Tuesday, 23 June 2009

KEBODOHAN BERFIKIR TENTANG BAHASA

Akhbar STAR hari ini, 23 Jun, 2009, halaman N38 menulis begini: Dropping since the 70's: yesteryear's switch to BM put paid to good English today, dalam ruangannya Other News and Views. Ruangan ini memetik laporan dalam Nanyang Siang Pau yang menyatakan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di negara ini merosot sejak beralih kepada Bahasa Malaysia sebagai pengantar pengajaran.

Kenapa mesti bahasa Melayu dipersalahkan kalau bahasa Inggeris merosot? Apabila bahasa Melayu didaulatkan kedudukannya dalam sistem pendidikan kebangsaan, bahasa Inggeris tidak dihapuskan di sekolah. Malahan bahasa Inggeris terus diajar sebagai satu subjek bahasa dari tahun satu hingga tamat sekolah. Negara lain yang maju tak berbuat seperti Malaysia . Pendapat yang seolah-olah menyalahkan bahasa Melayu tentang kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris adalah cara berfikir yang bukan sahaja tidak rasional, tetapi penuh prasangka , kalaupun tidak bodoh.

Tanyalah Menteri Pelajaran apa sebab musababnya selama 11 tahun di sekolah rendah dan menengah murid-murid belajar bahasa Inggeris mereka masih dianggap tidak mahir berbahasa; bukan sahaja dalam Inggeris, bahasa kebangsaan pun tergagap-gagap ( ini lagi memalukan) . Persoalkanlah kerajaan yang memerintah, dan yang
bertanggungjawab .
_____________________________

Berita di TV pada malam ini pula keluar muka mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir yang terus mempertahankan perbuatannya menyingkirkan bahasa Melayu dalam subjek Matematik dan Sains. Konon ilmu ada dalam bahasa Inggeris dan kenapa mesti ada pula penterjemah menterjemahkannya untuk orang lain. Belajarlah bahasa Inggeris. Siapa yang larang. Apa yang dibantah ialah memperlekehkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran yang berasaskan matematik dan sains. Kenapa dia tak pandai berfikir bagaimana hendak memperkukuh pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggersi sewaktu dia berkuasa dulu seperti apa yang Mahyiddin sekarang sedang memikirkan strategi yang lebih cerdik.

Selain itu apakah semua ilmu besar dalam alam dan angkasa lepas ini terkunci dalam bahasa Inggeris ?Bagaimana ilmu dan penemuan baru yang terpendam dalam bahasa Jepun, Mandarin, Korea, Sepanyol, Jerman, Perancis dan Russia ? Janganlah terus pertahankan fikiran dan tindakan yang salah dan merusakkan tamadun Melayu itu. Selain itu dia bukan Perdana Menteri lagi yang dulu semua angguk macam kuda kepang. Kerana keputusannya itu ramai cendekiawan, pencinta dan pejuang bahasa Melayu membenci UMNO dan menjauhkan diri dari BN. Pemimpin UMNO sekarang patut insaf akan faktor ini kenapa ramai orang Melayu menjauhkan diri dari UMNO. Bukan soal rasuah, gila kuasa, lupakan rakyat, dan politik wang sahaja.

Ingatlah juga pada tahun 60-an peristiwa tunjuk perasaan di jalan raya memperjuangkan bahasa kebangsaan dan penentangan terhadap PM Tunku Abd Rahman, sebelum BN menderita kekalahan teruk pada tahun 1969. Barangkali lebih sedikit Tun Mahathir bercakap, lebih baik bagi UMNO.
_____________________________
Pada jam 9.30 malam ini di TV 9 , Ketua Pengarah DBP, Dato' Termizi dan Dato' David Chuah tegas dan jelas membuat pendirian menentang PPSMI dan mengembalikan peranan penting bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda bagi kepentingan perpaduan dan kemajuan rakyat.
Ini satu senario yang positif dan sihat; satu keadaan bahawa bangsa kita sedang pulih dari
igauan yang meracau, dan kembali kepada akal yang waras. DBP sekarang sedang dikembalikan ke landasan yang betul dan pekerja-pekerjanya jangan buang masa lagi. Kembali kepada
akal, etika kerja yang diredhai, dan ikhtiar yang gigih. Syabas.

7 comments:

sahrunizam abdul talib said...

Salam hormat Dato',

Saya datang berkongsi rasa.

Pertama: Pada 19 Jun 2009 di Istana Budaya Pak Samad telah membaca puisi beliau "Peludah Bahasa" di hadapan Mahathir dan Fuad Zarkashi.

Kedua: Cadangan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris pada peringkat SPM sekali lagi akan menjerumuskan ramai anak Melayi luar bandar dan bandar dari kelompok bawahan ke kancah dadah, mat rempit dan yang lain. Jika gagal BI, mereka hanya akan menghabiskan masa selama 2 tahun(tingkatan 4 dan 5) tanpa sebarang kertas bernama sijil. Tanpa sijil SPM, sudah pasti masa depan mereka berada dalam keadaan tanda tanya, biarpun mereka cemerlang dalam mata pelajaran yang lain. Sehingga sekarang KPM melaporkan 80% bersetuju. Soalnya mereka tanya siapa?

