Wednesday 2 July 2008

SATU TENGAH HARI DENGAN PERDANA MENTERI

Selasa 1 Julai 2008 ( 27 Jamadilakhir 1429 ) adalah hari yang mempunyai pengertian yang tersendiri dalam jerih payah usaha mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di sekolah.

Pada hari tersebut Tuhan melorongkan kesempatan untuk saya menyampaikan langsung ke tangan YAB Pak Lah Perdana Menteri Malaysia, Warkah Bulan Jun ( Surat Terbuka kepada YAB Perdana Menteri ) , yang sebelumnya disiarkan pada posting 17 Jun 2008 dalam bahazain.blogspot.com. Saya tidak pernah membayangkan bahawa ada peluang untuk menyampaikan terus surat tentang isu bahasa ini ke tangan Perdana Menteri di kamar kerjanya di Putera Jaya atau di Parlimen. Saya menulis surat terbuka itu sebagai salah satu usaha terakhir bagi meyakinkan kepada Perdana Menteri bahawa soal bahasa ini bukan soal kecil, soal tamadun, untuk kepentingan negara, dan bukan untuk kepentingan kocek orang-orang tertentu. Saya bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya suara saya itu dapat juga disampaikan ke mata serta telinga tokoh yang cukup berkuasa; mampu di dalam kekuasaan politik serta pentadbiran negara melaksanakan sesuatu yang munasabah dan sangat penting bagi kesejahteraan ilmu serta maruah bangsanya.

Sesekali emosi saya berasa sangatlah tegang dan dukacita kenapalah sekalian rungutan, permintaan, dan hujah yang ilmiah serta rasional untuk memulihkan semula kedudukan Bahasa Melayu ini seperti terbentur ke dinding yang tebal atau seperti air jernih yang mengalir ke danau besar yang bertuba. Kenapalah susah sangat mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu ke tempatnya yang merdeka seperti yang telah diperjuangkan oleh cendekiawan serta patriot sejak puluhan tahun sebelum sesetengah orang Melayu, Cina dan India pandai menyebut, “Merdeka !”. Mereka yang berbincang secara profesional atau pseudo-profesional tentang kontrak sosial, dan tentang peruntukan perlembagaan sedarkah bahawa Pendeta Za'aba, Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin Helmi, Aminuddin Baki, Keris Mas, Asraf, Usman Awang dan ratusan penulis serta budayawan lain telah memperjuangkan peri pentingnya Bahasa Melayu sebagai salah satu asas pokok yang harus dimerdekakan terlebih dahulu dalam perjuangan menolak penjajahan Inggeris, sehingga Dewan Bahasa Dan Pustaka itu sendiri ditubuhkan setahun lebih awal (1956) sebelum negara diistiharkan merdeka ( 1957).

Kenapa kah pemimpin-pemimpin politik , dan para pendidik Melayu hari ini sanggup menyaksikan dengan mata kepalanya bagaimana Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara di tolak sebagai paria di sisi bahasa Inggeris? Kita tidak menolak penguasaan bahasa Inggeris atau bahasa apa pun, asal jangan jiwa dan sikap kita dikuasai atau ditawan oleh bahasa asing. Apa kah emosi, jiwa dan fikiran kita telah dipariakan oleh budaya imperialisme Barat yang masuk secara halus melalui nilai-nilai kebendaan, sains dan teknologi yang tidak mengenal tradisi, batas budaya, agama dan kedaulatan sesuatu bangsa ? Kata Edward Said , pengkritik sastera dan kebudayaan Palestin-Amerika yang terkenal dengan idea pasca-kolonial, dalam bukunya , Culture and Imperialism : penjajahan langsung kebanyakannya telah tamat, tetapi imperialisme masih berkeliaran di tempat-tempat di mana ia pernah berada, dalam persekitaran budaya secara umum dan dalam amalan-amalan tertentu politik, ideologi, kemasyarakatan dan ekonomi. Apakah rakyat Malaysia dan pemimpin-pemimpin politiknya masih belum pulih daripada beban penjajahan lama, dan dalam waktu yang sama sikap mentalnya sedang diracuni pula oleh beban globalisasi baru ?

