Wednesday, 21 January 2009

GRAKAN MENGEMBALIKAN KEDAULATAN BAHASA KEBANGSAAN

"HAPUSKAN PPSMI:
KEMBALIKAN BAHASA KEBANGSAAN"



Malam tadi khabarnya satu mesyuarat telah diadakan di Shah Alam dengan dipengerusikan oleh Dato' Dr Hassan Ahmad , dan dihadiri banyak Badan Bukan Kerajaan, termasuk badan pendidikan Cina , memutuskan akan diadakan perhimpunan dan penghantaran memorandum kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong, membantah PPSMI ( Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains) di sekolah-sekolah sekarang.

Golongan penulis di bawah naungan GAPENA akan juga mengaturkan satu acara yang bertujuan sama pada bulan Februari dengan menghimpun penulis-penulis dari seluruh negara membantah penerusan PPSMI oleh pihak kerajaan.

Dengarnya ada lagi kumpulan lain yang sedang merancang menentang sikap ketidakpedulian kerajaan terhadap suara-suara rakyat kecil ini.

Sebenarnya semua bantahan, demonstrasi dan protes ini tidak seharusnya terjadi sedemikian rupa kalau pihak kerajaan telah menghadapinya dengan tulus ikhlas dan menunjukkan respons yang jujur terhadap rayuan, permohonan dan pandangan yang rasional serta menasabah daripada ramai pihak. Walaupun mereka tidak mempunyai pengaruh atau kekuasaan politik, tetapi cukup rendah hati dan tegas memberikan kritikan. Patutkah suara-suara budaya yang ikhlas ini dipandang sepi dan cuba ditenggelamkankan pula dengan beberapa usaha politik yang propagandistik
seperti mempengaruhi kelompok -kelompok profesional pendidik, ibu bapa, dan
jentera media untuk mengeluarkan kenyataan bagi melawan suara anti-PPSMI.

Adalah sangat malang suatu isu kebahasaan dan pendidikan dalam rangka pembangunan tamadun bangsa yang sangat penting dan jelas masalahnya tidak segera diselesaikan secara berani dan bijaksana. Seluruh psycholgi dan sikap mental bangsa moden kita seolah-olah terpesona dengan kilauan pembangunan
mega, kebendaan dan teknologi yang nampak pada pandangan, yang tangible dan visible, sehingga memandang remeh unsur-sunsur budaya kerohanian, intelektual dan kreatif , dan warisan sejarah bagi membangunkan satu umat manusia yang yakin akan identiti dirinya, beradab dan teguh jiwa raganya.

Kita tak boleh menyalahkan sesiapa. Destini sejarah masyarakat dan budaya kita begitu terlanjur menyebabkan kita semua terhantar ke dalam satu landskap minda yang superficial dan nipis , tetapi kemelut jiwanya. Walau bagaimana pun pemimpin politik harus berasa bertanggungjawab bahawa di dalam kemelut ini mereka telah mengambil sikap tidak mesra ilmuwan dan cendekaiawan, dan malah memisahkan mereka daripada menjadi sebahagian daripada rakan perbincangan ikhlas dalam dialog serta proses pembinaan negara.

Masakan masa depan kita itu terus kejam kepada sejarah, bahasa dan budayanya?
Tentulah Tuhan senantiasa menyayangi umatnya yang tak patah usaha, sabar dan tawakal. Belajar daripada sejarah juga , tokoh politik boleh datang dan pergi, ilmuwan dan cendekiawan yang di luar lingkaran kekuasaan semasa, akan relatif lebih kekal daripada satu era politik ke era politik yang lain. Dalam situasi inilah ilmuwan dan cendekiawan memiliki pengaruh yang lebih tahan. Jadi jangan berputus asa.





A

5 comments:

Hasmora said...

