Wednesday 4 March 2009

APA YANG BAIK BAGI NEGARA KITA

Alhamdulillah telefon dan internet saya kembali berdenyut setelah seminggu membisu. Hampir setiap pagi dan petang saya mengadu ke pejabat telekom sehingga timbul anggapan buruk dalam hati saya: kalau-kalau sengaja dibisukan. Untuk menenangkan kerusuhan perasaan, saya berfikir dalam hati bahawa memang Malaysia sekarang berada dalam zaman kacau: ekonomi, politik, alam, dan malah bahasa pun kacau. Jadi tak mustahil komunikasi juga boleh kacau.
Kalau tidak, takkanlah sampai ahli-ahli YB Adun Perak sampai kena cari pokok untuk bermesyuarat dan membuat resolusi. Inilah akibat adanya dua tokoh (masing-masing mengaku dia betul ) dalam satu negeri.

Betul sungguh apa yang dikatakan oleh peribahasa Melayu lama:
" Seperti dua nakhoda dalam satu kapal; tak sehaluan." Masing-masing kata dia betul. Kalau dua-dua salah, tak mungkin ada yang betul. Jadi salah seorang mesti salah.

Belum lagi Perak jernih, Kuala Lumpur mungkin keruh pula kalau pihak polis halang atau tembak air berkimia kepada rombongan yang hendak menyerahkan memorandum basmikan PPSMI pada Sabtu 7 Mac lusa ke Istana Agong. Janganlah sampai macam itu. DYMM Agong pun sudah bersetuju wakilnya menerima memorandum tersebut. Kalau polis tak beri permit memanglah rombongan yang berjalan ke istana itu dianggap melanggar undang-undang. Ia harus ditafsirkan sebagai hendak menegakkan undang-undang dan perlembagaan kerana mereka hendak membela nasib bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Mengikut ucapan Ketua Polis Kuala Lumpur dalam TV malam ini , perarakan itu ada campur tangan parti politik PAS dan PKR. Bagaimana kalau UMNO turut serta? Saya harap UMNO juga turut sekali bagi membersihkan tangapan negatif terhadap peristiwa itu pada Sabtu ini. Semoga pihak polis akan bertindak baik dan bijaksana , dan tidak berkasar atau ganas kepada ahli-ahli bahasa , pengarang dan budayawan yang selalu mencintai kedamaian dalam kebebasannya bersuara. Lagi pun mereka tak dilatih untuk melawan dengan alat senjata, atau dengan kemahiran mempertahankan diri. Apalah mereka sangat.
Mereka hanya menzahirkan hasrat dan kesetiaan yang tak berbelah bagi kepada bahasa negaranya. Bahasa kita bersama. Bahasa anak-anak kita. Mereka bukan memperjuangkan bahasa asing.

" APA YANG BAIK BAGI BAHASA, ADALAH BAIK UNTUK BANGSA;

APA YANG BAIK BAGI BANGSA, ADALAH BAIK UNTUK BAHASA".

12 comments:

Zp said...

Salam Dato`

Niat yang baik pasti akan ada jalannya untuk direalisasi.

Insyaallah.

Jiwa Merdeka said...

Salam,

Banyak "perarakan" (demonstrasi) yang dianjurkan oleh UMNO dipelbagai tempat biasanya "dibiarkan" saja oleh pihak polis,walaupun agaknya tidak ada permit polis.

Akan tetapi, apabila pihak lain hendak mengadakan perarakan, yang tentunya secara aman, ada saja halangannya.

Inilah sikap double standard yang memualkan rakyat, dan tentunya menjadi faktor penyumbang kepada kebencian rakyat terhadap pihak yang berkuasa.

Bilakah pihak yang berkuasa (polis dan juga kerajaan)hendak sedar dan insaf?

Sham al-Johori said...

