Malam itu (Jumaat 9 Januari 2009) ada bulan tergantung di langit. Ada lampu menyuluh ke pentas. Ramai penyair ( Dr Ibrahim Ghafar, Shamsuddin Othman, Khalid Salleh, Dr Ahmad Razali, Daeng Ramliakel, Dato' Dr Kemala, Puzi Hadi, dan kawan-kawan penyair lain termasuk suara-suara lembut tegas penyair wanita) mendeklamasi puisi yang sendat berisi perasaan getir, marah dan dendam terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Yahudi Zionis terhadap ribuan rakyat Palestin di Gaza. Lebih 35 % kanak-kanak kecil tewas dan cedera. Lama sebelum tragedi ini , Gaza memang dalam krisis : disekat sempadannya, dihadkan makanan, air dan kebebasan. Gaza adalah sebuah kem tahanan manusia yang besar, untuk lebih satu juta jiwa. Dalam kemelaratan itu penduduknya dihentam dengan bom dari langit, tembakan dari lautan , dan bedilan peluru meriam dari kereta kebal di daratan sejak 27 Dis. 08 sehingga hari ini 12 Jan.09. Mereka juga dibom dengan fosforus putih yang boleh membakar kulit hingga ke tualng. Dahsyat dan kejam.
Antara dengar dan tidak dengar suara bacaan puisi dengan jeritan kemarahan, dan juga ayat-ayat al-Quran yang disuarakan, dalam hati saya mengharapkan agar Tuhan mendengar dan menerima doa yang dibaca pada pembukaan Malam Baca Puisi Pena itu oleh Ustaz Azman ( pengarang muda yang prolifik), dan sahutan ameen kami agar rakyat yang tak berdaya terlindung daripada pembunuhan yang ganas tak berperikemanusiaan
Terlintas di kepala juga bagaimana kalau kita rakyat Malaysia di serang oleh Singapura dengan kekuatan yang sehebat itu ? Bolehkah kita degil bertahan dalam suasana kurang makanan, minuman, rawatan , perubatan, dan alat senjata? Bolehkah kita tabah berani melawan sampai ke titisan darah terakhir tanpa menyerah; berhari-hari dan bertubi-tubi diserang dari atas udara, laut dan daratan, dan menyaksikan isteri , suami dan anak-anak kita putus kepala, kaki atau tangan? Bayangkanlah. Janganlah kita leka hidup dalam kesenangan dan keselesaan kerana Tuhan akan menduga orang yang lalai, dan juga alpa kepada-Nya.
Saya juga terbayang bagaimana kalau Masjid al-Aqsa , masjid ketiga mulia bagi umat Islam, dibom dan dibedil hingga ranap oleh Yahudi Israel. Saya masih ingat meletakkan dahi saya , sujud di permaidani yang menutup lantai marmarnya sewaktu menziarah Baitulmuqadis beberapa tahun yang lalu. Berada terpencil diawasi mata tentera Yahudi. Aneh!
Bilakah seluruh masyarakat dan umat Islam benar-benar akan bersatu melawan Israel dan Amerika yang menjadikan Israel ( proksinya ) menjinakkan Arab di Timur Tengah, dan alat menentang Islam ? Marilah kita ajar dan sedarkan anak-anak kita tentang serjarah Islam; apa maknnya masjid al-Aqsa kepada kita , kepada Israk dan Mi'raj, dan suruhan-suruhan Tuhan melalui Nabi-Nabi-Nya.
Di samping melengkapi ilmu dan kepandaian kepada anak-anak dan generasi muda , ibu bapa nampaknya perlu menanamkan sikap berani menentang musuh atau lawan, dan semangat juang yang degil serta gigih kalau bangsa kita akan survive pada masa depan. Pendidikan ilmu dan kemahiran sahaja tidaklah cukup kalau bangsa kita pengecut dan bacul memperjuangkan maruah dan hak bangsa. Mereka akan hanya bagus menjadi manusia yang tamak, dan memikirkan kemewahan dan survival diri sahaja. Soalnya apakah metode dan pendekatan budaya pendidikan yang diperlukan bagi semangat juang itu? Ini bukan kerja individu, tetapi suatu filsafat dan gerakan nasional. Inilah persoalannya yang perlu kita putuskan terlebih dahulu, yakni falsafah kepimpinan nasional.
Ah! saya sudah pergi terlalu jauh dihanyutkan oleh suara-suara garang puisi pada malam hari. Saya pulang hampir jam 12 tengah malam selepas bertukar sembang dan pandangan dengan sekelompok pengarang muda yang masih segar bugar dan kaya dengan impian masa depan.
