Sunday 8 February 2009

DARIPADA' RAJA' KEPADA 'KERAJAAN'

PADA SAAT MENULIS paparan ini istana Perak menjadi pusat perbahasan di tengah-tengah dua kerajaan yang masing -masing mengaku berkuasa secara sah. Rakyat biasa yang bukan ahli dalam bidang undang-undang, malahan peguam profesional pun tdak semua yang boleh mengatakan dengan tepat siapakah antara kerajaan negeri ( PKR dan BN ) yang benar-benar absah (legitimate) atau apakah keputusan istana yang menitahkan Menteri Besar PKR mengundurkan diri sebagai betul atau salah?



Pertikaian dan kemelut politik serta undang-undang ini akan mewujudkan tindakan-tindakan perundangan dan pembicaraan di depan hakim dalam waktu terdekat . Ini akan menjadi peristiwa yang memberi pengalaman serta pengetahuan perundangan yang rumit . Ia akan memperkaya pemikiran perundangan di negara ini. Dalam waktu yang sama ia juga menandakan bahawa rakyat semakin yakin terhadap sistem kehakiman untuk menjadi tempat rujukan terakhir bagi sebarang pertelingkahan . Jadi serahkanlah kepada sistem kehakiman untuk memberi kata putus dalam pertikaian demokrasi yang telah menemui jalan buntu.




Apa yang sangat mendukacitakan ialah banyak pihak menggunakan kesempatan ini
( tokoh politik, individu, pemimpin NGO, media ) untuk menyeret istana , dalam nada menyokong atau menentang . Ada yang mengkritik istana kerana membuat keputusan yang tidak tepat berasaskan hak-hak dan kuasanya. Ada yang mempertahankan istana dan menuduh penentangnya sebagai derhaka. Tidak semua yang menyokong atau menentang istana ini jujur atau ikhlas kerana ramai yang bermotifkan politik kepartian, dan tidak kurang pula yang bermotifkan perniagaan, kedududukan, dan peluang-peluang peribadi pada masa depan dengan menampakkan dirinya sebagai penyokong atau penentang sewaktu krisis .


Walau apa pun imej istana Perak itu sekarang terlempar dalam kontroversi yang semakin dirumitkan oleh media yang tidak peduli apakah kesan dan akibatnya dalam persepsi, hati dan perasaan rakyat terhadap istana dan Raja yang berkuasa. Rasanya inilah pertama kali istana atau institusi di raja dihadapkan dengan tunjuk perasaan di jalan raya oleh rakyat Melayu sendiri; dan diambil tindakan undang-undang atas isu politik oleh seorang pemimpin bukan Melayu. Apakah tanda-tanda sosial yang dapat kita baca daripadanya? Apakah sedang berlaku perubahan besar nilai-nilai sosial budaya di kalangan penduduk sekarang? Apakah fahaman demokerasi dan hak-hak sivil sedang mengacu pada kebebasan yang boleh menggoncang institusi sosial yang ada?



Istana dan raja itu adalah tradisi politik tanah air yang boleh ditelusuri ratusan tahun ke belakang dalam sejarah negara kita. Istana dan Sultan itu menjadi lambang kedaulatan kekuasaan politik Melayu pada zaman lampau; dan pada zaman ini menjadi pemelihara tradisi keMelayuan, adat istiadat, budi bahasa dan sopan santun serta keharmonian bersama bagi seluruh rakyat Melayu, Cina , India dan lain-lainnya . Dari istilah "raja" itulah terbitnya istilah "kerajaan" yang dalam sistem demokrasi berparlimen, dan raja berperlembagaan, istana, Agong dan Sultan itu berada di atas politik kepartian. Raja dan istananya menjadi lambang keadilan bagi seluruh rakyat, dan lambang kedaulatan negara demokratik yang merdeka .



Justeru itu peranannya dalam menstabilkan kehidupan rakyat jelata melalui tindakannya yang adil dan berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang sangatlah penting. Sultan di takhta tidak tertakluk pada pilihanraya lima tahun sekali seperti Perdana Menteri dan Menteri-menterinya. Sultan berada di tempat yang istemewa bukan sahaja dalam erti yang rasmi, tetapi sangat dekat dengan hati masyarakat Melayu sehingga apa jua penentangan terhadapnya ( lebih-lebih lagi daripada rakyat bukan Melayu) berkemungkinan mencetuskan konflik antara kumpulan atau kaum.


