Thursday 13 August 2009

HANYA TULISAN YANG TINGGAL DIBACA

Dalam waktu seminggu ini empat berita kematian orang kenalan disampaikan melalui pesanan telepon. Mula-mula berita kematian Allahyarham penyair Sabar Bohari yang berasal dari satu daerah dengan saya ; kemudian W.S.Rendra penyair Indonesia; sesudah itu Hajah Halimah, Pegawai Perancang Bahasa, di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan kelmarin 12 Ogos Dharmala N.S
penulis cerpen, esei dan novel yang telah berkarya sejak 70-an. Kerana tidak jauh dari rumah ,saya sempat turut bersama sembahayang jenazahnya di masjid Sri Gombak sesudah usai solat zohor.

Baru sahaja selesai membaca sajak Sabar Bohari, "Satu Malaysia" dalam keluaran Dewan Sastera , Ogos, tiba pula berita kematiannya. Tentang Rendra, sepatutnya kami sama-sama berhimpun , pada minggu pertama Julai, di Korea Selatan, tetapi akhirnya dia tidak datang kerana uzur. Apa yang sampai hanya sajak-sajaknya, dan itupun tidak dibacakan pada malam 'Poetry Night". Saya mulai mengenal Rendra pada awal tahun 70-an sewaktu tinggal di Jakarta, dan sering menonton teater serta persembahan-persembahan puisinya di Taman Ismail Marzuki. Dia sangat memikat di atas pentas kerana bakat teaternya yang hebat. Hajah Halimah walaupun bukan penulis, tetapi sangat berjasa dalam pembinaan istilah teknikal yang menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata-kata ilmu pengetahuan di dalam bahasa kita . Bahasa kebangsaan masih sangat memerlukan keahlian dan pengalamannya , terutama pada saat ini setelah 6 tahun bahasa sains dan matematik dinyahkan. Dia pergi terlalu awal, tetapi seruan Tuhan lebih mengetahui dan adil terhadap hamba-hamba- Nya. Karya Dharmala pernah saya baca sejak lama dahulu, terutama apabila menjadi panel hakim bagi memilih cerpen-cerpen yang baik untuk memenangi hadiah. Memang dia sangat berbakat, dan turut memperkaya khazanah persuratan moden bangsa kita.

Sekalian yang telah memperkaya bahasa Melayu dengan imaginasi , sensitiviti seni dan inteleknya tiba-tiba meninggalkan lapangannya. Hanya hasil jerih payah: puisi, esei,cerpen, makalah dan istilah dalam majalah dan buku yang menjadi kesaksian tentang kehadiran mereka pada suatu waktu yang lalu. Mereka telah pergi meninggalkan buku-buku. Peristiwa ini menginsafkan bahawa kita jangan alpa setiap hari tentang berniat dan berusaha untuk meninggalkan kebaikan. Hanya itulah yang akan menjadi kenangan orang di dunia, dan bantuan
meringankan roh kita di akhirat. InsyaAllah.

Jadi menulislah dengan sebab dan tujuan yang betul; bukan dengan niat yang salah.

Persoalan ini mengingatkan kita kepada ratusan pengarang dahulu yang telah mempertaruhkan jiwa raganya dalam dunia karang mengarang dan perjuangan menentang kezaliman dan penindasan seperti Zaaba, Kajai, Ishak Haji Muhamad dan Samad Ismail. Kedua-dua pengarang Ishak dan Samad Ismail meninggalkan cerpen dan novel yang sangat komited kepada masyarakatnya; dan bertahun-tahun dihumban ke dalam penjara. Hanya pada larut usianya baru diberi perhatian yang besar setelah kemerdekaan rakyat menjadi kenyataan.