Hari ini, mereka itu, adalah masa depan kita. Lalu datang sebuah puisi:
DARI TEL AVIV KE WASHINGTON
( untuk para mujahid yang terbunuh berperang)
Dari Tel Aviv ke Washington
Sebuah bisikan:
" Serangan dari udara."
"Silakan ! ".
Dari Tel Aviv ke London
Sebuah pesan:
"Tembakan meriam dari lautan.
"O.K. ! "
Dari Tel Aviv ke Paris
Sehelai nota:
" Bedilan meriam kereta kebal di daratan."
"Oui ! ".
Dari Tel Aviv ke Paris, ke London dan Washington
Seribu konspirasi, pura-pura dan dusta
Terkeliru dunia, tersihir kita dengan kata-kata.
Kemanusiaan itu unutk yang bersenjata
Kehidupan itu untuk Barat yang perkasa.
Kalau warna kulitmu sawo matang
Kalau kulitmu kuning atau hitam
Darah yang mengalir di bawahnya tak berharga
Warnanya bukan merah, tetapi peduli apa
Lebih murah daripada tinta tanda tangan Presiden Amerika
Untuk membasuh dosa-dosa Zionis Israel
Yang menembak ibu-ibu dan anak-anak di kepala.
Darah yang kering di butir-butir pasir dan permukaan bumi
Jadi saksi manusia waja bertahan di buminya sendiri
Hanya doa dan dinding-dinding batu tempat berkubu
Kematian, bukanlah kekalahan yang abadi
Percayalah,
Di sana ada syurga yang sedang menanti.
Amin ! Amin.
bAHAzAIN
12 jANUARI 2009
6 comments:
Dato' Baha, saya sanjungi usaha para penyair melakukan acara baca puisi anti-perang. Cuma sedihnya gema jeritan dan laungan amarah itu berlegar sekadar di kawasan Rumah PENA semata. Mungkin boleh difikirkan acara baca puisi di tengah hingar bingar kota digabung dengan seni performans anak muda misalnya - supaya dapat diperpanjangkan ke tengah masyarakat yang masih hanyut dengan MTV dan lazatnya KFC. Oui?
saya terkesima.. dan tersentuh.
ku panjatkan Doa kepada Tuhan agar diberi kekuatan kepada muslimin muslimat seantero dunia supaya mampu menentang kezaliman melampau ini.
Wahai Guru Besar Haneem
Saya setuju sangat penyair, pelukis dan sesiapa yg berminat bergabung tenaga dan bakat melakukan manifestasi suara/visual. Saya akan cuba gerakkan PENA . Permintaan saya sdr ambil inisiatif (barangkali bersama RA Fine Arts). Venuenya kita tentukan kemudian- di depan Kedutaan US;di KLCC , Galeri Nasional?
Sdr Valsa nine
Mana hati yang tidak akan tersentuh, Setiap kali menonton wajah anak-anak yg tergeletak tak bernyawa, kita menagis dalam diam.
Wahai Guru Besar Haneem
Saya setuju sangat penyair, pelukis dan sesiapa yg berminat bergabung tenaga dan bakat melakukan manifestasi suara/visual. Saya akan cuba gerakkan PENA . Permintaan saya sdr ambil inisiatif (barangkali bersama RA Fine Arts). Venuenya kita tentukan kemudian- di depan Kedutaan US;di KLCC , Galeri Nasional?
Sdr Valsa nine
Mana hati yang tidak akan tersentuh, Setiap kali menonton wajah anak-anak yg tergeletak tak bernyawa, kita menagis dalam diam.
Dato Baha,
Kami sebenarnya bukan lagi muda. Usia yang menuju negeri abadi itu tidak mengenal tua atau muda. Kemanusiaan adalah selemah-lemah iman kerana kami tidak diizinkan memiliki senjata untuk berjuang. Darah kami juga tidak dihargai oleh negara sendiri untuk berkongsi derita. Oleh itu, inilah yang termampu hanya berkongsi derita dengan kata-kata sebaris dua puisi.
Kamilah bangsa selemah-lemah iman yang hanya bersimpati dengan hati tidak perang dengan darah dan jihad.
Kemanusiaan mengajar kami menjadi lebih berani bermain denga kata-kata.
Amin.
slm..
Untuk mengulas tentang Palestin, saya rasa agak tepi. Tapi hati luka yg tak berdarah ini betul2 mencucuk emosi.. Perjuangan demi perjuangan hanya menunggu harapan dari soldadu syurga.
Sabda Tuhan:"Kun Fa Yakun" - duduk berdoa supaya tentara bergajah datang lagi.
alFatehah buat yang syahid-korban.
duwenk
http://duwenk.blogspot.com
Post a Comment