Tuesday 22 July 2008

KESEPIAN ITU TIDAK ABADI

...tiba-tiba ada pesanan di telepon: " Pak baha, masih sepi lagikah?". Kacau . Tidak . Saya tidak sepi , tetapi bersendiri beberapa hari, membaca sebuah novelet tentang seorang anak remaja yang membesar dalam suatu masyarakat desa Melayu-Minang yang aman damai, tetapi memendam kepura-puraan yang menekan pertumbuhan emosi dan kejujuran. Dia disayangi, dia digoda perempuan, dia cemburu pada orang, dia benci pada kekuasaan, akhirnya dia berontak secara tak berakhlak. Apakah dia mangsa sosial atau membalas dendam dalam dosa?

Memang sudah beberapa hari tidak menjenguk blog. Tadi malam saya bergegas ke DBP untuk mendengar pembicaraan tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Ghouse Nasuruddin. Pagi ini sebelum saya membuka komputer saya turun sebentar ke taman untuk melawat-lawat pohon yang masih sejuk sebelum di timpa cahaya. Sedang memetik daun-daun tua di pokok ciku seekor ular hijau berbintik-bintik merah di kepala dan lehernya sedang melingkar tenang di dahan ciku. Saya segera menjauhkan diri dan mengambil kayu menghalaunya. Dia patuh, dan aneh, ular juga boleh melompat ke pokok lain. Bayangkan banyak hal di luar dugaan dan sangkaan kita selama ini.

Demikian juga tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). Apabila kita menyebut istilah dasar seperti itu, bermakna kita berbicara tentang politik kebudayaan; iaitu suatu kebijaksanaan kebudayaan nasional yang menjadi semacam filsafat dan moral kebangsaan. Tentulah juga ia bersifat normatif dalam erti: ada yang serasi dan ada yang tidak serasi dengan kerangka atau pengertian kebangsaan itu. Dalam sangkaan umum DKK tentulah bertujuan untuk memupuk jati diri atau keperibadian bangsa sebagai pusat berkumpulnya perasaan perpaduan , kesetiaan dan kemegahan kita menjadi warga negara yang bernama Malaysia. Betulkah itu yang diimpi dan dilaksanakan?

Sampai hari ini DKK adalah suatu kekaburan yang dielus-elus selama lebih 35 tahun sejak 1971.
Apakah "kebudayaan" itu hanya bermaksud suatu aspek sahaja , iaitu kebudayaan estetik atau kesenian (seni visual, seni sastera, seni persembahan, seni tradisi dan seni moden)? Apakah DKK itu sudah diluluskan oleh Kabinet dan kerajaan secara rasmi? Jawabnya belum pernah.

Ada juga yang berpendapat apa gunanya diluluskan atau diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan kalau tidak dilaksanakan dengan jujur dan penuh komitmen. Lihat saja status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dinyahkan begitu saja fungsinya di sekolah dan dipancung namanya dengan menggantikan namanya sebagai bahasa Malaysia. Semua kerja jahat ini bukan dilakukan oleh pemimpin Cina atau India, tetapi pemimpin Melayu kerana hendak mengambil hati kaum lain. Jual maruah bangsa sendiri.

Dalam perbincangan malam tadi timbul juga soal tidak adanya keberanian pentadbiran di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dalam usaha menegakkan kebudayaan kita. Dalam satu hal memang betul kerana yang bertugas membina, memperkembang dan menyebarkan bahasa, sastera, penerbitan, filem, karya cetak, elektronik; dokumentasi, penyelidikan dan promosi kebudayaan hampir 90 peratus diamanahkan kepada pegawai atau pentadbir Melayu, tetapi apa yang dihasilkan?

Kritikan diri, introspeksi dan analisis diri ini akan menemukan dosa Melayu sendiri . Kelekaan, kemalasan dan tidak bersikap dinamik dalam kerja-kerja pengurusan baik oleh si pencipta atau pentadbir ciptaan adalah kenyataan yang tidak lagi harus dinafikan dalam situasi budaya Melayu yang lembab hari ini. Kebudayaan setempat akan dilanda oleh asakan budaya komersial yang datang melalui arus global dan komuinikasi elektronik dari Cina, Jepun, Eropa dan Amerika. Jadi jangan tunggu DKK itu. Para karyawan dan seniman harus berani bersuara dan berjuang walaupun nanti terpaksa menyekutukan diri dalam nama-mana kelompok perjuangan.