Pergolakan politik di Perak sekarang memberi banyak iktibar kepada kita, terutama masyarakat Melayu sendiri, supaya jangan memperalatkan nama istana; dan istana pula harus berwaspada memelihara martabatnya sebagai sumber cahaya keadilan bagi semua rakyat jelata. Krisis di Perak itu juga diharap akan lebih membijakjsanakan agar pada masa depan tokoh-tokoh politik tidak memandang mudah terhadap kekuasaan dan pengaruh istana; dan istana pula tidak lalai akan kemungkinan kedaulatannya disanggah oleh rakyat.



Mari kita semua kembali kepada akal sihat , dan tidak lebih memudaratkan keadaan dengan tindakan serta kenyataan-kenyataan yang memancing publisiti di media. Media juga sepatutnya jangan memancing pembaca dan penonton dengan sengaja mencari-cari atau mengada-adakan juru ulas, penganalisis dan sebagainya. Masyarakat sekarang sudah ramai yang berfikiran canggih dan mampu membezakan propaganda daripada laporan yang objektif; pandangan yang berat sebelah dengan pandangan yang saksama; dan tokoh yang autentik dengan tokoh yang bergelar.

Keghairahan media untuk memihak sering menjadikan pemberitaannya bersifat overkill dan hasilnya counter-productive . Tidak hairanlah kalau ramai orang berasa bosan dan muak sehingga lebih percaya kepada kredibiliti blog daripada media perdana. Jadi serahkanlah kepada mahkamah , dan yakinlah Allah akan memberi kemenangan kepada yang benar( cepat atau lambat).




10 comments:

Web Sutera said...

Assalamualaikum Dato',

Izinkan saya petik sebahagian dari komentar ini, untuk kebaikan bersama, insyaAllah.

-- Web Sutera
http://pasalbuku.blogspot.com

bahazain said...

SALAM Sdr Web Sutera
Silakanlah. Saya memberi izin untuk sesiapa saja memetik mana-mana paparan blog saya.

Al-Yasar said...

Salam,

Dalam riuh rendah dan hingar bangar yang berkaitan dengan krisis politik Perak, konsep yang dibesar-besarkan nampaknya ialah konsep "pantang derhaka" kepada raja, iaitu konsep yang berasal dari nilai dan norma feudal, dan digunakan oleh golongan feudal untuk mendominasi golongan rakyat.

Bagaimanapun, ada satu konsep lagi yang berkaitan dengan raja, yang seolah-olah dilupakan atau ingin dilupakan, iaitu "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah".

Konsep ini mungkin berasal dari golongan rakyat, tetapi tidak kurang pentingnya dari konsep yang pertama, kerana ia lebih berkaitan dengan keadilan.

Konsep ini saya kira tidak boleh dilupakan, kerana ia menunjukkan, bahawa konsep "pantang derhaka" itu bukanlah konsep yang mutlak, dan rakyat masih ada ruang untuk tidak mematuhi perintah raja, jika raja tidak bersikap adil.

Anonymous said...

Assalamualaikum Dato'

Titah Seri Teri Buana, "Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas." Maka sembah Demang Lebar Daun, " Jikalau raja Melayu itu mengubah perjanjiannya dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya. " Itulah dianugerahkan Allah subhanahuwataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan tiada digantung, difadhilatkan dengan kata-kata keji hingga sampai pada hukum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu memberi aib seseorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa........Sulalatus Salatin m/s 26 (cetakan kelima 1996 A. Samad Ahmad)

renungi petikan ini dan fahami mengapa jebat derhaka.

Sham al-Johori said...

Assalamualaikum wbk,
Dato' yang dhormati. Kita wajib kembali kepada perjanjian Sang Sapurba dengan Debar Lebar Daun. Waadat atau wit itu merupakan satu peringatan kepada bangsa Melayu. Tetapi, kerana rakus dan tamak makanya waadat itu dilanggar dan dimurkai.
Selepas ini, kia akan saksikan lagi kehancuran demi kehancuran umat Melayu.
Ya, tanpa disedari, Melayu sedang berhadapan dengan musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan.
Salam.

guru besar haneem kaydeen said...

salam dato'. bagi saya segala peristiwa yang berlaku ada hikmahnya. hikmah paling berharga bagi saya sendiri ialah begitu banyak informasi sejarah politik negeri Perak telah dapat saya dampingi (tidak lagi menjadi ignorant spt dulu).Hari ini baru saya tahu ghazali jawi juga MB yg enggan letak jawatan dan melawan sultan..mashaallah

ni baru teringin nak baca anthony burgess lah pulak :)

lutfi said...

