Monday 8 September 2008

MATINYA SEORANG PATRIOT

ALLAHYARHAM SAMAD ISMAIL
TAFSIR TOKOH ATAS SEJARAH


Saudara Ahmad Azam sewaktu memberi tanggapan terhadap pemaparan saya dalam blog ini tentang A.Samad Ismail berpandangan jenazah patriot ini sewajarnya disemadikan di Makam Pahlawan. Memang itulah juga yang kami bincangkan sewaktu berbuka puasa semalam dengan beberapa orang.Dia patut diberikan pengebumian rasmi oleh negara mengingat bukan main banyak jasanya berjuang sejak 1940 , selepas baru saja meninggalkan bangku sekolah pada umur 16 tahun.

Pada zaman penjajahan Inggeris , dua kali dia dicampakkan dalam penjara. Selepas Tun Razak meninggal, lagi sekali pada tahun 1976 dia dipaksa merengkok dalam tahanan selama empat tahun lebih. Jadi bayangkan dia sepatutnya diberikan sebaik layanan dan kemudahan untuk berfikir dan berkarya mengungkapkan segala macam pengalaman media, politik dan kebudayaan bagi cermin dan contoh tentang apa maknya pergelutan memperjuangkan keadilan rakyat serta kemerdekaan bangsa, dia sebaliknya
pada zaman kemerdekaan itu dijadikan alasan besar untuk kepentingan perebutan politik faksi tertentu.

Dia menulis sejumlah cerpen dan esei sastera dan sebelas buah novel yang sebahagian besar temanya adalah menyuarakan perjuangan yang sangat pro rakyat.Dia menjadi pemikir bagi gerakan-gerakan budaya dan intelektual di Singapura pada zaman pra merdeka, dan di Kuala Lumpur pada zaman awal merdeka. Dia telah memperkukuh tradisi dan institusi persuratkhabaran kebangsaan yang meliputi akhbar-akhbar perdana Utusan Melayu , Berita Harian, dan New Straits Times.

Walaupun pernah menjadi anggota dan Pengerusi Tetap UMNO di Singapura, tetapi kegiatan Samad tidak pernah menonjol dalam politik, meskipun sumbangan fikirannya dalam gerakan-gerakan politik di Singapura dan di negara ini terutama pada zaman Tun Razak bukanlah kecil.

Saya masih ingat baru-baru dia bebas daripada tahanan pada tahun lapan puluhan beliau berkunjung ke rumah saya di Seksyen 11 Petaling Jaya di depan
Hospital Universiti. Dari rumah saya itu dia melihat ke menara telekom tinggi yang kelihatan daripada rumah . Katanya setiap hari dia melihat tiang telepon itu tegak menjulang di udara kerana itulah pemandangan yang bebas daripada tempat tahanannya. Beberapa waktu sebelum dibebaskan dia ditahan dalam sebuah rumah banglo beredekatan sebagai pemulihan sebelum keluar. Di situ namun dia tetap tidak bebas berhubungan dengan orang luar, dan saya juga tidak mengesyaki banglo yang senantiasa berkunci pagarnya, dan tidak pernah kelihatan ada penghuninya, sedang mengawasi kebebasan seorang cendekiawan dan pejuang bangsa kita. Sewaktu bercerita itu , anehnya saya tidak melihat sebarang kesan kegetiran dan kemarahan daripadanya. Sebelum berangkat pulang beliau mempelawa saya dan isteri ke rumahnya , dan katanya dia ingin memasak sendiri sup dan makanan lain untuk kami. Ini suatu bakat dan kegemarannya yang saya belum pernah tahu sebelumnya.

Sebenarnya banyak sekali rahasia politik tanah air yang dibawanya sekali ke pusaranya kerana Samad tidak menceritakan banyak . Dia seorang tokoh yang pelbagai dimensi minat dan fikirannya. Hanya mereka yang rapat dan sering berinteraksi dengannya yang mengetahui tentang sikap, fikiran dan wataknya. Tetapi suatu hal yang nyata ialah dia manusia perjuangan, manusia cita-cita dan tak pernah jemu-jemu mengasah dan mendidik bakat penulis , wartawan dan cendekiawan yang selanjutnya memberikan sumbangan bermakna kepada usaha pengisian kemerdekaan bangsa. Dia seolah-olah menggali emas mentah dari perut bumi untuk dijadikan aset memperkaya khazanah dan jati diri bangsa selepas dikosongkan oleh penjajah. Dia seorang cendekiawan yang melambangkan perjalanan daripada kehinaan menuju kepada keyakinan diri yang besar.Prasarana kejiwaan serta mental ini adalah prasyarat bagi kreativiti dan pembangunan manusia yang patriotik dan merdeka. Merdeka jiwa dan fikirannya daripada penjajahan politik dan budaya asing.