Tadi malam juga di DBP, saya menyebut bahawa yang lebih penting ialah keberanian intelektual yang sepatutnya datang daripada sasterawan , ilmuwan, seniman dan budayawan yang selalu bercakap tentang kebenaran, kejujuran, keindahan dan nilai-nilai unggul. Di mana tokoh-tokoh seniman, budayawan dan sasterawan apabila Bahasa Melayu sejak 2003 diinjak dan diperlekehkan? Jawatan , pangkat, gelaran, gaji, royalti, honorarium, hadiah atau anugerah? Itukah yang membungkamkan ? Memang ini semua adalah hal-hal yang praktis dan pragmatik.
Apabila seniman, penulis, budayawan dan cendekiawan tidak menegur atau memperingati bangsanya, tunggulah satu hari nanti generasi bangsa masa depan akan hidup dalam penghinaan yang lebih memalukan di bawah kekuatan budaya asing. Segalanya sudah terlambat kalau hari ini tidak ada perlawanan yang hebat.

Seperti ular hijau yang membelit dahan ciku saya pada pagi tadi ( senyap dan tak bergerak), musuh kebudayaan bangsa sedang senyap-senyap melingkari keliling tubuh bangsa kita. Ular-ular berbisa sedang membelit pohon dan dahan kebudayaan bangsa . Beringat dan mengingatkanlah dengan penuh kewaspadaan.

8 comments:

lutfi said...

Assalamualaikum datuk.
Pada pemahaman saya, DKK merupakan isu penting. Tiga asas penting yang menjadi dasar DKK itu, saya rasa sudah mencakupi pelbagai perspektif dan bersifat dinamis. DKK tidak meminggirkan mana-mana pihak. Cuma saya lihat, isu ini timbul kerana dipolitikkan. Saya ada perbezaannya mempolitikkan DKK dan menjadikan DKK sebagai satu kebijaksanaan politik yang datuk katakan tadi. Dan saya juga percaya, isu kebudayaan ialah isu rakyat. Maksudnya, rakyat harus faham dan jelas ttg. isu ini. DKK, seperti juga dasar-dasar lain yang diperkenalkan, kebanyakannya dikembangan secara sehala, tidak menjadi milik rakyat, dan akibatnya, DKK tidak dapat berkembang dengan sewajarnya. Malah, jika kita lihat beberapa institusi yang bertanggungjawab menginterpreatsi DKK, timbul rasa skeptis, adakah mereka ini faham atau tidak. Sebagai contoh, kebudayaan dalam pemikiran dan aktiviti yang dianjurkan oleh kementerian kebudayaan, akhirnya hanyalah tarian. Adakah kebudayaan Melayu sesempit itu? Bagi saya, DKK ialah isu interpretasi, dan kerana itu, yang diperlukan ialah kebijaksanaan. Malangnya, kita ada lebih banyak dasar yang menghalang untuk memunculkan kebijaksanaan ini. Salam

jiwafaham said...

Benar Dato’
Anak yang masih kecil itu jangan disangka hanya diam terhadap perkembangan yang terus bergerak maju di sekelilingnya. Semua yang ada diserapnya dengan lahap. Memori pikirannya berjalan sama macam orang dewasa.
Selama ini kita selalu menganggap mereka adalah manusia kelas dua (kanak-kanak hingusan yang belum matang pikirannya). Akibatnya sungguh sangat FATAL dan TRAGIC.
Mereka berkembang liar di tengah lingkungan masyarakatnya sendiri. Jika masyarakatnya macam ular hijau yang membelit dahan ciku Dato’ itu? Bayangkan mereka beramai-ramai mendemonstrasikan makna-makna kehidupan dalam imajinasi kenikmatan yang dipamerkan dengan versinya sendiri. Sehingga ketika mereka pulang awal pagi, orang tua pun kehilangan kemampuan untuk mengendalikan. Inikah wajah DKK itu?
Kita kemudian seperti tidak mengerti apa yang sebenarnya terjadi. Ada tali-temali yang terputus. Kesepian itu sementara rupanya.
Anak-anak generasi bangsa masa depan seperti layang-layang terputus talinya dalam menghadapi gelombang kehidupan. Beringat dan berwaspadalah…

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Anak Muda ini pasti cuba bangun dari lenanya yang sekian lama!!

MARSLI N.O said...

Berseni sungguh kisah ular di dahan ciku dan boleh melompat-lompat itu.

Itu belum lagi bab, ular tersebut berhenti sekejap, menoleh ke kanan dan ke kiri, dan bila melihat wajah Pak Baha, segera dia menjelir-jelirkan lidahnya yang memang sedia bercabang dua itu.

