Kenyataan rasmi kerajaan ( 8 Julai 2009) yang diungkapkan melalui TPM/Menteri Pelajaran telah jelas memberitahu penduduk Malaysia bahawa BM dimartabatkan [ sebenarnya dimartabatkan kembali] ; dan BI dimantapkan [ sebenarnya dimantapkan lagi ] dengan memansuhkan PPSMI. Pada dasarnya kita semua sokong kerana ini keputusan yang menasabah
dan adil walaupun tidak mampu memuaskan perasaan dan fikiran semua pihak.
Ramai pula ibu bapa, dan rakyat biasa yang tidak mendalami isu PPSMI ini bimbang akan berlakunya kemerosotan berbahasa Inggeris apabila PPSMI bertukar menjadi PPSMM (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalan bahasa Melayu). Kebimbangan ini wajar kerana ramai rakyat percaya bahawa untuk maju dalam pelajaran dan dapat pekerjaan sebagai pegawai tinggi kerajaan atau berjaya dalam perniagaan mesti lulus dan pandai berbahasa Inggeris.
Jadi tidak hairanlah ramai yang beranggapan bahawa pejuang yang menentang PPSMI ini anti-BI. Ini suatu persepsi yang salah sama sekali; dan ia diperkuatkan oleh propagandis yang menyokong apa saja yang diputuskan oleh pemimpin-pemimpin politik yang disokongnya. Pejuang dan rakyat pencinta BM janganlah pula mengulangi sikap dan perbuatan yang keliru itu dengan menuduh mereka yang tak setuju dengan pemansuhan PPSMI ini anti-BM walaupun ada individu serta pihak tertentu yang berfikiran buruk seperti itu.
Sangatlah kena pada tempatnya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memikirkan pelbagai pendekatan serta metode untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran BI, terutama di kampung-kampung yang ketinggalan pembangunan sejak merdeka. Demokrasi dan keadilan pendidikan harus diterjemahkan dalam keadilan sosial; keadilan sosial harus mencerminkan keadilan tradisi dan kebudayaan. Hasrat kerajaan untuk memperluas peluang dan meningkatkan mutu penguasaan BI di sekolah akan dapat mententeramkan kebimbangan ibu bapa; dan sekali gus menyelesaikan metode PPSMI yang tidak rasional yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara sejak 2003.
*****
Bagaimana pula masa depan BM? Apakah dengan memansuhkan PPSMI segala masalah kemajuannya sebagai bahasa ilmu terselesai dengan sendirinya ? Apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan " memartabatkan BM"? Perkataan " martabat" membawa erti kedudukannya pada pandangan orang berada pada tempat yang tinggi, ada pangkat atau darjatnya. Biasanya ia membawa sekali nilai-nilai maruah dan kehormatan kerana ada sifat-sifat amanah, berguna, berani atau memiliki nilai-nilai yang disukai masyarakat.
Apakah BM ini mempunyai martabat? Dalam sejarah, kebudayaan dan tradisi memang ia mempunyAi kedudukan, tempat dan darjat yang hebat. Itu dahulu, dan hari ini ia termaktub pula dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Malaysia (Perkara 152). Jadi dari segi martabat atau status rasminya tak ada persoalan lagi.
Bagaimana pula maruahnya? Ada orang yang berpangkat besar dan bergelar itu dan ini, tetapi tak amanah, perasuah, pemeras, penipu atau tak guna pada orang ramai sehingga dia tak dihormati; tak ada maruah kata orang. Jadi inilah kekhuatiran kita terhadap BM: ada status, tetapi mungkin orang tak pandang tinggi dan tak hormat kerana tak banyak manfaatnya bagi menghadapi zaman moden, zaman industri dan global.
Jadi marilah kita sama-sama berfikir apa selanjutnya mesti diperjuangkan untuk memberi maruah kepada martabatnya yang rasmi . TIDAK GUNA HANYA MENYEBUT UNTUK MEMARTABATKANNYA SAHAJA. ANDAINYA SAUDARA MEMPUNYAI APA-APA CADANGAN MOHONLAH SAMPAIKAN. KITA CUBA HIMPUNKAN DAN SAMPAIKAN KEPADA PIHAK BERKENAAN UNTUK DIPERTIMBANGKAN-- TERIMA KASIH JUA.