Barangkali sudah tibalah saatnya kerajaan melalui agensi tertentu mengabadikan nama kedua-dua tokoh besar persuratan, politik dan kewartawanan ini pada ruang-ruang tertentu di mana terpamer secara visual imej , karya dan pembicaraan tentang mereka bagi mendidik perasaan dan fikiran generasi anak-anak kemerdekaan tentang apa ertinya perjuangan dan pengorbanan. Institusi yang paling tepat tentulah Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mewujudkan ruangan khas bergelar " Kamar Kemuliaan " untuk Pak Sako dan Samad Ismail. Kedua-dua tokoh ini telah melalui kehidupan yang sangat berwarna warni dan aneh dalam denyut-denyut nafas bahasa, sastera, kewartawanan dan politik kebangsaan. Mereka sangat wajar dan berhak untuk dikenang ketokohannya.

6 comments:

D'Rimba said...

Salam ayahanda, tinggal di Seri Gombakkah? Anakanda juga tinggal di batu 5 3/4 Jalan Gombak dekat Masjid Syakirin. Maaf hari itu di Rumah PENA tidak berkesempatan berbual panjang. Ada sedikit masalah kunjung tiba pada masa itu memurungkan diri seketika. Maafkan anakanda ayahanda...........

ZULKIFLI said...

Salam,
Saya fikir Dato' tinggal di Kajang. Bumi Allah untuk kita, setelah disempadankan, Malaysia menjadi tanah kita.

Saya sangat bersetuju agar Dewan Kemuliaan/Dewan Penghormatan atau yang seumpamanya diwujudkan. Memang DBPlah yang patut mewujudkannya tetapi jika da pihak universiti berhasrat untuk memulakannya, seharusnya dialu-alukan.

Unknown said...

Nampaknya, perjuangan anti PPSMI tidak boleh berhenti, mesti diteruskan sehingga betul2 PPSMI dimansuhkan. Pengumuman permansuhan hanya penyedap hati semata-mata.

Hapuskan PPSMI.

Andin Salleh said...

Saya sudah lama putus hubungan dengan Sabar Bohari.Terima kasih kerana memaklumkan beliau telah meninggal dunia.

Nadim Iqbal said...

Salam perjuangan Datuk.

Benar apa yang datuk perkatakan. Seperti kata pepatah Melayu lama, Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, dan - penulis mati meninggalkan kata-kata.

Kadang-kadang, kita tidak percaya, kuasa kata-kata, memang ada magisnya.

Salam perkenalan datuk. Kalau datuk ada masa, singgahlah ke blog saya, iqbalnadim.blogspot.com. Sekali sekala, saya menulis hal-hal politik di sana.

bahazain said...

Assalamualaikum

Sdr D'Rimba,
Saya tinggal tak jauh drpd Muzium Orang Asli.Sudahkah pernah mewalatnya? Kehidupan ini selalu ada pasang surutnya.Bersabarlah selalu.

Sdr Zulkifli,
Blog sdr cukup menarik persoalannya. Saya pernah di Kajang. Riwayat hidup saya sering berpindah randah, buykan shaja pekerjaan, tetapi juga rumah. Dah jadi asam garam , seronok dan mencabar juga.

Sdr Pencinta alam,
Walau pun saya tak tinggal di tepi pantai, rumah saya di tepi sungai. Kalau hujan lebat di hulu segala macam plastik, dan sisa buangan manusia memecut ke hilir Inilah tanda kemodenan hidup , bukan kemodenan fikiran.

Sdr Saleh,
Allahyarham banyak menulis, tetapi Sabar Bohari sangat low profile, dan bukan manusia suka menonjol diri macam penulis lain.

Sdr Nadim iqbal,
saya sudah menjenguk blog sdr dan terpaku mengikuti hujahan pasca PPSMI. Memang kita perlu ramai pembicara yang berani menghujah isu-isu semasa dan jangan melepaskan tanggungjawab tentang kesejahteraan negara kpd pemimpin politik sahaja; terbukti menjahanamkan dan berkhianat ( contoh PPSMI).