Friday, 16 April 2010

Thursday, 15 April 2010

ORANG POLITIK PUN BUKAN SENANG

RAKYAT PERLU BEBAS DARIPADA WANG POLITIK
BERSIH DAN CERGAS MENJALANI KREATIVITI HIDUPNYA




Petang tadi tak sangka bertemu dengan orang politik. Ahli Parlimen yang punya Ph.D. Duduk semeja dan segera kami menjadi ramah tamah seolah-olah sudah kenal lama. Barangkali dia telah mengenali saya dari jauh dan tahu saya datang dari dunia minat yang sangat berbeza dengan dunia kekuasaan. Jarang -jarang saya menemui orang politik yang bercakap terus terang tentang persepsi golongan terpelajar atau profesional , malahan rakyat biasa, tentang orang seperti dia.

Dia tidak menyembunyikan pandangan negatif orang terhadap pemimpin rakyat seperti dia. Susah hidup kerana ramai yang sangat mudah mengkritik; ada sahaja yang tak kena. Politik sekarang sangat rumit, katanya. Saya memang selalu tidak memandang sangat hormat terhadap sesiapa sahaja yang berebut kekuasaan.Kali ini saya menaruh hormat dan simpati kerana YB nampak insaf akan persekitaran semasa yang kompleks, sangat banyak berubah, dan sulit diagak. Barangkali kerana dia bekas ahli akademik maka sikapnya lebih terbuka dan berani berterus terang. Sambil berterus terang secara tak langsung dia juga menyelar orang yang hiperkritis.

Saya seperti biasa tidak cepat memberi pandangan suka tidak suka, kecuali apabila sudah kenal lama lawan bicara. Saya lebih suka mendengar masalah orang, daripada menceritakan masalah pekerjaan sendiri. Kerana perkenalan singkat itu cepat mesra, saya sebut juga bahawa masyarakat sudah kurang percaya kepada pemimpin politik sekarang. Dahulu pemimpin adalah orang perjuangan yang memang sejak mula memasuki gelanggang bertujuan membela kemiskinan. Saya juga memberitahu YB masyarakat kita sudah jauh terlajak ke depan. Kalau mahu memperbetulkannya yang mungkin adalah terhadap generasi akan datang. Itupun mesti dimulai di peringkat sekolah secara struktural melalui perubahan besar dengan matlamat falsafah untuk membina akal budi manusia, bukan akalnya sahaja. Zaman ini sangat ramai orang yang berakal, cerdik, berpendidikan tinggi, berteknologi canggih, dan mempunyai kekuasaan besar. Tetapi itulah ; akal sahaja yang lebih.


Dia bersetuju. Barangkali dia masih memiliki banyak saki baki ilmu dari kampus, dan belum terlajak jauh berlawan menjatuhkan lawan kerana baru menjadi wakil rakyat. Kalau sudah lama berpengalaman luka, terluka dan melukai barangkali
dia tidak akan menjadi sensitif lagi --seperti sekarang. Dia masih manusia, belum menjadi political animal yang tebal muka, dan tebal telinga.

Sebenarnya tidak semua pemimpin politik itu jahat, mata duitan, rasuah, tidak telus dan penuh kepura-puraan. Masih ada yang bersih. Masih ramai yang kelabu alias separuh hitam. Tetapi kalau semua orang politik pula menyangka bahawa rakyat hanya mengharapkan ganjaran, peluang dan faedah dengan merapati mereka, tak betul juga.

Saya harap YB yang ini kekal menaruh kepercayaan bahawa masih ada orang yang diketemuinya bersikap jujur walaupun berfikiran berbeza.

Saya baru selesai menulis cerpen yang memberi pandangan simpati dan positif
terhadap watak utama yang bergelar YB. Dalam cerpen ini yang menjadi biang keladinya adalah watak-watak tambahan di sekelilingnya. Barangkali untuk menebus dosa saya yang selalu curiga terhadap YB . Jadi saya lepaskan sahaja tempeleng tangan kanan itu ke muka orang-orang kepercayaan di sekelilingnya yang barangkali lebih parah sikapnya berbanding rakyat biasa.

