Friday, 6 August 2010
SELAMAT BERIBADAT DAN BERMUHASABAH
kalau angsa patuk si anak kecil yang nakal ini, bukanlah salah angsa kerana dia pergi buka dirnya macam itu di tepi pagar yang patut melindungi keselamatannya
Memang agak lama tak melontarkan apa-apa pandangan. Sebelum Ramadhan menjelang saya ingin mengucapkan selamat menyempurnakan amal ibadat yang wajib, memperbanyak doa serta amalan baik; dan merenung jauh ke dalam diri dan juga terhadap masyarakat . Biasanya bulan yang merubah kebiasaan makan minum ini membawa rahmat yang hebat: menggoncang jasad , rohani dan pemikiran kita.
Orang berlapar buat beberapa jam itu rupa-rupanya menggerakkan sistem semula jadi dalam tubuh kita, yakni berlaku intoksikasi, iaitu pengeyahan toksik dan lebihan-lebihan hampas, lemak dan cecair yang tak berguna bagi organ-organ badan ( sebab itu orang menjadi kurus atau lebih kurus spt saya), tetapi juga dalam waktu yang sama mengheningkan perasaan serta daya berfikir . Inilah waktu untuk melakukan analisis diri, introspeksi,dan merenung ke luar (masyarakat, jiran tetangga, bangsa,dan umat Islam sekaliannya). Seraya mengumpul sebanyak pahala untuk diri sendiri , bagaimanakah dapat kita memikirkan nasib masyarakat kita dan saudara-saudara kita yang jauh di mana-mana.
Tentulah keutamaan kita dahulu adalah masalah rumah tangga kita, masyarakat dan negara;dan kalau termampu dengan kemudahan serta tanggungjawab amanah untuk menaburkan rahmat daripada Allah ke seluruh alam semesta , maka itu adalah yang sebaiknya.
Pada blog yang lalu saya melontarkan beberapa pandangan tentang kedudukan masyarakat Melayu. Ini bukan berniat menafikan kehadiran jiran tetangga bukan Melayu, hak-hak dan peluang kehidupan mereka. Saya lebih bercakap dalam konteks kebangsaan , dalam hubungan keadilan sosial, dan tradisi budaya. Lebih-lebih lagi apabila ramai yang seperti kuda andung yang berjalan ke depan tak nampak kiri kanan kerana telah dikenakan alat pendinding pada kiri kanan kepala kuda itu. Orang sudah tak menyebut assalamualaikum lagi, tetapi terus saja membuka kata " salam 1 Malaysia" yang ditujukan kepada Islam, kafir, Melayu, Cina, India, serani dan juga kepada pendatang asing yang ada sekitar 3 atau 4 juta dalam satu Malaysia ini.
Kemudian ( barangkali dalam semangat 1 Malaysia) iklan Ron 95 Petronas di TV pun bercakap dalam macam-macam bahasa; TV Bernama pun ada 4 bahasa, kalau siaran Astro tergendala pun akan bercakap dalam 4 bahasa, kalau hendak longgokkan pelakon atau penari atau penyanyi atas pentas pun mesti memancarkan empat tradisi dan bahasa; sesudah itu dibungkuslah 1 Malaysia ini (seperti membungkus rojak dalam plastik)dengan slogan "Malaysia Truly Asia". Bukankah lebih menasabah dari segi sejarah, akar tradisi setempat,kedudukan geografi, dan idealisme perjuangan kemerdekaan sejak awal 20-an, sepatutnya disebut dengan lebih masuk akal "Malaysia truly Southeast Asia".
Kita jangan menyalahkan orang Cina atau India kalau senario buruk dan landskap budaya cemar ini mengganggu pandangan dan hati nurani kita. Mereka tidak membuat keputusan merompak milik dan harta benda kita. Mereka telah bekerja keras sesuai dengan nilai-nilai mereka (walaupun nilai-nilai ini spt perjudian, arak dan pelacuran yang membawa banyak keuntungan sangatlah bertentangan dengan nilai-nilai Islam); dan berani berhadapan dengan risiko dalam perjuangannya. Pertanyaannya: di mana duduk dan tegaknya pendirian, keputusan dan tindakan pemimpin Melayu Islam? Inilah pertanyaannya; pertanyaan yang menampar muka kita sendiri kerana ketidakupayaan kita sebagai rakyat untuk berbuat sesuatu.
