Wednesday, 20 August 2008

PERSOALAN SAINS Dan MATEMATIK Di SEKOLAH

Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) masih diperbincangkan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengatur Persidangan Meja Bulat pada 27 Ogos dan mengundang sejumlah wakil-wakil NGO's untuk memberi pandangan masing-masing. Baguslah KPM bertindak demikian kerana ini isu yang besar dan mempunyai implikasi politik serta kesan yang jauh dalam kehidupan generasi akan datang. Jangan lagi berulang keputusan yang bersifat kuku besi memaksa tanpa dirujuk kepada rakyat atau kelompok yang prihatin sewaktu PM mengarahkan PPSMI pada 2003.

Tentang isu yang sama Tun Dr Mahathir dalam blognya chedet.com pada 10 Ogos telah mempertanggungjawabkan keputusannya itu dengan memberi alasan yang kira-kira boleh dirumus begini:

* Dia mahukan bangsanya kuat dan boleh bertanding dengan negara-negara maju.

* Untuk tujuan itu dia mahu memperhebat penguasaan ilmu oleh bangsanya.

* Ilmu Sains dan Matematik sangat penting bagi kemajuan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa.

* Untuk segera menguasai ilmu-ilmu baru serta ilmu Sains dan Matematik gunakan Bahasa Inggeris.

* Bahasa Inggeris memiliki segala macam ilmu.

*Terjemahan ke dalam Bahasa Melayu lambat dan terbatas.

* Untuk segera mencapai matlamat strategi ini gantikan Bahasa Melayu sebagai pengantar dalam Sains dan Matematik dalam kelas tahun satu, dan tingkatan satu mulai tahun 2003.

* Mereka yang menentang keputusannya ini hanya mengutamakan Bahasa Melayu sahaja dan tidak boleh mendakwa sebagai pejuang bangsa dan agama. Mereka tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

Saya berharap saya berlaku adil merumuskan pandangan Tun Mahathir seperti di atas , dan tidak salah mentafsirkannya.

Berdasarkan kenyataan di atas kita patut puji niat dan impian Tun Mahathir. Tak mungkin ada nasionalis
yang tak mahu bangsanya kuat dan setanding dengan bangsa-bangsa lain. Juga tak ada sesiapa yang sehat akalnya menganggap ilmu tidak penting. Sehiingga hari ini masih tak terbukti ada nasionalis atau pejuang-pejuang Bahasa Kebangsaan yang mengatakn Bahasa Inggeris tidak penting sehingga mengutamakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda sahaja. Kalau ada sesipa yang berkata begitu, ia adalah suatu fitnah .

Sekali baca hujah atau alasan-alasan Tun Mahathir nampak meyakinkan dan mudah difahami, dan tidak susah diikuti jalan fikirannya. Tetapi apabila diteliti secara mendalam , apa implikasinya , dan cara pelaksanaannya , maka jalan fikiran Tun Mahathir adalah simplistik , tidak berpandangan jauh dan tidak bijaksana. Selain daripada itu dia berfikir secara hitam putih (binary), iaitu sesiapa yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, bererti mereka mengutamakan "penguasaan bahasa ibunda sahaja". Ini tidak benar kerana yang ditentang ialah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar menggantikan Bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik. Bukan Bahasa Inggeris per se yang ditentang.

Keputusan dan pelaksanaan PPSMI tersebut pada 2003, dilakukan secara tergesa-gesa selepas diumumkan pada September 2002 . Pada mulanya dijelaskan untuk memperkukuh kemahiran Bahasa Inggeris, dan kemudian konon untuk mengajar konsep-konsep sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Kedua-dua alasan ini tidak betul kerana untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris harus diajar subjek itu dengan sempurna, dan untuk mengajar konsep atau idea Sains dan Matematik kepada kanak-kanak pada awal zaman persekolahan adalah lebih berkesan melalui bahasa ibunda masing-masing. Semua ini menunjukkan tidak jelas serta tidak kukuh rationale bagi PPSMI ini kerana andaian atau premis bagi keputusannya sering berubah-ubah. Ia membuktikan pemikiran yang terperinci tidak diberikan bagi memahami masalah pelaksanaannya serta kesan-kesan positif dan negatif yang timbul dalam jangka pendek dan panjang .

