua. Jadi undi minoriti bukan Melayu menentukan BN atau PKR akan berkuasa.Semua parti politik besar cuba mengambil hati masyarakat Cina dan India untuk memerintah.Ini faktor terakhir yang menghakis kepentingan kebudayaan atau jati diri Melayu.

Kita orang Melayu tak boleh pula berlaku tidak adil terhadap keturunan lain dengan tradisi serta kebudayaannya.Dari segi etika dan perlembagaan pun mereka berhak mengamalkan agama, adat, bahasa dan budayanya.

Memang orang Melayu berada dalam serba salah. Tetapi janganlah orang Melayu dan pemimpinnya sampai berasa bersalah dan berdosa pula menyuarakan kepentingan bahasa, seni dan kebudayaan, lebih-lebih lagi ekonomi dan agama Islam. Dan jangan sampai orang bukan Melayu mengungkit hak istemewa dan bantuan-bantuan terhadap majoriti Bumiputera yang miskin berbanding orang lain. Ini yang harus jelas supaya masalah yang sama sebelum tragedi 1969 tidak berulang lagi
apabila Lee Kuan Yew dan DAP terang-terang mencabar kedaulatan Melayu, dan pemimpin Melayu pula nampak tidak punya jantan.
Buat sementara ini budayawan, cendekiawan, seniman dan penulis Melayu harus mengumpul fikiran yang rasional, daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi, dan keberanian membangunkan bahasa, kesenian, kebudayaan daripada warisan serta ciptaan yang modern.
Orang Melayu sendiri mesti menunjukkan keupayaannya; bukan sekadar retorik.