Thursday, 31 December 2009
KENAPA PENERBITAN BERBAHASA KEBANGSAAN?
Seorang teman selepas membaca beberapa paparan blog saya mengirim e-mel bertanya kenapa saya menekankan sangat penerbitan dalam bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Katanya untuk kepentingan ilmu pengetahuan bukankah sudah ada ribuan judul buku dalam bahasa Inggeris di kedai-kedai besar MPH, Borders, Kinokuniya, Populer Books,dan lain-lainnya. Saya memberitahunya memang betul, apa ilmu yang tak ada dalam buku-buku Inggeris di Malaysia. Bukan itu sahaja buku-buku berbahasa Cina pun penuh di kedai-kedai besar ini. Justeru kerana itulah saya menekankan perlu juga ada buku dalam bahasa Melayu diusahakan oleh negara ini , kerana buku-buku dalam bahasa Inggeris ditulis di serata dunia (USA, England, Australia, Singapura, New Zealand, Canada) dan kita import sahaja. Buku-buku dalam bahasa Cina dikaranag di Republik Cina (1 billion lebih umat manusia) , Taiwan,dan Hongkong.Jadi tak perlu sangat Malaysia menerbitkan buku berbahasa Inggeris atau Cina kerana mudah sahaja diperolehi dari luar negara. Perlu diingati bahawa di negara Cina sahaja ada lebih 8000 jurnal tentang sains. Buku-buku berbahasa Melayu paling-paling dari Indonesia sahaja. Itupun tidak sehebat apa yang sepatutnya mengingat ramainya ilmuwan serta cendekiawan Indonesia.
Selanjutnya kenapa dalam bahasa Melayu? Supaya bahasa Melayu itu menjadi kuat dengan isi kandungan ilmu modern ( kimia, matematik, geologi, perubatan, falsafah,petrolium, agama,ekonomi, perakaunan, robotik etc. etc); supaya ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dibaca dan diresapi oleh rakyat kota dan desa, petani dan nelayan; dan jiwa, sikap, fikiran dan perpaduan rakyat dibangunkan dalam suatu bahasa yang dapat memesrakan emosi serta persefahaman mendalam melalui makna, bunyi dan muzik bahasa, metafora dan nilai-nilai budaya serta akhlak yang tersisip serta tersirat di dalamnya.
Timbul juga pertanyaan bahawa tidakkah keutamaan terhadap pembangunan ekonomi, kewangan, jalan, jambatan dan perumahan itu lebih penting. Memang itu kepentingan yang asas, dan bila bercakap pembangunan perbukuan dan ilmu tidak bererti mengenepikan pembangunan ekonomi dan kebendaan. Percakapan tentang pembinaan penerbitan dalam bahasa Melayu adalah permintaan yang tidak melebehi atau mengatasi pembangunan lain. Cuma ia tetrus dibangunkan dalam sekala yang wajar bagi melengkapi pembangunan material. Kalau tidak pembangunan material itu tak boleh bertahan lama kalau rakyat bersikap sangat materialistik, suka bermewah-mewah dan bermegah-megah, tidak bermoral serta rasuah; dan tidak kreatif,tidak berperasaan adil dan manusiawi, lebih-lebih lagi tidak takut pada Tuhan alias godless. Bahan bacaan , tarbiyah atau pendidikan, bahasa yang baik dan berisi ilmu, sangat penting untuk memelihara kestabilan moral dan sosial, dan membangunkan tamadun besar pada masa depan. Bangunan yang tinggi serta mewah, Putra Jaya yang gagah, KLIA yang canggih apa gunanya kalau hanya menguntungkan jutawan berniaga, pemimpin menindas, dan orang kaya terbang ke sana sini sedangkan rakyat semakin lama semakin jahat, berpoya-poya, tahu hendak dapat wang dengan mudah , meragut dan hisap dadah, berhibur di depan TV pagi petang, dan keluar minum lama-lama sewaktu pejabat?.
Apabila rasul kita Muhammad SAW mengembangkan Islam terlebih dahulu dibangunkannya akhlak serta ilmunya. Masjid awal pun dibina daripada pelepah-pelepah kurma. Jadi pembangunan mental, moral, kreativiti, dan kepandaian itu bukan pilihan kedua.
Apabila penulis-penulis pramerdeka menulis , baik puisi atau cerita rekaan ( seperti Kajai, Ishak Haji Muhamad, Keris Mas, dan Boestamam ) pesan dan isi karangannya adalah perjuangan: melawan penipuan kafir, penjahan asing, penindasan kapitalis. Mereka berjuang menghapuskan khurafat dan tahayul,dan menegakkan kemakmuran serta darjat rakyat. Ini tradisi penerbitan berbahasa Melayu. Tradisi penerbitan berbahasa Melayu itu misti diperjuangkan dengan lebih gencar lagi , dan kali ini menuju ke arah pemodernan dan ketamadunan besar bangsa kita untuk semua kaum (Melayu, Cina, Kadazan, Iban, Bajau, Jawa , Bugis dan semuanya).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Salam, Dato';
Ilmu dalam buku berbahasa Inggeris dapat diserap oleh orang yang dapat bertutur dalam bahasa itu. Begitu juga halnya dengan buku-buku berbahasa Cina, tidak mungkin kita dapat membacanya.
