Thursday, 28 August 2008

KACAU --BANGSA DALAM KEKELIRUAN

Mewujudkan Ekologi Kebahasaan


Semalam sehari suntuk saya dan beberapa teman menyertai perbincangan tentang isu
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah. Turut hadir perwakilan dari persatuan-persatuan Cina, Tamil, Kadazan dan Iban. Cukup panas, banyak perbincangan dialektik, tetapi tak ada resolusi. Biasalah budaya moden Malaysia sekarang bincang, bincang, bincang dan tak ada tekad untuk membuat keputusan dan bertindak. Namun demikian ia sangat berfaedah kerana banyak memberi maklumat tentang pelbagai fikiran dan persepsi. Rupa-rupanya antara peserta yang konon dianggap elit, canggih, berpendidikan tinggi dan moden di situ ramai pula yang tak pandai berfikir secara konseptual dan rasional.


Kalau saya mahu merumuskan keseluruhan perbincangan itu, saya boleh berkata begini: ada yang setuju , dan ramai yang tak setuju. Masing-masing dengan alasannya berdasarkan latar belakang hidup masing-masing, pekerjaannya, hubungannya dengan kerajaan, falsafah atau tak ada falsafah kebangsaannya.

Apa yang menarik ialah (i) ada tanggapan bahawa sesiapa yang tak setuju dengan PPSMI dianggap menentang Bahasa Inggeris. (ii) Ada yang berpendapat bahawa Bahasa Inggeris itu adalah jendela dan kunci bagi segala ilmu, Sains, Matematik, dan juga kejayaan dalam hidup. (iii)Ada yang menyangka kenapa dibahaskan sangat isu ini kerana ia hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja ( Sains dan Matematik).

Ketiga-tiga pendapat atau tanggapan di atas jelas menunjukkan sangat ramai penduduk negara ini yang mempunyai persepsi yang keliru terhadap apa yang berlaku dalam pendidikan kita, terutama isu PPSMI. Ia juga menggambarkan budaya berfikir, dan nilai-nilai yang mempengaruhi pandangan hidup masyarakat kita sangat kacau, tidak jelas arah budaya
yang hendak dituju, dan tidak mengetahui secara sungguh-sungguh tentang masalah bahasa, ilmu, dan erti kejayaan dalam hidup bangsa kita. Tentulah banyak sekali faktor-faktor yang menyebabkan kita jadi begitu. Antara sebabnya ialah penduduk kita terdiri daripada tiga kaum besar yang memiilki kepercayaan, bahasa dan adat kebiasaan yang berbeza-beza sehingga menjadi masyarakat yang tidak padu dan tidak sama pandangan dunianya. Tentu juga rasa iri hati dan persaingan kebudayaan berlaku antara kita. Inilah masalah besar kerajaan yang sampai hari ini masih tak terdaya mengintegrasi kaum mengikut visi kebangsaan sendiri.

Berbalik kepada isu bahasa, tidak ada sesiapa yang waras fikiran menentang penguasaan Bahasa Inggeris atau bahasa apa pun, lebih-lebih lagi Bahasa Kebangsaan (malu kalau tak mahir membaca, menulis, dan berkomunikasi dalam bahasa negara ini). Tetapi janganlah gunakan Bahasa Inggeris untuk mengambil alih Bahasa Kebangsaan dalam Sains dan Matematik. Ini tak patriotik. Masakan ada rakyat yang mengaku nasionalis sanggup buat begitu. Jepun, Korea, Cina, Rusia, Perancis, Sepanyol, Arab, Jerman, Belanda dan Brazil buat seperti kita kah? Apakah mereka tak maju macam Amerika atau England?