11 comments:
Assalamualaikum Dato',
Begitulah lumrah nasib bahasa Melayu sekarang. Walaupun keputusan PPSMI telah diumumkan, masih ramai yang mengeluarkan kata-kata tentangan bernada amarah. Tambah jelik apabila nada-nada itu muncul daripada orang Melayu sendiri.
Memang payah hendak menjelaskan kepada para pejuang PPSMI yang sering menganggap pejuang dan penentang PPSMI sebagai anti-bahasa Inggeris. Apa-apapun, teruskan usaha dan perjuangan Dato' yang sudah pun tercatat dalam sejarah hidup Melayu kini untuk dipelajari generasi hadapan.
Salam, Datuk Baha.
Ramai yang tidak tahu bahawa segenap lapisan masyarakat bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu. Ramai yang menyangka semua itu adalah tanggung jawab para pejuang bahasa sahaja. Maka bagi mereka, hanya pejuang bahasa sahaja yang perlu menggunakan bahasa dengan betul (seorang penyokong PPSMI pernah mengatakan begitu kepada saya).
Saya suka mencadangkan agar penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tidak bercampur-campur dimulakan di semua saluran media cetak dan media elektronik. Semua drama dan filem Melayu yang gagal menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tidak bercampur-campur dilarang penyiarannya. Begitu juga dengan siaran iklan. Bukan sahaja penggunaan bahasa, bahkan etika dan adab juga harus diambil kira. Iklan yang mengajar kanak-kanak mencuri (seperti iklan sabun Daia) mesti dihentikan kerana tidak bermoral.
Satu cadangan ini sahaja dahulu, Datuk. Jika pihak berkenaan sanggup menguatkuasakan peraturan ini, maka langkah pertama memartabatkan bahasa Melayu bolehlah kita katakan sebagai 'telah bermula'. Bagi saya, inilah langkah asas yang wajib dilaksanakan sebelum langkah-langkah lain diambil.
Sekadar cadangan. Terima kasih, Datuk!
Assalamualaikum,
Sdr Wardah,
Faktor kekeliruan fikiran, prasangka dan unsur-unsur politik bercampur baur memberikan reaksi penentangan terhadap pemansuhan PPSMI. Tetapi kehidupan bahasa kita harus berlari terus , dan kita cuba jangan terganggu sangat dengan kritikan dan protes, walaupun harus terus ambil perhatian spt dlm STAR (22 Julai)kolum "Plain Speaking" jelas meluahkan pandangan yg subjektif dan bias.Kita mesti lawan terus secara intelektual.
Sdr Marniyati,
Barangkali orang yang terus menentang pemansuhan PPSMI atau merasakan hanya pejuang bahasa sahaja yang bertanggungjawab tidak mempunyai kesedaran sosial dan kebudayaan yang jelas. Ramai yang individualistik dan tak peduli (uncaring). Kalau mereka merenung kedudukan bahasa di Thailand, Vietnam, Korea , dan Indonesia mereka akan lebih bijaksana mengingat penduduk mereka berlipatganda lebih besar drpd kita, tetapi tidak taksubkan kemajuan dengan menghina bahasanya. Malahan nama pun disuruh tukar, dan sekolah bukan menggunakan bahasa pribumi tidak sebebas di sini.
Pandangan sdr akan kami beri perhatian.
Salam, Dato',
Penentangan segelintir pihak (orang Melayu) terhadap PPSMI ini memperlihatkan suatu hakikat, iaitu sudah ada orang Melayu yang kabur tentang jati diri mereka.
Sehingga demikian, ada suara-suara yang menuduh bahawa orang-orang yang menentang PPSMI ini hanya warga emas, para belia tidak menentang. Dalam satu rancangan di radio swasta pada suatu pagi - sehari dua selepas demo PPSMI itu pula - pemanggil mengemukakan pendirian yang sama (yang menaikkan darah saya pada waktu itu!). Katanya, yang sibuk menentang PPSMI mak bapak, kita ini, anak-anak tak komen apa-apa pun. (Entah dapatan mana yang diguna pakai mereka dengan mengatakan belia tidak menentang, anak-anak tak komen apa-apa.)
Melalui pemerhatian saya, keupayaan berbahasa Inggeris warga emas (seperti Dato' sendiri [maaf kerana menggolongkan Dato' sebagai warga emas], arwah Pak Asraf, Pak Samad, dan yang lain-lain) jauh lebih baik daripada generasi kini. Yang menariknya, warga emas ini tidak pula meludah bahasa mereka, bahasa Melayu, malah memperjuangkan keberadaannya, martabatnya. Generasi kini, yang bahasa Inggerisnya bertaraf mi celup, berfikiran sebaliknya.