Jadi, saya menyokong saranan Dato' supaya ITJN dan DBP juga memainkan peranan utama dalam hal ini. Jangan dihitung orang yang dahaga akan ilmu daripada buku yang diterjemahkan itu. Dengan kata lain, sebagai penerbit, ITJN tidak perlulah memikirkan keuntungan. Pastikan ilmu itu sampai kepada rakyat (walaupun kecil). Jika mahu balik modal, iklankanlah dalam mana-mana blog dan majalah yang sebarannya luas (Pelita Bahasa, Dewan Sastera, dll bukan media yang sesuai).
Betul kata Dato', lambakan buku berbahasa Melayu akan memperkuat dan memerkasakan bahasa Melayu!
ada ramai majoriti senyap yang menulis dalam bahasa melayu di luar sana. dan separuhnya anak muda yang meminati penulisan, terutama sastera.
terbatasnya hasrat pembudayaan buku bahasa melayu ialah pada faktor kaum pemodal, dan pihak berkewajipan.
mungkin juga kerana anak muda ini menulis dalam sastera pasca-moden, yang mencabar struktur konservatif.
saya juga impikan buku berbahasa melayu sepertimana hasrat pada entri ini. ;)
Salam hormat untuk Dato' Baha.
Saya sangat bersetuju dengan pandangan Dato'. Semoga ada kesedaran dalam kalangan orang Melayu sendiri mengenai perkara ini. Semoga mereka tidak lagi memandang rendah kebolehan bahasa tercinta ini.
Assalamualaikum,
Sdr Zul,
Penerbitan buku bagi menjadi sumber dan penyebaran ilmu mahu tidak mahu misti dilaksanakan oleh kedua-dua pihak : awam dan swasta.Promosi, pengiklanan dan penjualan perlu lebih meluas dan rancak daripada penjualan barang-barang makanan, rokok dan seumpamanya kerana pengguna umumnya tak ghairah sangat mengejar ilmu spt mengejar rokok atau teh tarik. Masalah jualan (borong dan runcit) sebenarnya menjadi kelemahan masyarakat Melayu. Sebab itu Singapura dan Belanda yang hanya ada tanah sekangkang kera; dan Belanda lebih rendah daripada permukaan laut berjaya sebagai pedangang dengan hanya menjual perkhidmatannya dan menggunakan barang2 negara lain. Saya kira membangunkan kemahiran Melayu memasar & menjual patut menjadi agenda segera. Aduh! banyak betul masalah kita.
Sdr tehOnipis,
Saya harap sdr dan teman-teman jangan patah hati menulis walaupun berhadapan dengan konservatisme daripada pihak yang menguasai media penerbitan.Memang kita perlu banyak penulisan yang eksperimental, inovatif dan memecahkan bentuk-bentuk penampilan lama melalui pendekatan
baru termasuk pascamodern. Cuma masalah ramai penulis muda ialah bagaimana hendak menembusi dinding yg ada. Ini juga perlu pemikiran kreatif dari segi cara menyiarkan
karya. Cubalah berjumpa langsung dengan editor majalah membincangkan perkara ini. Jumpa puan Padilah , editor majalah2 DBP dan ajukan masalah.
Sdr Marniyati,
Saya gembira membaca persetujuan sdr tentang isu penerbitan. Memang ini isu pokok dalam pembangunan tamadun bangsa, tetapi tidak menjadi faktor penting dalam kempen-kempen politik kebangsaan. Sekarang kita terpakasa berfikir: i) Bagaimana untuk menyedarkan dan menggerakan fikiran pemimpin institusi kerajaan yg berkuasa; ii)Bagaimana menggerakkan tuntutan rakyat supaya diwujudkan program pembangunan penerbitan berbahasa Melayu yang betul-betul besar dalam rancangan pembangunan Malaysia.
saya sgt setuju. sy sgt sedih dengan keadaan bahasa melayu skrg ini.
sepatutnya pensyarah2 universitilah yang menterjemahkan semua ilmu yang mereka pernah belajar di Amerika dan negara luar. tapi kerana malassszzzzzzzzzzzzz.....diajarkan juga dalam bahasa english. teringat buku Rustam A. Sani...politik dan polemik bahasa melayu.
p/s marilah tuan bertandang ke program anak muda jiwa seni di MASKARA 19 di rumah pena atau PEKAN FRINJAN 8.0 di dataran shah alam.
Post a Comment