Kebudayaan yang hidup memberikan ruang dan peluang untuk individunya mengucapkan imaginasi dan kreativitinya baik melalui tulisan, ukiran, suara, gerak badan, atau cara pengungkapan yang lain. Ini sebahagian daripada kebebasan demokratik dalam masyarakat yang sivil. Untuk kebudayaan menjadi asas tamadun dan pembangunan bangsa, bukan sahaja kebebasan yang wajar perlu diberikan bagi pengucapan kesenian dan intelektual, malah usaha memperkasa atau memberdaya (empowerment) dirancangkan supaya bakat-bakat di dalam masyarakat mudah melahirkan ciptaan, inovasi dan ekperimen bagi dinikmati oleh orang.
Inilah antara pendekatan budaya bagi menyegarkan kehidupan kebudayaan, pengalaman masyarakat, dan meremajakan proses pembangunan negara. Kita akan rugi kalau tidak membangunkan bakat; dan adalah satu jenayah kalau membazirkan bakat baik di dalam keluarga mahupun negara.
Dengan pengertian inilah Dewan Bahasa dan Pustaka patut dipuji kerana telah menjalankan satu program penggalakan bakat remaja dalam lapangan penulisan , secara tetap sejak 22 tahun lalu.
Antara bakat-bakat yang terbukti telah mencatatkan nama dalam perkembangan kesusasteraan semasa-- juga memenangi pelbagai hadiah persuratan seperti Rahimidin Zahari, Shamsuddin Othman, Zaen Kasturi, Lutfi Mohd, Faisal Tehrani dan Khairunnasriah etc-- kini bukan sahaja menjadi model penulis remaja , tetapi telah menjadi fasilitator dalam bengkel-bengkel penulisan.
Merekalah bakal menjadi pengembang dan pembina bahasa Melayu sebagaimana pujangga-pujangga dan seniman tradisi zaman silam memungkinkan kelanjutan bahasa Melayu di dalam hikayat-hikayat (Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Abdullah etc) sewaktu bahasa kita ditekan dan dipalu perkembangannya oleh Portugis, Belanda serta Inggeris; dan sekarang oleh menteri-menterinya sendiri.
Untuk Minggu Penulis Remaja kali ke -22 ini saya telah diundang untuk bercakap kepada 24 0rang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang menunjukkan hasrat dan bakat dalam lapangan penulisan. Mereka adalah orang muda yang masih sihat segar, berwajah ceria, dan mempunyai imaginasi serta emosi yang sedang mencari ruang luas serta lebar untuk hala pengucapan sanubarinya. Dunia di depannya masih jauh di kaki langit yang remang-remang, dan
di sanalah mereka akan menuju untuk mengalami kenyataan dan idealisme kehidupan. Kepada merekalah kita sandarkan harapan untuk menjadi nakhoda tanah tumpah darah , keringat dan air mata.
Mengingatkan semua yang telah saya alami ,dan entah apa-apa yang akan terjadi kepada bangsa , saya teransang menulis sebuah puisi selepas saja bertemu dengan generasi muda
tersebut pada pagi Sabtu 13 Disember 2008- waktu yang bertuah- apabila saya menjadi sehari lebih tua tatkala pada hari yang sama dikurniakan oleh Tuhan dengan seorang cucu lelaki.
REMAJA
(untuk para fasilitator dan peserta MPR)
Kulihat senyum mereka
cempaka harum sewaktu pagi
dimandi cahaya, seakan mendung tak pernah ada
disirami sinar, seakan senja tak bakal tiba.
Kalau aku piala dahaga merindukan masa lalu
kudengar muzik bergetar dalam dadamu
meraikan masa depan yang pasti berkunjung
kembara panjang yang remang berliku.
kalau aku hampir sampai ke perhujungan
kulihat waktu merayap memanjat urat-urat usiamu
engkau adalah ibu dan bapa , tua-tua masa depan
penyair yang bersuara berani, berbicara tentang kebenaran
seniman yang tegak berdiri, melukiskan warna zaman.
kudengar muzik bergetar
mencari arah di persimpangan
mencari wajah perjalanan
teriring doa dan,
Amin
Baha Zain
Dusun Permai
13 Disember, 2008
9 comments:
Dato' Baha,
saya bukan insan yang terpilih untuk berada pada lapangan tersebut.Tetapi merenung tulisan Dato' tentang harapan kepada anak bangsa seakan membuatkan ada yang bergetar dalam jiwa muda ini.