Thursday, 25 March 2010

APA YANG TELAH TERJADI PADA POLITIK KITA?

Dunia politik kita ( seperti juga di Thailand) penuh drama. Setiap hari ada berita yang baru. Parlimen pun ada kalanya macam sarkis; selalu menarik pandangan penonton: gajah boleh berdiri atas dua kaki, monyet menunggang kuda mengelilingi gelanggang, harimau melompat menembusi gelung api, badut naik basikal satu roda dan macam-macam pertunjukan luar biasa.

Pemimpin baik dia Ahli Parlimen atau tidak , harus mempunyai moral yang baik supaya rakyat boleh hormat dan percaya bahawa mereka boleh diharap untuk memimpin rakyat bukan sahaja
dalam bidang ekonomi, pentadbiran, dan sosial, tetapi juga kebijaksanaan akal budi .
Parlimen itu adalah tempat yang tertinggi dan mulia untuk berdialog dan berbahas tentang isu-isu dasar kenegaraan demi kepentingan rakyat terbanyak. Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri bukan balai raya, kelab golf, restoran atau pasar borong. Kalau kata-kata dan ungkapan tepi longkang boleh terdengar dalam Parlimen, apa bezanya Dewan Rakyat dengan kedai Kopitiam. Nampaknya di negara ini sesiapa sahaja layak menjadi pemimpin sehingga tak ada apa-apa istemewanya bergelar YB itu.

Maka sebab itulah Khalifah Islam Keempat, Ali bin Abi Talib, berpesan kepada Malik bin al-Haris al-Ashtar sewaktu dilantik sebagai Gabenor Mesir"

" Ketahuilah oleh kamu, wahai Malik bahawa kami menghantar kamu menjadi Gabenor sebuah negeri yang pada masa lalu yang telah mengalami pemerintahan yang adil mahupun tidak adil. Orang akan memerhatikan tingkah laku kamu dengan
teliti sebagaimana kamu pernah meneliti tingkah laku orang, sebelum kamu dan orang akan bercerita tentang kamu , sebagaimana kamu bercerita tentang orang lain.

Sebenarnya orang selalu memuji mereka yang berbuat baik,Merekalah yang menjadi saksi kepada perbuatan kamu. Sebab itu harta yang paling berharga yang patut menjadi idaman kamu ialah perbuatan amar maaruf. Kawallah hawa nafsu kamu dan jauhkanlah diri kamu daripada perkara-perkara yang ditegah kerana dengan menahan hawa nafsu kamu dapat membezakan segala yang baik dan segala yang buruk buat kamu.

Tanamkanlah semangat cinta akan rakyatmu dalam diri kamu, semoga rakyatkamu memperoleh manfaat dan rahmat daripadanya."

Tuesday, 16 March 2010

POSPONIENDO LA VEDAD Y OTROS


Demikianlah terjemahan untuk "MENANGGUHKAN KEBENARAN dan PUISI-PUISI LAIN" atau "POSTPONING TRUTH and OTHER POEMS" dalam bahasa Sepanyol.

Bahasa Sepanyol adalah bahasa antarabangsa yang ketiga besar jumlah penuturnya selepas bahasa Mandarin dan Inggeris. Sebahagian besar daripada negara-negara Amerika Latin ( Argentina, Chile, Peru etc) menggunakan bahasa Sepanyol.

