New Straits Times( Sabtu 19 April 08) membawa laporan:
1 Penilaian akan dilakukan sama ada penggunaan Bahasa Inggeris (BI) dlm sains dan matematik akan dikekalkan (TPM, Najib Razak);
2 Ketetapan akan dibuat berdasarkan keputusan UPSR tahun ini; ketetapan harus sejajar dengan dasar pelajaran kebangsaan; dan ketetapan misti berdasarkan fakta dan realiti, bukan prasangka atau emosi. ( Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein).
3. PKPIM mahu bahasa penghantar sains dan matematik dikembalikan ke Bahasa Malaysia ( Naib Presiden, Persatuan Kesatuan Pelajar Islam Malaysia, Khairul Anwar Shazali)
Kecelaruan fikiran telah timbul dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dlm. Bahasa Inggeris (PPSMI) di kalangan masyarakat malahan guru.
Isu ini bermula apabila bekas Perdana Menteri (Dr Mahathir) mengumumkan penggunaan BI mulai tahun 2003. Pengumuman ini dibuat pada tahun 2002 sebelum dia berhenti. Jadi segala persiapan yang memakan belanja puluhan juta ringgit dikerah secara tergesa-gesa sebelum dia meninggalkan kerajaan.
Tujuannya untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar- pelajar. Ini adalah cara berfikir yang tidak rasional, dan salah. Untuk mengatasi kelemahan menggunakan BI atau untuk meningkatkan profisensi bahasa(membaca, menulis dan bertutur) bukanlah melalui sains dan matematik. Ia harus diajar melalui subjek BI itu sendiri dengan kurikulum yang sesuai, guru yang terlatih dan mahir mengajar dalam BI, bahan bacaan mencukupi dan teknologi yang bermutu, atau melalui tambahan mata pelajaran sastera Inggeris. Dalam kata lain: lain luka, lain yang diubati; kaki yang luka , kepala yang dibebat.
Selain itu kenapa dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa menyediakan cukup tenaga pengajar yang mahir terutama untuk anak-anak di luar bandar yang serba serbi ketinggalan sehingga komputer yang dibekalkan terbiar, rosak, tak berjaga dan sia-sia. Siapa yang dapat kontrak
bernilai jutaan ringgit membekalkannya?
Pengumuman dan keputusan bekas PM ini telah ditentang oleh para penulis , ilmuwan dan cendekiawan Melayu. PERSOALAN YANG PALING PENTING ialah bukannya semata-mata berlakunya kemorosotan penguasaan ilmu sains dan matematik itu di kalangan pelajar, tetapi ialah BAHASA MELAYU ITU AKHIRNYA AKAN MUSNAH SEBAGAI BAHASA ILMU.
Ramai yang keliru kerana menyangka bahawa arahan baru ini konon melibatkan hanya dua subjek sahaja ( sains dan matematik). Ini tidak benar kerana apabila tiba di sekolah menengah dan universiti semua subjek yang berasaskan sains dan matematik ( MATEMATIK, MATEMATIK TAMBAHAN, STATISTIK, BIOLOGI, FIZIK, KIMIA, KEJURETERAAN AWAM, KEJURETERAAN ELEKTRIK, TEKNOLOGI, GEOLOGI, ZOOLOGI, ANATOMI, PERDAGANGAN , EKONOMI etc,etc) akan menggunakan BI.Dianggarkan apabila tiba di sekolah menengah hanya kira-kira 30 peratus sahaja menggunakan BM, dan di universiti hanya tinggal 15-20 peratus , itupun dalam bidang agama, dan sastera.
Jadi apabila BM tidak digunakan untuk mengajar ilmu dalam bidang-bidang sains , maka ia tidak akan berkembang sebagai bahasa modern dan bahasa ilmu seperti misalnya bahasa Latin itu akhirnya mati. Di Indonesia ada 70 juta penutur bahasa Jawa, dan puluhan juta bertutur dalam bahasa Sunda, dan jutaan lain dalam bahasa Minang, Bugis, Manura, tetapi bahasa-bahasa ini tinggal di daerah-daerah, dan tidak menjadi bahasa ilmu modern kerana Bahasa Indonesia yang digunakan di sekolah dan universiti. Persoalan inilah yang paling penting , yakni masa depan BM sebagai wadah ilmu serta tamadun Melayu, jati diri dan wahana dakwah Islamiah.
Kumpulan budaya dan pendidik Cina juga menentang penggunaan BI dengan memberi hujjah bahawa UNESCO berpendapat bahawa ilmu haruslah diajar melalui bahasa ibunda terutama pada peringkat sekolah rendah. Mereka menyokong kuat aktivis BM, dan mereka terus menggunakan bahasa Mandarin bagi mendidik anak-anaknya. Selain itu bangsa-bangsa yang maju di dunia ( Jerman, Perancis, Jepun, Korea, Belanda etc) menggunakan bahasa ibundanya terlebih dahulu dan baru di sekolah menengah mengajar BI. Ada kekeliruan yang besar dalam fikiran pemimpin kita dalam soal bahasa dan hubungannya dengan ilmu.
Kita tidak menentang usaha menguasai bahasa-bahasa Arab, Perancis, Jerman, Mandarin, Jepun, Sepanyol, Inggeris dll; lebih banyak bahasa dikuasai oleh rakyat, terutama Arab, adalah lebih baik. Yang tidak dipersetujui ialah BI mengambil alih BM sebagai bahasa pengantar.
Berbalik kepada kenyataan Menteri Pelajaran, pendirian pencinta bahasa menolak sama sekali penyingkiran BM dalam sains dan matematik adalah satu keputusan yang rasional dan berasaskan realiti, dan bukan berlandaskan emosi liar dan prasangka. Aspek emosi yang ada ialah kecintaan, rasa maruah diri Melayu dan perasaan kebangsaan, terutama BM itu adalah asas bagi dasar pelajaran kebangsaan yang telah mantap diperjuangkan oleh UMNO di bawah pimpinan Tun Razak, dan Tun Hussein Onn ( bukan UMNO Baru pimpinan Mahathir) sejak 1970 lagi.
Untuk mengulangi hujah: BM itu misti dipulihkan untuk menjadi bahasa ilmu yang modern.
2 comments:
Menggerunkan, berwaspadalah!
Tuan,
Bismillah sebagai permulaan kalam, memuji khaliq seluruh alam. sebenarnya masih ada anak muda gerakan bawah tanah dengan semangat membuak2 menidakkan bahasa inggeris dlm sains dan matematik. kata mereka(pendabik dada durjana) jika kita menolak bahasa inggeris kita yang akan ketinggalan. bagi saya org yg berkata begitulah dia yang ketinggalan. Dinginnya malam ini tidak sesekali memadamkan semangat bahasa bangsaku sendiri. Ingin sekali berkelakuan seperti almarhum rustam a.sani dulu masa muda...memadamkan jalan2 yang menggunakan nama inggeris. Tapi biarlah akal bergerak dulu. tidak begitu Tuan....:)
p/s sajak di kota kecilku mengingatkan sy kpd arwah cikgu mohammad yg hidup susah tetapi megajar kami sastera melayu dan nahu dengan tekun tanpa menunjukkan bosannya mempelajari bahasa melayu....
Post a Comment