Pasaran bebas maklumat sedang berubah dengan hebatnya, terutama dalam waktu dua bulan ini;blog bercambah bagai cendawan tumbuh. Nampaknya tak sesiapa yang dapat menahan air terjun kata-kata mencurah dengan tenaga terpendamnya. Ia telah meninggalkan kesan terhadap politik, dan akan menentukan reputasi individu, organisasi, institusi, dan malahan kredibiliti kerajaan. Tunggu! akan berlaku peperangan media yang lebih gencar, menarik dan lebih mencabar.
Pada tahap peribadi, saya mendapat cakerawala baru untuk terbang jauh , dan sekali gus membuka cakerawala itu untuk dijelajahi oleh teman-teman penulis yang selama ini hanya saya fahami dengan menduga air muka mereka sahaja , tetapi tidak menerima reaksi terbuka terhadap kata-kata saya. Ini pengalaman yang sangat memikat -- memberi dan menerima persepsi atau fikiran. Pengalaman itu semakin mengejutkan apabila pesan dan reaksi datang tiba-tiba dari nama-nama yang tak dikenali di antara yang saya kenal:sham al-johori, amiene rev, marsli n.o., Nisah Haron,sinaganaga, lutfi said, wan nor azriq, jiwa rasa, tok janggut,rhuss,anonim etc.,etc. Apakah kita sedang menempuh zaman penuh kesepian, keyakinan diri, kecurigaan, sinis atau reason? Tetapi jangan lupa kita juga menaksir zaman dengan perasaan serta hati , sebab kita manusia yang berjalan ke depan dengan pancaindera dan bahasa.
Semoga kita berbicara lagi esok siang, dan selamat malam.
2 comments:
Pak Baha: Sekarang ni saya tengah kempen berhenti merokok. Lawatlah kat "klinik" saya.
Uncle Baha,
Sesungguhnya letupan kandungan maklumat di dalam dunia maya ini mempunyai natijah kepada lanskap dunia intelek dan minda pemikiran.
Bakkan penciptaan masin cetak Gutenberg, maklumat kini bukan lagi dikuasai oleh golongan elit media dan pencetak tetapi menjadi hak peribadi sesiapa sahaja yang mempunyai talian internet ataupun masa dan wang kopi untuk bersantai di tempat-tempat yang menyediakan talian internet kepada semua. Dari mat rempit sehinggakan Imam masjid, setiap orang akan mendapat maklumat sepajang masa dan secara bebas. Tanpa dicemari tangan dan tinta si penyunting. Bagusnya, berita kini milik semua. Buruknya. Terlalu banyak cabang pendapat dan berita yang mewarnai pemandangan kita. Minda kita mestilah cergas untuk menapis semuanya.
Adakah rakyat kita sudah bersedia untuk menyunting berita mereka sendiri? Adakah minda kita sekarang sudah ampuh untuk mengenali intan permata dari timbunan dan runtuhan maklumat maya.
Hazlan.
Post a Comment