Di negara kita bahasa Perancis, Jerman, Sepanyol, Belanda, Portugis, Russia misalnya tidaklah di ketahui sangat kerana perjalanan sejarah kita lebih banyak bersentuhan dengan bahasa Arab, Inggeris dan Cina. Selain daripada itu orientasi pendidikan kita juga lebih menghala kepada United Kingdom dan Amerika Syarikat; dan dengan asakan arus globalisasi bahasa Inggeris menjadi sangat berpengaruh mencorakkankan fikiran, ekonomi serta kebudayaan bangsa.Oleh hal yang demikian kita banyak jahil tentang kekayaan serta kecemerlangan yang terkandung dalam tamadun yang berkembang dalam bahasa-bahasa lain seperti Russia, Jerman, Sepanyol, Perancis, dan Portugis. Alam pengalaman bangsa kita masih belum benar-benar luas terbuka kepada dunia yang beraneka ragam rahsianya.

Posponiendo La Vedad Y Otros ( Menangguhkan Kebenaran dan Puisi-puisi Lain)
ialah judul buku bagi kumpulan puisi-puisi saya yang pada mulanya diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh; dan sekarang diterjemahkan ke bahasa Sepanyol oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Sebagai pengarang saya telah diminta oleh ITNM hadir pada sesi dialog di Pesta Buku Antarabangsa (PWTC), pada (Selasa) 23 Mac 2010,
jam 2.00-3.00 petang,
di gerai pameran buku-buku ITNM.


Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih dan memberi penghargaan yang besar kepada ITNM kerana telah mulai berusaha memperkenalkan - bukan diri saya- tetapi tradisi dan persuratan bangsa kita ke dalam dunia bahasa-bahasa lain. Ini sangatlah penting supaya dunia luar mengenali bukan sahaja bijih timah, getah, kelapa sawit,
minyak dan bahan-bahan mentah yang lain, tetapi juga faham bahawa Malaysia juga seperti tamadun lain memiliki segi seni, kreatif, intelektual,kemanusiaan dan peradaban yang unik.Lebih daripada itu dalam warisan seni budayanya terkandung juga tak kurang berharganya nilai-nilai kemanusiaan universal yang boleh menjadi sebahagian daripada warisan dunia. Tahniah ikhlas kepada ITNM.

Sangatlah jarang saya tampil ke depan dengan karya-karya saya, tetapi mengingat
usaha yang serius dilakukan oleh ITNM untuk mengangkat imej sastera dan penerbitan Malaysia , InsyaAllah, saya akan menghadirkan diri pada Selasa, 23 Mac
tersebut. Saya ingin mengambil kesempatan di ruang ini menjemput teman-teman yang mengunjungi blog saya berkunjung ke acara tersebut. Kita hanya bertemu di ruang maya, bertukar pandang dan berdialog di gelombang udara. Mudah-mudahan kita dapat bersua muka dan bersalaman memanjangkan silaturrahim sebagai satu angkatan yang bebas suara dan hati nuraninya.

Sampai berjumpa, dan teriring doa restu untuk saudara.Amin.

Drpd Baha Zain



Thursday, 4 March 2010

NGO MELAYU BERPAKAT MEMPERTAHANKAN MELAYU-ISLAM: 10 SOALAN untuk MPM

Pada hujung Feb. 2010 sejumlah kira-kira 84 NGO Melayu bermesyuarat membentuk kesepakatan bagi memantau dan mempertahankan Perlembagaan, dan kepetingan Melayu dan Islam.

Ramai nama pemimpin organisasi yang datang terdiri daripada nama-nama yang terkenal ( bekas pemimpin politik, bekas pemimpin tentera, aktivis sosial) dan ada juga nama-nama yang tak terkenal, malah tak kuat kredibilitinya. Walau apapun ini adalah peristiwa agak luar biasa dan boleh dibaca pelbagai makna serta implikasinya.
Kelahirannya berupa tanda atau simptom daripada kegelisahan dan ketidak senangan masyrakat Melayu Islam terhadap situasi semasa yang nampak kacau, tak menentu dan bergolak dari hari ke hari baik dalam bidang politik, undang-undang serta kehakiman, mlaha keselamatan rakyat.


1. Apakah ini reaksi sekumpulan pemimpin Melayu yang prihatin terhadap kemunculan suara dan tindakan perkauman daripada kaum Cina dan India seperti Hindraf itu?