Apabila kita bercakap tentang ilmu pula, kita tidak hanya memikirkan ilmu Sains dan Matematik dan ilmu-ilmu lain yang berasaskan Sains dan Matematik saja. Ilmu itu sangatlah luasnya dan bukan yang bersifat kuantitatif saja. Bangsa kita harus berimbang rohani dan jasmaninya, kebendaan dan akhlaknya, kebebasan dan patriotismenya, dunia dan akhiratnya. Ilmu-ilmu sains sosial, kemanusiaan, falsafah, estetika, etika, sejarah, undang-undang, agama dan sejumlah yang lain adalah juga penting bagi kehidupan jasmaniah dan rohaniah yang berimbang.

Dalam zaman globalisasi sekarang Bahasa Inggeris itu memang penting dan harus kita kuasai. Kita juga perlu insaf Bahasa Inggeris itu pula bukan segala-galanya. Tidak semua keperluan ilmu
dapat diberikan olehnya. Bahasa Jerman, Perancis, Mandarin, Jepun , Sepanyol, Rusia dan Arab
juga memiliki khazanah dan ilmu yang kita perlukan bagi kekuatan bangsa. Dalam waktu yang sama kita harus juga fikirkan kepentingan Bahasa Melayu bagi kesinambungan nilai-nilai dan jati diri bangsa kita. Kalau kita abaikan kita akan ditelan oleh prosese globalisasi yang didominasi oleh Bahasa Inggeris dan agenda Amerika yang hendak menyebarkan fahaman demokrasi dan hegemoninya ke atas dunia Islam dan negara membangun. Maka di sinilah diperlukan suatu dasar pendidikan yang membolehkan kita melalui bahasa menyerap kekayaan ilmu dari dunia luar dan dalam waktu yang sama memelihara kelangsungan sosial dan budaya bangsa.

Bagaimanakah ikhtiar kita untuk memanfaatkan bahasa-bahasa antarabangsa dan membina Bahasa Kebangsaan kita dalam satu sistem yang menang-menang dan tidak membantutkan Bahasa Melayu dalam perkembangannya sebagai bahasa ilmu yang moden. Ini persoalannya.
Usaha terjemah menterjemah melalui tenaga profesional manusia dan melalui bantuan komputer harus dijadikan suatu agenda besar negara bagi tujuan memperkaya iilmu dan Bahasa Kebangsaan. Mengadakan dua atau tiga ratus tenaga penterjemah yang ahli dalam bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Mandarin, Sepanyol, Itali, Arab dan Rusia bukanlah suatu kemewahan, tetapi adalah suatu keperluan yang mendesak untuk digembeleng dalam sebuah institusi atau akademi yang moden. Kalau kita boleh bina KLCC, Putrajaya, dan Litar Formula One, adalah aneh kalau kita menganggap cita-cita ini tidak penting. Sudah tiba waktunya kita
memikirkan pembangunan literasi dan akal budi bangsa kita sama pentingnya dengan pembinaan prasarana ekonomi. Di tengah-tengah sekalian pembangunan itu adalah pembangunan manusia. Di sinilah Dasar Pendidikan, Dasar Kebudayaan dan Dasar Ekonomi
harus berhubung kait antara satu dengan yang lain.

***
Isu besar akibat PPSMI ini ialah bukan saja kemerosotan pelajaran ratusan ribu pelajar, terutama anak-anak Melayu di luar bandar, tetapi juga akan hancurnya Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Kita tidak menyedari bahawa Bahasa Melayu itu dari segi jumlah penutur dan kekuatan ekonomi di belakangnya adalah antara kelompok 10 bahasa terbesar di dunia.
Dengan pelaksanaan PPSMI ini bererti kerajaan kita melakukan serangan terhadap Bahasa Melayu; dan dalam beberapa tahun lagi akan membunuhnya sebagai bahasa ilmu di Malaysia.