Dato' Baha yang dirindui,

Beginilah nasib manusia yang menyatakan kebenaran. Akhirnya yang batil dijulang; yang benar diinjak-injak. Saya percaya bahawa saat ini kebenaran amat pahit untuk ditelan oleh juak-juak kerajaan khususnya KPM. Meskipun saya sebumbung dengan mereka tetapi yang saya tidak faham ialah kenapa mereka terlalu membuta tuli? Banyak persoalan yang tak terungkai sementara jawapan yang diberikan hanya muluk di bibir sahaja tidak di benak akal fikir Melayu yang bitara.

Akhirnya apa yang ditakuti oleh Keris Mas di dalam novelnya 'Rimba Harapan' seakan menjadi kenyataan.

Apakah kita akan menanti kenyataan yang tertulis di dalam novel "Naratif Agonsoto' pula? Atau mahukah kita kembali ke zaman 'Roots' yang dizalimi oleh kolonial?

Inilah ketakutan demi ketakutan yang sedang berbayang di dalam fikiran saya.

Salam rindu.

saleeh rahamad said...

Tidak mudah untuk menegakkan prinsip dalam keadaan yang tidak menyetujuikita. tapi inilah sejarah yang patut dilakar dengan penuh keberanian dan ketekalan. biarlah kita kalah dalam perjuangan asalkan langkah tidak berundur atau mati di tengah jalan. sekurang-kurangnya selepas kita mati nanti ada sejarah manis yang akan dikenang anak cucu dan akan ada generasi kemudian yang akan menegakkan semula panji yang rebah. mereka yang tegas sangat mempertahankan PPSMI akan mati meninggalkan nama buruk dan sejarah akan meludahi mereka. salam

saleeh rahamad said...

terasa rindu menjalar dalam saraf dalam darah
di mana redup mata dan tegar jiwamu
tun razak berikan kami catatan hidupmu
untuk menjadi renungan
ketika musuh berpacu di hadapan
seperti perajurit melaka membaca
hikayat amir hamzah dan muhammad hanafiah
semangat akan sentiasa bernyala

bahazain said...

SALAM SAUDARA,
ZAKIAH,
JIWA MERDEKA,
SHAM, DAN
SALEEH.

ALLAHAMDULILLAH SAYA MENDAPAT KABAR PIHAK POLIS MENGIZINKAN PERHIMPUNAN DI MASJID NEGARA & HANYA SEKUMPULAN TERTENTU SAJA YANG AKAN KE ISTANA NEGARA MENYERAHKAN MEMO.
SAYA KIRA PIHAK POLIS MEMBUAT KEPUTUSAN BIJAK KERANA KALAU DIHALANG LANGSUNG AKAN MENIMBULKAN KETEGANGAN.KESANNYA MUNGKIN LEBIH GETIR.
SAYA MENTAFSIRKAN PERISTIWA INI SEBAGAI MENYERAHKAN BATON ATAU TONGKAT KEPADA GENERASI MUDA. ISU BAHASA DAN TAMADUN BUKAN HAK SESEORANG PEMIMPIN, TETAPI HAK RAKYAT. KERAJAAN PERLU SENSITIF TERHADAP PERUBAHAN SIKAP DAN NILAI BAHAWA KEDUDUKAN ANTARA PEMIMPIN KERAJAAN DAN RAKYAT TELAH BERGESER
MENJADI LEBIH TELUS, AKAUNTABEL,DAN DUA HALA. ZAMAN MAHATHIR YG MONOLOG KE BAWAH SUDAH GOYAH SEGOYAH-GOYAHNYA. PENULIS DAN ILMUWAN JUGA KENA BERUBAH BAHAWA MEREKA ADALAH ARTIKULATOR YG SANGAT DIPERLUKAN UNTUK MENGISI RUANG DIALOG . KALAU TIDAK PEMIMPIN DI ATAS AKAN KEMBALI MEMPERKUKUH MONOLOG KE BAWAH; BUKAN DIALOG DENGAN ORANG DI BAWAH. PENULIS SENDIRI TELAH JUGA MENGAMALKAN MONOLOG (TETAPI MONOLOG MENENTANG ESTABLISHMENT SEPERTI ZAMAN NAZI).
KALAU SEJAK ZAMAN TUN RAZAK SELAMA LEBIH 30 BM KUKUH, TIBA-TIBA TERSINGKIR DI SEKOLAH. TAKKANLAH BARU 6 TAHUN SUSAH SANGAT HENDAK DIUBAH.TUHAN TAHU BILA SETIAP HELAI DAUN ITU AKAN GUGUR, WALLAHUA'ALAM.
SELAMAT BERHIMPUN DI MASJID /ISTANA NEGARA SABTU INI JAM 2.00.

