Sunday, 18 January 2009

GENOSID 2009

Israel menghadiahkan satu bungkusan besar genosid kepada rakyat Palestine sebagai cenderahati untuk tahun baru 2009 melalui kereta kebal, kapal terbang jet, helikopter, dan kapal perangnya.

Kepada bangsa-bangsa Arab , Israel menghadiahkan satu tempelengan di muka; dan kepada dunia dia memberikan jelingan mata sambil memberi isyarat: " Aku dan sekutuku, Amerika, yang memberi takrifan tentang kemanusiaan. Islam, Cina, Jepun , India dan Russia hanya pembaca.


'TANGISAN ANAK KECIL DI BUMI ANBIA"

Ayahku terbunuh
Ibuku luka
Aku tak berdaya.

Aku tak berdaya
Aku haus
Aku tak bermaya.

Aku sejuk
Tolong ! ibuku
Beri kami selimut.

Tolong ! ibuku
Aku takut
Beri aku pelita.

"Kami pun tak berdaya
Hanya suara
Seperti Bangsa-bangsa Bersatu itu
Ribuan batu dari al-Aqsa
Remuk dan luka di dalam
Menangis dalam diam".


Baha Zain
Dusun Permai
18 Januari 2009

3 comments:

HASMORA said...

Salam Dato'...

inilah rintih hati saya...

Palestin...
telah kering air mata
sedang kita baru menangis

Gaza...
hanya tinggal setahi mata
sedang kita hanya melihat
sambil menangis

inilah tragis
di mana kita
tika laknatullah melapah
sang renta dan anak gadis

angkatlah senjata
atau hanya sekadar
menadah doa
sambil menangis.

Taman Bukit Angkasa

sham aljohori said...

salam Dato Baha,
Mereka dan sekutu mereka sedang meratah hidangan jenazah syuhadah sambil mabuk meneguk darah demi darah.
Mereka adalah segerombolan binatang liar dan lapar yang tidak memilih bangkai.
Mereka akan selamanya lapar kerana mengindam nikmat kebinatangan itu.
Moga Allah merahmati kita.

Abdillah SM said...

salam ybhg Dato.

penderitaan di gaza membuat masing-masing kita rasa terhiris dan tersayat. doa dan kutipan berlangsung hingga ke saat ini demi rasa kemanusiaan dan keagamaan. apa lagi yang termampu kita hulurkan? akhirnya doa kudus untuk kesejahteraan saudara-sudara yang teraniaya itu bagaikan penawar di hati kita yang luluh ini. di tebingan sungai, bandaraya kuching pada 31hb januari 2009 telah berlangsung acara pengucapan puisi kemanusiaan palestine anjuran dbp caw sarawak bersama seluruh kerabat karyawan dan seniman setempat. sebagai saudara seagama saya terus berdoa. dan sebagai manifestasi seni menentang kekejaman itu saya turut menyumbang dua buah puisi berjudul ‘airmata’ dan ‘medan duka’.‘medan duka’ adalah sebuah puisi lagu yang disegerakan gubahan dan olahan muziknya oleh seorang teman pemuzik yang turut komited ke atas acara kemanusiaan ini. silalah ke blog saya http://dillsm.blogspot.com/ kerana di sana ada dimuatkan rakaman lagu termaklum untuk didengar sambil hati kita tidak putus-putus berdoa untuk kesejahteraan umat Islam sejagat. Wassalam.