Sekarang sudah sah Barrack Hussin Obama dipanggil Presiden Sastera oleh kalangan
pengarang di Amerika. Demikian kata Chicago Tribune. Obama bukan sahaja menggunakan ungkapan bahasa yang cantik di dalam ucapan-ucapannya di depan khalayak ramai, tetapi dia juga menulis buku di dalam kesepiannya. Perihal Presiden Amerika yang mahir menulis tentang idea demokrasi dan kebebasan rakyat di dalam bahasa Inggeris telah pernah juga dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Presiden Roosevelt. Mereka bukan sahaja melahirkan retorik sensasi di atas pentas untuk mempengaruhi pendengar memberikan undi esok atau lusa, tetapi cuba memasuki hati nurani dan kesedaran pendengar tentang permasalahan kehidupan yang asas dan manusiawi dalam bidang keadilan, kebebasan, dan kesejagatan.
Keistemewaan Obama ( sebagai Presiden Sastera) dalam kreativiti ucapannya menjadi semakin menonjol apabila dibandingkan dengan Bush yang dianggap sebagai Presiden Poster, yang hanya membaca ucapan-ucapan bertulis yang dikarang oleh orang lain( speech writer/ghost writer atau penulis hantu/penulis halimunan). Lebih teruk lagi Bush dikatakan tidak membaca buku, malah berbangga tentang perihal tidak membaca buku.
Begitulah kalau orang sudah menyampah (atas perbuatan dan kejahatan sendiri)
macam-macam orang kata apabila sudah terlucut daripada kerusi negara.
Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin kita? Siapa yang boleh dikatakan sebagai Perdana Menteri Sastera ? Jawabnya tak ada. Kalau ada pun yang menulis , bahasanya tidak cantik atau hebat, dan tidak menambat perasaan , apatah lagi untuk diingat dan dihafal. Mereka hanya menulis karangan biasa hari-hari untuk maklumat atau idea tentang peristiwa atau isu semasa yang topikal, dan tidak menghubungkannya dengan makna kewujudan insan, kemasyrakatan dan kenegaraan di pentas kehidupan yang lebih luas serta jauh. Apa yang lebih lucu dan jenaka lagi (sebenarnya tidak lucu dan bukan jenaka), pemimpin-pemimpin , Perdana Menteri ( kecuali allahyarham Tun Razak), dan Menteri-menteri kita tidak berasa perlu memperjuangkan dengan penuh iltizam bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengucapan yang kaya, sebagai bahasa budaya, bahasa ilmu dan intelektual. Juga apabila berucap di depan khalayak atau di depan media bercampur aduk bahasa Melayu dan Inggeris kerana ramai antara kita telah dilatih berfikir dan mengucapkan fikiran dalam bahasa asing itu sewaktu di sekolah.
Itulah sebabnya bahasa Melayu kita tidak indah, dan tak berdaya menambat fikiran; bahasa Inggeris kita pula tidak halus dan canggih. Kita menjadi serba tanggung, kiri tidak dan kanan pun tidak, kerana menganggap peranan bahasa itu sebagai sepatu yang dipakai setiap hari ke tempat kerja. Mungkin sepatu kita lebih cantik dan mahal daripada bahasa yang kita gunakan.
Bahasa bukan sahaja menyampaikan maklumat dan fikiran, tetapi membentuk idea, mendidik fikiran dan nilai-nilai. Inilah rahsia dan amanah bahasa yang dianugerahkan oleh Tuhan bagi bangsa- bangsa di dunia.
Sewaktu mengirim jawapan terhadap pandangan seorang seniman tentang hakikat puisi, saya memetik fikiran Paulo Coelho, pengarang Brazil yang terkenal, yang mengatakan bahawa setiap insan patut memiliki dua bahasa: bahasa masyarakat, dan bahasa tanda. Satu untuk berkomunikasi dengan orang lain; dan satu lagi untuk membaca pesanan Tuhan.
Catatan: Saya sedang menunggu terjemahan buku Obama ( Audicity of Hope ) yang diusahakan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.
9 comments:
Dato',
Lantikan Obama di USA seperti tanda dikirimkan ke bumi sebagai pendamai kerakuasan dan keangkuhan. Moga dengan lidah sastera yang kita ketahui adalah suara kemanusiaan itu, akan dapat mengubah dunia meskipun terlalu awal untuk ditebak.
Salam, saya juga sedang menanti adakah Institut Terjemahan Negara akan menterjemah buku Nietzsche and the Modern Crisis of the Humanities karya Peter Levine?
SdrSham
Melihat pada tindakan2 dan ucapan awal Obama, nampaknya dia cuba mencari perdamaian dengan negara Islam, walaupun masih mengiktiraf Israel.Kalau dia terus-terusan bersikap neutral dan tidak komit pro-Israel mungkin hidupnya berbahaya juga.Memang orang yg berjinak dengan sastera dan ilmu masih ada sauh yg tidak terlalu menghanyutkan ke lautan yg ganas.