2. Apakah ia berupa kemerosotan kepercayaan terhadap pemimpin UMNO yang memerintah yang dianggap berkompromi dalam banyak hal sosial, bahasa, kesenian, ekonomi dan politik dengan kaum-kaum bukan Melayu untuk meraih sokongan politik?

3 Boleh jadi juga ia berupa langkah proaktif bagi mengawal kepentingan Melayu-Islam kalau-kalau pembangkang PR yang komponen pentingnya DAP, dan tokoh-tokoh bukan Melayu dalam Parti Keadilan akan mengambil kuasa pada masa depan.

4. Bolehkah beberapa tokoh dalam Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM) dipercayai kesetiaannya kepada keputusan2 MPM, dan tegas memperjuangkannya secara terbuka apakala bertentangan dengan keputusan pemimpin-pemimpin politik UMNO kerana ramai nama-nama yang menyertai mesyuarat MPM itu adalah nama-nama penting dalam UMNO sendiri walaupun sudah terpinggir daripada kerajaan?

5. Mampukah YB Ibrahim Ali yang mengambil inisiatif menemukan NGO tersebut mengambil sikap intelektual yang rasional dan bukan politikal dalam dialog dan keputusan-keputusan yang akan dibuat secara demokratik?

6. Mampukah pemimpin-pemimpin NGO yang lebih bersikap nasionalistik dan bukan condong kepada politik kepartian menerima kalau ada antara tokoh-tokoh terlibat cuba memihak kepada mana-mana pemimpin parti politk baik dalam kerajaan atau pembangkang?

7. Apakah tanggapan bukan Melayu terhadap ketegasan suara MPM seperti yang diucapkan oleh YB Ibrahim Ali?

8. Masyarakat Melayu yang goyah kepercayaannya terhadap kestabilan politik, kurangnya ketegasan pemimpin Melayu dalam kerajaan sekarang, dan pintu yang semakin luas terbuka kepada kaum lain, terutama gagasan 1 Malaysia yang diterjemahkan sebagai Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew dahulu, menyambut baik MPM, tetapi apakah ini akan mewujudkan polarisasi yang lebih tajam di negara ini?

9. Senario sosial-politik yang mencair dan berpolarisasi ini barangkali mencerminkan
kegagalan kerajaan membina perpaduan dan jati diri nasional yang berpaksikan
peruntukan2 penting Perlembagaan Persekutuan ( Bahasa Melayu, Islam, Kesultanan, Hak-hak Keistemewaan Melayu, dan budaya ).

10. Sejauh mana tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin NGO dalam MPM boleh bertahan secara ampuh dengan idealismenya dalam keadaan krisis terutama bila berhadapan dengan konfrontasi intelektual ataupun ugutan politik dan sogokan kebendaan ( baik wang mahupun peluang) ?

Akhirnya ujian paling getir ialah krisis. Mudah-mudahan Tuhan akan melindungi dan memberkati semua mereka yang berjuang secara ikhlas, jujur, berintegriti, berani dan berakhlak. Teriring Doa Restu Untukmu . Amin.



