Thursday, 18 September 2008

TERPERANGKAP DALAM KATA-KATA; TAFSIR ISA ATAS MANUSIA

Raja Petra diceraikan daripada blognya dan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 12 September, 2008. Sekarang dia tak mempunyai suara untuk mengulas, memberi pandangan atau mengkritik isu-isu semasa , pemimpin politik atau perkembangan sosial-politik di depan matanya. Saya pernah rapat dengan Pet (nama panggilan orang yg rapat dengannya) , pernah makan bersama di rumah dan di Kelab Lake Garden, pernah ziarah menziarahi. Pet senantiasa ghairah dengan idea, kritikan, pendapat dan sangat lancar berbicara. Jamin berteman dengannya tidak membosankan. Seperti saya bertemankan Allahyarham pelukis-pengkritik Redza Piyasada yang juga sangat kritis dan argumentatif, saya berusaha lebih banyak tekun mendengar daripada berhujah bagi mengelakkan pertengkaran.

Saya termenung: Apakah yang dibincangkan oleh Pet dengan pegawai penyiasat polis? Apakah dia patut dijebloskan ke tengah-tengah dinding tahanan pada waktu Ramadan, penghulu segala bulan? Bagaimana dia berpuasa, bersahur, berbuka dan bersolat? Tidakkah ini bulan yang paling penuh dengan rahmat, nikmat dan berkat; dan doa yang dimakbulkan? Sepengetahuan saya Pet dahulu sangat taat bersolat dan berpuasa , baik yang wajib ataupun yang sunat. Entahlah sejak MalaysiaTodaynya saya hampir tidak berhubungan dengannya kecuali sesekali melalui SMS, dan blognya juga bukan menjadi minat saya.

Kenapa ISA? Barangkali ada kebijaksanaan Menteri yang di luar jangkauan penelitian kita. Walau apapun Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Mengadili. Barangkali tersisip hikmat di sebalik musibah .

Kenapa blog menjadi sangat berkembang di negara ini?Tentulah bukan sekadar fenomena kemajuan teknologi internet yg hebat di Malaysia. Kita telah memberi sangat tinggi keutamaan terhadap kecanggihan tekonologi, peratus pertumbuhan ekonomi, pendapatan per kapita, prasarana fisikal, dan prestasi KPI. Blog adalah salah satu kemajuan teknologi di samping yang lainnya. Apakah kita telah berjaya mengimbanginya dengan kemajuan sosial, akhlak, akal budi, perasaan timbang rasa , kasih sayang, adab sopan dan etika???

Kenapa blog semakin menjadi pusat rujukan bukan sahaja tentang fikiran, idea dan gagasan, malahan maklumat dan berita? Ini harus diteliti masak-masak dan dicarikan jawabannya. Apakah rakyat sudah tidak percaya lagi atau semakin kurang percaya kepada media utama RTM, TV3, Berita Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia, New Straits Times, STAR, dan entah apa lagi surat khabar India dan Cina yang beredar setiap hari? Terutama media elektronik itu harus lebih kreatif, berimbang dan memberi ruang yg sewajarnya bagi pandangan alternatif untuk memenangi semula kredibilitinya. Kreativiti pengisian dan penampilan media terletak pada kemahiran dan bakat profesional di sebaliknya; dan bukan pada birokrat politik di belakang tabir.

Dalam waktu yang sama setiap penulis blog dan pekerja media perlu berpegang kepada
keyakinan akhlak bahawa adalah satu dosa menyebarkan atau bersubahat dengan fitnah, pembohongan , penyelewengan maklumat , terutama dengan tujuan merusakkan masyarakat.
Menyiarkan satu aspek berita, dan menenggelamkan aspek lain yang berkaitan juga adalah satu perbuatan yang tidak beretika. Cuma soal akhlak, moral, dan etika ini sulit untuk dilaksanakan kerana ia sangat berkaitan dengan hati nurani , sikap peribadi seseorang terhadap apakah ertinya kebenaran, dan keyakinan agama masing-masing. Faktor moral , akhlak dan etika ini dengan sendirinya menjadi tapis serta saringan bagi kebebasan pengucapan. Dalam kata lain tidak ada kebebasan pengucapan yang mutlak walaupun tanpa pengawasan undang-undang rasmi negara. Manusia itu tidak senantiasa bertindak bebas walaupun hendak bertindak sebebas-bebasnya kerana dia mempunayi kebebasan moral untuk memilih antara yang baik dan yang buruk. Itulah yang membezakannya daripada binatang. Itulah nikmatnya menjadi manusia. Inilah yang patut diajar dan ditanamkan dalam pendidikan rakyat sejak kecil. Apakah kita gagal melaksana atau tak pernah memikirkannya sepanjang menikmati kemerdekaan 51 tahun? Atau kita asyik merancang kemajuan kebendaan sahaja.