Assalamualaikum Dato'

kisah benar yg berlaku di UM

alangkah nihil kata-kata seorang pensyarah saya bergelar Dr. "cikgu2 siapa, nak tentang PPSPI (dia pun tak reti sebut), cikgu2 ijazah pun tak dapat lagi. yg cikgu nak bantah tu pasai apa? yang buat dasar ni semua profesor2 belaka... bla..bla.."
-saya dgn sorang kawan panas jer.. saya sekuliah dgn bakal2 cikgu sains (major tak sama-kimia, bio dan matematik)
skrg tak nampak kesan.. org kita mmg dah kena baru terngadah kan? bagus betul peribahasa org tua-tua kita...

bahazain said...

Sdr Hasmora
Dalam setiap persoalan selalu ada yg pro dan yg kontra. Seorang Dr Pensyarah pun boleh memihak bersetuju atau menolak PPSMI. Prof Dr Shahrir (Matematik), Prof Dr Yusuf (Fisik), dan Prof Emeritus Dato' Dr Ishak Haron (Pendidikan), dan Prof Di Raja Ungku Aziz menolak PPSMI. Yang memutuskan dasar PPSMI ini byukan para Prof., tetapi mantan PM Mahathir yg lupa bahawa Angkasawan kita itu pun lepasan MRSM dan hasil sistem kebangsaan sebelum PPSMI.

bahazain said...

Sdr Hasmora
Dalam setiap persoalan selalu ada yg pro dan yg kontra. Seorang Dr Pensyarah pun boleh memihak bersetuju atau menolak PPSMI. Prof Dr Shahrir (Matematik), Prof Dr Yusuf (Fisik), dan Prof Emeritus Dato' Dr Ishak Haron (Pendidikan), dan Prof Di Raja Ungku Aziz menolak PPSMI. Yang memutuskan dasar PPSMI ini byukan para Prof., tetapi mantan PM Mahathir yg lupa bahawa Angkasawan kita itu pun lepasan MRSM dan hasil sistem kebangsaan sebelum PPSMI.

yana said...

Salam Dato,
Jika dahulu,semua bangsa akan berlumba-lumba mendalami B.Melayu kerana syarat untuk mendapat pangkat 1 SPM ialah kepujian didalam BM. Tapi kini, sistem terbuka telah dilaksanakan, ditambah lagi dengan perlaksanaan PPSMI, maka BM telah menjadi semakin terasing. Ramai yang tidak lagi membaca karya sastera Melayu kerana akal fikiran telah difokuskan untuk mencapai kecemerlangan didalam Sains & Matematik. Sehinggakan ada rakan saya (guru BM dan Sejarah) yang sanggup menghantar anak beliau ke kelas tuisyen BI, tetapi apabila ditanya tentang perkembangan subjek BM, dijawabnya, ahh...BM senang saja..aku pun boleh ajar..BI ini penting..Nah!jikalau seorang pendidik yang seharusnya mendidik anak bangsa memahami dan mencintai BM berfikiran begitu, bayangkanlah cara bagaimana diajarnya pelajar beliau di kelas. Saya bimbang..yang dikejar tak dapat, yang dikendong jatuh berciciran..

perewa said...

bismillah sebagai permulaan kalam,
memuji khaliq seluruh alam.

semalam saya pergi ke perhimpunan depan sogo, yuan ada bersama teman setaman yang lain? kami anak muda memperjuangkan apa yang diperjuangkan. sama2 kita berpegang tangan menyambung generasi bersatu padu, bukan untuk menentang apatah lagi memberontak cuma sekadar menjentik jiwa mereka agar tidak terlupa kata2 tongkat warrant..

biar beribu bahasa kita berbicara,
indah lagi bahasa bonda.

jangan lupa 7 mac 2009 ye tuan, saya dan teman tidak hidup lagi ketika keranda 152 diusung dulu. tapi sekarang kami yang akan dimedan hadapan, inilah sedikit sokongan kami kepada dunia sastera dan bahasa melayu