Mungkin 'jenayah' yang Dato' katakan itu sudah membiak dan meliar. Kadang kala terpukul saya dengan kesedihan bila merenung kembali kepada tulisan Dato'. Di satu pihak sibuk melahirkan bakat yang bakal memelihara bangsa dan bahasa, manakala 'selebihnya' bukan berkerja keras menguburkannya.
Dato',
Barangkali memusnahkan lebih senang daripada memelihara dan mempertahankannya.
*Di satu pihak sibuk melahirkan bakat yang bakal memelihara bangsa dan bahasa, manakala 'selebihnya' berkerja keras menguburkannya.
*Maaf, kesilapan menaip.
Selamat panjang umur dan dirahmati ke akhir hayat..Tahniah dengan cucu baru!
Dato' yang dihormati,
Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman pada pagi yang amat bermakna kepada Dato itu. Begitulah, setelah kita berusaha melahirkan sesuatu yang baru seperti sepohon mawar, kemudian bertunas, berbunga dan berbuah, sayangnya pohon itu disirami racun.
Saya sentiasa merenung ke dalam diri, sampai bilakah, pohon mawar itu akan mewangi di taman sastera Melayu.
Assalamualaikum Dato',
Terima kasih di atas tulisan-tulisan Dato', sekurang-kurangnya masih ada harapan cahaya di dalam kekelaman hari ini.Orang tua ada berkata, patah tumbuh hilang berganti tetapi apalah nasibnya kini jika tunas sentiasa diracuni....
** mohon meminjam tulisan Dato'untuk blog saya.
Jika bahasa itu petunjuk ketamadunan, maka Malaysia sangat jauh ketinggalan.
Malaysia tiada keaslian identiti setelah penjajahan dan beroleh kedaulatannya semula. Yang ada cuma imej mainan.
Jika mereka percaya, dan meletak percaya dengan benar, mereka tahu bahasa melayu bukan sekadar tentang kedaulatan.
Jika ditakdirkan 10 tahun akan datang, Malaysia mengikut rentak dunia, sampai bila-bila ketamadunan yang wujud adalah ketamadunan eropah. Bukan ketamadunan Asia. Bukan ketamadunan Melayu. Tidak akan wujud kesinambungan warisan.
Kita telah bebas.
Cuma ketamadunan kita terkikis hanya kerana, kita terlalu takut untuk bergerak bebas dan irama eropah terlalu disegar bugarkan oleh kita sendiri.
Mungkin kita sendiri kurang faham bagaimana perlu kita menetapkan tamadun kita sendiri.
Jepun teridentiti dengan kejepunannya.
Jerman teridentiti dengan kejermanannya.
Universiti kita juga tidak mewajibkan pelajar asing wajib lulus bahasa melayu peringkat profesional dan kerjaya untuk diterima masuk.
Walhal, pensyarah dan kakitangan akademiknya 95% adalah rakyat Malaysia yang bahasa rasminya adalah MELAYU.
Kita sangat taksub ketamadunan asing tanpa belajar bagaimana berada di tamadun kita sendiri. Mungkin.
Assalammualaikum Dato' Baha Zain
Sehari bersama Dato' Baha Zain sempena MPR di Sri Cempaka Suites memang sesuatu yang tidak dijangka oleh saya. Bertentang dengan Dato' Baha Zain yang sudah menulis beratus-ratus puisi amat mengagumkan saya dan teman-teman. Apa mungkin tatkala kami dengar sajak dato' untuk fasilitator dan peserta MPR yang dideklamasikan oleh En Rahimidin membuatkan kami terasa ada harapan yang melekap kuat di pundak saya. Ada sesuatu yang menjalar di urat nadi saya. Merayap sebuah harapan dan amanah.
Terima kasih Dato' atas tunjuk ajar dan pengalaman yang dikongsi bersama. Insyaallah jika ada pertemuan yang diatur Allah, ingin sekali saya ketemu lagi dengan Dato'.
Salam Dato..
Kalau ada lagi acara sebegini, maklumkanlah..
Saya teringin untuk menghadiri..
;)
Terima kasih..
Sdr Nur(cahayapetunjuk),
Membaca dan menulislah sedaya mungkin.InsyaAllah impian sidr akan terisi, esok atau lusa. Doa restu daripada saya.
Sdr Izwan,
Untuk penyertaan ini cubalah sdr hubungi Bahagian Sastera Kebangsaan
(Puan Zalilah atau Zeti), Jabatan Sastera ,DBP. Program ini setahun sekali, tetapi ada program lain yg juga boleh sdr tanyakan.
Post a Comment