Sunday, 20 December 2009

KRISIS PEMBANGUNAN PENERBITAN BERBAHASA MELAYU

Ahad 3 Muharam/ 20 Disember 2009: PENA(Persatuan Penulis Nasional Malaysia) mengadakan Mesyuarat Agung ke-46, di Rumah PENA. Sebagai Presiden saya memberi ucapan tahunan, dan kali ini saya memusatkan pembicaraan terhadap kemelut penerbitan buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu (BM). Antara lain saya berkata:

" Kalau saudara-saudara masih ingat, salah satu sebab PENA menentang PPSMI ialah kekhuatiran besar akan BM pupus sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Dalam konteks ini saya ingin membahaskan sedikit tentang pentingnya usaha membangunkan penerbitan dalam BM.Salah satu ciri bahasa yang kaya dengan maklumat dan ilmu pengetahuan pada zaman ini ialah terdapatnya himpunan tulisan, majalah, buku, bahan rujukan-- bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk orang awam dan pakar bidang tertentu.
Sebab itu ada orang mengukur kemajuan penerbitan sesuatu bangsa itu berdasarkan jumlah judul penerbitannya setahun dalam bahasa ibunda atau bahasa kebangsaannya, iaitu dengan mengambil kira setiap sejuta penduduk terbit 1000 judul buku baru setiap tahun.

Kalau ini diambil sebagai penanda aras , Malaysia yang sepatutnya menerbitkan sejumlah 25 ribu judul buku, hanya berada pada aras prestasi 30% berbanding negara-negara maju seperti Jepun dan Eropah walaupun kita sudah ada bangunan tinggi 88 tingkat dan sedang diura-urakan tak lama lagi ada bangunan 100 tingkat.

Apakah kenyataan-kenyataan semacam ini membayangkan bahawa keutamaan terhadap pembangunan sosial ( rohaniah, intelek, bahasa, seni dan warisan budaya) tidak diberikan pemikiran yang menasabah dan saksama berbanding pembangunan material, teknologi dan ekonomi? "

8 comments:

Sham al-Johori said...

Dato' Baha yang dihormati,
Pelaksana dan penguasa yang menghirup nikmat di negara kita ini adalah manusia yang lupa sejarah dan tamadun bangsa. Kemewahan telah mengaburi mata dan perjuangan mereka. Mereka sentiasa mencipta gagasan tetapi dalam masa yang sama mereka memusnahkan sejarah. Di PENA, kita berjuang dengan ikhlas tetapi keikhlasan itu dikatakan resis dan ketinggalan; tidak sesuai dengan zaman. Impaknya adalah kekeliruan demi keliruan terus bermaharajalela di dalam sistem pentadbiran negara.
Bahasa dan bangsa kita sedang 'dijualbelikan' demi kepentingan mereka.
Selama mana dan selama bilakah kita mampu bertahan jika pelaksana terus hanyut dibawa arus kejahilan sejarah?

bahazain said...

Sdr Sham,
Kegelisahan sdr adalah kegelisahan yang sama di kalangan ramai nasionalis Melayu. Jangan berasa berdosa atau bersalah mempejuangkan kepentingan nasional ( bahasa, persuratan, warisan etc). Kita, Pena, Gapena dll mesti digerakkan sekarang memulai gelombang kedua membangunkan bahasa Melayu. Mereka yang menuduh kita rasis (racist) merekalah yang rasis dan tak faham apa yang dituduhnya. Kita mesti lawan mereka secara intelektual dan ilmu.
Saya berdebat terus dengan kawan-kawan saya yang berorientasi kepada Inggeris/barat, dan sekarang mereka memahami sikap dan idealisme kebangsaan ; beberapa orang telah memihak dan menyokong saya walaupun masih segan-segan untuk mengucapkan dirinya dlm BM. Mereka adalah kelas menengah Melayu mewah yg terbawa ke cara hidup serta fikiran neo-feudal. Maafkan mereka, dan menangi hati mereka. InsyaAllah .Tuhan bersama-sama pejuang yg jujur; mari kita bersuara dan lebih kuat lagi.Jangan patah hati dan kecewa. Tuhan tak menggalakkan umatnya cepat putus asa. Berdoalah juga.

yus_anakmelayu said...

