Friday 20 February 2009

AKHIRNYA KITA KEMBALI juga KEPADA-NYA

Allahyarham Ibrahim Hoesin pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya dengan meninggalkan seberkas karya seni lukisan yang cemerlang sehingga mengangkat imej budaya negara di dunia seni lukis antarabangsa. Selama tiga dekad sejak hujung 60-an dia menanjak terkenal dan karya-karyanya menjadi himpunan pengumpul-pengumpul lukisan yang terdiri daripada orang kenamaan dan badan koporat di Malaysia dan juga di luar negara. Sebuah karyanya diangkat daripada puisi Usman Awang berjudul "Pak Utih", dan beberapa yang lain diilhamkan oleh perihal peralihan masyarakat dan manusia Melayu memasuki zaman teknologi moden.

Selesai memberikan sedekah al-Fatihah dan doa untuk Allahyarham saya beredar ke luar, dan kebetulan Tan Sri Kamarul Ariffin berada di situ dan mempelawa saya duduk di kerusi sebelahnya. Saya sudah lama tidak bersua dengan Tan Sri. Dahulu sesekali bertemu juga kerana kebetulan dia menjadi Pengerusi, Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara, dan kemudian Pengerusi, Lembaga Pengelola , DBP; dan saya turut menjadi ahli lembaga di Balai Seni Lukis , dan juga lembaga DBP. Dalam selang seli berbicara tentang allahyarham, kami juga bercakap tentang isu bahasa (PPSMI). Saya meminta pengesahan daripadanya tentang keterlibatannya dalam gerakan kebahasaan pada tahun 60-an.

Beberapa hari sebelum ini saya ada menyebut dalam blog saya nama beliau dan Tun Daim Zainuddin antara 15 peguam Melayu yang menandatangani memorandum menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) yang masih memberi tempat kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Melayu. Beliau mengesahkannya , malah menyebut nama lain ialah Allahyarham Tun Hussein On, ayah kepada Menteri Pelajaran sekarang. Adalah cukup ironis apabila YB Dato' Hishamuddin, puteranya sendiri kini menjadi sasaran kritikan penulis, cendekiawan , pelajar dan sejumlah ahli politik Melayu (UMNO , PAS, dan PKR) kerana mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris yang tak masuk akal untuk mengajar sains dan matematik kepada budak-budak sekolah.

Sejurus kemudian datang Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan, dan duduk bersama
kami. Beliau bertanyakan kabar tentang bahasa, dan apa saya buat sekarang. Saya mengenali beliau sewaktu dahulu beliau juga turut memberi ceramah pada hujung 60-an menentang bahasa Inggeris untuk dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa kebangsaan . Kemudian sewaktu dialog pra- belanjawan (prebudget dialog) di Kementerian Kewangan , saya mengemukakan permohonan bagi pihak pengarang agar bayaran royalti dikecualikan daripada cukai pendapatan. Beliau sebagai Menteri Kewangan tanpa banyak cakap meluluskannya. Seperti biasa Tun Daim berpakaian ringkas dan biasa, dan kami juga menyebut tentang Dr Kassim Ahmad yang kabarnya kurang sehat sekarang, tetapi aktif membuat kajian tentang agama.

Dalam perjalanan pulang saya terfikir apakah pemimpin-pemimpin politik muda hari ini benar-benar insaf akan perjuangan dua tiga dekad yang lalu, terutama usaha Allahyarham Tun Razak
mendaulatkan dan memberi maruah kepada bahasa Melayu, dan juga merintis tempat dan asas bertapak yang selesa bagi menteri-menteri Melayu pada hari ini, terutama pemimpin-pemimpin UMNO.

Tidakkah aneh kalau pemimpin-pemimpin yang naik ke atas seperti Tun Mahathir (punca masalah kebahasaan sekarang), Dato' Seri Abdullah Ahmad, Dato Najib, dan Dato Hishamuddin , dan menteri-menteri kabinet Melayu, bersikap tidak peduli langsung terhadap rintihan, rayuan dan suara-suara kuat orang Melayu yang memperjuangkan agar bahasa Melayu dipelihara sebagai bahasa ilmu ? Kenapa? Apakah ertinya "Melayu" itu kepada mereka?
Apakah makna istilah "Melayu" itu pada mereka? Jadi janganlah menyalahkan pengarang, ilmuwan, cendekiawan, aktivis budaya, dan generasi pelajar menunjukkan protesnya kepada pemimpin-pemimpin dan hilang kepercayaan kepada mereka sebagai pembela MELAYU : bahasa Melayu, agama Islam, adat resam dan kebudayaan Melayu ( unsur-unsur dan amalan hidup yang mensyaratkan seseorang itu layak dipanggil Melayu). Bolehkah sesiapa yang tidak mengutamakan bahasa Melayu, malah meminggirkannya dalam kegiatan penting negara, mengaku dirinya Melayu; dan bercakap atas nama membela Melayu?

Akhirnya izinkan saya mengulangi penutup ucapan Allahyarham Dato' Asri Muda, tokoh PAS yang sangat terkenal , sewaktu menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967)
di Dewan Parlimen ( Mac, 1967) di depan Perdana Menteri Allahyarham Tunku Abd Rahman:

"Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik UMNO yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak" ( KERANDA 152: BAHASA KITA; AIR MATA & MARUAH KITA. KL:PLM, 2002, HAL. 20)

8 comments:

Lumut Pagi said...

Apa sebenarnya mahu mereka?

Gamaknya ingi melihat kami membawa tempurung tua, tanpa alas di kaki, meminta-minta di tanah adat sendiri..

kasihankanlah kami yang kecil ini..

-___-

indah-chan said...

takziah kepada keluarga allahyarham.

mungkin pendapat saya tidaklah sepenting pendapat dato'-dato' dan pejuang pejuang bahasa sekalian. di sini saya ingin menanyakan; adakah generasi sekarang mengagumi bahasa melayu dan inggeris, dengan menggunakannya dengan hormatnya? maksudnya, kewujudan bahasa pasar yang semakin teruk hasil campuran penggunaan bahasa melayu dan inggeris amatlah berleluasa.

tidak bolehkah bahasa inggeris diteruskan dalam sains dan matematik sebagai ilmu? ianya amatlah berguna kepada generasi masa akan datang, oleh kerana bahasa inggeris adalah bahasa dunia globalisasi. adalah rugi anak didik malaysia tidak diberi peluang sebaik mungkin dalam penerapan bahasa lain lebih lebih lagi bangsa melayu yang hanya belajar bahasa melayu dan inggeris sedangkan bangsa lain fasih dengan bahasa tambahan seperti mandarin, katonis dan tamil.

adalah satu kerugian saya rasa untuk anak didik malaysia. bukanlah bahasa melayu tidak boleh dijadikan bahasa ilmu, namun penggunaan di masa depan lebih menjurus kepada penggunaan bahasa global iaitu bahasa inggeris.

dalam saya meneliti internet berkenaan kajian-kajian yang dibuat; berikut dinyatakan,

A variety of integrated approaches to second language teaching have been developed. Immersion is a specific type of integrated instruction. The primary focus of immersion is not language learning but academic instruction. Immersion programs have proved to be successful; the academic achievement of immersion students is comparable to that of students educated through their native language. This indicates that the students in immersion programs acquire the second language skills they need to master the academic skills and information appropriate for their grade level.

dipetik dr http://www.ericdigests.org/1996-3/immersion.htm

pencapaian pelajar terbukti meningkat kerana keprihatinan untuk belajar bahasa pengantar demi belajar content knowledge.

mungkin hujah ini adalah sekecil-kecil kuman dalam perjuangan dato' sekalian, tapi .... entahlah.

yang penting, kebanyakan anak-anak kenamaan dihantar ke pusat-pusat bahasa untuk lebih fasih dalam bahasa inggeris, kenapa tidak diberikan peluang itu didalam sistem pelajaran kita yang memberi peluang kepada seluruh rakyat untuk belajar bahasa inggeris dengan lebih mendalam? kenapa ingin ditarik balik ilmu Allah ini dalam genggaman anak didik bakal pemimpin Malaysia?

apa pun, berjuanglah atas apa yang difikirkan benar. insyaAllah mendapat bantuan dari yang Esa.

bahazain said...

SDR LUMUT PAGI,
JANGAN BERSEDIH! DI ATAS TANAH DAN BUMI KITA, WAJAR BERUSAHA DAN BERJUANG MENEGAKKAN APA YANG KITA FIKIRKAN BAIK UNTUK RAMAI.SELALULAH OPTIMIS

SDR VALSA NINE,
T.KASIH KERANA MENGULAS DAN MEMBERIKAN PANDANGAN. SEMUA PENDAPAT YANG JUJUR , TIDAK KIRA DRPD SIAPA PUN HARUS DIDENGAR KERANA AKAN MEMPERKAYA FIKIRAN.
1.TENTANG PPSMI SETAHU SAYA TIDAK SIAPA PUN YG MENENTANG PENGUASAAN BAHASA INGGERIS. MALAHAN DIANJURKAN SUPAYA SETIAP PELAJAR MENGUASAINYA (MEMBACA,BERTUTUR MENULIS).JUSTERU ITU HARUS DIPERTINGKATKAN METODE, KURIKULUM, BAHAN BACAAN, DAN TERUTAMANYA KEMAHIRAN GURUNYA.TETAPI BUKANLAH DENGAN CARA MELALUI SAINS & MATEMATIK.INI PEDAGOGI YANG KELIRU.
PELAJAR DI KOTA MEMILIKI PELBAGAI KEMUDAHAN. BAGAIMANA DI LUAR BANDAR?
2. APAPUN BAHASA MELAYU HARUS MAJU TERUS SEBAGAI BAHASA ILMU KERANA INI B. KEBANGSAAN DAN RASMI BANGSA; JATI DIRI NEGARA DAN TELAH MENJADI BAHASA DAKWAH ISLAMIAH SERTA BUDAYA RATUSAN TAHUN LAMANYA.SELAIN ITU TELAH TERBUKTI JUTAAN RAKYAT DAN RIBUAN CERDIK PANDAI SERTA ILMUWAN DI UNIVERSITI SEKARANG (TERUTAMA YG BERUSIA SEKITAR 45 TAHUN), TERMASUK ANGKASAWAN MELAYU ITU ADALAH HASIL SISTEM KEBANGSAAN MELALUI BAHASA PENGANTAR MELAYU.RIBUAN YANG LAIN MALAH LEPASAN DI UNIVERSITI AUSTRALIA, UK, USA SEHINGGA ADA YG LULUS DI OXFORD, CAMBRIDGE DAN HARVARD.
3. PPSMI BERTENTANGAN DENGAN pERKARA 152 PERLEMBAGAAN; DAN AKTA PENDIDIKAN 1966. KERAJAAN MENGAJAR RAKYAT PATUH SERTA HORMAT TERHADAPNYA, TETAPI MEMBERIKAN CONTOH MELANGGARNYA.
4. BERBANDING BANYAK NEGARA MAJU KITA MENGAJAR B.INGGERIS SEBAGAI BAHASA KEDUA SEJAK TAHUN 1. INI TIDAK BERLAKU DI DENMARK, BELANDA, JEPUN, PERANCIS DAN KOREA. JADI APA MASALAH KITA? KEMENTERIAN PELAJARAN PATUT MENJAWABNYA.
5'TENTANG MENGAJAR BAHASA KEDUA MELALUI PENDEKATAN YG BERSEPADU, METODE IMMERSION, SAYA TAK DAPAT MEMBERI PANDANGAN KERANA SAYA BUKAN PAKAR PENDIDIKAN DI BIDANG LINGUISTIK ATAU BAHASA. BARANGKALI PENDEKATAN INI PATUT DIBAHASKAN OLEH ILMUWAN KITA. SAYA HANYA BANYAK MEMBACA TENTANG PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA MELALUI PENDEKATAN BILINGUAL YANG TELAH BERJAYA DIAMALKAN DI DUNIA-DUNIA MAJU. WALAU APAPUN PENDIDIKAN BAHASA INGGERIS PERLULAH MENARIK ISI DAN CARA MENGAJARNYA, DAN RELEVAN DENGAN KONTEKS KEHIDUPAN SUPAYA PELAJAR SUKA DAN CEPAT MAHIR MEMBACA, MENULIS DAN BERTUTUR TANPA MENGORBANKAN KEMAJUAN BM SBG BAHASA ILMU, DAN TANPA MENGORBANKAN PERKEMBANGAN KOGNITIF ANAK-ANAK KITA PD PERINGKAT AWAL PERSEKOLAHANNYA.
SAYA ASAL ANAK KAMPUNG YG MISKIN
SEJAK BELUM MERDEKA. SAYA TIDAK SAMA SEKALI MENOLAK BAHASA INGGERIS ( MALAH CUKUP BAIK MENGUASAINYA), TETAPI INGIN MELIHAT BM YG DITUTURKAN OLEH 250 JUTA MANUSIA ASIA TENGGARA MENJADI BAHASA BESAR.DIHARAP SDR DAPAT BERKONGSI MATLAMAT DENGAN KAMI.

