Sunday 9 November 2008

Mencari debat yang sihat di dewan parlimen

Pada tanggal 27 Mei 2008, jam 10.30 pagi, sedang bercakap serta menasihati cucu-cucu yang datang menziarahi saya sewaktu cuti sekolah, saya tergesa-gesa diajak menonton TV yang menyiarkan perdebatan di sidang Parlimen. Saya agak terkejut melihat telatah beberapa orang Yang Berhormat bertengkar, menyanggah orang lain yang sedang berhujah, ada yang menerpa ke kerusi Yang Dipertua, dan ada yang mencelah dengan suara keras.


Saya menjadi berasa malu kepada cucu-cucu yang baru beberapa minit sebelumnya saya nasihati supaya jangan menjerit bila bercakap (kanak-kanak memang suka menjerit), berkelakuan baik di meja makan, hormat kepada orang tua-tua, orang gaji dan lain-lainnya. Nah! cucu-cucu saya juga terpegun melihat telatah jerit herdik di dewan yang kononnya mulia itu. Dari kaca mata cucu-cucu saya seolah-olah saya memiliki dua ukuran tatatertib: satu untuk anak-anak, dan yang satu lagi untuk orang dewasa yang bebas tanpa norma.

Waktunya sudah tiba bagi kedua-dua pemimpin, pihak kerajaan dan pembangkang, duduk berbincang secara baik bagaimana untuk mendidik atau mengajak Ahli-ahli Yang berhormat supaya menahan sabar, bertindak hormat, dan tidak menjadikan pemandangan di Parlimen seperti sebuah pasar borong di mana orang berinteraksi untuk membeli ikan dan sayur bagi mengisi selera dan perut masing-masing.
Kalau gaya bertanya, menjawab, berhujah dan berdialog seperti ini berlanjutan tanpa keinsafan yang mendalam terhadap etiket dan etika, tidak mustahil apa yang berlaku di dewan-dewan perundangan lain ( entah Korea, Taiwan , atau Itali ) akan pada satu hari nanti berlaku di Parlimen Malaysia: berlengan di dewan yang mulia.

Cukuplah dengan pelbagai jenayah, demonstrasi jalanan, maksiat dan kelakuan kurang ajar yang sedang menjadi-jadi di tengah-tengah masyarakat di luar Parlimen itu. Apakah apa yang berlaku dalam Parlimen sebahagian daripada simptom atau gejala masyarakat yang sakit? Ini tidak mungkin kerana mereka yang terpilih tentu dipilih oleh rakyat dengan andaian kecerdikannya, tingkah laku yang baik dan sopan, boleh dipercayai dan amanah, dan sanggup berkorban demi kebenaran serta kebaikan semua orang. Mereka patut menjadi tokoh contoh kepada remaja dan orang muda bagaimana berhujah dengan bahasa yang baik, nada yang tidak meninggi, jalan fikiran yang jelas dan niat yang lurus. Air yang jernih tidak akan mengalir dari telaga yang keruh.

Barangkali pandangan ini terlalu idealistik, meminta terlalu tinggi daripada kenyataan yang ada. Tidak ramai orang yang memiliki ciri-ciri yang positif seperti di atas , meskipun bergelar Yang Berhormat. Memang masalah kepemimpinan dalam proses demokrasi yang popular dan dalam masyarakat demokratik yang berubah cepat ( tidak seperti dalam proses feudal di mana pemimpin diasuh oleh norma tradisi yang panjang) ada pemimpin yang nampak hebat dipilih oleh rakyat walaupun emosi dan akhlaknya belum cukup matang ( seperti mempelam yang masak diperam, matang di luar , mentah di dalam). Lama-kelamaan mereka yang bermasalah ini diharap akan dimatangkan oleh pengalaman dan menjadi ahli yang berakal budi dan dihormati.

Apakah tidak lebih baik gelaran “Yang Berhormat” itu sekarang diubah menjadi “Yang Berkhidmat” ? Panggilan Yang Berkhidmat lebih memberi pesan semantik
yang relevan dengan harapan rakyat; dan apabila harapan-harapan rakyat itu dipenuhi, maka secara automatik Ahli Parlimen kita akan dihormati oleh rakyat. Penghormatan tidaklah boleh diminta, dipergelarkan atau dipamerkan secara rasmi, tetapi dianugerahkan oleh perasaan terhutang budi dan kekaguman hati orang melihat jasa yang ditaburkan. Saya bukanlah ingin mengajak pembaca terlibat dalam masalah verbal atau retorik, tetapi benar-benar ingin mengingatkan diri kita tentang tugas serta tanggungjawab Ahli Parlimen sementara kita memasuki satu era baru dalam budaya politik nasional.

