Thursday 3 April 2008

DI DUSUN PERMAI 1

Tidaklah jauh , hanya kira-kira 20 ela dari belakang rumahnya, mengalir anak sungai yang mencuram ke kuala, khabarnya menembusi bandaraya , ke pusat dan jantung K.L. Airnya
tak pernah berhenti, tak penat-penat mengalir ke suatu arah, ke kuala. Arah aliran air yang sehala ini menandakan rumahnya berada di hulu sungai, di kampung yang jauh dari laut Selat Melaka.

Dia duduk keseorangan di atas tunggul durian memerhatikan air yang cetek setakat buku lali itu berenang-renang di atas batu-batu bulat , ada yang kecil sebesar penumbuk dan ada yang besar sebesar pemeluk. Ketul-ketul dan biji-biji batu itu licin tak melukakan kerana entah berapa ribu atau ratus tahun digeser arus atau bergolekan sendiri tatkala air deras hujan lebat menolaknya dari tempat ke tempat menurun sungai.

Dia tak bergerak merenung ke perut sungai, seolah-olah terpukau oleh air jernih dan batu-batu
yang tersusun aman dimandikan oleh air yang mengalir. Seperti arus air itu usia dan waktunya tak akan berpatah balik; mengalir jauh ke kuala detik demi detik. Seperti batu itu kehidupannya akan terhakis membawa bersamanya tenaga dan keghairahan hidup yang semakin layu.
Dahulu, sepuluh atau dua puluh tahun dahulu, Dia tidak pernah memikirkan itu semua. Air yang mengalir , batu-batu yang pelbagai bentuk dan berlumut, daun-daun yang berguguran ditiup angin dingin, dan bunyi kelicap atau murai, tak pernah menyentuh perasaan yang lembut dan menggerak fikirannya untuk merenung jauh ke dalam dirinya.



2

Seekor biawak tiba-tiba menerjah ke luar dari rimbun semak yang hanya beberapa tapak sahaja dari tunggul durian lapuk yang mengalas punggungnya. Dia terperanjat dan bingkas berdiri. Dia menyangka ular sawa atau ular tedung yang berbisa. Dalam ketakutan Dia berasa jengkel. Dia berasa persekitaran rumahnya berbahaya, terancam dan tidak selamat. Biawak itu menerpa ke sungai , lari menjauhkan dirinya. Barangkali biawak itu juga berasa tempatnya yang selesa selama ini sudah terganggu dan tidak selamat lagi. Siapa yang mengganggu siapa? Dia segera menjadi tenang dan siuman . Kali ini memikirkan tentang ular dan biawak , sambil sesekali merenung ke lalang dan rumput yang tumbuh setinggi pinggang di sekelilingnya.

" Tepi sungai, belukar dan semak samun ini memang sudah beratus tahun hadir di sini. Ini adalah alam , angin, tanah, air, lumut, pohon dan daun yang merumahkan haiwan . Tempat bermastautin , dan tanah permainannya. Tempat haiwan atau serangga bersarang, bertelur, membesar dan bercanda . Dalam hatinya Dia berkata," Aku yang mencuri masuk dan mengakui bahawa tanah, tebing, sungai dan arus air ini adalah hak manusia, hak milik aku. Tertulis secara rasmi di atas kertas yang juga ciptaan manusia." (BERSAMBUNG.... )

1 comment:

Event Premium Gifts said...

So green, refreshing... and nicely flowed with great details.

Yang sememangnya kita sama-sama menumpang di bumi Allah.