Thursday 1 May 2008

SALAM PENYAIR KEPADA PETANI

setitik keringat
jatuh ke bumi
menjadi tasik

setitik darah
gugur ke bumi
menjadi gurun

setitik air matamu
jatuh ke bumi
membanjiri kalbu

keringat, darah dan air matamu
kuntum-kuntum bunga
harum ditimbusi debu

6 comments:

Sham al-Johori said...

Dato' yang dihormati.
Saya tioba-tiba teringat sajak Mahsuri SN bertajuk "Ini Nasi yang Kusuap". Nuansanya sama dengan nada sajak ini. Inilah nasib kita sebenarnya. Maksud saya nasib penyair yang sentiasa diwalangkan oleh tangan dan kuasa yang punya impian dan nafsu besar. Mereka sewenangnya mencaturkan apa-apa sahaja demi perut dan tekak mereka sebab mereka tidak pernah berkunjung kep pasar atau kedai untuk membeli beras, gula, bawang, garam, minyak masak dll. Semuanya itu diuruskan oleh orang gaji dan yang membayarnya adalah setiausaha politiknya. Oleh itu, mereka tidak mengetahui berapa harga keringat petani dan nelayan itu.
Walang sekali kita meski urus setia anugerah nobel sedang menyanjung kehebatan kita.

bahazain said...

Sdr Sham,
Yang ada pada kita hanya suara; tanggungjawab kita memperdengarkan suara kemanusiaan itu; bukan sahaja untuk kita, tetapi juga utk petani pada hari buruh.Suara pula bukan untuk memuji semata-mata, tetapi sesekali melawan tirani, penipuan atau kecurangan tepat pada waktu yg diperlukan--bukan kemudian.Kalau penyair selalu ingat masalah rakyat, lambat laun,artikulasinya akan menusuk hati nurani pemimpin yg alpa/lupa daratan.Apakah mereka masih boleh terus lupa untuk 4 tahun akan datang?

che606 said...

dato,

ini masalah lama. dari zaman berzaman yang tidak mahu diselesaikan oleh puak pemerintah di malaysia. Benar dan pahit bunyinya.

Lihat dan bandingkan nasib mereka antara dunia utara dan selatan. Jika saya bercerita tanpa bertindak maka saya sama seperti mereka yang lain. Nasib para petani di negara negara selatan ini sama. perkara yang membezakan hanya agama dan bahasa.

Puisi sudah tidak upaya memperjuangkan nasib mereka. Puisi puisi yang lahir dewasa ini sekadar satu pengalaman pihak ketiga dari penyair. Musiman dan maklumat yang sedikit yang belum cukup terhadam oleh si penulis.

Mungkin Dato tidak tergolong dalam lingkungan itu. Tapi ini bukan zaman pak hamid. Lihat sahaja apa yang berlaku di tanah yang diperjuangkan oleh mereka itu sekarang ini. 'jual dan pindah!'

hasil pertanian mahal di pasaran tetapi hasil pertanian yang mereka jual masih didalam harga 80an... Siapa yang memperjuangkan nasib mereka?

maaf dato.

Saya berani mengatakan bahawa puisi puisi tidak cukup untuk menjadi lokomotif yang menggerakan gerabak gerabak perjuangan.

Dewasa ini para petani itu sendiri wajar bangkit tetapi perlu disokong secara menyeluruh oleh rakyat malaysia.

salam.

raspintar said...

Topeng

Masanya sudah tiba untuk membuka topeng-topeng yang mengikat seluruh diri itu. Pernahkah rasa enak menikmati udara segar, panas matahari dan sejuknya air semasa merangkak dan bertatih dahulu, tiada topeng yang menutup diri.

Di desa, sama-sama kita berlari di atas batas bendang. Kaki tersentuh air di kali, sejuk segar nyaman. Angin menampar-nampar lembut muka kita seolah turut sama gembira.

Hari ini kita berlari ditengah kota. Mengejar masa.
Bermesyuarat. Laporan wajib di baca.
Rumah di puncak sayup bukit.
Duit di dalam bank.
Keluarga kita.
Diri sendiri.
Siapa aku.
Siapa?
Siapa?
AKU
yang dulunya ke kota untuk bekerja
apabila berjaya akan kembali dengan bermodalkan pengalaman jati diri dan harta untuk membangun masyarakat desa, saudara-saudara semua.
sungai, pokok manggis, rumah Pak Din, Haji Rahim, Yob Rahman
Adakah lagikah Pak Din di seberang sungai?
Milah anak Kak Esah, entah sudah berkahwin
Sawah padi, kampong halaman
semua bermain di depan mata
Amir, Mazlan, Azhar, Fauzi
din, hock seng, chua
mat didi
aku di sini
mereka di mana?
apa terjadi pada; apabila berjaya akan kembali dengan bermodalkan pengalaman jati diri dan harta untuk membangun masyarakat desa, saudara-saudara semua...
Malam itu adalah malam yang panjang
Esok keputusan sudah di dalam gengamannya
untuk kembali dengan bermodalkan pengalaman jati diri dan harta untuk membangun masyarakat desa, saudara-saudara semua.........

Topengnya pecah berselerakan sebelum meninggalkan rumah di puncak sayup bukit untuk pulang ke kampongnya.

bahazain said...

Sdr Che606 & raspintar
Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul; jutaan rakyat di desa tak terselam oleh penyair resah batinnya.Beberapa jam yg lalu saya baru saja pulang dari kampung, dan abang saya yg berusia lebih 80 tahun bercerita malam dulu tergolek ke dalam longkang sekembalinya dari surau dlm gelap.Ini hanya kisah kecil dan ada penderitaan yg lebih besar , yg sering penulis lepas pandangan. Itulah dosa saya dan dosa kawan-kawan. Memang kita lebih banyak mesyuarat dan terlalai dlm cahaya kota. Itulah kegagalan intelektual Melayu; sudah porak peranda budaya baru sibuk bertindak reaktif. Apabila bahasa & budaya diinjak-injak dahulu semua bungkam takutkan Menteri, tidak bertindak kritis-kreatif. Itu pun kesalahan orang macam saya juga. Ini pengajaran, kita banyak pakai topeng untuk pelbagai peranan dan watak.Ada topeng-topeng sedang berhimpun , hanya kerana BN merosot. Jadi kalau petani memberontak saya tak marah mereka.

bahazain said...
This comment has been removed by the author.