Saya sedang membaca Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia
(NY:Atlantic Monthly Press,2007) oleh Joe Studwell. Buku in mengemukakan sejumlah nama bapak jutawan di Asia Tenggara (Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina) yang sebahagian besarnya keuturunan Cina dan India ( seperti Vincent Tan, Khoo Kay Peng, Ananda Krishnan, Robert Kouk, Francis Yeoh, etc). Antara lain katanya:
"...what are the true reasons for the godfathers' rise and for their apparently unshakable grip on power.... This book argues that these individuals are above all the economic products of the political environment in which they operate and that it is this same political environment that is preventing the region from achieving sustained economic progress. In worst-case scenario, south-east Asia may be headed towards Latin America-style stagnation and inequality.
Betulkah sistem politik dan pemimpin politik kita (terutama Melayu) sejak bertahun-tahun yang lalu adalah penyebab kepada kekuatan ekonomi individu bukan Melayu yang berlebih-lebihan; dan ketimpangan atau ketidaksaksamaan
ekonomi antara kaum? Bahaskanlah dengan waras dan adil; dan fikirkanlah supaya pemimpin yang dilihat sebagai pagar, tidak mendedahkan kita kepada kebinasaan sehingga membawa padah seperti nasib malang si anak kecil itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
12 comments:
Salam, Dato';
Kehadiran Ramadan pada kali ini diharap menjadikan kita sebagai salah seorang ahli ibadah yang ikhlas dan sedar diri.
Kita telah banyak memberi dan masih tidak segan-segan untuk memberi. Dan sebagai golongan oportunis, mereka masih tidak segan-segan meminta, tidak dapat dengan cara yang lurus, mereka menyediakan umpan.
Kitalah yang bersalah kerana pendirian kita dapat digoncangkan dengan mudah, walaupun oleh angin yang keluar dari belakang (maaf, Dato').
Salam Ramadhan sdr Zul,
Saya semacam sudah membuat keputusan bahawa demi survival, demi kemajuan besar umat Islam di sini, harus digerakkan dinamika dalaman (terutma masyarakat Melayu-Islam)untuk berjuang keras memajukan diri dalam mencari ilmu, rezeki,sikap-mental dan prinsip berdikari, untuk bergelut dalam kehidupan di Malaysia. Kita tak boleh harapkan sangat pemimpin politik Melayu memperjuangkan nasib kita.Sudahlah apa-apa yg berlaku pada masa lalu:jangan pisang berbuah dua kali. Ajak kawan-kawan mendinamikkan keluarga, jiran-kiran, sdr mara, dan kampung kita dulu.
Salam Pak Baha: Meski agak terlewat. Mengucap salam Ramadhan buat seorang sasterawan yang saya hormati kerana keberanian dan kejujuran seninya.
Assalamulaikum Sdr Marsli,
Semoga sdr sihat walafiat bagi menunaikan fardhu Ramadhan; dan semoga pada bulan yang hebat ini sdr dicurahi keberkatan dan semakin aktif mencurahkan bakat ke dalam karya. Saya dah baca cerpen sdr dalam Dewan Sastera. Harap2 ular2 tidak mencabangkan lidahnya pada Ramadhan ini kerana kita hendak berasa aman sujud di depan Tuhan.
Pak Baha. Ular tetap ular....
Salam Ihya' Ramadhan, Datuk Baha.
Benar bahawa kita tidak dapat terlalu mengharapkan para pemimpin Melayu-Islam berbuat sesuatu untuk penakatan bangsa yang ditakdirkan Allah menjadi umat teras di negara ini (dan juga di Kepulauan Melayu ini). Kalangan intelektual perlu bergerak ke akar umbi untuk membentuk pemikiran, sikap dan makna diri (jati diri) umat Melayu-Islam yang kian ke arah menjadi umat pinggiran (baik dalam bidang ekonomi, bahasa, budaya, ilmu dll). Sejarah ketamadunan Melayu dalam zaman jayanya pada zaman kesultanan Melayu dahulu pun dilakar oleh gerakan ulama', pujangga dan karyawan, yang karya-karya besarnya memberikan dampak kepada pemikiran, falsafah dan makna diri kita sekarang.
