Seratus dua puluh tahun yang lalu, orang Melayu daripada kaca mata seorang pentadbir Inggeris , beginilah rupanya:
" Sifat-sifat Melayu itu, dalam satu segi, mencerminkan persekitarannya. Dia bergaya dan bersopan santun, seperti bayu yang selalu menggetarkan daun-daun dusun sewaktu dia duduk termenung berangan-angan di bawah cahaya matahari di tebing salah satu daripada sungai-sungainya yang berair jernih. Ada waktunya, dia berbahaya dan tak menentu seperti ribut Sumatra, yang tiba-tiba
menjelma dan dalam beberapa minit memusnahkan apa jua di depan matanya. Itulah keadaan fikirannya yang membuat dia mengamuk, satu bentuk mania yang cenderung membunuh tanpa tolak ansur lagi. Kedaan ini semakin berkurangan walaupun pada zaman tradisi peristiwa demikian biasa terjadi dalam masyarakat ini...
Apa yang membuat dia sebagai seorang gentleman yang semula jadi susah hendak diterangkan , kerana asal usul bangsa Melayu tidak diketahui, walaupun besar kemungkinan sepanjang beberapa abad berkembang di Sumatera, Jawa, dan Semenanjung Tanah Melayu, dan di kepulauan-kepulauan sekitarnya, asalnya datang dari India. Kehidupannya di pinggir hutan yang dipenuhi dengan binatang-binatang liar menjadikannya pemburu, dan daripada sungai serta lautan sebagai sumber pendapatan yang mudah, menjadikan dia pelayar yang mahir dan perenang serta penyelam yang hebat.
Sifat utamanya ialah enggan bekerja kuat terus-terusan; cuaca dan tanahnya membuat dia percaya bahawa dengan sedikit usaha, kehidupan tetap boleh diteruskan, dan dia menerima hakikat ini. Dalam iklim yang tidak betul-betul sejuk, di mana kayu api mudah diperolehi untuk membakar, dan bahan-bahan membuat tempat tinggal senang dicari tanpa banyak belanja; untuk hidup bagi orang sihat yang tak bercita-cita tinggi tidaklah susah... Melayu adalah "Mohamedans " dan tidak meminum barang yang memabukkan, tetapi merokok tembakau tempatan atau yang diimpot, dan itulah kemewahannya. Semua yang tersebut di atas berlaku di kalangan yang miskin walaupun sebahagian besarnya pemilik tanah.
Orang Melayu itu kuat, bertubuh baik, tampan, dan berkelakuan menarik, dan apabila dia berminat dia boleh membuat apa saja serta tabah. Duit bukan selalu mendorong dia berkelakuan begitu, tetapi naluri baik hati, atau keinginannya untuk menyenangkan hati orang yang disukainya atau dihormatinya , akan melahirkan sifat-sifat terpuji yang ada dalam dirinya.
Bagi orang-orang Inggeris yang bersimpati, orang Melayu itu sangatlah menyenangkan, kalau mereka faham akan dia, dan dia pula faham akan mereka."
( Sir Frank Swettenham, " The Malay States and Their Tropic Life", dlm
J.A. Hammerton ( Edit.) People of All Nations: Their Life Today and the Story of their Past, Jilid II, (London: Educational Book. Co , Limited, N.D. ), Hal. 878-879.
Swettenham mula tiba ke Tanah Melayu pada usia muda 19 tahun selepas belajar di Cambridge. Dia pertama kali melawat Selangor pad tahun 1872, dan pada tahun 1882 dilantik sebagai Residen British di Selangor. British tak berbuat banyak membangunkan negeri ini, tetapi pada waktu beliau di Selangor (1882-89)
dia telah memberi banyak perhatian dan seperti Hugh Low di Perak , dia membuat banyak perubahan . Swettenham adalah antara pegawai-pegawai pentadbir British yang dianggap memberi banyak pengertian kepada orang Melayu seperti Ernest Birch (anak JWW Birch yang dibunuh), Wilkinson, dan Hugh Low.
