Mengembalikan Semula Dunia yang Hilang
Gerakan pembebasan dan revolusi di Indonesia dahulu telah menjadi inspirasi membangkitkan
semangat perjuangan di Semenanjung Tanah Melayu. Revolusi Indonesia tercetus menjadi kenyataan sesudah gagasan pemberontakan itu matang dalam fikiran rakyatnya. Fikiran itu dipersiapkan dan dimatangkan oleh penulis, budayawan, wartawan dan aktivis agama serta politik. Sesudah itu barulah rakyatnya bersedia bertumpah darah menebus kedaulatan dan maruahnya: Merdeka.
Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia, para penulis dan pengarang telah menulis cerpen serta novel yang menceritakan pertentangan antara adat resam, nilai-nilai dan falsafah Timur dengan yang dibawa oleh penjajah Barat. Kesusasteraan menjadi suara perlawanan yang halus , tetapi menginsafkan kerana ia mempengaruhi bukan sekadar fikiran tetapi juga emosi dan sikap.
Lahirlah pelbagai karya yang ditulis dalam bahasa Indonesia bagi bacaan di Sumatera, Jawa, dan di pulau-pulau sekitarnya. Bahasa Indonesia lalu menjadi bahasa baru, bahasa pemersatuan, dan suara perjuangan nasional bagi ratusan suku-bangsa: Sunda, Jawa, Minangkabau, Batak, Bali, Minado, Madura, Aceh, Melayu etc,etc. yang menuntut keadilan.
Baru-baru ini , Balai Pustaka, penerbit yang wujud sebelum merdeka, kabarnya menerbitkan semula novel-novel klasik modern Indonesia yang telah menunjukan keistemewaan bakat kreatif dan pemikiran intelektual bangsa Indonesia zaman pra-merdeka.
Penerbitan disempurnakan dalam bentuk kumpulan khas yang setiap satu terdiri daripada 8 judul dengan nombor sirinya:
1. Azab dan Sangsara, Merari Siregar
2. Salah Pilih, Nur Sutan Iskandar
3. Siti Nurbaya, Marah Rusli
4. Dari Ave Maria ke Jalan Lain ke Roma, Idrus
5. Layar Terkembang, Sutan Takdir Alisjahbana
6. Atheis, Achdiat K Mihardja
7. Salah Asuhan, Abdoel Muis
8. Habis Gelap Terbitlah Terang, R.A. Kartini
Projek penerbitan ini dikelolakan oleh sekumpulan lapan pengarang yang diketuai oleh penyair Tufik Ismail.
Demikianlah bagaimana Indonesia melalui kesusasteraan mengembalikan dunia yang hilang supaya bangsanya sedar bahawa zaman yang merdeka ini telah diwujudkan oleh keringat dan darah sejarah yang lalu.
Bagaimana Malaysia menaksir sejarahnya ?
3 comments:
salam
saya cukup kagum dengan idea dan buah fikir encik..
salam kenalan
Salam Bapak Baha Zain.
Tulisan bapak selalu memberikan inspirasi. Terlintas saya betapa gelisahnya bapak kepada realiti di negara tercinta ini.
Salam Dato,
Seperti bahasa, Malaysia hanya nampak pada sejarahnya yang pendek walaupun sejarah panjang mendewasakannya.Kita gagal dalam menafsir sejarah kita yang telah mencecah usia ratusan tahun. Tidak ramai yang mahu menoleh ke belakang, walaupun hanya untuk mengenang. Jika ternampak pun mereka hanya mahu menoleh sekali dan terus melihat ke hadapan.
Post a Comment