Monday, 14 April 2008

MELAYU MENCARI JAWAPAN MASA DEPAN

Seperti pengalaman peribadi , nasib malang dan untung yang dialami oleh orang Melayu boleh datang sederap atau kemalangan boleh datang silih berganti dengan keuntungan; kemalangan mungkin ada rahmatnya, dan keuntungan belum tentu menjanjikan kebaikan. Yang selalu dinasihati oleh mereka yang beriman ialah bersyukur apabila untung dan bersabar apabila malang-- jangan terlalu ghairah, jangan terlalu kecewa, jangan mencari kambing hitam kalau gagal , dan jangan lupa sumbangan orang lain kalau berjaya. Mencari kematangan berfikir dan bersikap seperti itulah yang sangat susah.

Lihat apa yang berlaku sekarang, masyarakat kita sedang saling tuduh menuduh, dan saling jatuh menjatuhkan. Apakah ini akibat daripada kealpaan atau cara melihat masalah yang salah. Kita menjadi sangat gelabah tentang nasib orang Melayu pada masa depan sehingga kita lupa bahawa yang merosakkan peluang-peluang untuk masa depan itu adalah pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang pada waktu berkuasanya hanya melihat masalah Melayu di sekeliling pinggang sahaja. Masalah Melayu itu adalah masalah nasional, dan yang pentingnya bukan individu Melayu itu, tetapi ialah bahasa,pendidikan, ekonomi dan tamadunnya, dan tak terpisah, justeru bahagiannya yang paling penting ialah pegangan Islamnya.

Tamadun Melayu yang bersendikan Islam inilah yang penting sebagai asas nasional yang harus diperjuangkan, tak kira UMNO, PAS, atau PKR. Kalau orang Melayu di sini bukan beragama Islam sudah banyak kezaliman dilakukan terhadap orang Cina , India dan bumiputera yang bukan Islam. Agama Islam melarang melakukan kezaliman, ketidakadilan, penipuan dan rasuah terhadap sesiapa saja. Itulah sebabnya kita melihat jiran-jiran Cina dan India hidup aman tenteram dalam kampung-kampung Melayu walaupun ada hanya sebuah dua rumah sahaja dalam lingkungan ratusan rumah Melayu di sekitarnya.

Jadi kita harus jelas berfikir , dan jangan sampai membuat keputusan bahawa kemerosotan kekuasaan BN di beberapa negeri bermakna masa depan orang Melayu dalam bahaya. Malahan dari satu segi adanya Menteri-menteri Besar Melayu daripada Barisan Alternatif bererti ada pembela-pembela tamadun Melayu dan Islam yang terdiri daripada kedua-dua belah pihak politik. Tidak kah dari satu segi lain ini merupakan satu kekuatan atau ekuilibrium baru bagi umat Melayu kerana kalau tidak berpuas hati pada UMNO kita ada PAS atau PKR; dan dalam Parlimen UMNO ada sebagai tulang belakang kerajaan, dan dalam pembangkang ada PAS dan PKR tempat mengadu hal. Pulau Pinang itu kalau pun BN menang Ketua Menterinya tetap bukan Melayu atau Islam. Jadi dari segi keturunan, pemegang tampuk kekuasaan di negeri-negeri, baik sebelum dan sesudah PRU 12, masih sama . Cuma Tokoh Melayu UMNO itu diganti dengan tokoh Melayu PAS (Kedah dan Perak) dan tokoh Melayu PKR (Selangor). Walau bagaimana pun baik menteri Melayu UMNO, PAS , PKR, ataupun Gerakan kalau hanya bercakap tentang nasib orang Melayu, tetapi bukan tamadun Melayu dan Islam sebagai asas identiti dan kekuatan nasional, sama sajalah masalahnya, terbabas daripada persoalan hakiki sebenarnya.

Jadi masyarakat Melayu yang sedang berasa cemas dan gawat sekarang ini marilah teliti persoalan ini sehalus-halusnya supaya jawapan kita berlandaskan pengalaman sejarah bagi kebijaksanaan nasional masa depan. Janganlah mudah sangat membuat rapat raksaksa hanya untuk berforum, tetapi tak ada program tindakan yang jelas. Nanti orang boleh menuduh macam-macam seperti kita aktivis Melayu ini mudah panik berfikir. Orang Melayu itu esok lusa akan mati, Perdana Menteri pun tak boleh menangguhkan barang setengan saat pun nyawanya apabila tangan Tuhan sudah sampai ke halkumnya. Islam dan tamadun Melayu itu misti terus dinamik untuk menjadi landasan filsafat nasional dan pegangan bagi sesiapa saja Perdana Menteri , kini atau esok.

Ramai di antara pemimpin yang sepatutnya menjadi khalifah dan memikul tanggungjawab yang sangat berat sebagai pemimpin Melayu-Islam telah tersilap langkah kerana dinina bobokkan oleh pengikut-pengikutnya yang lebih banyak memuji daripada mengingatkannya. Kita semua melakukan kesilapan, masa depan pun begitu juga, tetapi janganlah kali ini kita mengulangi lagi kesilapan itu dengan berfikiran salah tentang permasalahan Melayu ini.

No comments: