Friday, 21 August 2009

Berpuasa, Beribadat Demi Bertakwa

Assalamualaikum kepada semua sahabat, pembaca blog yang dihormati, kenalan jauh dan dekat,
dan saudara-saudara Musliminin dan Muslimat,

Dengan tulus ikhlas saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa yang wajib pada Ramadhan ini semoga kita menyahut seruan Allah supaya bertakwa. Alangkah manis dan cantiknya Ramdhan, penghulu segala bulan, yang datang dengan penuh kasih sayang, keampunan dan pahala yang berlipat ganda.
Inilah bulan--Ramadhan- yang disebut namanya di dalam al_Quran.

Salam dan semoga di rahmati , diberkati dan dimurahkan rezeki oleh Allah jua.

Baha Zain

Tuesday, 18 August 2009

IKHTIAR MENGHINDAR SELSEMA BABI

Sahabat baik saya sejak sekolah dahulu telah bersusah payah menyampaikan petua untuk menjauhkan diri daripada dihinggapi Selsema Babi (Swine Flu):

1. Sedut bau minyak cengkih (Lavanga oil)--2 titik minyak atas sapu tangan dan hidu-hidu selalu.

2. Kunyah sekurang-kurangnya satu bunga cengkih sehari

3. Makan sedikit bawang putih mentah, bawang dan juga halia.

4. Minum susu panas bercampur 2 gm kunyit.

5. Makan banyak buah-buahan mengandungi vitamin C ( limau, beri, jambu etc).



Maklumat daripada Times of India . Agaknya itulah sebabnya India belum begitu teruk kena Selsema Babi.

Berdoalah juga minta Tuhan pelihara keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan masyarakat Islam kita yang tak makan babi dan tak ternak babi agar terselamat. Masjid-masjid dekat kediaman kami sudah beberapa kali selepas solat Jumaat mengadakan solat hajat mohon perlindungan Allah.

Berikhtiar, berdoa dan bertawakallah dengan keinsafan terhadap Yang Maha Penyayang.

Thursday, 13 August 2009

HANYA TULISAN YANG TINGGAL DIBACA

Dalam waktu seminggu ini empat berita kematian orang kenalan disampaikan melalui pesanan telepon. Mula-mula berita kematian Allahyarham penyair Sabar Bohari yang berasal dari satu daerah dengan saya ; kemudian W.S.Rendra penyair Indonesia; sesudah itu Hajah Halimah, Pegawai Perancang Bahasa, di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kelmarin 12 Ogos Dharmala N.S
penulis cerpen, esei dan novel yang telah berkarya sejak 70-an. Kerana tidak jauh dari rumah ,saya sempat turut bersama sembahayang jenazahnya di masjid Sri Gombak sesudah usai solat zohor.

Baru sahaja selesai membaca sajak Sabar Bohari, "Satu Malaysia" dalam keluaran Dewan Sastera , Ogos, tiba pula berita kematiannya. Tentang Rendra, sepatutnya kami sama-sama berhimpun , pada minggu pertama Julai, di Korea Selatan, tetapi akhirnya dia tidak datang kerana uzur. Apa yang sampai hanya sajak-sajaknya, dan itupun tidak dibacakan pada malam 'Poetry Night". Saya mulai mengenal Rendra pada awal tahun 70-an sewaktu tinggal di Jakarta, dan sering menonton teater serta persembahan-persembahan puisinya di Taman Ismail Marzuki. Dia sangat memikat di atas pentas kerana bakat teaternya yang hebat. Hajah Halimah walaupun bukan penulis, tetapi sangat berjasa dalam pembinaan istilah teknikal yang menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata-kata ilmu pengetahuan di dalam bahasa kita . Bahasa kebangsaan masih sangat memerlukan keahlian dan pengalamannya , terutama pada saat ini setelah 6 tahun bahasa sains dan matematik dinyahkan. Dia pergi terlalu awal, tetapi seruan Tuhan lebih mengetahui dan adil terhadap hamba-hamba- Nya. Karya Dharmala pernah saya baca sejak lama dahulu, terutama apabila menjadi panel hakim bagi memilih cerpen-cerpen yang baik untuk memenangi hadiah. Memang dia sangat berbakat, dan turut memperkaya khazanah persuratan moden bangsa kita.