Siapakah yang berani mengaku bertanggungjawab? Siapakah sekarang yang harus bertanggungjawab membetulkan semula kesalahan yang berlaku?

17 comments:

cikgu_eya said...

Ana salah seorang pelajar dan masih belajar. Ana tidak menolak kepentingan membudayakan bahasa ibunda malah bahasa ibunda juga menjadi kecintaan ana. Namun kepentingan Bahasa Inggeris juga tidak boleh dipandang enteng. Ana sekarang sedang menuntut di salah sebuah univesiti tempatan dan sering membuat rujukan serta pencarian bahan di internet yang lebih bersifat global. Lemah dalam Bahasa Inggeris merupakan kekangan utama yang mengakibatkan pembaziran masa untuk memahami bahan rujukan yang terlalu banyak dalam bahasa tersebut.

Sebenarnya ana kagum dengan negara Jepun yang maju dan dalam masa yang sama, masih membudaya bahasa ibunda. Mungkin kita boleh kaji apa resepi kejayaan mereka untuk diaplikasi di sini... ^^

SATIRA + KACAU said...

Pak Baha YDH: Semoga saya tidak terlalu kurang ajar dan kurang bersopan andai menyebut betapa pencetus idea dan pelaksana dasar tersebut sebagai bodoh dan bangang.

Isunya jelas. Hendak mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris satu hal, hendak mempertingkat kemahiran Sains dan Matematik satu hal.

Kenapa perlu mengorbankan yang satu dengan yang lain?

Atau kerana sayangkan kroni yang sudah berbelanja banyak kerana menyediakan teks dalam bahasa Inggeris?

Satira + Kacau

lutfi said...

Assalamualaikum datuk.
Saya lihat, isu ini sudah dibincangkan dengan gigih oleh ramai pejuang, termasuk datuk. Namun, saya lihat, seolah-olah ada satu 'kubu yang kukuh' dan 'sukar ditembusi' oleh pandangan-pandangan yang rasional. Malah, seringkali, golongan pro-B.M dianggap sebagai chauvinis dan tidak berpandangan terbuka. Termasuk dalam hal ini, mereka difitnah. Mereka dituduh tidak mementingkan bahasa Inggeris seperti yang dato ungkapkan.
Dalam hal ini, saya melihat betapa 'rapatnya' politik dan pendidikan, dalam sistem pendidikan di negara kita. Pada hal, pendidikan merupakan hal yang paling penting, dan tentunya, yang perlu diletakkan pada tempat yang paling bebas.
Tentang pandangan Tun, saya rasa, faham kuantitatif dan materialisme sangat mendasarkan pemikirannya. Dalam pelbagai ucapannya, dia sentiasa menegaskan, sesebuah bangsa hanya akan maju jika seseuatu bangsa itu dapat memajukan ekonomi mereka. Dengan majunya ekonomi, barulah bangsa lain, menurutnya, akan berminat tentang pelbagai aspek bangsa tersebut, termasuk kebudayaan seperti bahasa, sastera dll. Dalam hal ini, saya rasa dia bukan sahaja tidak berapa tepat, malah tidak tepat langsung, kerana yang perlu ditekankan dalam pembentukan suatu bangsa besar ialah soal kebudayaan dan moral. Ini jelas, jika asas ini, moral dan kebudayaan tidak kukuh, di mana bangsa yang mahu dibina itu akan berdiri?
Dalam tamadun besar, kita lihat, tamadun mereka mula retak kerana dasar moral mereka mula keliru. Arnold Toynbee pernah menegaskan hal ini. Malah, kita oleh si barbarian Atillah, yang berjaya meruntuhkan dan menawan Rom, akhirnya dijajah oleh kebudayaan dan ilmu orang Rom? BUkankah bukti sejarah begitu jelas, tetapi berapa ramai daripada kita yang mahu melihat iktibar dan pengajaran, dan berjaya menundukkan keangkuhan dan 'terorisme' yang ada dalam diri sendiri?
Tetapi, nampaknya, Che Det kita seolah-olah tidak sedar akan hal ini. Malah, apakah pemerintah sekarang sedar tentang hal ini, atau saja-saja buat 'mamai'?

kembara_1990 said...