Ketiga: Tahniah kepada KP DBP yang baru kerana pendirian tegas beliau itu.

Atan said...

Salam Dato';

Dah lama dah.... Jemu jelak mendengar bicara yang sama dari "Peludah Bahasa" (sama ada pencetus idea PPSMI sendiri ataupun pengkomentar yang merendah-rendahkan bahasa Melayu). Asyik-asyik mempertahankan bahasa Inggeris dengan membangkitkan keupayaan berbahasa Inggeris rendah, bahasa Inggeris bahasa ilmu, bahasa Inggeris itu, bahasa Inggeris ini!

Ikutlah Perlembagaan. Bahasa Melayu bahasa rasmi Negara Malaysia, bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, Bahasa Perpaduan. Oleh itu, letakkanlah bahasa itu di tempatnya yang layak. Awak nak bergolek-gelantang, berbolen berkubang dengan bahasa Inggeris ikut suka awaklah tapi bahasa Melayu jangan diperlekeh.

Saya pun berfikiran yang sama dengan Sdr Sahrunizam. Sewaktu lafaz pertama TS Muhyiddin hendak mewajibluluskan BI pada peringkat SPM, saya terus berkata kepada isteri, "Budak kampung, kaum Bumiputera di Sabah Sarawak dan kaum orang Asli Semenanjung akan banyaklah yang tak bersijil SPM hanya kerana bahasa Inggeris."

Kan, bahasa Inggeris lagi.

donmny said...

..teruskan perjuangan menentang 'kebodohan' yang tidak disedar mereka.

lutfi said...

Salam, Dato.
Saya kita, ada satu sikap dan trend yang konsisten dalam masyarakat Melayu, yakni mereka menentang PPSMI. Pasca perhimpunan 100 ribu, kita lihat, skala kesedaran tentang perlunya PPSMI dihapuskan, makin meluas. Saya sentiasa berdoa agar PPSMI dihapuskan, kemenangan menjadi milik kita, dan mereka yang menzalimi bahasa dan budaya Melayu serta Islam, akhirnya akan terhapus di muka bumi ini.

Farmilla Hamdi said...

Salam Dato',

Jelas kita lihat siapa Pengkhianat Bangsa. Jelas dia (peludah bahasa) lupa siapa diri dia. Jelas dia telah hanyut dalam kekeliruan mindanya. Kesian dia yang kian mati dalam kepompong egonya. Kesian dia yang tidak pernah sedar-sedar...

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr sharunizam,
Isu lulus BI pada peringkat SPM ini perlu kita semua fikirkan secara teliti sekalian implikasi buruk dan baiknya. Memang tak boleh dilalaikan dan perlu diperhalusi oleh KPM.

Sdr Atan,
Inilah malangnya nasib kita. Apa yang belaku akhir-akhir ini bolehlah dianggap satu serangan kepada bangsa Melayu , satu luka sejarah setelah setengah abad merdeka. Ini keanehan luar biasa, dan memalukan suatu negara yang tak pandai menghargai warisan bahasanya yang terbukti sangat berfungsi membina tamadunnya.
Rahmatnya ialah ia menginsafkan kita bahawa mulai hari ini kita mesti berwaspada dan terus memberi perlawanan segera apabila bahasa, agama, dan budaya kita diperlekehkan oleh pemimpin baik dia Perdana Menteri sekalipun.

Sdr donmny
orang kalau sombong dan angkuh, lebih-lebih lagi gila kuasa, cerdik macam mana pun akan terjerumus ke longkang kealpaan.
Semoga dia insaf dan memohon maaf kepada bangsanya.

Sdr lutfi,
Saya memahami kegetiran sdr sebagaimana saya terasa sangat kecewa dan marah. Saya pernah menyebut di depan forum di Kuantan, bersama panel Dr Teoh Kok Seong, di depan Exko Pahang , puan Maznah,kalau setelah 30 tahun BM dilksanakan dengan hebatnya,dan kemudian tiba-tiba disingkirkan, bukan tidak mungkin ia dikembalikan ke tempatnya semula, dalam waktu terdekat. Tuhan itu Maha Berkuasa dan Mengetahui segaala-galanya: Sehelai daun yang gugur pun ada dalam pengetahuan-Nya. Mulai hari ini kita semua harus memperkuatkan azam, iltizam dan ikhtiar memodenkan BM setelah terhambat kemajuannya selama 7 tahun.

Sdr Farmilla,

Kadang-kadang saya juga berasa kasihan dan simpati dengannya. Tak apalah yang penting sekarang ialah pemimpin-pemimpin hari ini yang beramai-ramai menggangguk kepada apa sahaja yang diputuskan oleh mantan itu, menginsafi keterlanjuran membuta tuli, dan memperbetuklkan balik kesilapan, yakni menebus dosa budaya yang telah dihempaskan oleh mereka kepda bangsa Melayu.Maafkanlah, tetapi jangan lupakanlah.

D'Rimba said...

Cukup berani mereka menyalahkan bahasa Melayu di tanah Melayu...Cukup BIADAP...Nyah kau dari tanah air ini..