Sekalian yang telah memperkaya bahasa Melayu dengan imaginasi , sensitiviti seni dan inteleknya tiba-tiba meninggalkan lapangannya. Hanya hasil jerih payah: puisi, esei,cerpen, makalah dan istilah dalam majalah dan buku yang menjadi kesaksian tentang kehadiran mereka pada suatu waktu yang lalu. Mereka telah pergi meninggalkan buku-buku. Peristiwa ini menginsafkan bahawa kita jangan alpa setiap hari tentang berniat dan berusaha untuk meninggalkan kebaikan. Hanya itulah yang akan menjadi kenangan orang di dunia, dan bantuan
meringankan roh kita di akhirat. InsyaAllah.

Jadi menulislah dengan sebab dan tujuan yang betul; bukan dengan niat yang salah.

Persoalan ini mengingatkan kita kepada ratusan pengarang dahulu yang telah mempertaruhkan jiwa raganya dalam dunia karang mengarang dan perjuangan menentang kezaliman dan penindasan seperti Zaaba, Kajai, Ishak Haji Muhamad dan Samad Ismail. Kedua-dua pengarang Ishak dan Samad Ismail meninggalkan cerpen dan novel yang sangat komited kepada masyarakatnya; dan bertahun-tahun dihumban ke dalam penjara. Hanya pada larut usianya baru diberi perhatian yang besar setelah kemerdekaan rakyat menjadi kenyataan.

Barangkali sudah tibalah saatnya kerajaan melalui agensi tertentu mengabadikan nama kedua-dua tokoh besar persuratan, politik dan kewartawanan ini pada ruang-ruang tertentu di mana terpamer secara visual imej , karya dan pembicaraan tentang mereka bagi mendidik perasaan dan fikiran generasi anak-anak kemerdekaan tentang apa ertinya perjuangan dan pengorbanan. Institusi yang paling tepat tentulah Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan ruangan khas bergelar " Kamar Kemuliaan " untuk Pak Sako dan Samad Ismail. Kedua-dua tokoh ini telah melalui kehidupan yang sangat berwarna warni dan aneh dalam denyut-denyut nafas bahasa, sastera, kewartawanan dan politik kebangsaan. Mereka sangat wajar dan berhak untuk dikenang ketokohannya.

Saturday, 8 August 2009

Selamat Datang Ke Kebuncipta

Apabila dunia terlalu hiruk pikuk dengan pelbagai peristiwa kita perlu bertenang dan duduk merenung ke dalam diri supaya tidak hanyut daripada dasar kehidupan yang hakiki. Ini bukan pelarian , tetapi tempat berteduh sementara dan mencari diri sendiri yang telah terbawa-bawa oleh peristiwa di sekitar, entah benar ataupun tidak.

Di kebuncipta kita mendengar panggilan hati nurani, dan belajar mendengar perasaan orang lain.
Kesenian bukan sekadar untuk menikmati keindahan, tetapi mencari kebenaran. Datanglah berkunjung untuk kita berdialog .

Pintu ke kebuncipta menunggu di sebelah atas kanan blog desakota
:
Blog Seni & Sastera
kebuncipta

Tuesday, 4 August 2009

MEMBACA SEMULA CIPTAAN SILAM

Mengembalikan Semula Dunia yang Hilang

Gerakan pembebasan dan revolusi di Indonesia dahulu telah menjadi inspirasi membangkitkan
semangat perjuangan di Semenanjung Tanah Melayu. Revolusi Indonesia tercetus menjadi kenyataan sesudah gagasan pemberontakan itu matang dalam fikiran rakyatnya. Fikiran itu dipersiapkan dan dimatangkan oleh penulis, budayawan, wartawan dan aktivis agama serta politik. Sesudah itu barulah rakyatnya bersedia bertumpah darah menebus kedaulatan dan maruahnya: Merdeka.

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia, para penulis dan pengarang telah menulis cerpen serta novel yang menceritakan pertentangan antara adat resam, nilai-nilai dan falsafah Timur dengan yang dibawa oleh penjajah Barat. Kesusasteraan menjadi suara perlawanan yang halus , tetapi menginsafkan kerana ia mempengaruhi bukan sekadar fikiran tetapi juga emosi dan sikap.

Lahirlah pelbagai karya yang ditulis dalam bahasa Indonesia bagi bacaan di Sumatera, Jawa, dan di pulau-pulau sekitarnya. Bahasa Indonesia lalu menjadi bahasa baru, bahasa pemersatuan, dan suara perjuangan nasional bagi ratusan suku-bangsa: Sunda, Jawa, Minangkabau, Batak, Bali, Minado, Madura, Aceh, Melayu etc,etc. yang menuntut keadilan.

