Merujuk BH Sabtu 14 Mac 2009, kata Mahathir:
"Pemimpin negara harus bertanggungjawab memastikan ...(PPSMI) dilaksanakan tanpa masalah supaya generasi muda tidak ketinggalan atau hilang daya saing kerana gagal menguasai bahasa global itu."
Kenapa mesti pemimpin negara memastikan cara yang tidak cerdik ini untuk menguasai bahasa Inggeris melalui sains dan matematik? Ini perbuatan yg tidak bertanggungjawab kerana kalau hendak mahir dan cekap menguasai bahasa Inggeris perhebat dan pertingkatkan kaedah dan cara guru mengajar dan murid belajar bahasa supaya generasi muda boleh pasih bercakap, lancar membaca , kreatif menulis dan hebat berdebat dengan menggunakan metafora, peribahasa , lojik, ilmu dan gaya pengucapan yang kreatif serta berkesan. Bukan melalui istilah teknikal sains dan matematik . Apa yang penting ialah ilmu daripada sains dan matematik itu. Tidakkah sudah lebih 30 tahun ilmu tersebut di ajar dalam bahasa Melayu sehingga berpuluh-puluh ribu yang lulus . Apakah Angkasawan Malaysia pertama itu disekolahkan di England dan belajar sains dan matematik sejak darjah satu dalam bahasa Inggeris?
Jangan juga membuat kesimpulan yang mudah bahawa kalau tak belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris generasi muda akan ketinggalan dan hilang daya saing. Ini fikiran yang sangat simplistik. Bagaimana halnya dengan ramai diplomat antarabangsa yang berkelulusan undang-undang, falsafah, sejarah, sosiologi, politik atau ekonomi yang sangat pasih dan pintar berbahasa Inggeris , tetapi belajar sains dan matematik dalam bahasa kebangsaannya (bahasa Jepun, Perancis, Jerman, Russia, Sepanyol, Melayu etc) di sekolah ? Apakah dia hilang daya saing dan ketinggalan sebagai Duta atau diplomat negaranya? Selain itu kualiti manusia untuk berdaya saing bukan sahaja faktor sains, matematik dan bahasa Inggeris. Sikap mental, moral yang bersih, pegangan agama, pengalaman yang luas, dan keyakinan akan jati diri, latihan khusus dlm bidang-bidang tertentu sehingga menjadi ahli adalah sangat penting. Semua ini harus diperhalusi kalau kita hendak membina generasi muda yang tahan bersaing dan berjuang.
Contoh pemimpin yang bersih dan adil, dan persekitaran politik yg tidak korup juga sangat mustahak untuk melahirkan generasi yang dinamik.
Inilah masalah besar Malaysia: pemimpinnya taksub kemajuan kebendaan, dan memandang ringan warisan budaya, moral dan etik , dan sudahnya kita bukan melahirkan ramai mansuia yg beradab, tetapi haiwan politik dan haiwan ekonomi. Kalau kita imbas kembali skandal BMF dan kes-kes rasuah sekarang, tidakkah mereka yg didapati bersalah adalah orang yang hebat-hebat bahasa Inggerisnya, dan global wataknya?
Bekas Perdana Menteri juga berkata; " ...Korea Selatan dan China kini giat menggalakkan rakyat mereka belajar bahasa Inggeris kerana sedar komunikasi menjadi asas penting dalam meningkatkan daya saing global dan ilmu pengetahuan."
Kalau Korea Selatan dan China baru kini menggalakkan belajar bahasa Inggeris, Malaysia sejak zaman Tunku dan Tun Razak lagi sudah memastikan bahasa Inggeris di ajar sejak tahun satu lagi. Kenapa pelajar kita dianggap tak pintar juga berbahasa Inggeris selama 11 tahun di sekolah ? Tentulah sistem persekolahan dan pemerintahan negara kita harus menjawab dan bertanggungjawab. Selama 22 tahun bekas Perdana Menteri ini berkuasa apa yang dibuatnya untuk memperbetulkan sistem pendidikan sehingga 11 tahun belajar bahasa Inggeris pelajar masih dianggap tongong menguasai bahasa ajaib yg konon boleh menyelamatkan segala masalah
negara?
Cuba juga selidik apakah Korea Selatan dan China mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mulai tahun satu (seperti kita) atau bermula di sekolah menengah. Cuba juga rajin-rajin bertanya apakah mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matematik dan sains --seperti yang negara ini lakukan sejak 2003 . Mustahil pemimpin politik dua negara ini melaksanakan kereja bodoh mengajar anak-anak bangsanya yang baru hendak membaca dan menulis belajar sains dan matematik dan mata pelajaran lain dalam bahasa asing.