SATIRA + KACAU said...

Salam Pak. Selepas keluar dari gua sembunyinya, kini Satira+Kacau datang membaca di awal pagi. Mereka emang tidak mengerti atau tidak mahu mengerti secara sengaja? Kalau mahu dikuasai bahasa Inggeris, banyakkan waktu mengajar bahasa itu. Tapikan via sains dan ilmu hisab itu gawat ni. Inggeris itu bahasa ilmu deh? Kok German dan Perncis belajarnya sains dan ilmu hisab lewat bahawa Inggeris yah? Kok bodoh amat itu orang-orang. Preman ya?

Satira + Kacau

Samudera Tinta said...

Salam Dato',

Izinkan saya menambahkan link Dato' pada blog saya. Sebenarnya dah buat pun. Baru minta izin.. =)

Unknown said...

Pohon tuan lawati blog saya. disitu ada satu posting saya bertarikh 27Feb yg menjijikkan berkenaan PPSMI. Saya benar-benar marah tu!

lanterajiwa said...

Ceramah Agung PPSMI di Taman Melewar

Tarikh: Jumaat 6 Mac 2008

Tempat: Markas Tarbiah PAS Tmn. Melewar

Waktu: 9.30 malam

Penceramah:

Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Hj. Mohamad Sabu

Dato' Dr. Hassan Ahmad

SN Dato' A. Samad Said

Prof. Dr. Shaharil Mohd. Zain

Lain-lain tokoh yang akan hadir:

SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh

Dato' Prof. Emeritus Dr. Nik Safiah Karim

Prof. Dr. Awang Sariyan

Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Abas

Dato' Prof. Dr. Anuar Ridhwan

Dato' Baha Zain

Hj. Ahmad Subky Latif

Azizi Hj. Abdullah

Ustaz Hassan Shukri

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan

Dinsman

Hasni Abas
Pn. Ainon Mohd

sheikh mustafa kamal al aziz said...

...dan menteri-menteri kabinet Melayu, bersikap tidak peduli langsung terhadap rintihan, rayuan dan suara-suara kuat orang Melayu yang memperjuangkan agar bahasa Melayu dipelihara sebagai bahasa ilmu ? Kenapa? Apakah ertinya "Melayu" itu kepada mereka?
Apakah makna istilah "Melayu" itu pada mereka? ...pada mereka istilah 'melayu' itu layu atau lesu...