Tuesday, 16 February 2010

MENCARI JALAN MELALUI WAHYU-NYA

MEMBACA JALAN YANG LURUS

Pagi-pagi lagi, pada 15 Febuari, seorang teman menghantar pesanan ringkas melalui telepon bimbit yang terlepa di sisi katil. Pada mulanya saya menyangka itu ucapan Valentine yang terlambat atau Kong Hi Fa Cai seperti yang diheboh-hebohkan oleh media cetak serta media elektronik negara. Saya tak segera membacanya. Selepas sarapan pagi baru tergerak untuk membaca sms. Rupa-rupanya ucapan "Selamat menyambut Rabiulawal".
Saya segera membalas dengan mengucapkan: "Terima kasih, dan Selamat Menantikan Maulidul Rasul, 12 Rabiulawal /26 Feb".
Demikianlah masih ramai yang tidak terpesona dengan perayaan-perayaan agama orang lain yang semakin menjadi cara hidup yang digalakkan oleh sesetengah tokoh kita .
Dalam kemelut hidup politik dan sosial serta kekaburan arah tujuan hari ini marilah kita membuka hati bagi mencari jalan yang jernih serta lurus yang telah disediakan untuk kita, tetapi tersilau selalu pada pandangan mata. Semoga Tuhan memberikan hikmah kepada pemimpin-pemimpin yang berkuasa agar kita semua tidak beramai-ramai disesatkan semata-mata kerana kepentingan memenangi kekuasaan politik yang segera dan sementara; bukan yang bernilai abadi untuk dunia dan akhirat.
Sambil menaruh harapan kepada mereka , marilah kita sendiri berusaha menuju ke arah itu dengan memburu cahaya hebat yang terpancar dari Kitab Mulia yang diam terbiar di meja. Dengan getar dan rahasia cahayanyalah sekalian kekaburan atau kekalutan di atas akan tersuluh untuk membijaksanakan kita memisahkan yang tulen daripada yang lancung.
Alangkah beruntungnya kita semua kerana melalui Muhammad SAW kita diajar pula contoh teladan yang agung. Baginda telah dilahirkan pada bulan Rabiulawal tatkala sebuah bintang baru tiba-tiba terbit terang di langit, sebagai tanda suatu kebesaran hebat akan diturunkan untuk seluruh umat manusia . Dalam sedikit hari lagi kita akan merayakan peristiwa yang luar biasa itu supaya kita selalu mengingatinya, lebih-lebih lagi makna yang terkandung di dalamnya.

Thursday, 4 February 2010

KE MANA BANGSA KITA SEDANG MENUJU ?

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Sains Russia, Kedutaan Besar Russia Membacakan Puisi Russia dan Malaysia di Rumah Pena, Dis.2009

Apakah politik negara sedang menuju kekacauan ?
Parti-parti komponen BN sedang goyah sehingga merosot keyakinan pengundi terhadapnya; dan parti-parti pembangkang dalam PKR juga tidak kurang berantakannya. Kestabilan pemerintahan negara mungkin tidak mantap seperti dahulu, tetapi negara ini sudah kukuh dan memiliki institusi pentadbiran, keselamatan, perundangan, dan kehakimannya yang ditadbirkan oleh kaki tangan bukan politik . Apa pun perubahan terhadap pemain-pemain besar politik di atas, tidak akan menggoncang negara secara traumatik. Di situlah letaknya keindahan atau poetry pemerintahan demokrasi Malaysia kecualilah ( ingat! kecuali) tercetusnya pertentangan kaum dan agama seperti konflik berdarah Mei 1969 yang menyebabkan demokrasi dan Parlimen ditangguhkan.

Ingat Tragedi Mei itu adalah satu pengajaran yang pahit . Ingat juga bahawa sentimen kaum dan agama ( terutama agama) masih menjadi potensi ledakan yang terpendam. Anehnya ramai pula yang berpendapat bahawa tragedi buruk yang berlaku 40 tahun dahulu telah menginsafkan penduduk daripada pelbagai kaum supaya jangan mudah celupar mulut dan terlalu ghairah memperjuangkan isu-isu yang condong untuk kepentingan sempit bangsa dan keturunan sendiri sehingga melupakan kenyataan-kenyataan tradisi, sejarah dan pengorbanan jiwa raga , keringat serta air mata pejuang-pejuang yang bersuara dan bertindak melawan penjajahan. Apakah rakyat Malaysia pada hari ini sudah lupa akan hakikat tersebut kerana ramai aktivis Melayu, Cina dan India adalah orang muda yang masih berhingus hidungnya dan dibersihkan najisnya oleh ibu bapa empat puluh tahun dahulu, iaitu pada tahun 1969 itu ? Berapa usia anda sekarang?

