Sunday, 7 November 2010

TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA ?

Tertulis pada dinding sebelah pintu gerbang Jel Pudu
Seusai tahalil, zohor dan solat hajat di rumah anak saudara pada tengah hari Sabtu kelmarin, kami dijamu makan tengah hari. Saya sering memulai makan dengan buah-buahan terlebih dahulu. Selesai makan nasi baru menjamah sedikit kuih pembasuh mulut. Kalau makan buah-buahan dahulu perut sudah sedikit berisi dan taklah makan nasi dan daging banyak sangat. Khabarnya ini cara yang lebih baik bagi kesihatan. Ia tidak mendera sangat sistem penghadaman, tetapi seolah memujuknya untuk beransur-ansur menyerap zat makanan. Tak berlaku transformasi mengejut pada sel-sel dalaman. Ini bukan pendapat profesional, tetapi kalau betul baguslah.

Sesudah makan kami bersembang. Antara topik yang berlegar ialah rancangan besar kerajaan untuk mentransformasi ekonomi negara. Pelbagai pendapat dikemukakan dan didengar. Setelah setengah jam saya teruja untuk bertanya lawan bicara: apa maknanya transformasi itu; dan apa aspek-aspek tertentu yang akan ditransformasi; dan apa hasil yang boleh diukur yang dirancangkan? Jawabnya , tidak ada sesiapa yang boleh menjawab dengan jelas.

Tak tahulah apakah Adun, dan Ahli Parlimen di Lenggong atau di Teluk Menegun akan dapat menghuraikannya kepada ahli jemaah selepas solat Magrib di surau, atau sewaktu santai-santai minum kopi di warung-warung tepi jalan.

4 comments:

Kembara Bahasa said...

Datuk Baha Zain,

Menjadi tabiat sesetengah orang, apatah lagi pemimpin untuk menzahirkan ungkapan/ucapan yang muluk-muluk dan kedengaran hebat, tetapi takrif dan tafsir 'kata-kata besar' itu sendiri belum tentu difahaminya. Sudah berapa banyak ungkapan, slogan dll - namakan sahaja beberapa contoh: "Kepemimpinan Melalui Teladan", "Bersih Cekap Amanah", "Berkhidmat untuk Negara", "Negara maju beracuan sendiri", "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" dan entah apa-apa lagi.

Kata-kata besar apabila tidak diberi pengisian oleh jiwa dan pemikiran besar ternyata tidak membawa kita (rakyat, negara) ke mana-mana. Kebobrokan sosial, ekonomi, pendidikan dll. terus menjadi tokak dan barah yang kian kritikal.

Sebagaimana yang Datuk tegaskan dalam siaran terdahulu, yang perlu dibetulkan ialah imannya dahulu - hidup, kuasa dan kerja itu untuk apa dan kerana apa? Selama tidak dalam redha, barakah dan rahmah Alah (kerana menyeleweng dalam perencanaan dasar dan pelaksanaan kebenaran serta keadilan yang berdasarkan syariat Allah), maka segala slogan tidaklah lebih daripada kicauan burung yang tidak mengerti pun perihal yang dikicaukannya. Wallahu a`lam.

MYPANDAN said...

Desa kota,
Nukilan Kembara Bahasa memang benar. Gagasan besar tanpa pengisian rohani akan membawa padah kepada negara.
Persoalan dalam masyarakat yang menyentuh aspek kehidupan perlu ditunjangi iman yang kukuh. Pembentukan iman mesti bersandarkan al-Quran dan hadis sahih. Pengambilan ilmu dan penyebarannya di negara ini perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami masyarakat umum iaitu bahasa Melayu. Kelemahan menguasai bahasa ini akan merencatkan usaha ke arah pembentukan asas tersebut. Nampaknya begitu mudah tetapi kesannya luas dan mendalam.

sinaganaga said...

Grafiti tu - HA HA HA.

AHMAD FADZIL YASSIN said...

Datuk, entahlah saya pun masih kurang faham istilah besar seperti tranformasi atau segala yang berbentuk begitu. Mungkin saya masih lagi terkial-kial mencari makna mudah istilah yang digunakan perdana menteri kita ini. Minta maaflah Dato'.

Apapun jua, seronok juga baca pandangan Dato' ini. Apa khabar Dato' Lama tak jumpa. Ke DBP dah jarang pergi. Maklum, kawan-kawan pun telah banyak yang bersara.Sesekali jenguklah blog tak seberapa saya http://alongabe.blogspot.com