Wednesday 14 May 2008

Melampau

Seorang teman yang sangat bertimbang rasa, selepas membaca posting 12 Mei 2008, berasa khuatir dan bertanya kepada saya tidakkah tulisan saya itu bernada ekstrem dan bertentangan dengan kerajaan. Saya akur dengan pandangannya lalu melakukan sedikit penyuntingan. Memang betul ramai yang menganggap negatif terhadap orang yang menegakkan Bahasa Melayu (BM).
Bagaimana pendapat yang memperjuangkan kedudukan dan kedaulatan BM boleh dianggap melampau dan menentang kerajaan? Justeru perbuatan sebaliknyalah yang boleh dianggap berniat jahat dan menentang kerajaan kerana kerajaan mendukung Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf BM menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.
Selain daripada itu adalah menjadi tanggungjawab kebudayaan dan moral bagi semua orang Melayu mendaulatkan bahasa ibundanya yang tumbuh di bumi Nusantara ini sejak ratusan tahun sebagai lingua franca antara pedagang dunia , sebagai wahana ilmu serta dakwah, dan kini menjadi bahasa kebangsaan bagi hampir 300 juta manusia, yakni bahasa kelima terbesar dari segi jumlah penuturnya. Memperjuangkan kedudukan dan fungsi BM tidak pula boleh dianggap sebagai cauvinis, berfikiran sempit dan perkauman kerana orang yang waras atau sihat akalnya tidak menolak kepentingan menguasai bahasa-bahasa lain; dan BM sebagai bahasa kebangsaan serta rasmi bukanlah eksklusif untuk sesuatu kaum, tetapi inklusif untuk semua rakyat pelbagai keturunan dalam negara ini. Jadi tidak timbul soal meminta maaf kepada sesiapa pun dalam hal mengutamakan BM.
Kenapa orang Melayu begitu lemah dan lambat bercakap tentang isu ini? Lihat Karpal Singh yang bergerak atas kerusi roda seperti OKU berani mengkritik Raja Melayu berdasarkan keyakinannya walaupun puluhan laporan polis dibuat. Dia berdegil tidak meminta maaf walaupun sedar gelombang kemarahan di sekelilingnya . Lihat HINDRAF berani menunjuk perasaan di jalan-jalan raya dan berhimpun secara haram beberapa kali untuk memperjuangkan kepentingan kaum India. Lihat orang Melayu berhimpun ratusan dan ribuan orang dalam bilik berhawa dingin dengan retoriknya. Apabila Dr. Mahathir (sekarang TUN) sebagai Perdana Menteri menyingkirkan BM daripada Matematik dan Sains pada 2003, mana NGO Melayu,mana GPMS, mana Gapena, mana persatuan guru-guru Melayu, Sasterawan Negara dan tokoh yang hebat-hebat? Mana? Sebab itu saya menyeru kepada penulis, seniman dan aktivis muda untuk menjadi lidah perjuangan masa depan . Berperang sebagai penulis dan budayawan, berperang secara intelektual melalui karya dan prasarana maklumat yang berada di hujung jari. Di situlah harapan disandarkan. Ayuh! Tanpa maaf , tanpa apologi.

3 comments:

Unknown said...

Ingat rencong Aceh yang saya berikan dulu? Ambillah semangat rencong Aceh yang konsep rupa bentuknya daripada kalimah "Bismillahirahmanirahim" (Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)yang digunakan untuk menentang penjajah Belanda selama 60 tahun sebelum Aceh akhirnya tewas di tangan Belanda.

Dengan "Bismillah" juga kita pasangkan niat dan matlamat perjuangan atas nama bangsa dan agama walaupun terpaksa menempuh 600 tahun lagi

Hasyuda Abadi said...

Berani untuk menegakkan hak. Kita bersuara bukan bererti melawan tetapi menyampaikan pandangan. Malangnya suara sasterawan 'jarang' didengar orang. Belum terlambat untuk bangun, terutama Gapena kini kelibatnya semakin ketara menjadi pemula tatkala bangsa kita tersentak dari lena.

SATIRA + KACAU said...

Sdr Hasyuda: G.....a jadi pemula?
Biar betul.