Saturday, 29 August 2009

PERGESERAN MALAYSIA-INDONESIA

Pada bulan Ramadan yang mulia, bulan yang diturunkan al-Quran dan kitab-kitab besar lain, dan satu-satunya bulan yang disebut di dalam al-Quran; bulan yang menyeru kepada kebaikan , kesabaran dan ketakwaan, sangatlah mendukacitakan apabila timbul sekali lagi protes dari sekelompok jiran tetangga di Indonesia terhadap Malaysia kerana dikatakan mengaku tarian "Pendet" Bali itu sebagai tarian Malaysia. Ia berpunca daripada tayangan iklan Pelancongan Malaysia.

Ini merupakan kes paling akhir; dan sebelumnya ada rentetan peristiwa lain seperti isu Batik, Keris, Sepadan, Ambalat dan malahan Nordin Mat Top. Nampaknya jahat sungguh Malaysia. Ada kira-kira tiga juta pendatang dari Indonesia di sini dan belum ada hotel diletupkan. Seorang Dr Azhari, dan kemudian Nordin menimbulkan huru hara yang tragis. Nah, akhbar Jakarta Post , 26 Ogos di Indonesia menyiarkan kontoversi dengan beberapa reaksi yang negatif daripada pembacanya. Berita Harian (Jumaat 28 Ogos) membawa berita tentang sebuah universiti di Indonesia enggan lagi menerima pelajar Malaysia kerana gara-gara tidak hormat terhadap kebudayaan kebangsaan Indonesia. Kenapa sampai begitu jauh sensitiviti dan reaksinya?

Kalau betul Malaysia menciplak dan mengaku apa yang bukan haknya, memang ini perbuatan yang tidak beretika dan harus minta maaf atas kesilapan. Hanya saya berasa dukacita kedua-dua jiran tetangga yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara masing-masing, dan duduk di khatulistiwa yang sama-sama lembab dan dipukul terik matahari, menjunjung Islam sebagai agama utama majoriti rakyatnya; dan tentu sekali sama-sama dicabar oleh globalisasi
selain daripada asakan budaya Barat yang hemogenistik; kita patut saling memperkukuh dan membina kekuatan budaya kita atas semangat Nusantara dan ASEAN.

Semoga akal waras dan bijaksana daripada pemimpin di atas dapat meredakan pergeseran, terutama pada bulan Ramadan ini (penghulu segala bulan). Ingatlah Ramadan mencatatkan
sejarah besar peperangan Islam menawan kemungkaran seperti yang berlaku pada Perang Badar, Perang menakluk Sepanyol (Andalusia diperintah oleh Islam selama 800 tahun), dan Perang Ramadan atau Perang Yom Kipur pada zaman modern, antara Arab dengan Israel pada 1973.

Kalau Malaysia dan Indonesia melakukan kerjasama atau kolaborasi yang produktif, kita boleh sama-sama mengangkat maruah Nusantara di tengah-tengah dunia yang memandang rendah terhadap rakyat berkulit sawo matang yang menjadi penduduk asli Tenggara Asia ini. Ayuh! mari kita sama-sama duduk semeja, berbuka puasa, dan bersolat di depan Tuhan.

Saya sendiri mengharapkan teman-teman baik saya seperti bapak Goenawan Muhammad
dapat melebarkan pengaruh kata-kata intelektual dengan penawarnya di kalangan pembaca media di Indonesia, dan bapak Emha Ainun Najib yang menjelajah ke pelusuk hati dan daerah rakyat melalui saluran dakwah Kiai Kanjengnya dapat menyejukkan hati yang dipedihkan oleh mereka yang marah. InsyaAllah. Amin

13 comments:

ZULKIFLI said...

Dato'
Perlukah kita sentiasa menjadi pihak yang toleran kepada mereka? Tidak bolehkah kita sedikit emosional kepada mereka? Rasanya, hingga sekarang kita tak boleh menjual buku-buku terbitan kita di sana sedangkan buku-buku mereka lepas bebas di sini. Itu hak mereka.

Bacalah komen-komen blog mereka. Apakah yang digelarnya kepada negara ini? Malingsial!

Anazkia said...

Duka cita yang dalam Dato'... saya pun miris melihat dan membaca berita yang ada. Semoga kita mampu buktikan, bahwa tak semua rakyat Malaysia dan Indonesia bersengketa. Salam hormat Dato'

Maaf Dato', adakah Dato' menggemari Gunawan Muhammad?

zHaFiR said...

Dato',
Politik kita tidak stabil. Makanya segalanya menjadi haru. Kacau-bilau. Saya fikir lebih baik berdepan dengan keadaan dan cuba perbaiki daripada menyalahkan pihak lain. Nyata kita tidak boleh merubah pendirian mereka terhadap kita. Bukan sahaja Tanah Seberang, malah media antarabangsa mengutuk Malaysia.