Kenapa dia tidak disemadikan di Makam Pahlawan? Kerana hari ini apa yang dikenal sebagai sejarah itu, sudah tidak penting lagi. Yang bersakti adalah politik dan ekonomi semasa . Politik itu adalah Pahlawan, dan Ekonomi itu Raja. Apakah juga bangsa kita telah menjadi orang yang tak pandai berbudi dan mengenang budi?

7 comments:

Sham al-Johori said...

Salam Ramadhan Dato' Baha dan teman-teman,

Demikianlah berakhirnya sebuah kehidupan pejuang bahasa dan sastera bangsa. Justeru Allahyarham bukan pejuang politik dan atau kuncu juak-juak penzalim bangsa dan bangsa, makanya jasad itu tidak disemadikan di Makam Pahlawan. Akhirnya, kita dan dunia dapat melihat satu bukti bahawa Allahyarham adalah wira yang disingkir kemudian dinafikan perjuangannya oleh pemimpin bangsanya sendiri.

Oleh itu, kita perlu menjadikan kisah ini ikhtibar kepada diri kita. Di mana dan bagaimanakah nasib akhir hayat kita nanti sebagai pejuang bangsa? Jika nama sebesar Tan Sri A. Samad Ismail pun telah dilupakan oleh sejarah, inikan pula nama kita yang hanya menjadi penyisip dalam sejarah bahasa dan bangsa yang kian keliru.

Saya melihat 'kerakuan' dan 'kezaliman' kian bermaharajalela. Kuasa telah menakhluki kebijaksanaan. Dan kebitaraan telah mati dalam diri kuasa orang Melayu. Inilah yang dikatakan Allahyarham 'Jika kail panjang sejengkal jangan diduga lautan yang dalam'. Falsafah ini mengingatkan saya bahawa orang yang tiada kail hari ini pun sanggup mengukur lautan demi kuasa yang ada pada mereka.

Sama-sama kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. AL-FATIHAH.

Ahmad Azam said...

Dato Baha terhormat,

Pemaparan sedikit sejarah perjuangan Pak Samad serta segala rintangan yang dihadapinya dengan penuh sabar oleh Dato sangat penting untuk diabadikan sebagai dokumen sejarah nasional.Kejahilan sejarah generasi muda akan dapat dikurangkan sekiranya
penulisan seumpama ini diusahakan secara serius.

Rasanya ini saja jalan untuk mengenang pahlawan bangsa yang telah pergi saperti Pak Samad.Sememangnya beliau pahlawan rakyat walau negara memandang sepi terhadap budinya.

TPJ14

jiwafaham said...

Assalamualaikum Dato'.

Selamat menjalani ibadah Ramadhan. Semoga Dato' berbahagia selalu di samping keluarga dan rutin kehidupan.

Allahyarham seorang yang tidak dapat diganti. Kehilangannya adalah kehilangan untuk selamanya..buat tanah air dan buat bangsanya.

Benar ya Dato': Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya...

Ki Kiey said...

ntah kenapa.

bangsa melayu sekarang sudah menjadi bangsa yang ntah ku tidak tahu bagaimana nk menjelasknnya.

bangsa melayu sudah berubah.

tidak ada lagi nilai2 yang menjadi kebanggaanku.

Puan Ainon Mohd. said...

Dato',

Mohon izin saya siarkan artikel ini dalam blog saya supaya lebih banyak yang membacanya (hit blog saya antara 3 - 4 ribu sehari)

Don@Ipoh said...

Salam Dato',

Betapapun nilai yang kita pandang adalah tidak sama dengan nilai yang dipandang orang lain. Apakah yang dapat menyamakan nilai kita? Hujah tak di terima, nas dipertikai? Undi?

fadzil yusof said...

Salam Dato' Baha,

Apabila Dato sebut pasal (Allahyarham) Pak A.Samad Ismail tidak banyak bercerita tentang rahsia dan tentang politik dan banyak dibawanya bersama, saya setuju dengan kenyataan itu. Kerana sebagai contoh apabila saya baca kali kedua buku Memoir beliau di Singapura, tidak banyak hala yang dibuka dalam buku ini dan saya kira juag dalam banyak karya-karyanya yang lain.

Barangkali beliau lebih suka menyimpannya sendiri dari menceritakan sesuatu yang telah berlaku. Saya kira kadang-kadang untuk menceritakan sesuatu yang telah berlaku, adalah lebih elok dari mendiamkannya.