Sekadar untuk berkongsi maklumat , ada sebuah buku yang sangat bermanfaat untuk ditelaah oleh Ahli-Ahli Yang Berkhidmat tentang tatacara bertukar pendapat atau berdebat, iaitu karya Dr. Muhammad Sayid Thantawi, Etika Dialog dalam Islam, terjemahan Ahmad Zamroni Kamali dan Abdul Hafidz bin Zaid, Jakarta, Mustaqiim, 2001 . Untuk Ahli-Ahli yang bukan Islam juga buku ini sangat bermanfaat bagi mereka untuk memahami bahawa rakan-rakan Islam yang diam bersabar dan tekun mendengar, bukanlah bererti tidak pintar atau bodoh, tetapi berhemah dan berakhlak .

Untuk sekalian wakil rakyat elok jugalah menyedari bahawa 20 juta lebih rakyatnya di luar dewan itu bukanlah semuanya tak berfikir dan tak pandai menilai bahasa serta tingkah laku Ahli-Ahli Parlimen, atau Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri . Zaman ini adalah zaman yang segera memberi tindak balas
melalui artikulasi yang terbuka luas dalam prasarana maklumat yang canggih. Tindak balas tersebut bukan sahaja dengan pantas membentuk persepsi awam, tetapi mempengaruhi fikiran penduduk untuk menilai secara kritikal terhadap tokoh-tokoh politik di Parlimen.

Saya akhiri dengan ucapan ,”Selamat Berkhidmat” kepada sekalian YB.

* Diterbit semula dengan ehsan Malaysian Digest. Pertama kali diterbitkan di www.malaysiandigest.com pada bulan Jun 2008

7 comments:

Akar Umbi said...

Barangkali 'trend' terkini, tidak kira rakyat mahu pun wakil rakyat membuat keputusan dan tindakan berasaskan emosi.

Hartini Omar said...

datuk,

teringat waktu sekolah, saya bangga jika terpilih mewakili sekolah dalam 'debat ala parlimen'..

namun dalam senario sekarang, saya tidak tahu jika benar debat ala parlimen itu boleh menjadi satu kebanggaan, atau sesuatu yg memalukan..

zaman cepat berubah, dan perubahan itu berlaku di depan mata..

Oleh admin Bebas Malaysia said...

Salam dato..

Parlimen menjadi semacam gelanggang pertarungan ayam.. Siapa yang tajam tajinya akan dinobatkan dan siapa yang tumpul akan semakin kelam dan malap..

Mereka bukan membumikan bangsa dan memberi contoh..

SATIRA + KACAU said...

Salam Pak Baha YDh: Tengah "bersedihkah" sekarang? Lama tidak menjengah Pak Baha dengan satira dan canda. Moga Pak Baha walafiat sentiasa.

Puan Ainon Mohd. said...

Buku karya Dr. Muhammad Sayid Thantawi, Etika Dialog dalam Islam, saya sudah beli 3 tahun lalu di Jakarta Book Fair.

Dibaca secara speed reading sahaja!

Sham al-Johori said...

Dato' Baha,
Kira-kira 10 tahun dahulu mereka kata dewan parlimen akan menjadi kotor dan jijik dengan pemikiran sampah dan budaya jahiliah. Hari ini, semua itu hampir menjadi kenyataan. Siapakah yang akan membersihkan keadaan itu? Kita adalah manusia yang tidak akan masuk ke parlimen kerana kita tidak memilih jalan itu. Makanya, akan berterusan kotorlah dewan parlimen meski selama ini sering dijoloki dengan gelaran 'dewan yang mulia ini'.

Parlimen hari ini tempat mereka memaki hamun dan mengeluarkan sumpah seranah secara bermoral kata orang UMNO.

Selamat bersidang para 'pencacai'. Rasanya, mereka pun dah tak mengaku rakyat Malaysia sebab dah pergi Taiwan baharu2 ini. Itulah yang mereka bawa balik dan diimplimentasikan.

Zarif Hassan said...

Datuk,

tulisan tuan membuat saya terpanggil untuk berfikir tentang pantun ini..

"Jika ingin mencari tempat mandi, pertama teluk, keduanya pantai jika ingin mencari pemimpin berbudi, pertama elok, keduanya pandai"

elok yang bagaimana?
pandainya di tahap mana?