Monday 28 December 2009

PERJUANGAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU MELALUI PENERBITAN

Sesudah kempen menghapuskan PPSMI itu, apa yang patut dilakukan oleh pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan ?

Perjuangan selanjutnya ialah memperhebat kewujudan bahasa Melayu itu sebagai bahasa yang mampu memberikan pelbagai ilmu pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang . Bagaimanakah caranya? Salah satu caranya ialah dengan menerbitkan bermacam-macam bahan bacaan dan rujukan ( buku, kamus, ensiklopedia, glosari dan lain-lainnya) dalam lapangan sains, teknologi, ekonomi, agama, geografi, matematik dan ribuan disiplin yang lain. Inilah cabaran yang sangat- sangat besar dan penting bagi para penulis, ilmuwan, penerbit dan cendekiawan nasionalis . Mahu tidak mahu visi ini misti diperjuangkan kalau bahasa Melayu hendak dijadikan bahasa modern dan digunakan oleh rakyat.

DBP, ITNM, dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia berada tepat di bawah kekuasaan Kementerian Pelajaran. DBP dan ITNM telah menyumbang banyak hasil,tetapi dalam keadaan yang telah menimpa nasib bahasa Melayu beberapa tahun ini, dan untuk menebus kelemahan-kelemahan penerbitan dalam negara , perlu ada visi , strategi dan pelan tindakan radikal bagi melipatgandakan penulisan, penterjemahan, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan bacaan baik dalam bentuk buku cetakan biasa atau e-buku.

Bukan sahaja satu sikap profesonal dan intelektual baru harus dibangunkan, tetapi juga peruntukan kewangan ribuan juta ringgit perlu dibelanjakan oleh kerajaan bagi membangunkan ilmu, fikiran, imaginasi dan kepandaian rakyat melalui bahasanya sendiri. Kalau kerajaan bersedia membelanjakan ribuan juta ringgit untuk meningkatkan bahasa Inggeris, kerajaan patut membelanjakan banyak bilion ringgit untuk memartabat dan memperkaya bahasa Melayu yang telah dikacau perkembangannya oleh bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Pendekatan yang lama, cara bekerja yang konvensional, sikap yang lembab dan tidak imaginatif di kalangan petugas perbukuan ( editor, pengurus, pegawai, pengedar dan penjual)yang terlibat dalam penerbitan berbahasa Melayu, patut berubah mulai tahun hijrah 1431 ini.

Marilah kita sama-sama menghebahkan peri pentingnya masalah penerbitan berbahasa Melayu ini supaya semua pihak, terutama pihak kerajaan yang berkuasa, mengambil tindakan positif dan cergas melaksanakan segera budaya perbukuan kebangsaan. Kalau tidak isu ini akan tenggelam dalam hiruk pikuk politik nasional yang kacau dan asyik bergelumang dalam perdebatan serta perebutan kekuasaan. Persaingan ini merugikan kehidupan rakyat sahaja. Hal-hal penting membangunkan jiwa, fikiran, intelek dan tamadun bangsa terpinggir dan terabai. Rakyat misti melawan arus negatif dalam politik sekarang. Ini adalah tanggungjawab masyarakat sivil. Pemikir , penulis dan aktivis budaya serta guru misti membangunkan literasi sivik ini.Jangan terleka dengan berita media yang sengja memancing perhatian penonton serta pembaca dengan berita-berita sensasi, kempen dan propaganda yang berat sebelah dan tidak bermoral.Rakyat awam misti menunjukkan kekuasaan suaranya sekarang.

4 comments:

MajalahSains.Com said...
This comment has been removed by the author.
MajalahSains.Com said...

Terima kasih Dato' atas tulisan ini. Kami tambah bersemangat untuk memajukan budaya saintifik di Malaysia.


Saya ingin memetik tulisan dari Kassim Ahmad mengenai budaya saintifik,

'Jangan takut dengan perkataan ‘saintifik’. Ia hanya bermakna ilmu yang sahih. Setelah tidur berabad-abad lamanya dan dijajah oleh bangsa-bangsa Eropah, umat Islam telah bangkit semula dan menuntut kemerdekaan'

'Ramai yang masih menganggap sains dan agama tidak serasi. Ini tidak benar. Alam Semesta, termasuk manusia, yang diciptakan oleh Tuhan, bersifat jasmaniah dan rohaniah. Aspek jasmaniah dikaji oleh sains, sedangkan aspek rohaniah ditangani oleh agama'.

Rujukan :

http://majalahsains.com/2009/08/memupuk-budaya-saintifik/

Mohd Faizal said...

Assalamualaikum Dato'

Mohon izin untuk disebarkan tulisan ini ke ruang facebook di bawah 'Kumpulan Forum Editor Malaysia'.

Sekian terima kasih

Faizal

bahazain said...

Assalamualaikum,
Sdr editor majalah sains,
Tahniah kepada sdr kerana menghidupkan pemikiran saintifik dan budaya sains dalam bahasa kita. Peranan dan tanggungjawab editor sangatlah penting membijakkan pembaca dan menyumbang ke arah transformasi masyarakat. Ralph Cambell, Ketua Editor, jurnal 'Nature' berkata pandangan sains sangat pelbagai dan menjadi tanggungjawab editor untuk memperlihatkan pelbagai perspektif untuk dipertimbangkan oleh pembacanya. Jadi dia tidak memaksakan pendapatnya untuk ditelan oleh khalayak. Ini proses mendidik fikiran rasional masyarakat.

Sdr Faizal,
Saya baru sahaja menyelesaikan esei pendek untuk kolum bulanan saya dalam majalah Dewan Sastera , Feb. 2010. Esei ini kebetulan membicarakan tanggungjawab editor.

Saya memberi izin untuk sdr menerbitkannya semula. Terima kasih