Dato' sila lihat blog saya .. saya seorang peminat sastera (usia baru 18 tahun)

bahazain said...

cikgu eya
Bahasa Inggeris itu walaupun kita tahu setakat working knowledge saja memang cukup membantu. Kalau lebih daripada itu lagi baik, terutama bagi mahasiswa.Itulah yang kita mahu kerajaan tingkatkan pengajaran dan pembelajaran BI sejak di sekolah lagi.Di negara lain BI itu diajar di sekolah menengah sebagi bahasa kedua, tetapi dengan cara yang cukup berkesan supaya dapat memahami rujukan dlm BI. Yang kita bantah ialah ia tidak dilakuakn dengan cerdik sehingga membunuh BM.
Pemimpin politik Jepun, Korea, Cina tumbuh daripada kekuatan tradisi dan nasionalisme budaya politik yang hebat dan canggih. Itu bezanya.

cik satira-kacau,
Kalau sdr bersikap kasar dan lantang, saya tak hairan. Nampaknya perlu seperti kata penyair Usman Awang," kita perlu belajar menjadi kurang ajar". Kata penyair Taufiq Ismail pula, "Kalau guru kencing berdiri; murid akan mengencingi guru." Bagaimana kalau kita kata begini: "Kalau imam berak di kubur; Makmum berak di kubur imam." Usik-usik saja.

lutfi,
Sebenarnya ketaksuban kekuasaan menjadikan seseorang pemimpin itu lama kelamaan menjadi kata Mat Salleh 'complacent' dan 'conceited", dan "arrogant". Kata Lord Acton, "Power corrupts , absolute power corrupts absolutely". Seseorang pemimpin yg terperosok di dalam gaung gelap ini akan mengnyahkan pandangan-pandangan alternatif. Ia menjadi lebih parah apabila pengikut-pengikutnya terperenyuk dalam sindrom ayam belanda.Senario politik yang kacau hari ini adalah akibat daripada apa yang berlangsung sejak 25 tahun yg lalu. Sekarang tanggungjawab moral penulis, seniman, cendekiawan untuk melawan apa jua politik dan politikus yang berkemungkinan menghancurkan teras kebudayaan bangsa kita- terutama BM dan Islam. Ini tanggungjawab kita bersama, bukan hanya sebok menulis puisi,novel cerpen,berdeklamasi, berkongres, dan bermesyuarat. Saya teringat Keris Mas menyebut kpd saya tentang cerita Mr Hua Huwei yang sebok berdiskusi dan bermesyuawarat, akhirnya negara tergadai pada orang lain.

kembara_1990 said...

waalaikumussalam dato'.. terima kasih kerana kesudian dato melihat blog saya. cuma di sini suka saya memperkenalkan nama pena saya ialah kembara_1990 manakala tintapenyair itu merupakan nama blog saya.

wallahu a'lam.

Faizal Zakaria's Blog said...
This comment has been removed by the author.
Faizal Zakaria's Blog said...

saya dari luar bandar.
Kalau mengajar fizik dalam bahasa inggeris, saya tak boleh nak syor ;)


Jemput masuk ke blog saya ;)
http://teampemudaumno.blogspot.com
http://pro-faizal.blogspot.com

lebaijawi said...

As-salamu 'alaykum warahmatullahi wabarakatuh Dato'. Walaupun Ielia (kembara_1990) telahpun mengucapkan terima kasih kepada Dato' namun saya sebagai rakannya jua menghargai komentar Dato' pada blognya itu (kami rakan penulis muda). Suatu pagi, dengan girang ia menyampaikan mesej bahawa Baha Zain telah memberikan komentar pada blognya. Terima kasih kerana menaikkan semangatnya meneruskan usaha memartabatkan persuratan Melayu (saya sempat membaca buku "Memartabatkan Persuratan Melayu" semasa di bangku sekolah). Saya menunggu kolum Dato' dalam Dewan Sastera selepas "Di Mana Editor?".

