Thursday, 25 March 2010

APA YANG TELAH TERJADI PADA POLITIK KITA?

Dunia politik kita ( seperti juga di Thailand) penuh drama. Setiap hari ada berita yang baru. Parlimen pun ada kalanya macam sarkis; selalu menarik pandangan penonton: gajah boleh berdiri atas dua kaki, monyet menunggang kuda mengelilingi gelanggang, harimau melompat menembusi gelung api, badut naik basikal satu roda dan macam-macam pertunjukan luar biasa.

Pemimpin baik dia Ahli Parlimen atau tidak , harus mempunyai moral yang baik supaya rakyat boleh hormat dan percaya bahawa mereka boleh diharap untuk memimpin rakyat bukan sahaja
dalam bidang ekonomi, pentadbiran, dan sosial, tetapi juga kebijaksanaan akal budi .
Parlimen itu adalah tempat yang tertinggi dan mulia untuk berdialog dan berbahas tentang isu-isu dasar kenegaraan demi kepentingan rakyat terbanyak. Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri bukan balai raya, kelab golf, restoran atau pasar borong. Kalau kata-kata dan ungkapan tepi longkang boleh terdengar dalam Parlimen, apa bezanya Dewan Rakyat dengan kedai Kopitiam. Nampaknya di negara ini sesiapa sahaja layak menjadi pemimpin sehingga tak ada apa-apa istemewanya bergelar YB itu.

Maka sebab itulah Khalifah Islam Keempat, Ali bin Abi Talib, berpesan kepada Malik bin al-Haris al-Ashtar sewaktu dilantik sebagai Gabenor Mesir"

" Ketahuilah oleh kamu, wahai Malik bahawa kami menghantar kamu menjadi Gabenor sebuah negeri yang pada masa lalu yang telah mengalami pemerintahan yang adil mahupun tidak adil. Orang akan memerhatikan tingkah laku kamu dengan
teliti sebagaimana kamu pernah meneliti tingkah laku orang, sebelum kamu dan orang akan bercerita tentang kamu , sebagaimana kamu bercerita tentang orang lain.

Sebenarnya orang selalu memuji mereka yang berbuat baik,Merekalah yang menjadi saksi kepada perbuatan kamu. Sebab itu harta yang paling berharga yang patut menjadi idaman kamu ialah perbuatan amar maaruf. Kawallah hawa nafsu kamu dan jauhkanlah diri kamu daripada perkara-perkara yang ditegah kerana dengan menahan hawa nafsu kamu dapat membezakan segala yang baik dan segala yang buruk buat kamu.

Tanamkanlah semangat cinta akan rakyatmu dalam diri kamu, semoga rakyatkamu memperoleh manfaat dan rahmat daripadanya."

7 comments:

ZULKIFLI said...

Salam, Dato'
Banyak orang yang tidak sedar, malah tidak tahu pun calon yang dipilih (dipangkah) mereka itu badut-badut yang begitu kelakuan mereka di dewan yang mulia itu.

Yang terdedah dan terpapar dalam dewan yang mulia itu bukan hal ehwal dan jerih payah rakyat, tetapi lebih kepada hal-hal yang berkaitan kuasa mereka.

Banyak yang hendak diperkatakan tentang perihal orang-orang politaik ini. Sama seperti pesanan Ali Abi Tolib itu, kita sedang membuang masa bercerita tentang mereka.

Maaf, Dato' kerana tidak berkesempatan hadir ke pelancaran itu. Tugas sedang membelit-belit saya.

bahazain said...

Assalamualikum Sdr Zul,

Mudah-mudahan kita akan bertemu dan bercerita banyak pd masa depan. Memang banyak hal yg aneh dalam landskap politik bangsa : pemimpin yg sepatutnya spt disebut oleh Ali bin Abi Talib tidak terpilih, tetapi pemimpin yg tak bermoral, korup, dan berkepentingan diri yg mengatur hidup bangsa. Saya tak kata semua begitu, tetapi banyak yang begitu.

fauzi rashid said...

salam dato'
benang bangsa kita kian kusut
apakah kita masih takut untuk berhijrah?
kekecohan politik terjadi lebih kerana permainan tidak lagi berasaskan kejantanan, tapi ekploitasi kuasa untuk kuasa...meminjam kata Pak Samad..."harta cari kuasa, kuasa gogok harta"

bahazain said...

Assalamulaikum Sdr Faziz,

Barangkali ada hikmah atau blessing kalau tak terlibat secara aktif dalam politik yang maknanya merebut/mendapat kekuasaan.Namun sebagai rakyat yg akan dikuasai oleh politik kita terpaksa terus mengikutinya dan membuat keputusan.

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Salam, Dato',
Saya baru saja pulang dari Pattaya & Bangkok dengan selamatnya. Saya dapati rakyatnya menggunakan kuasa demokrasi sepenuhnya. Tetapi rupanya protes (demokrasi) yang terlalu bebas apabila tidak diperdulikan pemerintah menimbulkan masalah pula... tetapi sekurang-kurangnya pemerintah sedar apa yang sudah dilakukannya...

Sila memblogger: http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/

tajuk: Pabila pembloger melawat Pattaya...

MARSLI N.O said...

Salam. Akhirnya penyair berbuat apa? Saya tetap tidak lupa ucapan Pak Baha dulu betapa penyair tidak mampu berbuat apa-apa?

bahazain said...

Assalamulaikum
Sdr sheikh mustafa,
Tentu sdr lebih maklum tentang politik Bangkok. Diharap tidak akab berlaku rampasan kuasa oleh tentera. Saya mendapat tahu teman penyair Noovarat memihak ke baju kuning. Dia penyair penting Thailand yg sangat dedikasi kepada seni dan nasib rakyat miskin.Sayang sekarang bakat dan tenaganya mengalir dalam kegetiran politik.

Sdr Marsli.
Politik kita tak seganas di Bangkok. Bagaimana kalau nanti menjadi sama buasnya? Di mana penyair kita berada? Tuhan sahaja yang mengetahuinya.Belum teruji, mudah-mudahan doa kita terhadap keindahan dan kesejahteraan umat selalu di restui-Nya supaya kita tak memihak mengambil nyawa orang atau nyawa kita ditamatkan sebagaimana Amir Hamzah pergi dalam Nyanyi Sunyi nya.