Assalamulaikum Dr Awang Sariyan,
Gembira menerima pandangan Dr. dari Beijing.Semoga Dr senantiasa dirahmati Allah , lebih-lebih lagi pada Ramadhan yang sangat kaya dan hebat ini.Memang kita semua rakyat Islam yang berkesempatan menulis sekecil mana pun ( spt melalui blog) diminta menyebarkan kefahaman sejarah yang betul, kesaksamaan dan keadilan budaya , dan kepentingan mensejajarkan urusan kehidupan moden dengan prinsip-prinsip Islam (fardhu kifayah & fardhu ain; ilmu akli & ilmu wahyu). Hanya dengan cara inilah keadilan dan kesaksamaan sosial Malaysia boleh wujud bagi menjamin kestabilan dan kedamaian antara Bumiputera, Cina dan India.Oleh itu semua sistem dan dasar sekarang perlu dinilai semula (critical reappraisal). Ilmuwan, seniman, penulis dan aktivis perlu membangunkan gelombang kesedaran baru ini.
Salam Pak Baha: Kenapakah orang atau tokoh yang kita pandang dan hormat kerana kecerdikannya tega berbuat sesuatu yang menurut hemat kita juga tidak cerdik dan malah merugikan bangsa?
Apakah kerana kita terlalu bodoh untuk mengerti atau mereka yang sudah mulai menjadi boragas?
Maaf, Pak Baha. Sekadar berkongsi resah dan tumpang bertanya.
Mohon maaf.
Salam, Dato'
Saya ingin berkongsi pengalaman dengan Dato'. Ini hanya kerana tangkapan saya, jika benar?.
Dato' cukup sensitif atau peka melalui penghasilan puisi atau tukas (tulisan ringkas dalam majalah sastera). Saya bercakap tentang tulisan Dato' mengenai cerita bersangkutan 'Perempuan'.
Contohnya satu tukas yang masih diingati, tentang perempuan bercumbu dengan lelaki di biilik terang benderang dan tidak menyukai keadaan gelap. Saya hampir lupa artikal itu dan berapa rumpun puisi tentang belaian dan sentuhan perempuan.
... Rambutmu hutan-hutan hijau yang tebal
nafasmu udara deras dari gunung, telalu keras kurasa
cintamu bagai gelombang di pantai
dan nafasmu bagai badai tak terkawal
sajak perempuan dalam Tiga Catatan Perjalanan buku terbitan tahun 1980
Sajak Sesudah rindu yang lama juga bercerita tentang cinta.
.... Bersuaralah, suarakanlah dendam kalbu terhadap lelaki jalang
dalam Perempuan di jendela di Kota Seribu Menara dalam Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain terbitan 2008. Dan banyak sajak-sajak Dato' yang bercerita tentang perempuan, ketika itu umur Dato' sekitar 45 ke atas.
Soalan saya, mungkin benarlah faktor usia mengajak kita berjalan jauh dari cerita-cerita sebegitu. Atau terus meninggalkannya? atau merasa kurang enak lagi diuar-uarkan?
Saya, di usia 30an cukup bernafsu bila menulis atau bercakap bersangkutan perempuan. Di usia 45 ke bawah masih bersemangat menulis dalam blogger tentang lelaki mencari selimut tebal di Phuket, Pattanya atau Bandung.
Sekarang usia telah menajak saya sudah menyedari ketidak-seronoknya menceritakan isu itu lagi. Saya cuba-cuba memikirkan kesilapan saya dan mendelete artikal yang kurang enak mengenai perempuan dalam blogger saya. Tetapi sebenarnya bertujuan untuk pembaca menimba pengajaran.
Benarkan di usia setengah abad yang bakal dilalui atau usia Dato' perasaan 'sensitiviti' itu akan lenyap?. Saya mulai sedar tulisan Dato' tidak lagi menyentuh 'perempuan' sejak akhir-akhir ini dalam Majalah sastera. Seperti contoh tulisan Gunawan Mohamad dalam Tempo yang berperempuan. Bukanlah maksud saya menulis sembrono seperti blogger saya?. Saya terkadang terfikir, kalau tiada lagi tulisan 'kias' mengenai perempuan tiada lagi keindahan dalam creative writing. Mungkin saya silap?.
Salam, Dato'
Saya ingin berkongsi pengalaman dengan Dato'. Ini hanya kerana tangkapan saya, jika benar?.