Baru-baru ini , Balai Pustaka, penerbit yang wujud sebelum merdeka, kabarnya menerbitkan semula novel-novel klasik modern Indonesia yang telah menunjukan keistemewaan bakat kreatif dan pemikiran intelektual bangsa Indonesia zaman pra-merdeka.

Penerbitan disempurnakan dalam bentuk kumpulan khas yang setiap satu terdiri daripada 8 judul dengan nombor sirinya:
1. Azab dan Sangsara, Merari Siregar
2. Salah Pilih, Nur Sutan Iskandar
3. Siti Nurbaya, Marah Rusli
4. Dari Ave Maria ke Jalan Lain ke Roma, Idrus
5. Layar Terkembang, Sutan Takdir Alisjahbana
6. Atheis, Achdiat K Mihardja
7. Salah Asuhan, Abdoel Muis
8. Habis Gelap Terbitlah Terang, R.A. Kartini

Projek penerbitan ini dikelolakan oleh sekumpulan lapan pengarang yang diketuai oleh penyair Tufik Ismail.

Demikianlah bagaimana Indonesia melalui kesusasteraan mengembalikan dunia yang hilang supaya bangsanya sedar bahawa zaman yang merdeka ini telah diwujudkan oleh keringat dan darah sejarah yang lalu.

Bagaimana Malaysia menaksir sejarahnya ?

Wednesday, 22 July 2009

CABARAN PASCA PPSMI

Kenyataan rasmi kerajaan ( 8 Julai 2009) yang diungkapkan melalui TPM/Menteri Pelajaran telah jelas memberitahu penduduk Malaysia bahawa BM dimartabatkan [ sebenarnya dimartabatkan kembali] ; dan BI dimantapkan [ sebenarnya dimantapkan lagi ] dengan memansuhkan PPSMI. Pada dasarnya kita semua sokong kerana ini keputusan yang menasabah
dan adil walaupun tidak mampu memuaskan perasaan dan fikiran semua pihak.

Ramai pula ibu bapa, dan rakyat biasa yang tidak mendalami isu PPSMI ini bimbang akan berlakunya kemerosotan berbahasa Inggeris apabila PPSMI bertukar menjadi PPSMM (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalan bahasa Melayu). Kebimbangan ini wajar kerana ramai rakyat percaya bahawa untuk maju dalam pelajaran dan dapat pekerjaan sebagai pegawai tinggi kerajaan atau berjaya dalam perniagaan mesti lulus dan pandai berbahasa Inggeris.

Jadi tidak hairanlah ramai yang beranggapan bahawa pejuang yang menentang PPSMI ini anti-BI. Ini suatu persepsi yang salah sama sekali; dan ia diperkuatkan oleh propagandis yang menyokong apa saja yang diputuskan oleh pemimpin-pemimpin politik yang disokongnya. Pejuang dan rakyat pencinta BM janganlah pula mengulangi sikap dan perbuatan yang keliru itu dengan menuduh mereka yang tak setuju dengan pemansuhan PPSMI ini anti-BM walaupun ada individu serta pihak tertentu yang berfikiran buruk seperti itu.

Sangatlah kena pada tempatnya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memikirkan pelbagai pendekatan serta metode untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran BI, terutama di kampung-kampung yang ketinggalan pembangunan sejak merdeka. Demokrasi dan keadilan pendidikan harus diterjemahkan dalam keadilan sosial; keadilan sosial harus mencerminkan keadilan tradisi dan kebudayaan. Hasrat kerajaan untuk memperluas peluang dan meningkatkan mutu penguasaan BI di sekolah akan dapat mententeramkan kebimbangan ibu bapa; dan sekali gus menyelesaikan metode PPSMI yang tidak rasional yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara sejak 2003.

*****

Bagaimana pula masa depan BM? Apakah dengan memansuhkan PPSMI segala masalah kemajuannya sebagai bahasa ilmu terselesai dengan sendirinya ? Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan " memartabatkan BM"? Perkataan " martabat" membawa erti kedudukannya pada pandangan orang berada pada tempat yang tinggi, ada pangkat atau darjatnya. Biasanya ia membawa sekali nilai-nilai maruah dan kehormatan kerana ada sifat-sifat amanah, berguna, berani atau memiliki nilai-nilai yang disukai masyarakat.

Apakah BM ini mempunyai martabat? Dalam sejarah, kebudayaan dan tradisi memang ia mempunyAi kedudukan, tempat dan darjat yang hebat. Itu dahulu, dan hari ini ia termaktub pula dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Malaysia (Perkara 152). Jadi dari segi martabat atau status rasminya tak ada persoalan lagi.