Assalamualaikum. Ayahanda, Pada pendapat saya usaha penerbitan sumber bertulis lebih berkesan jika dilaksanakan secara meluas di peringkat institusi pengajian tinggi. Persoalannya, benarkan institusi pengajian tinggi mendokong aspirasi masyarakat Melayu yang inginkan karya berbahasa Melayu? Lihat sahaja di Universiti Malaya, Akademi Pengajian Melayu(APM) hampir sahaja ditutup atas desakan pihak tertentu. Mujur Dato' Zainal Abidin Borhan seorang yang sukar dilawan apabila berhujah ditambah dengan program pertukaran pelajar yang dilaksanakan oleh pihak APM yang membuat rata-rata fakulti lain kagum. Baru-baru ini ada juga terdengar khabar angin bahawa Prof. Dr. Awang Sariyan akan dihentikan perkhidmatannya sebagai pemegang kursi bahasa Melayu di Beijing. Semuanya akibat perebutan dan pergolakan dalam institusi pengajian tinggi. Pemasalahan sebegini sememangnya merencatkan usaha kita.
Assalamualaikum...

bahazain said...

Sdr Yus,
Pada bahagian lain dalam ucapan saya ada menyentuh tentang penerbitan di universiti awam, terutama oleh penerbit-penerbit universiti. Nanti akan saya siarkan dalam blog akan datang. Sungguh penggunaan BM di peringkat rendah dan menengah sahaja belum memberi penuh makna pada martabat bahasa kebangsaan. Lagi harus diperjuangkan.Mungkin lebih sukar lagi masalahnya.

lutfi said...

Salam Dato'.
Saya baru sahaja menulis dalam blog saya tentang orientasi pemikiran masyarakat kita terhadap persatuan, yang menyebabkan masyarakat kita tak berdaya dalam dunia politik moden dalam konteks negara kita. Saya yakin sikap tersebut timbul akibat lingkaran jahanam sikap masyarakat Melayu itu sendiri.

ZULKIFLI said...

Salam, Dato'
Jika 25 ribu judul buku dapat kita terbitkan setahun, dan sebahagian judul itu berjaya dijual oleh penerbit dengan cara pihak kerajaan membelinya melalui perpustakaan negeri dan sebagainya, penerbit telah berjaya! Tetapi, hal ini, pada hemat saya tidak menggambarkan masyarakat/rakyat di negara kita suka membaca (tentu ada antara judulitu yang tidak disentuh langsung walaupun oleh pustakawan sendiri).

Budaya membaca kita sangat rendah dan keupayaan kita (jika ada) untuk menerbitkan 25 ribu judul tidak memberikan impak besar dalam perolehan maklumat dan ilmu kalau rakyatterus tidak suka membaca. Oleh itu, angka 25 ribu itu tidak dapat menjadi penanda aras kepada kemajuan bangsa.

Hal ini antara lain terjadi disebabkan sang penguasa lebih banyak mewujudkan persekitaran dan budaya yang tidak menggalakkan rakyatnya membaca. Lepasan SPM dan STPM, sebagai contohnya, "rehat habis" selepas peperiksaan kerana penat membaca dan mengulang kaji pelajaran sejak dua tahun sebelumnya. Ini adalah antara persekitaran yang saya maksudkan selain persekitaran yang menjurus kepada pembangunan material berbanding dengan pembangunan sosial, rohani, dan intelek, seperti kata Dato'.

bahazain said...

Assalamualaikum,
Sdr Lutfi,
Memang banyak sekali masalah sosial-budaya dan psikoligi yang membelit hidup masyarakat Melayu.
Persatuan-persatuan kita banyak dipimpin oeh orang yang bekerja dengan kerajaan, dan kecenderungannya sangat akrab atau bergantung kepada kerajaan dan pemimpin politik sehingga sulit untuk mencari jarak bagi mengkritik (walaupun dengan ikhlas dan jujur). Mereka cenderung untuk menyatakan apa yang pemimpin suka dengar ; bukan apa yang pemimpin patut dengar. Inilah antara faktor
kenapa BN tiba-tiba berhadapan dengan banyak masalah besar kerana keburukan telah berlimpap-limpap menjadi bukit curam. Datang tengkujuh runtuhlah tanah. Pemimpin politik Cina malahan menggunakan NGO mereka sebagai pressure groups untuk menuntut hak-hak dan kepentingan. Suatu pelajaran bagi bangsa kita.

Sdr Zul,
Saya bersetuju sangat dengan pendapat sdr. Seraya memperhebatkan kelahiran jumlah judul buku baru, literasi budaya buku, atau tabiat membaca harus dipupuk--bukan sahaja suka membaca , tetapi jenis bahan apa yang dipilih. Memperhebatkan budaya membaca (buku dan internet)
misti dididik segera , khususnya dikalangan pelajar melalui ibu bapa dan sekolah. Strategi dan teknik mendidik budaya ini juga perlu diperhalusi oleh pendidik profesional negara.Ini termasuk dalam rangka pembangunan mental dan kecerdikan bangsa.

bahazain said...
This comment has been removed by the author.