Usaha untuk memartabatkan bahasa mestilah dengan keberanian, sama ada berani dengan vokal atau berani dalam senyap. Contohnya, mana-mana tokoh yang tidak tahu berbahasa Melayu, tidak usahlah diambil menjawat jawatan penting walaupun ketokohannya diiktiraf di peringkat global. Ahli-ahli sukan dimestikan tahu berbahasa Melayu dengan baik supaya apabila ditemu ramah oleh pemberita sukan selepas kejayaan mereka dalam sesuatu pertandingan, dapat menjawab soalan dalam bahasa Melayu.
Dengan kata lain, tokoh yang tidak berupaya untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik, tidak perlulah mewakili negara dalam bidang apa-apa pun.
Tetapi, oleh sebab emas dalam sukan lebih penting, pengiktirafan global lebih penting, beranikah kerajaan berbuat demikian?
Salam, Dato' dan penjenguk DesaKota sekali lagi,
Salah satu cabaran pasca-PPSMI adalah apabila usaha pemantapan bahasa Inggeris hendak dilaksanakan. Tentang hal ini, jenguklah blog Dr Rahmat Haroun di rahmatharounhashim.blogspot.com (Wacana Seni) dalam postingnya yang berjudul 'English as a Tool Not Soul'. Kegusarannya sangat berasas.
Assalamualaikum Sdr Zulkifli,
Terima kasih memberi pandangan tentang masalah bahasa Melayu dan orang Melayunya. Sungguh aneh setelah lebih 50 tahun merdeka kita harus berjuang lagi untuk melaksanakannya. Nasib malang bagi kita, pemimpin kita sendiri di depan khalayak atau tatkala memberi kenyataan akhbar tak boleh bercakap atau tak mahu bercakap Melayu. Mereka berasa hebat dan ada
gengsi kalau bertutur bahasa Inggeris ( yang bukan canggih dan halus sangat). Kita bagai mendaki gunung sekarang , dan susah hendak meyakinkan tokoh-tokoh sukan etc kalau tokoh pemimpin sendiri tak menunjukkan contoh. Tetapi kita jangan patah hati, tanam semangat juang yg baru.InsyaAllah . Akhirnya PPSMI berjaya juga dipatahkan. Dan seterusnya kita berusaha lagi.
SELAMATKAN BLOG ANDA DENGAN MEMBUANG IKON FLG BLOG DI ATAS SEKALI DARI BLOG ANDA DI DELETE SEPENUHNYA OLEH MEREKA YANG TAK BERTANGGUNG JAWAB. LIHAT CARANYA DI: http://arifomar.blogspot.com/2009/07/selamatkan-blog-anda-ambil-tindakan.html
Allah Maha Besar, Apa khabar ayahanda di sana? Semoga sihat diberi Allah di sampning keluarga tercinta. Anakanda amat sibuk mula belajar ini dan baru saja pulih sepenuhnya komputer riba ini. Anakanda masih berharap bahasa Melayu dikembalikan sepenuhnya bermula tadika hingga universiti awam mahupun swasta sebagai bahasa pengantar seluruh ilmu.
Kita perlu berani mendaulatkan bahasa kita sendiri seperti negara China, Jepun dan Korea tanpa perlu berdolak-dalik..
Pendirian Generasi Baru 1 Malaysia Tetap Sama:
Rujuk >> Blog 1 Malaysia
Assalamualaikum
Sdr D'Rimba
Alhamdulillah kita bertermu lagi, dan semoga sdr terus tak terganggu
untuk berucap dan berkarya. Kita semua sudah bergantung kpd teknplogi, tetapi tak apa asalkan insaf bahawa kita memanfaatkannya untuk sesuatu perjuangan.
Sdr Faizal,
Semoga sdr dapat menggunakan pengaruh dalam UMNO untuk memperhebat gerakan memoden dan membina bahasa Melayu supaya menjadi bahasa pengucapan pemimpin
dalam setiap ucapannya kepada 1 Malaysia, terutama depan khalayak bangsanya. InsyaAllah.
Salam ayahandaku, terima kasih atas ucapan bermakna ayahanda di blog anakanda.
Post a Comment