Saya akan cuba panjangkan pertanyaan sdr kpd ITNM. Sebenarnya negara kita patut ada ITNM sebesar DBP bagi kepentingan lalu lintas ilmu serta budaya antara kita dengan budaya-budaya dunia.Perkara ini ada saya sebut dlm artikel jawapan saya kpd Mahathir terhadap blognya (masih belum saya terbitkan).
SdrSham
Melihat pada tindakan2 dan ucapan awal Obama, nampaknya dia cuba mencari perdamaian dengan negara Islam, walaupun masih mengiktiraf Israel.Kalau dia terus-terusan bersikap neutral dan tidak komit pro-Israel mungkin hidupnya berbahaya juga.Memang orang yg berjinak dengan sastera dan ilmu masih ada sauh yg tidak terlalu menghanyutkan ke lautan yg ganas.
Saya akan cuba panjangkan pertanyaan sdr kpd ITNM. Sebenarnya negara kita patut ada ITNM sebesar DBP bagi kepentingan lalu lintas ilmu serta budaya antara kita dengan budaya-budaya dunia.Perkara ini ada saya sebut dlm artikel jawapan saya kpd Mahathir terhadap blognya (masih belum saya terbitkan).
Salam Dato.
Saya rasa, sesiapa pun yang menjadi Presiden Amerika Syarikat - harus genius berpuluh kali ganda. Lebih-lebih lagi, terhadap golongan Yahudi, yang terbukti mempunyai kekuatan yang melobi yang kuat. Lebih-lebih lagi, semua media besar, yang membetuk perspektif dan pendapat umum di negara itu, dimiliki Yahudi. Jadi, saya tidak terlalu positif, biar siapapun yang menjadi Presiden.
Tentang ucapan yang penuh estetika dan sastera, saya rasa, mereka menghayati dan membaca sastera. Malah, ilmuwan mereka (di Barat), yang terlibat dalam bidang bukan sastera pun, bila kita baca tulisan mereka, mereka mengungkapkan pengalaman kemanusiaan dalam karya-karya sastera agung - dan menghubungkannya dengan pengalaman mereka dalam bidang mereka.
Tentang ITNMB - saya setuju dengan pendapat dato - bahawa kita memerlukan ITNMB yang sebesar DBP. Cuma, saya lihat, ITMNB banyak memfokuskan penterjemahan buku-buku b.Inggeris sahaja. Kenapa tidak terjemahkan buku-buku klasik Islam daripada bahasa Arab. Sebagai contoh, karya Ibn Miskawaih, Al-Farabi belum ada diterjemahkan. Juga al-Ghazali, Tahafut al-Falasifah, belum ada lagi dalam bahasa Melayu. Malah, saya kira, buku S. Naquib dan S. Husein Al-Attas, yang ditulis dalam bahasa Inggeris pun belum didapati dalam bahasa Melayu.
Mungkin, skala penterjemahan harus lebih luas, merangkumi karya klasik dan moden, merangkumi hasil pemikiran ilmuwan yang menggunakan pelbagai bahasa seperti Urdu, Parsi, Arab, Mandarin, Perancis, Belanda, German, dari Timur dan Barat.
Apapun, itu hanya cadangan.
Salam Dato.
Anwar Ibrahim puitis bahasanya...bukan?
walaupun saya bukannya penyokong Anwar Ibrahim..
Sdr Lutfi
Tentang Israel, Yahudi dan Amerika yang menjadikan Palestine lebih tertekan adalah juga kerana sikap bangsa-bangsa Arab yg masuk bawah ketiak Amerika. Memalukan umat Islam. Di sini saya lihat Melayu Malaysia/Indonesia lebih bagus.
Tentang ITNM memang ia harus memperluas skop terjemahannya merangkumi moden/klasik dan Timur/Barat. Ini satu institusi yg sangat penting bagi pembangunan ilmu dan budaya intelektual, tetapi hanya baru-baru ini saja dapat bergerak sedikit selesa. Selama lebih satu dekad ia dibiarkan hendak tenggelam atau timbul terserah pada diri sendiri sedangkan institusi spt ini lebih banyak merupakan pusat kos dan perlu disubsidi 70-80%. Idea sdr saya akan sampaikan ke pengetahuan ITNM.
Buat ucapan yang mudah difahami semua :-)
Suara generasi Baru
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
http://pro-faizal.blogspot.com
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com
Semangat Baru UMNO >> http://Blog1Malaysia.blogspot.com
Salam Dato'.
Sedih bila ada yang melihat isu Bahasa Melayu hanyalah isu picisan yang tidak seharusnya diperbesar-besarkan. Mereka mengatakan banyak lagi isu besar yang harus diambil kira berbanding dengan masalah bahasa. Argghh..bagaimana isu yang melibatkan jiwa sesebuah bangsa itu dipandang begitu enteng? Dimanakah letaknya jiwa mereka itu? Andainya semenanjung ini akan diserang musuh, sudah pasti kita tewas sebelum waktunya kerana masing-masing tidak tahu apakah arah sebenar perjuangan mereka akibat kekosongan jiwa!
Post a Comment