Jadi tak kena betul untuk menyebut Korea Selatan dan Cina sebagai contoh. Bagi orang yang singkat akal dan berfikiran sempit tentulah terjun merumuskan bahawa orang yang menentang PPSMI ini anti bahasa Inggeris kerana Korea Selatan dan China yg maju itu pun menggalakkan belajar bahasa Inggeris. Menggalakkan bagaimana ? Bukan semberono seperti kita sehingga menghina bahasa kebangsaan sendiri. Kajilah betul-betul apa yang negara-negara maju lain amalkan seperti Korea Selatan dan China itu. Tak payah pergi jauh-jauh , tanya saja kedutaan
Korea Selatan dan China di tepi-tepi Jalan Ampang, K.L. betulkah mereka mengajar sains dan matematik di sekolah dengan menggunakan bahasa asing itu.
Orang yang menyokong PPSMI ini pun sama bebalnya, atau memang lihai atau licik untuk tujuan-tujuan keuntungan peribadi tertentu. Bayangkan berapa bilion ringgit [ 3 atau 4 bilion ?] telah dibelanjakan daripada wang rakyat untuk melaksanakan kerja PPSMI yang diperkenalkan dengan mendadak oleh Tun Mahathir pada 2003. Apakah ini suatu perbuatan yang bertanggungjawab?
" Saya lihat kebanyakan yang membantah isu ini sendiri berpendidikan Inggeris dan petah berbahasa Inggeris, tetapi tidak mahu pula generasi muda kita menguasai ilmu sama. Saya tidak faham motif sebenar mereka," katanya kepada pemberita.
Memang betullah ramai yang menentang PPSMI petah bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris seperti Dato' Dr . Hassan Ahmad, Prof . Shahrir (ahli matematik), Tan Sri Prof Ismail Hussein (Ketua 1 Gapena), Prof . Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara dan penulis puisi Inggeris/Melayu), Prof Emeritus Bakar Hamid, Prof . Dr Abdullah Hassan, dan malah Prof. Di Raja Ungku Aziz. Tetapi apa buktinya yang mereka tak mahu generasi muda menguasai bahasa Inggeris? Tohmah? Justeru itulah yang mereka ajukan agar pelajar dididik menguasai bahasa Inggeris melalui kaedah yang betul supaya berilmu dan fasih berbahasa Melayu dan Inggeris seperti mereka. Tetapi bukan dengan cara yang salah atau keliru melalui PPSMI.
Kenapa susah sangat memahami maksud dan tujuan mereka? Tak ada apa-apa yang terselindung. Mereka ilmuwan dan budayawan yang berhasrat menyatakan kebenaran. Mereka telah dilatih dengan prinsip keilmuan, iaitu menerangkan kebenaran . Mereka bukan orang politik yang memetingkan kekuasaan , dan tidak bertungkus lumus untuk memperolehinya sehingga kalau perlu menjatuhkan orang . Apatah lagi untuk menjatuhkan kebudayaan bangsanya.
Isu PPSMI ini bukan sekadar isu di sekolah, tetapi isu besar tamadun dan jati diri Malaysia , terutama bangsa Melayu. Ia akan menjadi masalah yang lebih besar dan berlarutan kalau tidak dikembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ( di sekolah rendah dan di sekolah menengah). Tun Mahathir telah meninggalkan beban dan masalah yang berat kepada UMNO yang sekarang sudah tertangkap dalam lingkaran kemelut yang kusut. Tetapi kenapa seluruh bangsa Melayu harus terseret dalam kemelut pendidikan yang menjejaskan maruah dan kedaulatan bahasanya akibat daripada PPSMI yang Tun Mahathir sendiri menjadi puncanya?
Kenapa mesti penulis, pengarang , pelajar, ilmuwan dan budayawan yang apolitikal, yang tidak campur dalam politik kepartian, terpaksa mencari rakan perjuangan daripada ahli-ahli politik? Kenapa mesti mereka bertindak melapor kepada polis; dan sekarang memohon kepada pihak istana dan raja-raja untuk menyelamatkan bahasa Melayu? Apakah pemimpin -pemimpin kerajaan yang hebat berkuasa sekarang menganggap ini perkara remeh temeh, dan mereka yang membantah itu semua tidak penting dan tidak bermakna kepada masalah sekarang dan nasib bangsa pada masa hadapan ?
5 comments:
teruskan perjuanganmu dengan berkesan demi kami anak bangsa sekalian yg sekian lama dianiaya mereka ya Allah............
Salam Dato'
Anak-anak saya disekolahkan di SJKC bukan kerana saya tidak sayangkan BM, tetapi kerana saya mual dengan politik dalam pendidikan, akhirnya guru-guru menjadi mangsa,anak murid kena tempiasnya.
Di SJKC mereka sedaya upaya mengekalkan Sains & M3 diajar dlm bahasa ibunda mereka(mandarin), ya boleh ada PPSMI, tetapi sebagai tambahan sahaja. Sekurang-kurangnya kosa kata mereka pelbagai!Tetapi bahasa asal mereka tidak diusik. Mereka begitu teguh dengan dokongan pertubuhan dikalangan bangsa mereka. Jika mereka boleh, kenapa tidak kita?