Sekarang ramai yang bersuara menuntut kebebasan sama rata; dan ramai pula pemimpin yang memberi gula-gula bahawa semua rakyat sama hak-hak dan kebebasannya. Mana ada manusia yang dilahirkan ke dunia sama rata ? Lelaki dan perempuan yang sebangsa dan seagama pun tak sama rata dalam hak-hak dan tanggungjawabnya. Apa yang ada ialah kesaksamaan (ekuiti) dan keadilan bukan sama rata. Perlembagaan yang menjadi landasan tata hidup negara juga tidak memberikan kebebasan serta hak-hak yang sama rata bagi semua dan setiap individu dalam semua dan setiap lapangan kehidupan. Tidak ada negara di dunia yang berbuat demikian walaupun peluang untuk berjaya di dalam hidup secara sah terbuka luas di depan.

Rakyat cerdik pandai boleh berdebat berhari-hari tentang hal ini seolah-olah
semua orang rasional, waras, sihat otak dan lupa akan tradisi , sejarah, keturunan dan pegangan agamanya. 1 Malaysia adalah gagasan yang mulia, dan usaha yang baik untuk menempatkan semua orang dalam kedudukan selesa dan terhormat di tanah air ini. Tetapi ia adalah formula yang hanya boleh berjaya apabila jelas memelihara dan tidak meminggirkan bahasa, nilai-nilai , tradisi mulia, dan agama setiap bangsa, terutama majoriti peribumi dan Islam.

Kita misti berterus terang dalam hal ini. Kita tak boleh memulai langkah dari 0 , nol, atau kosong. Kita ada Perlembagaan Persekutuan yang peruntukan-peruntukan fundamentalnya harus dijunjung dan dipatuhi. Kita jangan kelirukan diri sendiri atau orang lain untuk suatu kejayaan yang sementara.

Apa yang sangat penting ialah mari berterus terang dan bergaduh otak sekarang bagi mencipta masa depan anekawarna budaya yang kukuh serta penuh toleransi untuk semua rakyat peribumi, Cina, India, dan lain-lainnya. Hanya perlu diingat bahawa bukan semua adat serta kepercayaan boleh diangkat sebagai etos kebangsaan atau kita sengaja memaksakan sesuatu kepalsuan nasional untuk menunjukkan suatu kesatuan negara yang tulen. Kepalsuan tidak boleh mengambil alih pertumbuhan budaya dan bangsa yang tulen meskipun boleh dipujuk ke arah itu.

Ingat apa yang baru terjadi beberapa tahun ini apabila kerajaan cuba meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam usaha memodenkan pendidikan dan pemikiran generasi akan datang kerana tujuan hendak memajukan negara dalam persaingan dunia antarabangsa--sehingga istilah global menjadi kata-kata sakti pemimpin . Kecerdikan tidak selalu mengiringi kemodenan. Usaha itu telah mengikis kepercayaan ramai orang Melayu terhadap pemimpinnya gara-gara bekas Perdana Menteri overestimate pengaruh kekuasaannya dan gagal membaca emosi dan kepercayaan rakyat jelata. Mari kita jangan ulangi kebodohan ini dalam usaha mewujudkan satu rupa bangsa Malaysia yang modern dan damai.

Masyarakat Melayu sambil mempertahankan kedudukan haknya di sisi sejarah serta agama; dan kedaulatannya dari segi Perlembagaan, harus bersedia untuk berfikiran rasional, bekerja kuat, merebut ilmu dunia dan akhirat serta mengubah strategi . Cara biasa berfikir dan bertindak , suka berhibur dan menaruh kepercayaan bahawa pemimpinnya akan selalu meyelamatkan nasibnya adalah suatu kebodohan modern . Kalau mereka mahu berubah, berubahlah untuk pembaharuan dan kemajuan; bukan untuk kehinaan akhlak, intelektual dan ekonomi di mata orang, lebih-lebih lagi di mata Tuhan yang senantiasa menyeru kepada kebaikan :
"kerahmatan untuk semesta alam ".