Wednesday 11 February 2009

PENENTANGAN PPSMI MENINGKATKAN TEMPONYA

APAKAH BANTAHAN PPSMI SEDANG MEMBINA TEMPO PERGERAKANNYA?
Dimaklumkan bahawa Dato. Dr Hassan Ahmad ( Pengerusi, Gerakan Membasmi PPSMI) akan mengadakan sidang akhbar pada Khamis, 12 Feb, 2009. Kira-kira apa yang akan dinyatakan oleh beliau tidaklah jelas.

Saya mengenali Dato' Hassan sejak 1964 lagi sewaktu beliau menjadi Pegawai Penyelidik di DBP. Dia bukan kaki gaduh, lebih-lebih lagi bukan samseng jalanan. Kalau saya sedikit nakal, suka berkeluyuran di jalan-jalan KL (pada waktu dulu tidak seribut dan berserabut seperti zaman ini) , beliau lebih aman, berdisiplin, ilmiah, dan tekun membuat kerja. Pokoknya dia lebih stabil , berkhalwat selalu dengan buku, dan tak mungkin berdemonstrasi di lapangan, walaupun jenakanya kadang-kadang sangat jorok (istilah Jakarta). Tetapi sekarang beliau nampaknya menjadi pemberani dan seolah-olah membujur lalu melintang kopak dalam tindakan menentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dlm Bahasa Inggeris).

Nampaknya semakin berusia , semakin berbisa. Kenapa ? Jawabnya beliau adalah antara yang sangat berpengetahuan tentang makna bahasa dalam peradaban sesuatu bangsa, dan menjadi sangat patriotik memperjuangkannya di tengah-tengah masyarakat, meskipun beliau sepatutnya hidup aman dan diam-diam menikmati zaman pencennya. Suara dan hati nuraninya membuat dia berasa berdosa kalau membiarkan pemimpin mengkhianati bahasa negaranya.
****

Pada Sabtu 14 Feb. pula Gapena akan menjadualkan mesyuarat Jawatankuasa Penuh
bersama-sama pemimpin-pemimpin badan penulis , iaitu kerabatnya dari neger-negeri Semenanjung, Sabah dan Serawak. Isu PPSMI menjadi agenda penting, dan khabarnya akan diadakan juga solat hajat pada sebelah malamnya memohon perkenan daripada Tuhan dalam urusan perjuangannya. Pagi Ahad esoknya, 15 Feb.
akan diadakan perhimpunan dan ucapan-ucapan khas dari tokoh-tokoh tertentu tentang kedudukan Bahasa Kebangsaan dalam rangka perundangan negara.

Dalam kelompok Gapena ini juga kita menyaksikan bahawa jentera penggeraknya ialah Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein yang sudah menjengkau usia lebih 70 tahun. Beliau pernah menjadi Pensyarah saya sewaktu di Universiti Malaya pada tahun 60-62, dan juga seorang sarjana dan aktivis budaya yang sangat menjaga silaturrahim, selalu lebih pendiam untuk mendengar. Ada kalanya muncul dengan fikiran budaya yang kontroversi.

Prof Ismail dari dahulu tetap berdiri sebagai seorang patriot yang gigih memikul perjuangan bahasa dan kebudayaan nasional. Memang tak dapat dibayangkan tokoh seperti dia akan mengambil keputusan bertindak yang ditafsir agresif. Tetapi beliau dan para kerabatnya mungkin saja bertindak tegas menghadapi pihak berkuasa dalam isu PPSMI kali ini.
****
Bagaimanakah semua ini bisa mengubah sikap dan pendirian para cendekiawan dan budayawan negara kita, yang selalu mencari langkah-langkah yang lunak dalam segala persoalan sosial-budaya? Baik Dato' Hassan, mahupun Tan Sri Ismail bukanlah contoh-contoh yang terasing, kerana puluhan bijak pandai dan ilmuwan lain juga menjadi sangat prihatin dan berasa getir terhadap apa yang berlaku dalam sistem persekolahan . Ini adalah keadaan yang sangat malang, yang sepatutnya telah diselesaikan dengan akal yang bijaksana; dan bukan menjadi pertentangan antara kerajaan BN dengan golongan budayawan yang tak ada kepentingan politik kepartian.

Apakah sekarang telah berlaku mungkir janji pemimpin; dan ketidakpercayaan antara rakyat dan pemimpin yang berkuasa ? Apakah pemimpin telah berfikir sangat jauh ke depan yang sukar difahami oleh rakyat sehingga timbul pergeseran pandangan? Memang pihak berkuasa itu adalah raja atau singa, dan rakyat itu selalu dilihat sebagai jelatang atau pengacau kalau menentangnya, lebih-lebih lagi kalau berhimpun di tengah-tengah jalan bagi mengartikulasikan rayuannya sebagai langkah terakhir.
'jANGAN pANDANG bELAKANG'
jANGAN PANDANG dEPAN
aDA JIN DI kIRI kANAN

8 comments:

Zarif Hassan said...