Itulah tanggapan yang diberikan oleh Swettenham, dan imej Melayu itu tidak sama dengan imej Cina dan India yang dilukiskan olehnya. Bagaimana pun itulah Melayu di mata Mat Salleh pada zaman satu abad yang lalu. Bersetujukah anda ? Bagaimana Cina dan India sekarang melihat Melayu? Orang Melayu mesti belajar mengetahuinya. Demikian juga sebaliknya supaya masyarakat Malaysia tidak hidup dalam persepsi yang kacau; dalam pride yang palsu, dan prejudis yang liar.
(Bersambung)
5 comments:
Salam,
Wajah Melayu menurut gambaran Swettenham saya rasa agak seimbang dan adil. Tidak ada kekurangan atau keistimewaan yang dilebih-lebihkan.
Bagaimanapun, wajah Melayu sekarang mungkin sudah banyak berubah -- diubah oleh dasar penjajah, agama Islam, budaya barat, ideologi kelas pemerintah dan banyak faktor lagi.
Jadi mungkin baik juga jika dapat dibuat satu kajian baru secara ilmiah tentang wajah Melayu pada masa ini.
Salam Dato' Baha,
Saya belajar wajah Melayu yang Dato' ceritakan itu daripada Prof Asmah Haji Omar 12 tahun yang lalu ketika menjadi mahasiswa di UM. Ceritanya sama dengan cerita Dato' bahawa wajah Melayu daripada mata Inggeris amat muluk sekali.
Persoalannya hari ini ialah, wajah Melayu daripada persepsi UMNO dan politikus Melayu itu sendiri sudah berubah. Mereka tak belajar daripada bagaimana orang Inggeris itu. Mereka mengguna pakai tanggapan sendiri yang tidak susur galurnya. Inilah kekecewaan yang membarah dalam pemikiran dan kepala otak mereka. Di tangan dan buah fikir merekalah Melayu hari ini menjadi tidak bersatu dan seakan hilang hala tuju.
Ya, kita bersyukur juga bahawa GAPENA mula menaring dan bersilat. Insya-Allah, kita akan sama-sama turun padang mempertahankan hak dan maruah kita. Moga selepas ini PPSMI akan segera dikuburkan.
salam hormat Dato`,
Saya pernah berada di dalam tiga situasi berbeza bersama kelompok yang berbeza.
Satu;
Saya berpengalaman berkerja dengan 2 rakan sekerja, India dan Cina. Mereka berdua sudah mempunyai Ijazah Sarjana, sedang saya cuma sarjana muda. Bos saya seorang cina bekas pegawai kerajaan.
Apa yang saya lihat, cina pantang melihat melayu lebih berilmu dan berkaliber. Mereka cepat cemburu hinggakan mereka akan menjadi terlalu bagus demi memastikan mereka mendahului melayu.
India berstatus dan berpendidikan, tinggi ego.
Dua;
Saya berpengalaman berada di kelompok cendikiawan. Berkerja dalam satu pasukan tenaga pengajar. Kesemuanya Melayu.
Melayu juga cemburu terhadap Melayu.
Tapi mereka cemburu dengan membunuh. Tidak bersaing.
Tiga;
Saya belajar bersama. Bumiputera Sabah dan juga seorang cina.
Cina kuat cemburu. Tapi berusaha mendahului.
Kesimpulan:
Saya kira ada benarnya penerangan Mat Salleh tentang Melayu. Dan saya tidak malu tentang kebenaran itu. Kerana saya tahu kelebihan dan kekurangan mereka yang lain.
Jika Melayu bukanlah bangsa yang murah hati dan baik hati, sentiasa kompromi, mungkin tidak langsung wujud bangsa lain di Malaysia.
Kerana Melayu jugalah harmoni terpelihara.
Dan untungnya bangsa lain di Malaysia, MELAYU ITU ADALAH ISLAM.
Nasib baik saya Melayu keturunan Jawa (100% genetik Jawa)
jadilah melayu yang baik :-)
(( Renungkan )) Ke Mana Kita Mahu Pergi?
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com
Forum Generasi Muda
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
Pakatan Antara Parti Lawan Tidak Kekal
http://pro-faizal.blogspot.com
Post a Comment