Saturday 31 May 2008

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT dan KARYAWAN

Saya menenerima kad undangan dari YAB Menteri Besar Selangor untuk Malam Karyawan II pada 7 Jun nanti. Antara aturcaranya ialah sejumlah ucapan daripada: Menteri Besar; wakil karyawan ( Sdr Eddin Khoo, Dato' Dr Siddiq Fadhil, SN Prof. Dr Muhammad Hj.Salleh); dan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ini semua nama-nama besar dalam politik dan kebudayaan negara.

Majlis seni budaya yang seperti ini memang biasa , tetapi sangat menarik kerana ia dianjurkan oleh kerajaan negeri yang baru, daripada parti politik yang baru memerintah Selangor. Cukup menarik juga, dalam kesibukan menyusun dasar pentadbiran negeri, menguruskan hal ehwal ekonomi , kewangan dan sosial, pemimpinnya masih punya ruang waktu untuk kegiatan kreatif dan intelektual. Tetapi kalau menelusuri masa lalu Tan Sri Khalid dan Dato Seri Anwar hal ini tidaklah aneh. Selain itu seni-budaya adalah sebahagian daripada kehidupan yang harus diuruskan oleh politik; dan politik bukan sekadar kekuasaan untuk memerintah. Walaupun ada yang berpendapat bahawa kepentingan politik itu kekuasaan; dan kepentingan kesenian itu kebenaran; tetapi untuk kekuasaan boleh bertahan lama ia harus ditunjangi oleh kebenaran. Bagaimana pun yang paling manusiawi ialah orang politik dan karyawan harus saling menunjangi untuk mencipta kehidupan yang indah dan sejahtera. Barangkali itulah maknanya majlis 7 Jun yang menemukan tokoh politik dengan karyawan.

3 comments:

Unknown said...

Askm Dato',

Bagaimana pun yang paling manusiawi ialah orang politik dan karyawan harus saling menunjangi untuk mencipta kehidupan yang indah dan sejahtera.

Sesuai sangatlah dengan tema Dewan Bahasa Jun 2008 - Bahasa Kedamaian. Bersempena dengan sambutan Hari Alam sekitar dan hari Pelarian Sedunia yang jatuh pada bulan Jun.

Mencari Sakinat Hidup yang aman dan sejahtera dalam semua hal.

Semoga majlis itu nanti sukses dan membawa angin segar untuk persuratan Melayu.

Puan Ainon Mohd. said...

InsyaAllah, saya pun ada menerima kad undangan seperti itu.

bahazain said...

Sdr Ainon.
Saya harap kerajaan Selangor akan membuat perancangan budaya yang konkrit bagi memberi wajah dan jati diri budaya untuk negeri yang cukup kuat ekonominya, tetapi berpecah fragmented tampang dan sosok kemanusiaannya