Salam Dato'

Pada pandangan saya, semangat perjuangan membela agama, bahasa dan bangsa ini telah lama terputus melalui banyak mekanisme yang diterapkan oleh kerajaan dalam bidang pendidikan terhadap masyarakat khususnya golongan muda.

Pembunuhan bahasa dan sastera secara perlahan atau senyap telah melahirkan kelompok masyarakat yang sangat berbeza pandangan dan pemikiran apatah lagi semangat perjuangan. Cuba kita lihat milieu yang tampak berbeza dengan dahulu. Semangat cintakan bahasa dan bangsa telah dibunuh awal-awal hingga lahir lebih ramai masyarakat yang derhaka.

Kini, apa yang lebih mengerikan, bahasa Melayu melalui zaman kepayahan dan penderitaan untuk mendapat tempat di hati golongan muda. Semoga perjuangan membela bahasa, bangsa dan agama akan sentiasa diberkati-Nya
InsyAllah.

Zp said...

salam dato`

ada rokib dan atid di kiri dan kanan...

boleh toleh kanan kiri cuma jangan pandang belakang buat sementara.

Pandang depan dengan tujuan jelas.

:=)

Unknown said...

Semoga Allah memudahkan segala urusan demi kemajuan agama dan bangsa.

bahazain said...

Sdr Zarif, Zaman sebelum merdeka, kemudian 20 tahun zaman mula-mula merdeka, dan zaman 80-an hingga hari ini, mengalami perubahan besar ekonomi dan pendidikan.Apabila 80-an tiba dan dibangunkan dengan memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi (Dasar Ekonomi Baru), nilai-nilai kebendaan bukan sahaja menjadi tujuan negara , tetapi mentaliti tokoh politik, peniaga, malah ilmuwan juga. Di sinilah nilai-nilai bahasa, sastera , sejarah, kebudayaan dan moral tergelunsur. Ketaksuban untuk bersaing dlm dunia global selanjutnya menjadikan kita yg materialistik hilang panduan yang kukuh dan nasionalistik.Saya tak menyalahkan generasi muda kerana membesar dlm sistem yang tanpa haluan ini, tetapi generasi muda harus melawannya kembali berdasarkan falsafah hidup tertentu.

Sdr Zakiah,
Mujur kita ada malaikat yg selalu mendampingi kita walaupun tidak nampak di mata.Sebenarnya yang berbahaya bukan sangat jin-jin, iblis syaitan yang ghaib,tetapi bentuk dan wajah, ucapan dan retorik yang memikat, dan sistem yang melindungi jin-jin
manusia, yg sedang mempengaruhi pilihan dan tindakan manusia. Semuanya sangat hampir di kiri kanan kita setiap hari.Berwaspada dan beringatlah selalu.

Sdr Anuar
Bila-bila masa saja kita adalah manusia yg tak berdaya tanpa pertolongan-Nya. Kita selalu melupai-Nya, kecuali apabila dlm krisis.

sinaganaga said...

Dato'
Saya dah ukur dah. Dari DBP ke Istana Negara, kalau berjalan kaki, tidaklah jauh mana. Tetapi, kalau dari Rumah PENA ke Istana Negara lebih pendek jaraknya. :)

bahazain said...

Sinaganaga,
Bagaimana kalau PENA ambil alih Menara DBP, dan kumpulan Maskara dan Soljah ambil bangunan lama DBP.Kemudian kita jemput Agong datang rasmikan tuan rumah baru bangunan DBP. Jadi kita tak payah berjalan langsung.

Al-Yasar said...

Salam,

Sebahagian daripada orang Melayu barangkali dalam dilema untuk memilih antara nilai patriotik dengan nilai pragmatik.

Pada umumnya kita ingin memilih nilai patriotik, dan dengan itu kita mahu pengajaran sains dan matematik diubah kepada bahasa Melayu.

Akan tetapi, berasaskan pengalaman yang lalu, kita tahu dengan belajar dalam bahasa Melayu, kebanyakan daripada anak kita akan lemah dalam bahasa Inggeris.

Kalau lemah dalam bahasa Inggeris, bermakna tidak boleh bercakap semasa temu duga (umumnya dalam bahasa Inggeris) tidak dapat kerja,menganggur bertahun-tahun dan mungkin akan hidup susah!

Jadi sebahagian daripada orang Melayu mungkin bersetuju bahasa Inggeris terus dijadikan bahasa pengantar sains dan matematik, dengan harapan anak mereka akan pandai dalam bahasa Inggeris.

Mungkin sebagai akibatnya bahasa Melayu akan mati, tapi anak mereka akan hidup senang.Ini nilai pragmatik. Bolehkah kita menyalahkan mereka yang memilih nilai ini?




Tapi kita tahu juga,

HBM Consultant said...

Ramai pejuang yang masih lantang dengan perjuangan bahasa Melayu itu dalam kalangan mereka yang berusia... ke mana agaknya generasi muda kita (yang berusia 20-30an)? apakah mereka tidak lagi berasa bahasa Melayu itu sebagai milik mereka?