Danielle_Corleone said...

Bagi saya bahasa alat penyatuan dan alat kemajuan. Bahasa kita perlu dikembangkan dengan seiring bersama-sama dengan Sains dan Teknologi, bukan dibiarkan kosong tak berisi. saya setuju dengan dato dan Satira.

admin said...

Salam Dato,
Disegi hujah,memang terbukti dasar yang dibuat oleh Tun M.ini terlalu lemah,tidak rasional dan dangkal.Malangnya dia mempunyai keazaman politik yang kuat untuk melaksanakannya.Birokrasi kita pula menderita penyakit hamba - saya yang menurut perintah.Intelektual pula terbahagi dua,satu mengampu kerana jawatan dan kedua berani kerana benar.Kelompok yang kedua jumlahnya semakin sedikit.Ramai yang dah bersara.Wilayah pengaruh semakin terhad.Inilah realiti yang berlaku.Nak harapkan UMNO,para pejuangnya sibuk berjuang mempertahankan atau merebut jawatan.Isu bahasa, ikut 'political master'. Impian saya,kalaulah Pak Lah ada sedikit keberanian dan keazaman politik macam Tun M.,kembalikan status Bahasa Melayu kepada asal,isu ini boleh beres.Dato boleh tidur lena lepas ni.Ini hanya impian.

TPJ14

ainon mohd said...

Dato',

Izinkan saya menerbitkan semula tulisan ini di blog saya supaya lebih banyak membacanya.

am said...

salam abang, maaf saya lebih selesa memanggil abang atau cikgu. saya ingin meminta pandangan cikgu pula pasal bahasa pengantar ipt kita kebanyakkanya BI sedangkan kawan saya nak belajar di jepun atau jerman bahasa pengantarnya adalah bahasa asal dan kita perlu kursus bahasa dan lulus baru boleh belajar di sana. apa pandangan cikgu? saya nak cuba jumpa terus kementerian berkenaan nak sampaikan hasrat ini sikit masa lagi.

kikiEy said...

saya tidak mahu komen apa2.

benda ini amat menyusahkan saya.
saya tidak pandai berbahasa inggirs.

cikgu mengajar di depan,sya di belakang terkebil2.

bahazain said...

ASM Sdr Ahmad Azam (Admin)
Sampai hari ini nampaknya tak ada political will baik drpd PM atau Menteri Pelajaran untuk memperbetulkan balik PPSMI. Tak apalah, pilihan raya akan datang NGO dan gerakan-gerakan bahasa kenalah diatur dari sekarang untuk memutuskan sikap politiknya terhadap status kebahasaan nasional.

Sdr danielle
Memang Bahasa Kebangsaan kita harus menjadi bahasa tamadun bangsa
yang memiliki ilmu kemanusiaan, sains , teknologi dan persuratan, Dengan demikian baharulah ia menjadi bahasa tamadun moden.

Sdr am
untuk belajar ke Jepun atau ke Jerman saya cadangkan sdr dan teman meminta nasihat daripada Japan Foundation yang ada perwakilannya di KL, dan Goethe Institute yg berpejabat di jalan U Thant, iaitu sederet dengan Kedutaan Amerika mengadap jalan raya di seberang Pesuruhjaya Tinggi Singapura.

Sdr kikey
Nasihat saya jangan tinggalkan Bahasa Inggeris. Terus pelajari untuk sekurang-kurangnya boleh membaca dan memahami percakapan. Sdr masih sangat muda usia. Barangkali boleh juga ambil kurusus
bahasa Jerman atau Mandarin.

