Monday 5 May 2008

MELAWAT KEMBALI KE DASAR DIRI MELAYU

Kehebatan menjadi warga alamblog, antara lain: Kita menjadi seperti si anak kecil yang bermain-main seorang diri dengan barang permainan elektronik; dan sekali gus kita menjadi Raja kepada perasaan dan fikiran kita sendiri. Siapa saja memasuki prasarana maklumat modern yang bernama blog ini berada dalam situasi blogsphere yang sama : saya dan bekas PM dan Bekas Menteri Besar Selangor setaraf . Sama-sama berada dalam kekesalan, dendam, kritis; dan berusaha membersihkan diri, menghalalkan perbuatan, atau mungkin menyerang -- dalam kesepian dan monolog. Setiap hari kita boleh mencurahkan tegang perasaan atau semak otak seperti siang tadi kawan-kawan bertanya bagaimana tentang perhimpunan Melayu di Johor. Mana saya tahu, dan kenapa tanya saya seolah-olah nama Gapena itu mengekori belakang saya.
Selanjutnya saya bilang, baguslah kalau ada yang berusaha ke arah kebaikan orang Melayu asalkan kita jangan terperangkap dalam" fikiran terbelenggu". Kita jangan menyalahkan kaum lain saja. Melayu juga perlu memahami kaum lain, kekuatan serta kelemahannya. Dan kita misti tunjukkan Melayu ini bangsa yang berkualiti serta berakal budi, bersedia bergaul dan berhujah dengan orang asing, menghargai budi bahasa orang lain, bersedia meminjam kekuatan kebudayaan Cina, India, Sikh, Jepun, Perancis atau Korea sepanjang tidak menodai agama dan jati diri Melayu . Kalau mereka kurang ajar terhadap bahasa, kebudayaan, dan maruah Melayu, memang patut kita bertindak kasar, walaupun kepada pemimpin Melayu sendiri.

Terima kasih blog kerana menampung resah dan belasah otak saya pada malam ini.

6 comments:

Nisah Haji Haron said...

Assalamualaikum Dato' Baha,
Saya tahu tentang penglibatan Dato' dalam blogosphere melalui laman Shamsudin Othman. Kini lebih mudah untuk menjejaki pemikiran Dato'. Selama ini saya setia mengikuti tulisan Dato' dalam "Monolog Kecil" (Dewan Sastera).

Silakan ke laman saya di www.annyss.blogspot.com

Terima kasih.

lutfi said...

Datuk - betul. Seharusnya begitu. Mengenali kekuatan orang lain, sebenarnya sangat baik kerana dapat menonjolkan kelemahan diri kita. Apapun, saya percaya, kemleut yang kita hadapi hari ini sebenarnya kerana ketiadaan pemimpin yang berwibawa (kerana sikap pemuka UMNO yang selalu mencantas lawan yang mampu mencabar mereka) dan masalah ilmu pengetahuan. Malah, melihat kepada sistem pendidikan kita hari ini, kita masih mencontohi sistem pendidikan barat yang telah jelas memperlihatkan kesan buruk dalam dunia mereka. Saya teringat kata seorang antropoligis, salah satu keburukan kolonialisme, ialah menjajah ruang epistemologi sesuatu bangsa, seterusnya mewujudkan metodologi penjajah dalam pencarian ilmu. Dua perkara ini, sebenarnya pernah diungkapkan oleh Syed Naquib dana 'loss of 'adab', dalam Islam and Secularism. Apapun, jika kita lihat ini masalah bersama, seperti kata datuk, kita perlu optimis, kerana optimisme sentiasa memberikan kita harapan untuk mewujudkan bangsa yang maju. Salam, datuk.

sinaganaga said...

*saya baca blog Dato'*

Wan Nor Azriq said...

Assalamualaikum Dato' Baha,
Saya berasa gembira kerana ada penulis mapan seperti Dato'yang turut mewarnai blogsphere di negara kita.Kehadiran Dato' pasti akan menarik minat penulis-penulis mapan yang lain,kerana kalau kita lihat,kebanyakkan penulis blog kita sekarang datang daripada generasi baharu.

Saya amat berbesar hati kalau Dato' sudi melawat blog saya:
azriq.blogspot.com

Terima kasih.

Unknown said...

Assalamualaikum Dato',

Tahniah kerana telah memulakan blog ini. Moga dapat berkongsi ilmu dan pandangan untuk tatapan pembaca.

Orang Melayu perlukan tokoh yang berani memimpin tindakan, bukan sekadar meratap dan meratib mengenang kisah-kisah lalu.

Ucapan Dato'yang dibukukan dalam buku Memartabatkan Persuratan Melayu saya anggap satu teks yang hebat. Saya ada tulis di blog dan menyebutnya sebagai manifesto pejuang bahasa Melayu!

http://jiwarasa.blogspot.com/2006/08/memartabatkan-persuratan-melayu.html

Sham al-Johori said...

Salam dari Miri-Bintulu dan Brunei
Saya masih punya ruang untuk menelusuri ruang fikir dato'. Syahdu dan hiba apabila krisis identiti dan krisis intelektual Melayu masih berantakan di sana-sini. Bagi saya mudah dan amat ganteng apabila kemelut itu kembali ke akar tradisi Melayu-Islam. Bangsa akan kuat; teknologi akan hebat; bahasa akan cemerlang; tamadun akan perkasa.
Soalnya sekarag ialah para juak itu takut untuk mengakui kesilapan dan terlalu ego. Mereka kehilangan akar diri Melayu-Islam itu sendiri.
Moga Allah sentiasa merahmati perjuangan kita dan mengaminkan doa-doa insan tertindas seperti kita. Insyallah dan kita perlu optimis.