Dato' cukup sensitif atau peka melalui penghasilan puisi atau tukas (tulisan ringkas dalam majalah sastera). Saya bercakap tentang tulisan Dato' mengenai cerita bersangkutan 'Perempuan'.
Contohnya satu tukas yang masih diingati, tentang perempuan bercumbu dengan lelaki di biilik terang benderang dan tidak menyukai keadaan gelap. Saya hampir lupa artikal itu dan berapa rumpun puisi tentang belaian dan sentuhan perempuan.
... Rambutmu hutan-hutan.... sajak perempuan dalam Tiga Catatan Perjalanan buku terbitan tahun 1980
.... Bersuaralah, suarakanlah dendam kalbu terhadap lelaki jalang dalam Perempuan di jendela ... ajak-sajak lain terbitan 2008. Dan banyak sajak-sajak Dato' yang bercerita tentang perempuan, ketika itu umur Dato' sekitar 45 ke atas.
Soalan saya, mungkin benarlah faktor usia mengajak kita berjalan jauh dari cerita-cerita sebegitu. Atau terus meninggalkannya? atau merasa kurang enak lagi diuar-uarkan?
Saya, di usia 30an cukup bernafsu bila menulis atau bercakap bersangkutan perempuan. Di usia 45 ke bawah masih bersemangat menulis dalam blogger tentang lelaki mencari selimut tebal di Phuket, Pattanya atau Bandung.
Sekarang usia telah menajak saya sudah menyedari ketidak-seronoknya menceritakan isu itu lagi. Saya cuba-cuba memikirkan kesilapan saya dan mendelete artikal yang kurang enak mengenai perempuan dalam blogger saya. Tetapi sebenarnya bertujuan untuk pembaca menimba pengajaran.
Benarkan di usia setengah abad yang bakal dilalui atau usia Dato' perasaan 'sensitiviti' itu akan lenyap?. Saya mulai sedar tulisan Dato' tidak lagi menyentuh 'perempuan' sejak akhir-akhir ini dalam Majalah sastera. Seperti contoh tulisan Gunawan Mohamad dalam Tempo yang berperempuan. Bukanlah maksud saya menulis sembrono seperti blogger saya?. Saya terkadang terfikir, kalau tiada lagi tulisan 'kias' mengenai perempuan tiada lagi keindahan dalam creative writing. Mungkin saya silap?.
Assalamualaikum,
Sdr Marsli,
Pemimpin macam kita juga : manusia biasa yang selalu terperangkap dalam kealpaan amanah sehingga ditafsirkan sebagai tidak beramanah. Itulah godaan dan dugaan apabila memegang kekuasaan.Hanya orang yang bertakwa sahaja yg selamat drpd kecelakaan itu. Kalau kita berasa kecewa, marilah kita maafkan sahaja mereka sempena Ramadhn yg kudus ini.
Sdr Skheik Mustafa,
Terkejut juga saya membaca komentar sdr bahawa sdr pernah mengikuti karya-karya saya yg dahulu. Tentang perempuan, dia adalah makhluk yg sangat indah diciptakan Tuhan, tetapi pertama kali lelaki (Adam) dimurkai Tuhan adalah kerana perempuan (Hawa)yang dihasut oleh Iblis.Namun Tuhan telah mengampuni mereka setelah bertaubat. Itulah pengajaran bagi kita yg sering saja tergoda oleh kecantikan wanita. Berwaspadlah, dan Tuhan Maha Pengampun. Tidak salah kalau kita meraikan kehebatan wanita di dalam tulisan2 kita yg di sana sini bernafas romantik atau erotik, asal jangan terlanjur menjadi pornografik.Namun alangkah baik dan nikmatnya apabila tentang kesaktian perempuan itu kita akhirnya meraikan kebesaran dan kekuasaan Maha Pencipta yang suka kepada keindahan dan kebaikan.Selalulah memohon keredaan-Nya. Teruskan menulis.
Salam,
Harap dapat ulas martabat bahasa Melayu masa ini di negara ini yang masih terkial-kial untuk bernafas. Jaminan dalam perlembagaan tidak selari dengan pelaksanaannya. Isu tentang bahasa Melayu sentiasa bertambah. Bagi rakyat biasa kadang kala sukar hendak memahami sebab-sebabnya. Dato dan pakar bahasa yang lain perlu menjelaskannya dari semasa ke semasa. T.k
Post a Comment