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

LAMA TAK SEBUT NAMA. SALAM
YA... BETUL, TAPI KALAU ORANG MELAYU SAJA GUNA BM. HABISLAH. DALAM SEKTOR AWAM PUN BRAPA RAMAI ORANG MELAYU TAK NAIK PANGKAT KERANA LEMAH BAHASA INGGERIS. DR M TU BETUL... KITA KENA KORBAN DULU. JANGAN NAMPAK JANGKAPENDEK. KITA BERSAING DENGAN ORG CINA DAN INDIA YANG GUNA INGGERIS DAN TAK MAU GUNA BM.SAYA TENTANG NASIONALISME MELAYU YANG TIPU MELAYU. BERAPA RAMAI MELAYU YANG TERKORBAN KERANA INI. KITA BELAJAR BM, ANAK DIA SEMUA BELAJAR DI LUAR NEGARA... DAN HEBAT BAHASA INGGERIS NYA.CUKUPLAH TIPU DIRI. MELAYU BERKATA BENARLAH.........

bahazain said...

ASM Sdr otai
SAYA BERGEMBIRA MENYAMNBUT ULASAN SDR OTAI( OTAK TENANG DAN INOVATIF), TETAPI SDR JUGA HARUS BEROTAK WARAS DAN TERBUKA, BARULAH KITA AKAN MENEMUKAN KEENARAN. kOMENTAR SDR ITU MENGANDUNGI BANYAK SEKALI ANDAIAN YG LEMAH ATAU SILAP. PERTAMA-TAMA TAK ADA SESIAPA YG BEROTAK SIHAT MENOLAK BAHASA INGGERIS. 2) ORANG CINA DAN MALAH INDIA PUN MENOLAK PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS DLM BAHASA INGGERIS. 3) DR MAHATHIR ITU BUKAN BIJAKSANA DLM SERIBU SATU MACAM HAL.DIA PUN HANTAR ANAKNYA BELAJAR KE LUAR NEGARA, TETAPI APA SALAHNYA. TAK ADA SESIAPA YG MENENTANG ORANG MENUNTUT ILMU DI MANA SAJA. OLEH KERANA OTAI PEMINAT NOMBOR WAHID DR MAHATHIR , OTAI TAK NAMPAK KELEMAHANNYA SBG MANUSIA BIASA. 4)APA YG DITENTANG OLEH NASIONALIS MELAYU DI DALAM & DI LUAR UMNO BUKAN BAHASA INGGERIS, TETAPI PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS SEBAGAI PENGANTAR SAINS DAN MATEMATIK; SATU CARA BERFIKIR YG MELESET UTK MENINGKATKAN KEMAHIRAN BERBAHASA INGGERIS. SATU KEKACAUAN PIDAGOGI. 5) SDR SANGAT KELIRU TENTANG KAITAN ANTARA KEMAHIRAN BERBAHASA INGGERIS DENGAN SOAL PENGUASAAN ILMU DAN KEJAYAAN DLM HIDUP RAKYAT. ILMU BOLEH JUGA DIPEROLEHI MELALUI BAHASA LAIN (CONTOH ILMU AGAMA MELALUI BAHASA ARAB ETC). KEJAYAAN BERETI KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT YG BERTERASKAN AKIDAH, IBADAT, DAN AKHLAK, BUKAN SEKADAR b.iNGGERIS, MATEMATIK DAN SAINS.KONSEP KEJAYAAN YG DUNIAWI DAN KEBENDAAN INILAH YG TELAH MEROSAKKAN PERJUANGAN POLITIK MELAYU PERSIS PD HARI INI. DEMIKIANLAH ANTARA KEKACAUAN LANDASAN PEMIKIRAN OTAI YG TAK MUNGKIN MENEMUKAN KEBENARAN JAWAPAN BAGI ISU INI SELAGI TIDAK DIPERBETULKAN. sAYA JUGA ADA MEMEBERI JAWAPAN LAIN DLM BLOG OTAI KALAU-KALAU TAK BERKESEMPATAN MELAWAT KE LAMAN INI LAGI.

SILALAH KITA TERUSKAN DIALOG YG DIALEKTIK INI KERANA KITA SAMA-SAMA NASIONALIS YG BERNIAT BAIK KPD BANGSA KITA, CUMA CARA KITA BERFIKIR TAK SAMA.