Bagaimana pula maruahnya? Ada orang yang berpangkat besar dan bergelar itu dan ini, tetapi tak amanah, perasuah, pemeras, penipu atau tak guna pada orang ramai sehingga dia tak dihormati; tak ada maruah kata orang. Jadi inilah kekhuatiran kita terhadap BM: ada status, tetapi mungkin orang tak pandang tinggi dan tak hormat kerana tak banyak manfaatnya bagi menghadapi zaman moden, zaman industri dan global.

Jadi marilah kita sama-sama berfikir apa selanjutnya mesti diperjuangkan untuk memberi maruah kepada martabatnya yang rasmi . TIDAK GUNA HANYA MENYEBUT UNTUK MEMARTABATKANNYA SAHAJA. ANDAINYA SAUDARA MEMPUNYAI APA-APA CADANGAN MOHONLAH SAMPAIKAN. KITA CUBA HIMPUNKAN DAN SAMPAIKAN KEPADA PIHAK BERKENAAN UNTUK DIPERTIMBANGKAN-- TERIMA KASIH JUA.

Friday, 17 July 2009

PRESIDEN MCA MASIH TAK FAHAM PPSMI

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, mahu PPSMI diteruskan bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 dalam aliran sains. Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas memberi jawapan bahawa yang boleh dibincangkan adalah strategi dan pendekatan, bukan merubah dasar lagi sehingga menjadi tidak konsisten. Ini jawapan yang tegas, dan Menteri Pelajaran diminta terus tegas. Jangan mempermainkan soal bahasa Melayu, pendidikan dan kebudayaan ini. Dia jangan menjadi seperti , harapkan pagar, pagar makan padi. Berkhianat kepada bangsanya walau atas alasan apa sekalipun.

Kenapa Ong Tee Keat tidak faham-faham lagi isu PPSMI yang hodoh itu? Apakah dia tak tahu sekurang-kurangnya ada empat kajian ilmiah yang bebas yang memberi laporan negatif terhadap pembelajaran sains, matematik, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apakah dia tidak sensitif terhadap perasaan terluka orang Melayu apabila selepas 30 tahun BM dimartabatkan, ia dipinggirkan sebagai bahasa pengantar?
Masyarakat Cina tak perlulah bimbang sangat kerana di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina masih terus dibolehkan mengajar sains dan matematik dlm Mandarin. Bahasa Cina pun tak perlu dibina di Malaysia kerana tapak pembinaannya berpangkal di Beijing, Hongkong, Taipei dan Singapura; ribuan judul buku boleh diimpot bila-bila masa sahaja dari luar untuk keperluan penggunannya di negara ini.

Apa rationale dan hujjah-hujjah besar Ong Tee Keat untuk mengungkit perkara ini lagi setelah direstui oleh Kabinet di mana dia tentu duduk di dalamnya sekali? Kalau tak ada hujjah yang lebih hebat dan besar daripada sekalian hujjah penolakan PPSMI yang telah dihantar oleh kumpulan NGO , tindakan Ong Tee Keat ini boleh saja ditafsirkan sebagai picik dan sempit walaupun tidak berbau perkauman.

Tahukah beliau bahawa antara penentangan pokok terhadap PPSMI oleh orang Melayu ialah ia akan membantut kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Dasar PPSMI ini diistilahkan oleh orang Melayu sebagai pengkhianatan terhadap bahasa dan kebudayaannya. Apakah Datuk Seri Ong Tee Keat buat-buat tak tahu faktor ini?

Pperistiwa PPSMI ini adalah suatu pengajaran dan contoh besar sejarah, iaitu apabila ada pemimpin Melayu sendiri yang memperlekeh bahasa dan kebudayaan bangsanya, orang lain pun tidak akan hormat kepada orang Melayu.

Memang dalam beberapa hal orang Melayu , terutama yang sudah senang lenang dan menjadi kelas menengah, berkat Dasar Ekonomi Baru, tak ambil pusing lagi maruah bahasa dan bangsanya. Mereka tidak cepat berasa terhina kalau diperlekehkan . Sampai beribu-ribu orang turun ke jalan raya menunjuk perasaan baru mereka buka mata, seolah-olah terkejut terpinga-pinga daripada mimpinya yang nikmat.

Betulkah bangsa Melayu ini sudah tak ada harga diri lagi, dan buta terhadap apa ertinya kemajuan ?