Kita bukan hendak kembali kepada sejarah. Kita mesti berubah dan bergerak ke depan; bukan berundur, tetapi ingin memanfaatkan sejarah. Masyarakat akan berfikir lebih baik, dan bertindak lebih bijaksana andainya ia memahami sejarah dengan lebih luas. Sekiranya kita kurang memahami sejarah atau sengaja memilih untuk menidakkan peristiwa-peristiwa penting masa lalu,( seolah-olah kehidupan hari ini baru bermula pada tahun 1957 ), dan sesiapa saja boleh menghujah apa saja bagi menafikan peristiwa-peristiwa perjuangan sebelumnya, janganlah kecewa nanti kalau kita hilang peluang untuk hidup lebih aman serta makmur. Profesional dan cendekiawan bukan Melayu nampaknya semakin fasih dan petah berhujah tentang hal-hal sejarah, kontrak sosial dan semangat Perlembagaan sementara orang Melayu seperti biasa sangat masyhur dengan kesabarannya. Berapa jauh kah dan sampai bila kah kita boleh amalkan kebebasan bersuara dan toleransi yang hebat seperti itu itu dalam masyarakat kita di Malaysia ini?

9 comments:

Danielle_Corleone said...

Bahasa itu identiti penyatuan Dato. Tapi sayang identiti ini telah disatukan dengan elemen yang salah dan dijual beli untuk satu kepentingan yang lain. Tahniah dato kerana tidak pernah lelah berjuang untuk bahasa yang kita semua cinta ini! :-)

Puan Ainon Mohd. said...

Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang sasterawan Indonesia keturunan Sumatera berkata dari atas pentas seminar di Pulau Daik.

Katanya, "Melayu itu pada bahasanya."

lutfi said...

datuk -
1)isu bahasa sebenarnya isu yang melibatkan semua pihak. Tetapi, nampaknya yang mengambil berat hanyalah beberapa golongan.
2) Tentang isu terjemahan yang datuk utarakan dalam Dewan Sastera Julai, saya terfikir juga bagaimana caranya ITNMB akan mempromosikan karya-karya terjemahan itu. Saya rasa, ITMNB dan DBP perlu mencari agen sastera yang berwibawa untuk membawa karya kita peringkat dunia. Malah, mungkin boleh mengadakan satu kerjasama dengan penerbit-penerbit besar di negara yang berkaitan.
Salam

Oleh admin Bebas Malaysia said...

"Bahasa Inggeris itu perlu dikuasai, tapi bukan didaulatkan.."

Datuk, peri kata-kata ini sudah lama dijaja merata-rata tapi sayangnya ada sedikit sahaja yang memahami.. Daripada menteri pendidikan sampailah ke akar umbi semuanya tuli dan buta hati kerna sanggup menggadai harta pusaka bahasa ibunda sendiri..

Datuk, saya tahu saya masih mentah tapi mentah inilah yang mengganti yang sudah lama disana jadi saya harap datuk memahami hati kecil saya ini.. Kesempatan ini, saya ucapkan tahniah kepada Datuk kerna mempunyai peluang untuk menyampaikan surat datuk itu.. Sekurang-kurangnya datuk sudah memainkan watak datuk sebagai pendukung kedaulatan bahasa Melayu.. Bahasa Melayu sudah hilang digantikan dengan bahasa Malaysia dan janganlah nanti suatu masa pula bahasa Malaysia menjadi bahasa Malaysian.. Tidakkah hina bahasa kita itu? Diperkotak-katik oleh mereka berkuasa kononnya untuk pembangunan dan bermacam alasan lagi..

Datuk, saya mengucapkan tahniah kepada datuk cuma janganlah surat datuk itu hanya sekadar melepas batuk di tangga si Pemerintah yaa!!!

jiwafaham said...

Assalamualaikum Dato'

Usaha murni Dato' ini saya iringi dengan doa, moga niat dan harapan yang baik ini mendapat perkenan dan dikabulkanNya. InsyaAllah.