Tanpa nilai-nilai dan norma agama dan sosial di atas pun negara kita telah diperlengkapi dengan bermacam-macam akta untuk mengawal pelanggaran berucap dalam media penulisan, percetakan, elektronik, audio dan visual. Untuk pengingatan kita semua (penulis, blogger, pekerja media, editor, dan penerbit), dan agensi kerajaan yang memantau blog dan media ,
berikut adalah sejumlah akta yang mengatur kewajaran kebebasan bersuara di negara ini:-

AKTA FITNAH 1957; AKTA RAHSIA RASMI 1972; AKTA IKLAN LUCAH 1953; AKTA PERIHAL DAGANGAN 1972; AKTA SURUHANJAYA RASMI KOMUNIKASI DAN MEDIA 1998; AKTA HAKCIPTA 1987; AKTA KESALAHAN KOMPUTER 1997; AKTA PERDAGANGAN ELEKTRONIK ( E-PERDAGANGAN) 2006; AKTA CAP DAGANGAN 1976; AKTA HASUTAN 1948; dan beberapa akta lain lagi . Mak, Banyaknya!

7 comments:

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Assalamualaikum Dato,

Tulisan Dato saya kagumi..

Bukan saya ia menghalang norma dan luar etika malahan ia menyekat ketamadunan dan kekreatifan minda..

Remaja amny, menjadi mangsa..

Tersepit dan dihimpit untuk meluah perasaan dan berkongsi pandangan..

Zahar said...

as salaamu alaikum,

Antara lain sebab blog dan internet news lebih diminati dari MSM adalah kerana "speed".

Misalnya, kalau di Internet macam2 sudah keluar berita terdahulu dari MSM yang perlu waktu untuk mencetak, distribusi dll.

Juga, berita2 di Internet ni banyak tari dan ragamnya.

Dan yang paling seronok, memberi pembaca opportuniti untuk berinteraksi dengan blog.

Manakala MSM di zaman sekarang ni, kalau tulis merapu sikit (i.e. tulis apa2 yang tidak disenangi oleh Kali), mampus kalau nak disiarkan.

Jadinya orang malas dengan MSM.

Jikalau BN atau UMNO mahu rakyat kembali kepada MSM, perlu renungkan sebab2 diatas, terutama tentang gunting sensor Kali and the gang. :)

bahazain said...

Sdr izwan
Apa yg sdr sentuh itu adalah satu aspek yg selalu dilupakan bahawa kebebasan berucap memperluas dialog, ruang lingkup pemikiran dan imaginasi yang sangat penting mempertingkatkan ketinggian tamadun.Hanya melalui fikiran dan imaginasi budaya intelektual akan berkembang. Saya akan tambah hal ini dlm posting ini.

bahazain said...

Sdr Zahar
Sensor yg berlebihan akan membunuh kredibiliti media. Kadang-kadang judgment editor tidak selalu bijaksana dan berlagak lebih ketat daripada sikap kerajaan.Ada editor yg lebih menjadi gatekeeper establishment bukan gatekeeper berita yang adil. Esei saya pernah dikorbankan selepas tergesa-gesa menyiapkan, tetapi editor punya kuasanya. Cuma saya berasa lebih baik dibunuh saja tulisan itu daripada dipinda ikut selera editor.

Hartini Omar said...

salam dato'

dari satu segi, membaca blog RPK sama juga seperti membaca utusan malaysia. kedua-duanya berada di pola yang sangat berbeza. satu dengan hanya pro nya. dan satu lagi dengan yg kontra

media, samada berita, akhbar juga blog seharusnya memberi input yg benar lagi adil. bukan meracun fikiran rakyat dengan dakyah yg berbagai rupa. sampai kadang2 naik menyampah mau membaca

ibu saya adlh seorang yg buta teknologi dan hanya tahu memetik butang 1,2 dan 3 di tv. jadi tidak hairanlah kenapa ibu begitu tidak sependapat dengan saya dalam hal2 politik negara

manakala saya dan ayah mengadap komputer hampir setiap hari. kami dapat membaca kesemua berita, dari semua akhbar dan blog, lalu boleh menilai setiap perkara dari segenap segi

lalu tidak hairanlah jika saya lebih gemar berbincang dengan ayah yang lebih terbuka, dari ibu yang hanya percaya cakap tv 1, 2 dan 3

-untuk isu ISA itu dato, maaf terus terang saya tidak bersetuju. bukan mempersoalkan insan yg disumbatkan, tapi mempersoalkan mampukah kewujudannya membaikpulih keadaan

"saya anti kezaliman"

maaf, dan terima kasih dato'

Unknown said...

...dan saya menantikan kalau-kalau ada tulisan beliau di sebalik jeriji. Manalah tahu ada karya-karya hebat seperti Syed Qutb ataupun Hamka. Harap-harap tidaklah kosong seperti DSAI...

bahazain said...

Sdr Hartini
Dlm ribut taufan media dan blog yg bercambah bagai cendawan tumbuh, pembaca menghadapi kesulitan untuk memisahkan antara bahan yg mengajak berfikir dengan propaganda yg hendak mempengaruhi fikiran. Sangatlah baik setiap kita membuat pendirian walaupun terhadap tindakan kerajaan.

Sdr Mansor,
Sungguh alangkah menariknya kalau dapat dirakam sendiri oleh DSAI pengembaraan batin dan renungannya selama dalam tahanan.Samad Ismail bercerita pd saya , allahyarham mengajar bahasa Inggeris kpd polis yg mengawalnya. Seorang teman lain yg ditahan juga sampai menjadi sahabat dengan pegawai polis selepas tahanan.Bertambah silaturrahim.