Tentang ilmu janganlah kita terperangkap dalam fikiran penjajahan bahawa Bahasa Inggeris itu sahaja yang hebat mengandungi ilmu. Tanyalah Profesor Fizik, Matematik, Sains, danPerubatan bahawa bahasa-bahasa Portugis, Sepanyol, Perancis, Itali, Jerman , Cina dan Jepun kalau tidak lebih, sama sendat padat dengan penemuan-penemuan kajian dan ilmiah dalam bidang sains dan teknologi. Di sini pun siapa sangat yang pakai kereta dari Amerika dan England. Audi, Mercedes, Volkswagen, dan BMW dari Jerman; Toyota, Lexus, Honda, Nissan, Suzuki, Yamaha, Nikon, Olympus, Canon dan Sony dari Jepun. Hanya kerana secara tradisi kita daripada dahulu lagi terlatih dalam Bahasa Inggeris maka kita tak nampak kekuatan bahasa dan negara lain. Memang Bahasa Inggeris itu sangat berpengaruh dalam bidang perdagangan antarabangsa dan diplomasi, tetapi dalam bidang ilmu tak boleh kata ia paling unggul.

Dalam perbincangan yang berlangsung itu ada dua tiga orang ahli perniagaan (bank, syarikat korporat, dan badan swasta) berpendapat sesiapa yang tak petah dan lancar berbahasa Inggeris tak mungkin berjaya dalam negara. Memang ada juga kebenarannya kerana bukan sahaja syarikat swasta , agensi kerajaan pun hendakkan pekerja pandai Bahasa Inggeris. Cuma perlu ingat bahawa bukan mesti Bahasa Inggeris itu jawapan bagi segala kejayaan hidup. Di England, New York dan Chicago, Filipina atau India ada ramai juga peminta sedekah dan penganggur yang pandai berbahasa Inggeris. Selain itu pengertian kejayaan itu bukan mesti dijamin oleh Bahasa Inggeris kerana moral, akhlak, kejujuran dan amanah adalah juga penting bagi keperibadian seseorang rakyat. Ingat skandal kewangan BMF yang terbesar dekad 80-an dahulu dilakukan oleh dua tiga orang profesional Melayu yang sangat pintar berbahasa Inggeris. Jadi janganlah nilai martabat dan kejayaan seseorang itu dipandang daripada kelulusan, kekayaan dan bahasanya. Berapa banyak kereta dia ada mungkin bukan daripada titik peluh yang halal.

Tentang ada yang merungut kenapa hebohkan sangat PPSMI ini kerana melibatkan dua subjek sahaja. Lagi sekali ramai yang keliru. Ada Menteri pun pernah keliru . Apabila tiba pada tahap sekolah menengah semua subjek yang berasaskan Sains dan Matematik ( Fizik, Kimia, Biologi, Matematik, Matematik Tambahan, Kejuruteraan Awam, Elektrik, Teknologi etc.etc) kira-kira
70% semuanya akan diajar dalam Bahasa Inggeris. Jadi siapa peduli pada Bahasa Melayu lagi. Sekarang pun ibu bapa sudah menghantar anak-anaknya ke kintergarden Inggeris. Tak boleh salahkan ibu bapa kerana mana ibu bapa mahu anaknya ketinggalan di sekolah nanti kalau begini keadaannya.

Tegasnya memang berlaku kekeliruan besar dalam fikiran dan kebudayaan bangsa kita terhadap soal bahasa, ilmu, kejayaan dan masa depan kebangsaan dan jati diri negara ini.

Saya berpendapat untuk orang Melayu Islam mempertahankan jati diri dan agamanya, mulailah mendidik anak masing-masing menguasai tiga bahasa: pertama Melayu, Inggeris dan Arab. Dua bahasa lagi yang semakin penting di dunia ialah Mandarin dan Sepanyol yang dijangka akan menggeser Bahasa Inggeris ke tempat ketiga di bawah. Bahasa Melayu, Arab dan Hindi diduga akan berada pada kelompok keempat di bawah Mandarin, Sepanyol dan Inggeris.

