Monday, 22 September 2008

APA SEBENARNYA SIKAP KEMENTERIAN PELAJARAN

"Mixed opinions on English review" New Straits Times, Sabtu , September 20,2008.

Begitulah tajuk laporan berita NST tentang Persidangan Meja Bulat ke-3 yang dianjurkan oleh Kementerian untuk membincangkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang dihadiri oleh guru-guru dan pelajar. Nanti pada 20 Oktober akan diadakan pula persidangan ke-4 untuk pemimpin politik dan komuniti. Ini cara yang sangat luar biasa bagi menentukan dasar apa yang hendak dilaksanakan. Dalam satu aspek bagus kerana nampak lebih demokratik, tidak seperti waktu dilaksanakan PPSMI pada tahun 2003, seperti dirodok ke dalam tekak guru-guru dan murid-murid, satu cara yang lebih luar biasa.

Kalau Kementerian Pelajaran ( KP ) menghitung balik sekalian kritikan, protes , persidangan dan memorandum yang diadakan sejak 2002, oleh pendidik, penulis , dan cendekiawan, baik Melayu dan bukan Melayu, tentulah KP faham bahawa ini adalah satu dasar yang dihujah dan ditentang sedemikian teruknya. Tidak bolehkah pemikir-pemikir dan profesional di KP itu menyelami hakikat yg sebenarnya , baik dari segi sensitiviti di kalangan awam, mahupun dari segi pemikiran yang objektif tentang kekukuhan rationale daripada dasar PPSMI ini? Apakah sampai perlu dipanggil pelajar dan guru ke sidang meja bulat ? Tidakkah KP melakukan penyelidikan yang betul-betul ilmiah dan neutral? Dan memberikan nasihat yang jujur kepada Menteri. Apakah sebenarnya politik di sebalik semua ini.

Dalam NST yang sama disiarkan juga berita bertajuk, "Let's get to work says Hishamuddin." Antara lain kata Menteri Pelajaran, " We must pay attention to work because over the past six months , we have been bogged down by various issues," he said...the people were fed up with the political issues that have dragged leaders , ministers and UMNO supreme council members into altercations.

Betul, betul, memang betul masyarakat, terutama penulis, pendidik, budayawan dan ilmuwan sudah muak dan meluat dengan altercations ini, yakni pertengkaran, perbalahan , perbahasan, dan persidangan seperti dalam isu PPSMI. Rakyat sudah semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan dan pemimpin yang sepatutnya sensitif terhadap pandangan jujur di bawah dan bertindak cepat supaya kerusakan terhadap bahasa dan budaya tidak terus lebih teruk.

Dalam kes PPSMI ini YB Menteri Pelajaran sendiri tentu sudah cukup maklum, dan telah menerima maklumat yang boleh dipercayai daripada pelbagai pihak, bahawa PPSMI kalau diteruskan akan menghapuskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang modern dalam beberapa tahun akan datang. Ini isu pokoknya.

Masalah guru dan murid yang masih terkial-kial mengajar dan belajar dlm bahasa Inggeris itu soal kedua. Lama kelamaan baik dalam bahasa Penan, Hindi atau Arab pun boleh diajarkan Sains dan Matematik itu.

Tidakkah kita hormat dan sayang pada Bahasa Melayu itu? Tidakkah mengutamakan bahasa Inggeris ( kecuali sebagai bahasa kedua) bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta Pendidikan ? Yang sebenarnya berwewenang untuk memutuskan isu ini adalah Menteri sendiri,
dan tak sepatutnya timbul banyak tarik tali seperti yang berlaku sekarang. Menteri Pelajaran yang harus membuat pendirian tegas , bukan tokoh-tokoh lain di bawahnya.

Keputusan yang bakal berlaku adalah satu ujian dan batu ukur perjuangan UMNO terhadap kepentingan orang Melayu dalam waktu terdekat ini.

7 comments:

Unknown said...

Salam,
Y.Bhg Dato',

Adakah orang luar boleh menghadiri persidangan akan datang? Saya berminat untuk hadir.

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Salam..

Dato..

Mengapa hanya melibatkan golongan elit?

Kenapa tidak dibuka kepada orang luar..?

Adakah keputusan populis akan diambil hanya menjaga hati orang Melayu?

Keikhlasan mereka sangat diragui..

Sudah lama berdarah dan bernanah..

Jangan ditambah lagi kesesatan oleh mereka yang konon raja segala kebenaran..

Hartini Omar said...

...dan mereka2 yg tidak BERPENDIRIAN itulah yg kita angkat jadi pemimpin masa depan...

sesat lagi menyesatkan...

bahazain said...

Sdr kutucyber,
Sebenarnya ramai yg sangat inging turut serta dlm persidangan PPSMI ini, tetapi dibataskan oleh kerana masalah tempat dan lain-lainnya. Tapi cubalah sdr menghubungi pejabat Ketua Pengarah Pelajaran melalui internet utk maklumat terperinci.

Sdr Izwan,
Apa yg sdr suarakan dikongsi oleh sangat ramai orang lain yg berasa ragu-ragu tentang arah yg sebenarnya dirancang oleh KP.

Sdr hartini,
Takdir memberikan apa yang orang pilih dalam kebebasannya memilih. Tetapi tidak ada ketetapan Tuhan yang boleh diubah kecuali dengan doa.Berdoalah apabila bangsa kita ditimpa musibah,

sahrunizam abdul talib said...

salam dato' baha,

menteri dan golongan dewa-dewi atas kayangan memang tak pernah ambil pusing tentang masalah rakyat jelata.

anak mereka lahir- lahir je menangis terus bunyi "cry".

bila umur belasan tahun je terus hantar belajar ke seberang laut.

yang derita dan terima kesannya anak-anak buruh, anak nelayan, anak penoreh getah

sinaganaga said...

Dato',
Jangan bimbang, saya akan terus kekal menggunakan bahasa Melayu! Ini janji saya.

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha Yang Dihormati: Awal Subuh semalam, ketika kencing sebelum mandi, kencing saya berupa jajaran huruf yang jika disusun bunyinya: s-a-b-a-h-a-l-e-m-a-y-u.

Kenapa yak, Pak? Anehkan?

Satira + Kacau