Kita patut memilih pemimpin, bukan politikus purba. Kata-katanya mesti melantunkan peribadi!

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Zulkifli,
Perhubungan dua negara bebas yang berdaulat harus sama-sama toleran.Kalau kita teliti kritikan dan protes yang sudah-sudah lebih merupakan cetusan-cetusan yang dapat dibendung dengan kebijaksanaan diplomatik antara pemimpin penting kedua negara, kecuali isu Pulau Sipadan yang ke mahkamah antarabangsa.Jadi hal-hal kontroversi seperti ini pasti berlaku lagi. Cuma merugikan kita semua kalau diperbesarkan.Kadang-kadang lebih disebabkan protes terhadap pemimpin mereka sendiri. Media Indonesia itu pun jauh lebih bebas daripada yg di KL--spt langit dengan bumi. Tentang perhubungan buku sekarang lebih baik. Cuma saya bimbang pedagang kita tidak agresif berbanding penjual mereka yang memang lebih gesit dan tahan lasak.Segi positifnya , kita menjadi lebih kaya maklumat & ilmu kerana mudah membaca buku-buku agama dan buku sastera mereka.Khazanah buku berbahasa Melayu juga menjadi lebih
besar jumlahnya dengan kehadiran judul-judul dari Indon.

Sdr Anazkia,
Sebenarnya majoriti rakyat tak terlibat apa-apa, Banyak terserah kpd pemimpin di atas. Saya sudah lama mengenali dan mengikuti pemikiran Goenawan, dan puisi-pusinya yang peka dan bernas. Namun tidak semua fikirannya saya setujui, tetapi kebebasan dan keberaniannya untuk
menyanggah fikiran yang establish; dan komitmennya membina bakat muda sangat luar biasa yg sulit diketemui di dunia kita.

sdr zHaFIR,
Ketidakstabilan politik ada kalanya dapat menggegar sikap yg lama beku, dan menggoncang kita berfikir untuk melihat pelbagai alternatif menguruskan masyarakat.Politik Indonesia jauh lebih kencang dan hebat konfliknya. Dari segi kepentingan geo-politik kedua-dua negara tak mampu bersengketa berpanjangan. Masing-masing faham. Ada masalah lebih besar yg harus ditangani untuk memakmurkan rakyat.Nampaknya masyarakat kita lebih sedar tentang hak sivilnya untuk menentukan apa jenis integriti dan kredibiliti peribadi pemimpin, bukan melulu parti apa.

zHaFiR said...

Terima kasih atas balasan Dato'. Saya setuju. Kenapalah pergeseran ini tidak diambil seius? Macam dipandang enteng. Semakin dibiar, semakin parah.

Pada saya, media pula perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan. Para cendekia kita perlu diberi ruang luas untuk mengupas isu dan mengorak langkah penyelesaian!

noralina said...

assalamualaikum dato...
Ini pendapat saya la..apa yang saya lihat dari kalangan rakan2 saya yang berasal dari Indonesia. Memang kelihatan mereka lebih bagus dan gah dari segi bahasa dan kebudayaan..
itu memang tak dapat dinafikan lagi.
tambahan lagi dikalangan pelajar universiti pak, pelajar indonesia memang sangat menjunjung bahasa dan kebudayaan mereka kalau nak dibandingkan dengan pelajar malaysia.
itu juga tak dapat dinafikan dan sesuatu yang menyedihkan untuk kita.
tapi disebabkan itu juga pelajar indonesia sangat berbangga dan 'sombong' dengan apa yang mereka miliki.
dan menyedihkan juga apabila kelihatan dari kalangan orang2 yang terlibat dalam kebudayaan ini seolah2 melebihkan mereka(indonesia) dari pelajar malaysia sendiri.
tapi ada sesetengah pihak juga mengatakan bahawa indonesia sebenarnya mempunyai satu sistem bagi menjaga bahasa dan kebudayaan mereka. Yang terdiri daripada orang2 yang arif dalam bidang tersebut. tapi, tidak di Malaysia. itu sebab, di Malaysia, kebudayaan dan keseniaan kurang menyerlah.
adakah itu benar?

Rosle said...

Salam,

Tn. Zulkifli,

Cuma sedikit pembetulan. Agak kurang tepat jika tuan mengatakan kita tak boleh menjual buku-buku terbitan kita di sana. PTS telah berjaya memasuki pasaran mereka. Cumanya perlu ada kerjasama dengan mereka.

Masalahnya orang-orang yang terlibat dalam pemasaran buku tempatan masih teraba-raba cara terbaik menembusi pasaran mereka.

