Tuesday, 11 November 2008

SENYUM-NYUM SELALU



Tiba-tiba saya berasa jemu, bosan dan bengang. Terlalu jenuh membaca agaknya, lalu saya selongkar buku jenaka atau humor di rak buku. Kegemaran saya Khuswant Singh dari India, dan corat coret jenaka dari Cina. Selepas membacanya otak berasa segar kembali, dan saya ingin berkongsi perasaan dengan saudara sekalian, tetapi saya buat cerita sendiri, berdasarkan ilham daripada membaca cerita jenaka klasik Cina dan jenaka modern dari India. Kenapa dari Cina dan India ?



(1 ) 1/5 Cina

Salah satu jenaka Kushwant Singh, ada sepasang kelamin India yang sangat berbangga dengan empat orang anaknya. Semuanya pandai-pandai dan cerdik otaknya. Kalau begitu tanya kawan-kawannya kenapa tak buat seorang lagi kerana nampaknya zuriatnya daripada baka yang bagus. Si suami menjawab bahawa dia bimbang kerana setiap seorang daripada lima bayi yang dilahirkan di dunia adalah Cina.
***


(2) Pemburu dan Pistolnya
Seorang ketua pemburu yang ganas menyerbu masuk sebuah pondok yang ditinggalkan
tergesa-gesa oleh tuannya dalam sebuah hutan. Begitu dia masuk dengan pengikut-pengikutnya , dia lihat berjejeran gambar di dinding: gambar muka harimau, beruang, beruk dan lain-lain. Dengan suara keras dia segera bertanya kepada pembantunya.



"Ini gambar siapa?" sambil menunjuk ke gambar harimau.
" Ini Botak Chin! " jawab pembantunya cepat.
Dia mengeluarkan pistolnya lalu menembak gambar harimau.

" Ini gambar siapa?" sambil menunjuk ke muka beruang.
" Ini ketua Gang Mamak" jawab pembantu.
Dia mengacu pistol ke muka beruang dan menembak lagi.

" Ini gambar siapa?' sambil menudingkan muncung pistol ke gambar beruk.
" Ini Menteri," jawab pembantunya dengan penuh khuatir.
Dia menggerakkan jarinya untuk menembak terus, tetapi tiba-tiba terhenti. Dia lalu mengangkat kedua belah tangan ke langit sambil berkata,"Ya Tuhan, selamatkanlah kami di dunia dan juga di akhirat nanti." ....


{ Cuba teka apakah pemburu ganas itu akan menembak gambar beruk atau tidak? Kalau ya kenapa? Kalau tidak kenapa ?}
***


(3) 0 lawan 0

Sebuah angka 0 tiba-tiba terlanggar angka 0 yang bersaiz lebih besar. Angka 0 besar menyindir , dan bertanya apakah dia tak nampak badannya yang lebih besar itu. Maka jawab angka 0 kecil,
"Aku nampak, tetapi nilai engkau dengan nilai aku sama saja".

** *



(4) Buku Teks dan Tikus


Seorang Professor selesai menulis buku teks tentang bagaimana teknik menghapuskan tikus rumah, pergi ke dapurnya. Kemudian dia tertinggal buku tersebut di atas meja dapur. Pada waktu tengah malam, seperti biasa, datang seekor tikus lalu menggigit kertas buku itu sehingga hampir berkecai. Buku itu lalu bersuara dan mengingatkan sang tikus bahawa dia bertugas menyimpan rahsia untuk menghapuskan tikus-tikus yang merusakkan.


Tikus lalu menjawab, " Ah! bukankah itu teori saja."


Jawab buku, " Ini bukan teori. Professor sudah menulisnya."


Jawab tikus lagi, " Ah, itu hanya retorik saja. Dia sedang tidur nyenyak di biliknya."


***


Kalau saudara ada cerita jenaka , mari kita senyum bersama. Kehidupan sudah menjadi sangat serius dan kacau. Tidak baik untuk kesihatan jiwa dan mental. Orang sudah banyak jadi gila , dan kembalikan kehidupan yang normal. Amin.

11 comments:

Unknown said...

Salam Dato'
Sesekali menulis untuk yang santai begini bukan seronok ditulis sahaja malas membacanya juga. Saya berjumpa teman lama ketika menonton teater di IB katanya jika kita tidak jika ketawa kita menggerakkan 400 otot2(saya tidak pasti dimana sumbernya) dan dalam keadaan biasa kita cuma menggerakkan 200 otot2 sahaja. Jadi lebih baik kita ketawa. :)

Unknown said...

Maaf terbalik figura itu. Ketawa akan menggerak 400 otot2..

maza said...

Salam Dato

hehhehe saya baru aje nak menjegah dunia penulisan nie....masih menerawang....

entah ler, main hentam aje kot...masih kurang displin dlm penulisan....kalau tulis guna bahasa pasar reti ler....heheeh

bahasa tinggi2 nie....alamak eiiiiii!