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha Yang Dihormati: Alangkah hebatnya "satira" yang melanda bangsa dan bahasa kita.

Sebagai pencatat dan perakam, saya merakam dan mencatat dengan cara sendiri.

Tidak lupa juga, saya mencatat dan merakamkan, beberapa ular dan biawak di kalangan sasterawan dan budayawan sendiri.

Sebahagiannya, kita menjadi lemah dan tewas, kerana ular dan biawak di kalangan kita inilah.

Satira + Kacau

sinaganaga said...

Dato',
Saya dan Vovin berpecah di Kampung Attap. Saya dengar berita Dato' dan Marsli kena gas pemedih mata. Sebelum tu saya sempat hantar SMS kepada Marsli; beritahu ada gerombolan FRU mengepung dari arah Jalan Maharajalela. Saya berjaya sampai di hadapan Istana Negara. Kami kena juga saki baki gas pemedih mata tu.

Harap Dato' sihat. Saya nak pergi beli nasi goreng sekejap. :)

indah-chan said...

selepas dato baha menerangkan kenapa perlunya perjuangan, it takes time for me to digest the issue. no doubt i blamed mahathir especially, and those who hastily make decision towards implementing that notion.

i believe that proposal is just a matter of MARKing his existence in Malaysia's System.. and Malaysia kept failing its citizen by overlooking the need of the people, instead allowing politicians to keep marking their existence.. well, this can be seen within the educational system for the past 10 years. it keeps changing, wasting money on some incoherent programmes, affecting learners in such a way that shows we're all are acting like "pak turut" whilst seeing our academicians practising "bidan terjun" when making decision as to please the BOSS.

whatever it is, act upon what you know and believe is true. i morally support your and our fight.

as for English matter, sometimes it takes a language to become a character. if u know what i mean. because.. we can see people is not as CRITICAL as it should be when they did not master English language? and why is that?

sorry, this issue shouldnt be brought up at this time. perhaps later. anyway, all the best. Hope Allah bless our fight! ^-^

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Mengikut ucapan Ketua Polis Kuala Lumpur dalam TV malam ini , perarakan itu ada campur tangan parti politik PAS dan PKR. Bagaimana kalau UMNO turut serta?... cuba Dato' bayangkan apa ketua polis itu ulas...?

sila layari: http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/

AbEsA said...

datuk,saya mahu berkongsi pengalaman saya semalam, bersama rakan-rakan pelajar MELAYU. Petangnya kami di perpustakaan membaca akhbar utusan yang mengulas isu GMP.Datuk tahu apa kata teman saya?
"apala bodoh orang melayu,bukan semua la. Tapi kenapa sukar nak terima perubahan? kita dah belajar penat dalam bi takkan nak tukar melayu, macam bodoh gila,kalau aku jadi FRU aku bantai je,!"

hakikatnya Datuk, itulah yang berlaku dalam kalangan pelajar kita. Saya cukup sedih atas kematian Melayu kita dalam jiwa pelajar. kebanyakan tidak yakin pelajar kita mampu bersaing bermodalkan bahasa Melayu. Ini berlaku dalam kalangan pelajar sendiri!
Saya sedih Datuk, yang teramat..

BeCa BeRkArAt said...

PPSMI..pembunuh peradaban sejarah melayu..ingatlah..

bilamana hak org (bahasa inggeris) diagungkan di tanah sendiri, jgn smpai kita dikuburan dikencing cucu sendiri..