Pemimpin negara kita dari sekarang misti memikirkan orientasi kebudayaan di masa depan dalam soal menguasai bahasa dan ilmu. Perlu diwujudkan ekologi kebahasaan di mana penguasaan dan profisensi Bahasa Melayu itu penting, dan dua bahasa lain lagi bagi setiap pelajar.

9 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Dato',

Mohon saya siarkan artikel ini dalam blog saya sebab kandungannya penting dibaca oleh penyokong-penyokong perjuangan Bahasa Melayu.

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha YDh: Ketika saya di suatu acara di Filipina, saya tetap dapat hidup dan bernafas macam biasa, walau tidak pandai cakap bahasa Inggeris macam pakar-pakar bahasa. Malah boleh juga bernteraksi dengan teman peserta dari Israel.

Jadi kenapa ada orang cakap kalau kita tidak pandai bahasa itu tidak boleh maju dan hidup?

Mereka yang bermasalah atau saya yang bermasalah?

Atau ada apa-apa yang lain?

Satira + Kacau

Hartini Omar said...

dato',

apa boleh buat, maju atau tidaknya kita dalam masyarakat ditentukan oleh masayrakat itu sendiri. kalau boleh berspeaking bru bra bru bra, orang terbeliak mata, respect tak tau nak cerita

hati budi jadi nombor dua. sebab zaman ini orang nilai kita berdasarkan 5 minit pertama. dalam interview (khususnya sykt swasta), kalau tergagap berbahasa inggeris, tipis la harapan untuk diterima

tak salahkan ibubapa yg hantar anak mereka ke tadika inggeris, sebab takut anak mereka nanti susah bersaing. orang 'kita' fikir kalau pandai inggeris, pandai lah semua perkara..

belum tentu lagi, sebab banyak sekarang onar2 dilakukan oleh orang yang hanya tahu bercakap dan berbahasa. tak kira lah bahasa ibunda atau yg tak ibunda

lalu nilai, moral, akhlak, kejujuran dan amanah yg datuk katakan tadi tinggal jadi bahan sisipan saja. nak jd PTD pun orang tak tgk moral dan kejujuran yg kita ada. mereka cuma tgk standard, bahasa dan mesti ada gaya!

itu lah Malaysia!

p/s:maaf kalau teremosional, dato'. selamat berpuasa

Unknown said...

Dato'

Mohon pandangan Dato'.Adakah dasar songsang ini akan diteruskan pada tahun hadapan??

Saya mempunyai anak yang akan bersekolah tahun hadapan. Sudah boleh membaca dengan lancar di dalam BM/BI.

Cumanya ketika diberikan soalan Matematik dalam BM, ia boleh menjawab hampir ke semua soalan.

Bila diberikan soalan dalam BI, dia terus merungut, susah katanya walaupun dia boleh membaca tetapi tidak memahami kehendak soalan.

Ini pengalaman anak orang di Putrajaya. Saya tak dapat bayangkan masalah anak-anak di Felda dan Ulu Tembeling.

bahazain said...

Sdr Ainon,
Tak apa siarkanlah. Apa saja posting saya hari ini atau esok saya izinkan untuk disiarkan kerana saya ikhlas untuk berkongsi pendapat.

Sdr Satira,
Apa yang penting kita pasih dalam bahasa sendiri. Saya ramai kawan dari Jepun dan Korea , mereka tak malu-malu bercakap dlm Bahasa Inggeris yang gagap dan "broken".

Sdr Hartini,
Cuma kita orang Malaysia saja berasa rendah diri kalau tak pandai Inggeris.Ramai yang tak berasa malu kalau tak pintar menulis dlm bahasa sendiri.Akhirnya darjat dan kehormatan seseorang ditentukan oleh akal budi dan budi bahasa kita. Mari kita kembalikan maruah bahasa kita.

Sdr kutucyber,
Saya harap dasar ini tidak diteruskan kerana akan lebih hebat penentangannya nanti.