Saya sendiri penat dengan isu sebegini. Tarian Bali ini bukannya dibuat oleh Kementerian Pelancongan sebaliknya oleh Discovery Channel berpusat di Singapura. Discovery Channel telah pun menarik balik iklan ini.

Saya mengikut isu ini di Youtube. Agak menjengkelkan bila melihat cara press mereka membangkitkan isu ini.

sahrunizam said...

Salam Dato'

Berdasarkan pengalaman beberapa kali ke Jakarta dan Bandung. Saya dapati sentimen anti Malaysia ini lebih banyak dimarakkan oleh media mereka. Baik tivi mahupun akhbar.

Sepanjang berhubung dengan golongan rakyat biasa mereka ternyata tidak mempedulikan api yang dinyalakan media tersebut.

Jiwa Merdeka said...

Pergeseran antara Malaysia dan Indonesia kadang-kadang sukar dielakkan, kerana sesetengah orang Indonesia masih bersikap sebagai abang besar, tapi sudah merasa kalah dengan Malaysia. Jadi hal-hal yang remeh pun mereka sensasikan jadi isu besar.

Mereka mungkin merasa malu ada 3 juta orang Indonesia menumpang mencari makan di Malaysia, tapi masih mahu bersikap angkuh sebagai abang besar.

bahazain said...

Assalamualaikum dan salam Ramadan al-Mubarak,
Sdr zHaFIR,
Media kita sudah terlalu sendat dan taksub dengan sikap untuk menyokong parti pemerintah atau pembangkang.Isu-isu lain hanya sampingan saja. Perhubungan Malaysia/Indonesia memang isu penting untuk jangka panjang politik, bahasa dan budaya nasional.

Sdr noralina,
Gembira mendengar sdr ada pengalaman berhubungan dengan pelajar Indonesia.Pembangunan kebudayaan Indonesia , termasuk keseniannya, cukup maju kerana ia tidak bergantung pada kuasa agensi pusat semata-mata, tetapi provinsi serta daerah memainkan peranan penting. Malahan ada semacam perlumbaan untuk menonjolkan imej kesenian masing-masing etnik (Jawa, Sunda, Minang, Bali, Madura, Batak etc). Berkesenian adalah kehidupan bukan barang permainan politik dan slogan merebut undi--satu kesilapan yang kita lakukan.

Sdr Rosle,
Media Indonesia itu ratusan jumlahnya, dan juga banyak yang berorientasi kepada daerah-daerahnya. Kontroversi dan sensasi adalah permainan media untuk laku. Di mana pun begitulah. Elok juga media kita jangan layan sangat hal-hal kecil yang boleh memudaratkan persaudaraan.

Sdr sharunizam,
Memang betul apa yang sdr katakan. Perhubungan orang ke orang, terutama penulis, ilmuwan dan budayawan, akan lebih banyak membantu persefahaman . Inilah yang kadang-kadang dilupakan oleh politik.

Sdr jiwa merdeka,
Terutama dahulu memang sikap abang tua ini sangat mempengaruhi rakyat Indonesia mengingat sejarah merdeka mereka melalui revolusi, dan Soekarno ikon nombor satu Tenggara Asia yang sanggup menentang imperialis Barat. Sekarang keadaan politik, ekonomi, dan antarabangsa sudah berubah, dan negara Malaysia juga semakin yakin menghadapi dunia.Mahu tidak mahu setiap negara misti menghormati negara jirannya kecuali kalau sudah menjadi kuasa nukliar, dan kuat mantap ekinominya.

saleeh rahamad said...

Indonesia mewajibkan setiap pejabat kedutaan di negaranya menyalurkan dana untuk membangunkan seni budaya Indonesia. Ini yang tidak mampu kita buat dengan kedutaan di negara kita.

Anazkia said...

Assalamu'alaikum Dato...

Saya selalu berkunjung ke sini. Melihat komentar2 demi komentar. Dato, betulkah rumah Dato dekat Sri Gombak? adakah Dato mempunya karya2 Gunawan Muhamad? Bolehkah saya berkunjung ke rumah dato'

Terimkasih sebelumnya.

bahazain said...

Assalamualaikum
Sdr Saleeh,
Kedutaan Indonesia juga menempatkan Attache Pendidikan dan Kebudayaan di Malaysia etc. Budayawan kita misti mengajukan kpd
Kementerian Kebdayaan & Kementerian Luar supaya menempatkan attache kita di negara-negara ASEAN.

Sdr Anazkia
Betul saya kini tinggal di Gombak. Tak ada halangan untuk berkunjungan ke rumah. Adalah satu dua buku Goenawan.