Tak runtuh tak melata
Tak sungguh orang tak kata...

Unknown said...

Dato',

Apa kata Dato' panjangkan surat ini kepada Timbalan Perdana Menteri juga. Bukankah TPM telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka baru-baru ini bahawa rakyat yang mempunyai masalah, boleh berjumpa dengan beliau untuk mengadu. Dia sedia mendengar ...

bahazain said...

Sdr danielle, ainon. lutfi, izwan, jiwafaham dan ritah,
Pemimpin datang dan pergi. Tak ada sesiapa yang tak boleh diganti untuk mengisi tempatnya. Apakah namanya PM, TPM,atau hanya Menteri saja.Presiden Soekarno,demagog yg hebat itu diganti oleh Soeharto, walaupun dituduh koruptor, tetapi berhasil membangunkan ekonomi Indonesia.Bapak Kemerdekaan , Tunku, digantikan oleh Razak yg berjaya membangunkan ekonomi rakyat jelata. Perjuangan kebudayaan, ilmu, persuratan dan tamadun misti diteruskan. Generasi tua akan pergi dan generasi muda harus lebih berani. Tamadun bangsa kita , ilmu dan persuratannya, harus menjadi sebahagian daripada warisan dunia. Jangan jemu-jemu berjuang untuk jati diri negara dan kesejahteraan manusia.Saudara2 yg muda-muda masih mempunyai masa yg lama untuk melawan menteri2 dan juak-juaknya yg mengkhianati Bahasa Kebangsaan kita.Jadilah generasi penulis muda yang hebat dan berani. Persuratan yang menggambarkan keberanian jiwa Malaysia itulah yang perlu dibaca oleh pembaca2 dunia luar. Bukan sastera yg merintih dengan kemiskinan,yg menyokong tirani, dan yg berjiwa cepat mengalah.Yakinlah, rezeki dan nasib kita semua di tangan Tuhan. Pemimpin boleh mematahkannya sementara, tetapi Tuhan ada ketentuannya sendiri. Sementara itu berkaryalah dengan penuh iltizam dan prolifik bagi memperkayakan karya kita dlm Bahasa Kebangsaan. Ingat,pantun, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah telah melampaui penindasan penjajah, dan terus menjadi warisan penting persuratan bangsa yg boleh dibanggakan ke tengah-tengah dunia.

Unknown said...

Dato',

Terima kasih atas pesan dan amanat. Insya-Allah ...

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Dato' , salam mesra, semoga sihat walfiat adanya.

Terima kasih krana membloger laman web saya dan kalau ada klapangan sila lah lagi krana +- 30 artikal di dlm nya dan saya sangat mengalu-alukan comment dari Dato'.

Berkenaan tulisan Dato' dlm mjlah Sastra itu saya menyarankan Dato' kumpulkan di dlm bloger dan namakan sesuatu... supaya senang membuat rujukan atau dicopy dan dijadikan sebuah buku. Saya sungguh seronok membaca tulisan itu dan alangkah beruntungnya jika dapat dikumpulkan menjadi sebuah buku...

Ini pernah saya lakukan termasuk karya Pram, Gonewan Mohd (Tempo) dan Hishamudin Rais (M'sia today). Buku setebal 200 pages dibanding cantik dan berjecket tebal, dibuat di Kajang.

Lagi pun DBP di dlm sidenya tidak menyiarkan artikal2 tersohor hanya memaparkan cover dan tittle saja. Saya menjadi pelek dan walhairan...


Jika Dato tertinggal tulisan Hishamuddin Rais ini bloger nya- http://ricecooker.kerbau.com/ dan http://w1.malaysia-today.net/index.php?option=com_content&task=blogcategory&id=15&Itemid=33

Saya fikir Prof. ni mempunyai jiwa yang cukup bebas untuk menulis atau berkarya...


dan Gonawan Mohamad : http://caping.wordpress.com/ dari mjlah TEMPO.


Sekian,

http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/