Sham al-Johori said...

Assalamulaikum Datuk,
Saya sudah lama menyusuri sungai budaya bangsa Melayu yang kian kering dan seakan gersang. Alur sungai yang sedang kita lalui ini juga seakan dipugar. Dan, nanti akhirnya kita akan kehilangan semua itu.

Dalam perkiraan saya yang sedikit keliru ini, apakah DKK yang direncanakan itu akan menghalalkan sesuatu yang haram demi istilah 'perpaduan'? Apakah istilah 'perpaduan' itu dewa sakti yang boleh mengubah dasar, akta atau enakmen perlembagaan?

Seperti juga ular daun yang ingin hidup bebas di pohon ciku halaman datuk, saya melihat DKK itu perlu juga bebas dalam menangani perkiraan 'menang menang' krisis identiti dan intelektual budaya.

Kita sudah lama menjadi lukut di tepi gantang kepada kepimpinan negara dan tanah air sendiri.

Danielle_Corleone said...

Saya juga anak muda yang setia dengan daya juang sendiri.

Hartini Omar said...

dato' yang dihormati,

yang dikesalkan, siapa mahu mendengar (apatah lagi menyelesaikan) masalah bahasa, budaya dan bangsa jika rata2 manusia tertoleh2 dan tercengang2 melihat perdebatan tentang kuasa dan wang??

kualiti budaya dan bangsa bisa luput dalam percanggahan politik dan ekonomi yg serabut..

yang demikian masalah budaya, bahasa dan bangsa bukan lagi menjadi satu isu. ia cuma sekadar perbahasan yg hidup segan mati tak mahu.. datang tak dijamu, hilang tak dirindu...

kalau adapun yg menjaga maruah bangsa cumalah si pencinta bahasa. namun dalam alam maya ini juga berapa kerat sangatlah bilangan 'mereka'..

alangkah sedihnya!

bahazain said...

Sdr lutfi-jiwafaham-izwan-marsli-sham al-johori-danielle-hartini,

Kebudayaan masa depan menjadi sangat komplex. Bukan saja pelbagai unsur budaya dalaman yg menekankan pengaruhnya, budaya global semakin sulit dibendung.Tetapi, internet, sms,komuniksai elektronik, dan blog memberi kekuatan dan peluang baru kpd individu untuk melawan arus, malahan melawan kekuasaan secara intelektual.Pemimpin politik yg berkuasa pun boleh rusak imej kalau komuniti blog secara kumpulan melakukan serangan. Wajah budaya juga boleh dicorakkan kalau pemilik-pemilik blog mencipta karya dan menulis pandangannya dlm esei, puisi, kritikan dan anekdot. Saya berpendapat pengkritik sastera, pengkaji ilmiah, dan ilmuwan komunikasi perlu meneliti lapangan baru internet ini untuk membicarakan perkembangan budaya atau sastera kerana media internet sudah semakin kuat menyaingi media cetak, terutama bagi merebut perhatian audien dengan pantas dan reaktif. Jadi apa yang ada di tangan sdr,. blog pagi, tengah hari, senja, malam dan dini hari adalah peluang mencorakkan wajah kreatif serta budaya nasional.Oleh itu jangan persia-siakan, walaupun pada mulanya nampak main-main. Bayangkan saya baru saja mengirim e-mel kpd Ketua Pengarah Pelajaran, memberi pendapat tentang Matematik & Sains dlm bahasa Inggeris . Sdr juga diharap
menghantar e-mel kpdnya: alimuddin.dom@moe.gov.my. Jangan segan-segan ini peluang untuk sdr bercakap tentang ISU NASIONAL, ISU BUDAYA, PENDIDIKAN Dan BAHASA.Beliau sendiri meminta pandangan kita dlm STAR, 20 Julai.Saya akan siar surat saya kepadanya dlm blog pada hari
Selasa nanti.Sdr marsli ular metafora bukan hanya ada dua lidah, mungkin enam spt tangan tuhan hindu itu, awas! lutfi,dan sham,jiwafaham, penulis harus terus menyoal , menyoal dan menujah; izwan dan danielle, setiap kita ada stail kita sendiri, tetapi sikap kritis teruslah pertajam, hartini,pandangan kritis dan sensitif itulah membezakan orang
kreatif drpd yang lain, meskipun sangat kecil jumlah orangnya. Bahasa memiliki sihirnya sendiri, hanya Tuhan yg paling mengetahui magiknya yang sangat luar biasa . Bacalah atas nama-Nya.