Pengalaman anak sdr ini, dialami juga oleh ramai yang lain, dan malahan lebih teruk di luar bandar. Sekurang-kurangnya ada lima penyelidikan dilakukan oleh universiti dan badan lain, semuanya memberi keputusan negatif
Apa yang berlaku ini sangat mengecewakan dan tak patut sekali berlaku setelah 51 tahun merdeka.

Danielle_Corleone said...

Kita keliru mana jalannya, mana kita mahu di bawa. apa asal budaya dan bahasa kita mana kedudukannya.

Ahmad Azam said...

Dato,
Baru dapat SMS dari Dato Abu Bakar Hamid,Pengerusi Kumpulan Prihatin.Khabarnya Menteri Pendidikan kemuka formula kompromi: Sains & Matematik dalam BM peringkat sekolah rendah dan kekal BI peringkat sekolah menengah.Nampaknya pemimpin kita dah memang tidak sensitif dengan budaya bangsa.Semua boleh dikompromikan dan dirundingkan demi survival politik.

TPJ14

Sham al-Johori said...

Salam Ramadhan Dato Baha,
Saya teruja untuk melontarkan sedikit pandangan meskipun pahit untuk ditelan.

i. Mencari kesudahan ataupun keputusan yang dilakukan oleh kerajaan tidak semudah memetik jari. Hal ini kerana sekirannya jawapan yang diberikan tidak berpihak kepada mereka, makanya mereka akan kehilangan maruah. Mereka menafikan hak patriotisme, akar jati diri dan konsep sebuah tamadun bangsa. Kerana 'maruah mereka', perasan rasa untuk memohon maaf tidak pernah terlintas dalam kotak fikir mereka meski mereka telah melakukan dosa yang amat besar kepada bangsa sendiri.

ii. Kejumudan percaya kepada bahasa Inggeris yang keterlaluan menyebabkan pemikiran mereka kolot. Para juak ini tidak pernah melihat sejarah bangsa Jepun, Perancis, Jerman, Korea, Sepanyol, China dan Arab. Jika mereka melihat pun sekadar memandang dengan mata bukannya dengan mata hati atau kalbu atau juga fikiran. Justeru diikat oleh momokkan bangsa Inggeris yang keterlaluan, mereka memikirkan adalah malang jika rakyat negara ini menolaknya.

iii. Pertanyaan saya sebelum ini masih belum terjawab atau tiada jawapan daripada pihak KPM; persoalan saya ialah;
APAKAH YANG SEDANG MELANDA KELEMAHAN P&P BI HARI INI? TEKNIK, PEMAHAMAN, TEORI, KONSEP, KOMUNIKASI ATAU APA?

Jawapan yang perlu dicari ialah menyelesaikan kepada pengertian istilah-istilah itu. Bukannya untuk mencari jawapan terbaik daripada permasalahan itu, lalu semua sistem yang sedia ada itu dimusnahkan.

iii. Adakah sistem pendidikan negara pada era 80-an itu gagal? Jika gagal kenapa tidak pernah dijelaskan kepada umum sedangkan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan pada 80-an lah yang dapat melahirkan ribuan saintis juga bijak pandai dalam pelbagai bidang. Penubuhan Sekolah SBP, MRSM dan lain-lainnya itu bukankah telah berjaya melahirkan ramai bijak pandai Melayu Islam.

Inilah yang dikatakan kerana marahkan nyamuk seekor habis kelambu dibakar.

Kita sebenarnya tidak berjiwa merdeka. Kerana itulah kita lebih sanggup menjadi bangsa yang mengikut. Kita selesa menjadi bangsa yang menumpang dan mengapu.

Selamat mengimarahkan ramadhan al-mubarak. Moga amalan kita diterima oleh Allah SWT. Amin.

KISAH DI NEGERI SUNYI said...

Sdr Samsudin: Masa mengundi hari itu pilih lambang apa? Dah sah mereka bebalkan diri kerana nak jaga kerusi dan bukan maruah bahasa serta bangsanya.