Tak akan diluluskan lagi projek pembangunan baru di lereng bukit. Demikian kata bos baru Selangor, Menteri Besar, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim ( NST, 3 April 2008) . Walau bagaimanapun 141 projek yang pentadbiran dahulu luluskan boleh jalan terus. Bayangkan kalau BN terus berkuasa apakah nombor 141 itu akan bermaharajalela dan menjalar ke 150 lalu meliar ke 365 (sempena angka 365 hari dalam satu tahun) ? Kalau kita bermain-main dengan angka dahulu dan angka sekarang, bagaimana daripada 141 boleh menjadi tak ada langsung ( 0 ). Takkanlah begitu besar dan mendadak perubahannya, dan takkanlah kerajaan sekarang anti pembangunan. Tidak mungkin juga pemimpin kerajaan sekarang ini mahu tunjuk gimik atau pepatah baru: “ penyapu lama membawa sial, penyapu baru menyapu bersih “.
Semua kita yakin bahawa pemimpin-pemimpin sekarang belajar banyak daripada krisis dan kebobrokan sosial akibat pembangunan kebendaan yang tak dikawal dengan otak yang bijaksana. Tanah runtuh di lereng bukit; banjir lumpur menyerbu ke dalam rumah; parit dan longkang tersumbat; kesesakan jalan raya yang menggila ; dan kekurangan pengurusan prasarana untuk rakyat di kawasan-kawasan majlis tempatan ( parit, jalan, tong sampah, longkang, lampu, tempat riadah atau taman,anak sungai dll) adalah pengalaman yang biasa .
Kita belum lagi menyorot jauh ke dalam masalah sosial yang semakin kacau serta rumit ( jenayah, penyalahgunaan dadah, perlumbaan haram, ponteng sekolah, seks bebas di kalangan remaja dan dewasa, ceruk-ceruk gelap hiburan dan judi , arak etc. ). Tidak semua salah laku sosial ini berpunca daripada kemiskinan ekonomi, tetapi hasil daripada kegoncangan nilai-nilai dan norma akibat pembangunan fisikal itu sendiri: perumahan, industri, lebuh raya, kompleks dagang dan sebagainya. Memang tak akan mungkin ada satu masyarakat bebas dan moden yang ideal: bersih ,selamat serta berdisiplin seratus persen.
Menginsafi hakikat itulah maka setiap seorang pemimpin sosial, lebih-lebih lagi pemimpin politik yang mentadbirkan negeri atau negara, harus berfikir tentang pembangunan sosial, pembangunan moral dan akhlak, pembangunan akal budi, pembangunan estetik, pembinaan kreativiti dan inovasi dan lain-lain pembangunan kemanusiaan, pembangunan yang manusiawi sifatnya, dan bukan memberi keutamaan yang berlebihan kepada pembangunan kebendaan, dan prasarana fisikal yang mewah, tetapi pada jangka panjangnya tak menimbulkan kesejahteraam dan tak terpelihara dengan sempurna. Jadikanlah keinsafan tentang perseimbangan moral-material, teknologi-kemanusiaan, ekonomi-sosial,dunia-akhirat, dan rohani-jasmani sebagai filsafat pembangunan politik baru .
Apa gunanya anak muda menunggang motosikal yang laju dan berjentera maju kalau biadab di jalan raya, tanpa hormat kepada pengguna jalan yang lain; telefon dan komputer yang canggih untuk berasmara atau berborak kosong atau menonton porno; rumah yang mewah, tetapi miskin buku; berjiran tetapi tak bertegur sapa; galeri dan perpustakaan yang mahal, tetapi isi dan perkhidmatannya usang; dataran dan lapangan menjadi tempat orang melepak sepanjang senja dan malam; dan pendapatan keluarga meningkat berlipat ganda , tetapi anak-anak di rumah bakal menjadi generasi yang kehilangan kasih sayang dan nihilistik. Ini semua adalah bahagian pembangunan sosial, mental dan emosi yang susah, rumit, dan boleh mengelirukan, dan selalu pula dilupakan kerana pemimpin asyik hendak menunjukkan KPI atau prestasi kejayaan melalui pembangunan yang tangible atau nyata pada pandangan mata.
Lebih parah lagi apabila ada pemimpin yang menjadi gila gah tanpa peduli penggunaan wang rakyat kerana hendak menunjuk-nunjuk ke dunia tentang kecemerlangan teknologi, perniagaan, dan prasarana ekonomi sewaktu kepemimpinannya. Baru-baru ini seorang teman dari Jepun menginap di rumah saya. Dia tinggal di kawasan sesak dan mahal di Shinjuku,
Saya tidak bertanya apa-apa tentang kesan pandangannya kerana saya tahu benar dia sangat berhati-hati untuk memuji , lebih-lebih lagi mengkritik , tetapi anak saya bertanya bagaimana pandangannya terhadap mercu tanda
Di sini yang ingin ditanyakan kepada YAB Tan Sri Khalid ialah jati diri atau identiti budaya apa yang Selangor hendak tonjolkan mengingat negeri ini tidak juga kurang dengan muzium, galeri, kompleks budaya, perpustakaan dan dewan-dewan persembahan , malahan merumahkan institusi yang melatih seniman, pelukis, penulis, pengarca, perupa , dramatis, pengkritik seni, pembikin filem dan arkitek ? Takkanlah kita cukup selesa menonton nama-nama jalan dan taman-taman perumahan dan pengisiannya seperti rupa Hongkong, Singapura atau Amerika ( ingat presint, boulevard ).
Barangkali majlis-majlis perbandaran atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor patut memperhebatkan usaha penggunaan nama, meningkatkan estetik bangunan serta landskap yang ada relevansinya dengan budaya dan flora fauna serta jati diri tempatan. Khabarnya Dewan Bahasa dan Pustaka ada menerbitkan dan memberi percuma buku Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan . Kita menunggu wajah baru negeri daripada kerajaan yang baru.
3 comments:
Dato',
Izinkan saya link artikel ini ke blog saya.
Pembangunan itu perlu seimbang, material tanpa isi semestinya sama sahaja dengan pepejal yang kosong.
salam dato' yg dihormati
tahniah dan syabas, penulisan yg penuh intipati jika direnung-renungkan dengan penuh hati2..
lama saya tidak menulis, dato. membaca pun jarang sekali, sekarang ini. semakin lama merdeka, semakin terjajah minda saya. sukarnya mahu memilih yang mana intan, yang mana kaca...
semoga hendaknya tulisan2 ini mendewasakan kita
Post a Comment