Satu lagi, setiap pagi, para pelajar SJKC akan mengalunkan pantun yang entah berapa ratus tahun lamanya,didalam bahasa mereka,demi untuk menanamkan semangat cintanya warisan bangsa mereka. Tetapi jika ditinjau di sekolah Melayu, sedih bila melihat ada sesetengah perhimpunan pagi, dibuat didalam BI,kelas-kelas diberi nama BI,sana sini ditampal rencana berbahasa Inggeris,dimanakah jatidiri kita?
salam dato`...persoalan bahasa amat penting untuk dibahaskan. kerajaan UMNO, BN memang tidak peka dan perihatin dalam membudayakan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu...sejarah telah membuktikan penggunaan bahasa melayu yang amat meluas dalam ketamadunan lama di era kegemilangan kerajaan melayu Melaka...Saya bukan anti kepada Bahasa Inggeris malah sedang mempertingkatkan penguasan Bahasa Inggeris saya...cuma yang ingin kita berkongsi di sini ialah kaedah yang digunakan dalam membangunkan Bahasa Inggeris dengan menjadikan anak cucu kita sebagai bahan eksperimen...mereka buka sahaja menjadikan pelajar sebagai bahan ujikaji malah memperjudikan nasib pelajar-pelajar terutama yang berada di luar bandar..satu pendekatan harus diambil demi kepentingan bahasa dan bangsa kerana bahasa mencerminkan bangsa.
Assamualaikum... suah tentu penglibatan Datuk dalam perjuangan menghapuskan PPSMI ini menyemarakkan lagi semangat Melayu.Tulisan ini tepat dan tajam untuk membalas pandangan Dr Mahathir yang songsang dan merasakan dirinya saja yang cerdik itu. Tenryata mengenai isu PPSMI ini pemikiran Dr Mahathir silap. Teruskan perjuangan demi anak bangsa.
Mohd Sayuti Omar (MSO).
Dato' pujangga yang dihormati,
Sejak peristiwa 7 Mac 2009, kita seakan mendapat sokongan dan jawapan daripada rakyat. Jawapan yang pasti ialah UMNO tidak menyokong kita meski tidak secara terang-terangan (maksudnya mungkin ada yang menyokong tetapi takut kehilangan kuasa dan jawatan adalah sama dengan jawapan menentang).
Saya melihat dari sisi yang lain iaitu 'dalang di sebalik petualang'. Jika di barat, golongan luar yang menentang arus perdana digelar 'bojois'; adakah kita boleh diertikan 'bojois' itu sedangkan yang kita tentang adalah hal maruah dan nasib bangsa sendiri?
Di Afrika Selatan, selatan Thailand, selatan Filipina, dan Singapura, bagaimana dengan nasib bahasa Melayu? Nasib mereka dizalimi kerana Melayu bukan kuasa autonomi. Tetapi hal ini berlainan di negara kita yang dikuasai oleh Melayu sepenuhnya. Ini bermakna, di negara kita, Melayulah yang menjadi pencatur kepada kerosakkan tamadun Melayu yang hebat itu.
Kita tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja kerana kita dikuasai oleh pemerintah umno/bn yang mendominasi teraju negara. Inilah sikap terlalu percaya kepada barat sehingga akhirnya membunuh 'konsep intelektual' atau perkembangan ilmu yang sihat.
Sikap tidak percaya kepada kekuataan bahasa sendiri merupakan jawapan paling tepat terhadap kegagalan mengakui tamadun bangsa sendiri iaitu Melayu.
Bagaimanakah budaya ilmu Melayu akan berkembang sekirannya sikap ketidakpercayaan itu bermaharajalela di dalam diri sendiri?
Adalah lebih baik sekiranya kita kembali meminta British menarik kembali status kemerdekaan negara dan kita boleh mengamalkan sepenuhnya BI atas dasar kita belum merdeka dan bahasa Melayu itu lemah. Mungkin ini yang dimahukan oleh pejuang umno dalam erti kata yang tersirat.
Malah, jika dilihat daripada cacatan sejarah, sejahat-jahat Inggeris pun mereka tidak akan mengganggu hal-hal adat budaya dan agama. Tugas mereka sebagai penasihat tetapi bukan pelaksana/ pencatur/ pendesak jelas dilakukan. Sedangkan kepimpinan kita hari ini lebih banyak menyerah daripada berfikir berkali-kali.
Negara kita sedang diuji dengan rasukan mahkamah dan perlembagaan. Mereka seperti pemain layang-layang yang tidak memikirkan bagaimana jika tali layang-layang itu putus di udara. Pada ketika itu, kegelabahan mencari tempat berpaut sudah tidak bermakna lagi.
Yang hanyut atau lemas adalah kita/ rakyat juga akhirnya.
Salam dari kejauhan.
Post a Comment