Salam datuk.

Mungkin inilah 'zaman fitnah' seperti yang diucapkan oleh junjungan besar kita - sehingga, minda kebanyakan daripada kita hanya berminat untuk memikirkan peristiwa dan dirinya sendiri. Pada hal, kata pujangga - minda yang hebat ialah minda yang sentiasa bergelut dengan pemikiran dan idea besar. Dari sudut ini, betapa, kita lihat, parti politik dan politikus di Malaysia bukan sahaja mementingkan diri sendiri, tetapi melempar masyarakat kita untuk 'sentiasa berfikir tentang diri dan peristiwa sahaja'. Inilah 'dosa besar' yang terus dirakyatkan oleh politikus kita. Pasca PRU ke-12, tidak langsung mendidik rakyat untuk berpolitik dengan lebih matang.
Yang ada hanyalah hitam dan putih. Aduh, betapa muramnya kanvas politik kita.
salam

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr sangkakala'
acsardi,
sham,
haneem,dan
lutfi.
Saya terkenagkan filem Melayu pertama yang penuh warna: HANG TUAH. Kalau saya tak salah baca pengarang Jamil Sulung, dan Abdullah Husin, turut terlibat di belakang layar bagi membina ceritanya. Setelah selesai Hang Tuah bertarung dan menikam tubuh sahabatnya, Jebat, dengan kerisnya yg berbisa, Hang Tuah kembali ke
rumah ibunya dengan sedih yg amat sangat. Dia berdiri di muka jendela , merenung jauh ke kaki langit seraya berkata seorang diri:
"Akukah yang benar, atau Jebatkah yang benar." Ini adalah monolg dan pertanyaan yang sangat hebat tentang kebenaran, keadilan, kezaliman dan penderhakaan(treason)dlm konteks masyarakat Melayu feudal . Manusia boleh dikotak-kotakkan dalam istilah tertentu atas dasar perbuatannya menurut tafsiran yang dipilih.Inilah kelemahan besar sistem perundangan tanpa berdasarkan prinsip etik dan moral agama, dan tanpa perasaan takut bersalah di mata Tuhan. Jadi krisis politik yang terjadi baru-baru ini serta kesan-kesan sosialnya, boleh berulang lagi kerana untuk sampai kepada satu sistem perundangan, sosial dan politik yang berasaskan agama , dan yg berasa takut kepada Tuhan, dlm negara (Melayu, Cina, India, Islam, Hindu, Kristian etc)menuntut satu proses yang sangat panjang , kecuali dengan revolusi .Kesedaran dan perasaan takut itu sebenarnya tak perlu menunggu wujudnya sebuah negara Islam. Jadi dlm politik yg ada kesetiaan dan penderhakaan itu terpulang kepada kepada siapa yg dituju, dan siapa yang berkata.

zubin said...

Salam Dato'. Terima kasih, tulisan yang sangat membawa saya melangkah ke belakang sebentar, berhenti dan berfikir tentang apa yang dikatakan. Kemudian mendengar komentar-komentar dari yang lain dan membuat saya berlari mencari buku-buku lama dan meneliti kata-katanya, di mana ertinya membaca sejarah tapi terus mara meredah tanpa kata dosa dan noda

Yuss said...

Salam Dato',

Terlebih dahulu, maafkan saya jika pangkat 'Encik' diberikan oleh saya kepada komen Dato' di dalam blog saya tempoh hari. Salah saya yang tidak kenal 'orang penting'. Hanya selepas membaca komen2 orang lain dalam blog Dato', barulah saya tahu pangkat betul yang digunakan.

Berbalik kepada posting ini, saya amat bersetuju dengan pandangan yang diutarakan.

Saya masih jahil dengan isu bahasa, terutamanya lagi bahasa istana.

"Patik sembah derhaka..." maksudnya pasti tidak sama dengan tanggapan umum "Patik derhaka..."

Apa pun, blog Dato' kini menjadi antara pilihan utama saya sekarang untuk dibaca.

Terima kasih.

Yuss