Rahimin Idris said...

salam dato',
saya selalu baca tulisan dato' ni tapi tak pernah komen. ketagih. suka juga 'monolog kecil' tu. tapi buku dato' yang saya ada cuma satu -- esei dan puisi-puisi baha zain. dah lunyai buku tu saya ulang baca. buku-buku lain sangat susah nak jumpa. boleh dato' jual di blog ni secara pos?

saya sangat letih membaca kisah-kisah politik. sudah malas.

semoga dato' selalu sihat, dan terus menulis.

salam hormat.

Hartini Omar said...

bagus juga datuk bawa pembaca tersenyum-senyum dalam hari2 penuh sengketa ni.. saya juga tersenyum-senyum sambil mengingat-ngingat kembali buku "eh, wat yu talkin" karya Syed Ali Tawfik Al-Attas.. saya tersenyum2 dan ketawa sampai berair mata bila membacanya

saya yg suka senyum dan ketawa =P

fadzil yusof said...

Assalamualaikum Dato',

Membaca bersama santai dengan unsur-unsur ketawa sangat kita perlukan. kebetulan dalam sastera leluhur kita kaya dengan unsur ini. paling saya suka bila teringatkan Tun Ulat Bulu jika tidak silap saya dalam Sulalatus Salatin, bagaimana Tun Ulat Bulu ditegur maulana kerana tidak boleh sebut perkataan arab dengan baik (menggaji tak silap saya), yang kemudian dengan gaya licik, Tun Ulat Bulu menjawab dengan jawapan (dalam fikiran saya tak terfikir pula semacam itu)...unsur lelucon dulupun sudah amat canggih.

Anonymous said...

Dato',

HAHAHA!!! Sekarang ni manusia Malaysia ramai yang ketat otot ketawa.

Dato' boleh masuk pertandingan Raja lawak ASTRO.

bahazain said...

Sdr enche's
maza
rahimin idris
hartini
fadzil
dan ritah,
Saya yakin sdr2 sekalian sangat manusiawi kerana senang hati dengan cerita yg menggembirakan perasaan. Tradisi sastera Melayu, dan masyarakat kita di desa pun selalu ada humor jenaka yg ada kalanya sangat mendalam maknanya.Sebenarnya karya humor tidak mudah dikarang, terutama kalau mengkritik spt meletupkan belon dengan hujung jarum halus saja.

MATEMATIK NUSANTARA:

SEWAKTU MELAWAT MADURA PRESIDEN HABIBIE DISAMBUT DENGAN BENDERA YG TERKIBAR TINGGI. HABIBIE BERTANYA; "BERAPA TINGGI TIANG BENDERA INI?"
PENJAGA BENDERA SEGERA MEMANJAT UNTUK MENGUKUR. HABIBIE MELARANG, DAN BERKATA,"BUKANKAH LEBIH MUDAH KAMU TUMBANGKAN SAJA TIANG DAN UKUR DI ATAS TANAH."

JAWAB PENJAGA BENDERA, " KOK TADI BAPAK PRESIDEN BERTANYA BERAPA TINGGI; BUKAN BERAPA PANJANG ."


SAHABAT SETIA:

DALAM SATU PEMBICARAAN MAHKAMAH TUAN MAJISTRET NAIK BERANG KERANA ADA HADIRIN YG MELEPASKAN ANGINNYA.

"PENGAWAL TANGKAP ORANG ITU" PERINTAH MAJISTRET.
PENGAWAL SEGERA MENCARI YANG BERSALAH HINGGA KE LUAR KAMAR.KEMUDIAN DIA MASUK MEMBAWA SATU BUNGKUSAN BERISI NAJIS.

"MANA ORANG ITU? DAN APA YG ENGKAU BAWA MASUK?"

DIA MENJAWAB," ORANG ITU SUDAH LEPAS LARI TUAN. INI SAYA BAWA SAUDARA RAPATNYA."

Littlesilence said...

membaca entri dato' membuat saya ketawa, hilang segala gundah gulana..

sharing is caring.. :)

terima kasih kerana buat saya ketawa..

sinaganaga said...

“AYAH NI BOS EK?”

“TAKLAH!”

“TAPI TADI, CINA VCD TU KATA, “BOS, CARI APA VCD, BOS?””

*deng*

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha: Izinkan saya tumpang mencoretkan sebuah satira di sini. Sekadar hendak berkongsi dengan Pak Baha dan pembaca yang lain. Setidaknya, dapat juga meleraikan sedikit rasa serabut di dalam dada. Begini satira itu:


Ada seekor kucing jantan. Melilau matanya bila melihat kucing betina melintas di hadapan.

Kenapa jeling-jeling? Dasar jantan gatal! Sergah kucing betina sambil menggerak-gerakkan ekornya.

Kalau aku tidak jeling nanti kau bilang aku sudah sombong. Begitu jawab kucing jantan. Selamba dan penuh yakin.

Sebentar tadi, mereka baru selesai bergomol hebat. Walau riuh bunyinya berkeriau, tetapi begitulah caranya kucing menyatakan nikmatnya ketika begitu.

Hanya kita manusia, yang tidak pernah tahu.

Satira + Kacau